Salam Perjuangan

08 Februari 2016

puisi: KENANGAN LAMA

sebuah diari kembara
diserahkan padaku
ada catatan silam
tertulis nama dan di mana
daripada seorang sahabat
yang telah pergi

tulisnya, bonda ruzy
dari mersing
bertahun-tahun
menabur bakti
sekolah rendah felda
kini pesara sepi

catatnya, opah wan
dari kampung jana
kamunting darul ridhwan
menimba pengalaman
di sebuah pasar raya
bertahun-tahun di kota
kini warga emas
di tanah kelahiraan

coretnya, ibu wahijah
menyesali kehidupan
tanpa sara diri
suatu waktu guru
berhenti di pertengahan
bermain anak cucu
belas ikhsan kehidupan

tulisnya, teman-teman
seangkatan masa lalu
kini saling merindui
mengharapkan whasap
saling berkiriman
tidak hirau pun radio klasik

aku pula kini
seakan tidak peduli
walaupun menyukai kamsani
atau jasni ataupun r.azmi
berdendang kenangan lama
ibu misah mengendongku
ke pawagam lima puluhan
aku masih menimang bayi!



RAJIEE HADI
Seri Mahkota, Bangi SDE.
15 Ogos 2015.


07 Februari 2016

LOOKING BACK: OPEN LETTER TO PRIME MINISTER

KINI penggal baharu DUN Sarawak akan bermula. Dan kini kempen menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak pula, telah pun bermula. TB rasakan baharu semalam  'seruan' TB menjelang pilihahan raya negeri Sarawak yang mana TB pernah menulis SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI ketika itu mengenai isu-isu semasa berkaitan PPSMI. Kini TB terima kempen baharu Pelaksanaan Kempen Mansuhkan Dasar Dwi Bahasa (DLP) pada 15 Februari 2016, lsnin, jam 12 tengah hari di hadapan Sogo, Kuala Lumpur.

BERIKUT TB siarkan semula surat terbuka tersebut agar dapat kita merenung kembali sejenak agar mendapat ikhtibar dalam setiap perjuangan. Salam perjuangan!

YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
 
Dr. Rajiee Hadi
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada bila-bila masa akan YAB Datuk Seri umumkan. Dan terkini, kempen pilihan raya DUN Sarawak sedang berlangsung dan hangat bermula.

Namun apa jua maksud tersurat dan tersirat, saya bagi pihak orang-orang Melayu, bangsa peribumi, umat Islam, golongan pendidik, ibu bapa, penulis, sasterawan, budayawan, aktivis masyarakat, para pejuang dan pencinta bahasa dan orang awam yang telah bersama-sama menzahirkan sukma rasa lahir dan jiwa sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada pemansuhan muktamad isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah diputuskan oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri menerusi pengumuman yang dibuat oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Sedarilah bahawa keputusan ini telah disambut dengan penuh gembira, titisan air mata kesyukuran dan penghormatan terhadap kerajaan BN pimpinan YAB Datuk Seri dahulu. Lantaran itu usahlah dipersia-siakan perjuangan murni ini.

Namun, seperti mana yang dilaporkan di akhbar-akhbar hari ini bahawa YAB Datuk Seri akan menimbangkan semula pelaksanaan PPSMI dalam dua opsyen adalah sesuatu berita yang amat memeranjatkan, menyedihkan dan tragis. Saya bagi pihak rakyat terbanyak mengingatkan agar YAB Datuk Seri jangan sengaja “memainkan perasaan orang Melayu” demi menjaga “sentimen orang lain yang berkepentingan”.

Rakyat terbanyak akan bertambah keliru dan prasangka kerana YAB Tan Sri Muhyiddin pernah mengumumkan bahawa PPSMI adalah suatu keputusan muktamad apabila pemansuhannya diumumkan dahulu. Dan ini kelihatan nampak jelas adanya percanggahan dalam kepemimpinan YAB Datuk Seri. Apatah lagi apa yang dikatakan oleh YAB Datuk Seri bercanggah dengan aspirasi dan perjuangan rakyat terbanyak khususnya Melayu-Bumiputera yang menjadi tonggak utama jatuh bangunnya.

Umno parti dukungan YAB Datuk Seri.

Justeru, saya bagi pihak umat Melayu-Islam-Bumiputera sekali lagi menyatakan berterus terang dan menyedari bahawa orang-orang Melayu kini mula mual jelak dan marah terhadap mana-mana pemimpin yang tidak bertegas, kelihatan bercanggah dan boleh dianggap ada pergeseran antara dua pemimpin tertinggi.

Dan apa yang lebih penting rakyat tetap menentang habis-habisan mana-mana pemimpin yang lebih mementingkan “periuk nasi” daripada kepentingan perjuangan bangsa, agama dan negara. Harapan kami, agar PRU 2008 lalu tidak umpama, 'nasi sudah menjadi bubur'. Salam.

Dr. Rajiee Hadi 
Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia.

(sumber: Harakahdialy, 16 April 2011)

06 Februari 2016

NAJIB TIDAK TAHU BEZAKAH ANTARA WANG DERMA ATAU WANG PELABURAN?

SEMASA  kecil (zaman kanak-kanak/remaja), kita tentunya biasa dipesan oleh ibu bapa, guru-guru atau orang tua-tua agar jangan sesekali bercakap bohong kepada sesiapa pun jua.

Jika kita didapati melakukan sesuatu kesalahan pula, perkara pertama yang diingatkan ialah agar segera bercakap benar dan tidak terus berbohong.

Kalau tidak salah, berkatalah tidak salah, manakala jika salah, mengaku dan berterus-terang sajalah.

Berbohong atau bercakap bohong bukan saja dianggap dosa dan perbuatan tidak baik, bahkan selalu diingatkan bahawa bagaimana sekali pun cuba berbohong, ia pasti akan terdedah akhirnya walaupun setelah dicuba beberapa lapis pembohongan lainnya.

Dikatakan bahawa apabila kita berbohong dan cuba menutupnya  setelah ianya terdedah, kita akan terus berbohong lagi dan lagi sehingga akhirnya terjerat sendiri.

Peribahasa moden juga ada mengingatkan bahawa kita tidak mungkin dapat menipu semua orang dalam semua keadaan.

Pendeknya, pembohongan tidak mungkin ada tempat yang selesa di dunia ini, apatah lagi di akhirat nanti.

Barangkali inilah yang hampir-hampir ada persamaan dengan isu derma RM2,600 juta yang masuk ke akaun bank peribadi Najib Razak.

Mula-mula wang itu dinafikan, diancam mahu disaman, dikatakan tidak mungkin Najib begitu bodoh membenarkan wang sebegitu banyak dimasukkan ke akuan peribadinya dan segala macam bentuk penafian lainnya.

Kemudian apabila hakikat kebenaran berkaitan wang itu sukar dinafikan, ia diakui sebagai derma politik, hak Najib menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, untuk memerangi keganasan,  mengalahkan DAP, sumbangan kerana memperjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan lain-lain lagi.

Ia juga dikatakan untuk membiayai politik UMNO yang mana segala halnya memerlukan wang dan Najib selaku Presiden UMNO dikatakan hanyalah pemegang amanah saja kepada duit tersebut.

Ketika Peguam Negara, Apandi Ali mengumumkan hasil siasatan yang membersihkan nama Najib daripada semua pertuduhan jenayah berkaitan wang itu, diumumkan juga wang tersebut diterima daripada keluarga Diraja Arab Saudi dan sejumlah RM2,030 juta sudah pun dipulangkan kerana ia tidak digunapakai.

Siapa keluarga Diraja Arab Saudi yang menderma itu tidak pernah didedahkan, kecuali media-media antarabangsa mengatakan paling mungkin ianya ialah Raja Abdullah yang mangkat pada Januari 2015 lalu.

Kesimpulannya, oleh kerana wang itu adalah derma dan sudah pun dipulangkan sebahagian besar daripadanya, maka Najib dianggap tidak bersalah apa-apa serta bersih sebersih-bersihnya oleh Peguam Negara.

Tetapi hari ini semuanya bagaikan terdedah apabila Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir menolak tanggapan bahawa wang yang pernah masuk ke akuan peribadi Najib itu suatu bentuk derma atau daripada kerajaan negara tersebut.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh New York Times, Adel Al-Jubeir menegaskan, wang itu adalah daripada warga persendirian Saudi dan diberikan kepada satu pelaburan di Malaysia.

Sekarang apa sudah jadi?

Siapa yang dilihat berbohong dan tidak berkata benar?

Oleh kerana ia bukan derma, pelaburan untuk apa wang sebanyak RM2,600 juta itu dan mengapa ia dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib?

Jika benar ia dipulangkan pula sebagaimana yang diakui oleh Apandi Ali, mengapa hanya  RM2,030 juta saja dikembalikan? Apa jadi dengan yang selebihnya?

Lebih ingin diketahui ialah bagaimana dengan keputusan Peguam Negara yang membersihkan nama Najib kerana percaya wang tersebut adalah derma dan sebahagiannya besarnya sudah dikembalikan?

Dengan pengakuan Menteri Luar  Arab Saudi sendiri bahawa wang tersebut bukan derma, masih berwibawakah keputusan Peguam Negara itu?

Apakah ini antara sebab-sebab mengapa Peguam Negara mengarahkan SPRM menutup terus siasatan terhadap Najib dan tidak memberi laluan untuk undang-undang bersama atau MLA digunakan yang membolehkan dokumen-dokumen di luar negara berkaitan pengaliran wang itu diperolehi?

Akhirnya, inilah akibatnya apabila mengabaikan pesanan ibu bapa, guru-guru atau orang tua-tua mengenai perbuatan berbohong yang tentunya semua orang pernah menerimanya semasa kecil-kecil dulu. ( dipetik daripada shahbuddin.blogspot.com/ 06/02/2016).


MUHYIDDIN MOHD. YASSIN kata......

DALAM beberapa waktu ini, saya mengambil sedikit masa untuk menyelami persoalan-persoalan yang sering berlegar di fikiran saya berkenaan hal-hal yang berlaku di negara kita pada waktu ini. Ikhlas saya katakan, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara, tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa kita akan berada dalam situasi yang serumit hari ini.
Ke mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai yang mengkhianati amanah.
Ketika rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai GST, kejatuhan nilai matawang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini digunakan untuk perbelanjaan peribadi. Lebih menyedihkan, antara sumber wang ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
Namun, amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup.
Apa sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah. Tetapi dalam skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC International, tiada sesiapa pun didakwa.
Malah terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka, mereka juga tahu apa yang berlaku.
Di manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata? Atau, adakah seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan?
Saya perhatikan masalah besar yang sedang melanda negara kita ialah ketiadaan roh perjuangan untuk berpegang kepada prinsip-prinsip murni dalam kehidupan. Kerana itu berlaku masalah pecah amanah, tiada tanggungjawab terhadap rakyat dan mungkin tiada perasaan takut kepada balasan Allah s.w.t.
Kemelut yang berlaku nampaknya seperti tiada kesudahan. Misteri kehilangan wang dan harta negara tidak akan terungkai, walaupun bagi yang mengetahui ia seperti rompakan di siang hari. Pelbagai cerita akan terus direka untuk mengaburi mata rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu. Keadilan yang ditagih tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita untuk beberapa ketika.
Walupun jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang saya temui, termasuk sahabat handai dan mereka yang tidak saya kenali, jauh di sudut hati mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan. Supaya Malaysia kembali pulih dan tidak menjadi sebuah negara yang gagal.
Ini permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia. Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik. Kerana kita semua berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada negara kita.
Jika bersendirian kita tidak akan punya kekuatan. Tetapi jika kita semua bersatu hati, membuka minda dan nurani untuk melihat kebenaran, melawan kemungkaran dan bertindak untuk menjadikan masyarakat dan negara kita lebih baik daripada hari ini, maka nescaya kita akan berjaya jua akhirnya.
Bagi saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan. Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
Justeru, saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin, seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama anda dalam perjuangan ini!
Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan kita semua sentiasa diberikan kekuatan oleh-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin! (sumber:FB.TSMMY)
TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
5 Februari 2016


SUNGAI MUAR - SUNGAI DUYUNG

BERDASARKAN catatan sejarah, Sungai Muar yang kini terletak dalam negeri Johor Darul Takzim dan Sungai Duyung yang terletak dalam negeri Melaka Bandar Raya Bersejarah adalah penempatan/petempatan (sila rujuk Kamus Dewan) orang-orang Melayu asal (Melayu asli...bukan Orang Asli istilah yang dipakai selepas merdeka yang berbeza pengertiannya) yang telah wujud lebih 600 tahun yang lampau. Sebab itulah apabila Parameswara yang datang dari Palembang tahun masehi 1401 (masih dalam Alam Kepulauan Melayu)lalu memudiki Sungai Muar telah mendapati ada 'masyarakat ketika itu' yang telah sedia mendiami di sepanjang pesisir Sungai Muar.

Pada mulanya Parameswara dan anggota rombongannya mahu membuka 'negeri baharu' di Muar.Namun melihatkan situasi ketika itu maka baginda telah membatalkan hasratnya lalu terus memudiki ke Sungai Kesang dan terus ke` Sungai Melaka lalu berehat di tepi sungai di sebatang pokok.Keadaan pesisir Sungai Melaka ketika itu masih hutan tebal.Sungai Melaka dan Sungai Duyung ini saling bertemu menuju ke Selat Melaka. Apabila baginda melihatkan kehebatan seekor pelanduk yang dapat mengalahkan beberapa ekor anjing maka timbullah insiprasi baginda untuk membuka "negeri baharu". Dan berdasarkan nama pokok Melaka tempat baginda bersandar rehat maka sejak itu terbukalah negeri/kota Melaka pada tahun 1401.Baginda kemudian ditabalkan sebagai Sultan Melaka pertama yang bergelar "Sultan Muhammad Shah" (setelah memeluk lslam).

Hari ini, ditakdirkan rezeki Allah SWT, ibu kandung TB memiliki dua rumah di dua tempat itu iaitu di sebuah tempat di pinggir  Sungai Muar dan sebuat tempat di pinggir Sungai Duyung. Secara kebetulan dua tempat ini adalah penempatan orang Melayu asal yang telah sedia wujud beratus-ratus tahun silam. Dalam buku Sejarah Melayu disebut Hang Mahmud dan isterinya Dang...(?) telah membesarkan anaknya Hang Tuah di Kampung Sungai Duyung. Di kampung inilah Hang Tuah  dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat,Hang Kasturi,Hang Lekir dan Hang Lekiu dilahirkan dan dibesarkan. Dan akhirnya sehingga mereka mendapat perhatian sultan Melaka ketika itu (Sultan Mansur Shah) pada abad ke-15.

Diringkaskan cerita, moyang TB Penghulu Latis (dikhabarkan juga dari sumber Madrasah Parit Perupuk, Muar ada seorang pendakwah bernama Latis yang mengajar agama pada abad 19...TB belum dapat pasti sama ada mempunyai kaitan atau sebaliknya) di mukim Temiang & Sungai Terap di pesisir Sungai Muar pada abad ke-19.

Pada tahun 1877 moyang TB, Penghulu Latis dan segala penghulu telah bersepakat dengan Temenggung lsmail bin Temenggung lbrahim mengiktiraf Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar bagi negeri Johor moden. Kesepakatan ini telah dibuktikan dengan menandatangani surat perjanjian bersama.Pada ketika itu jawatan penghulu setaraf menteri atau exco yang turut menganggotai Jemaah DiRaja.Muar ketika itu umpama sebuah negeri termasuk daerah Kesang (sebab itu Sultan Ali yang bersengketa iaitu putera Sultan Hussin yang bermastautin di Teluk Belanga, Singapura mahu mengistiharkan dirinya sebagai "Sultan" bagi Muar dan Kesang tetapi gagal)

Semasa pemerintahan Maharaja Abu Bakar, negeri Johor terus maju membangun. Banyak pembangunan dan pembukaan ladang gambir, pinang dan getah.lni menggalakkan kehadiran rumpun Melayu dari seluruh pelosok Kepulauan Melayu termasuk suku Bugis,Jawa,Banjar, Minang (Padang) dan sebagainya. Selain itu kedatangan imigran/pendatang asing Cina dari China dan lndia (Tamil) dari lndia Selatan yang dibawa oleh orang-orang lnggeris kian mencurah-curah. Sebab itu Johor adalah sebuah negeri yang terkenal dengan ladang-ladang getah yang luas dimiliki konglomerat lnggeris ketika itu.

Justeru, tidaklah menghairankan semasa TB kecil di sekitar kampung TB ada 'orang tua' yang digelar/disebut nama seperti Mat Bugis, Dolah Banjar, Wak Jurimi Jawa, Mat Riau,Mat Penang dan lain-lain lagi.Sebenarnya terlalu banyak mahu TB catatkan tetapi memadailah setakat ini. Wallahualam. (Rujuk buku Sejarah Johor oleh Buyong Adil, Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Hikayat Johor, Hikayat Malim Deman dsb.)
TB: Haji Rajiee bin Abdul Hadi bin Manja bin Sintal bin Latis (Penghulu Latis) bin..???
  


05 Februari 2016

puisi: MELAYU SINGAPURA

Melayu Singapura
apakah cuma di Beduk
rumah pangsa Geylang Serai
Jalan Ampas kehilangan
warga emas berwajah kusam

Melayu Singapura
anak pascamerdeka
kutemui setia bicara
pengawal pasar raya
restoran antara bangsa

Melayu Singapura
urus niaga kecilan
hiruk  pasar basah
di Geylang moden
Tanjung Katong kenangan
nyanyian pantai zaman

Melayu Singapura
Masjid Sultan Arab Street
pudar silam lstana Gelam
sengketa wang harta
tergadai maruah segala
saling bertukar kuasa

Melayu Singapura
Tanjung Pagar milikmu
Changi kini ke destinasiku
gerai Pak Mursid berdendang
klasik basah ingatan
asam pedas di Labu Labi

Melayu Singapura
apakah puas kalbumu
kuda kepang barongan
silat pencak zapin inangan
persembahan hujung minggu
di kampung replikamu itu

Melayu Singapura
kian kembali hakiki
getar sesayup azan
berkumandang di woodland
alunan muazin bertebaran
berderai pilu di Selat Tebrau !

DR RAJIEE HADI
2015-16.
MCD, Malaysia.


01 Februari 2016

PERKAHWINAN KEDUA

JUDUL rencana pendek penulis di atas, bagaikan judul sebuah filem.Bukan mustahil. Pada era kebangkitan filem-filem lndonesia tahun-tahun 70-an judul yang bermula dengan frasa "Perkahwinan" sangat (bukan "cukup") banyak; antaranya filem "Perkahwinan Terlarang", "Perkahwinan Terpaksa", "Perkahwinan" dan berbagai-bagai lagi.

Namun penulis sengaja memilih judul "Perkahwinan Kedua" (termasuk kali kedua) kerana mahu mengalihkan isu-isu politik yang kian membara hari demi hari. Penulis sengaja memilih perkara-perkara/isu yang berkaitan disiplin psikologi, sosioekonomi, munakahat dan biologi anatomi.

Perkahwinan kedua dalam rencana ini bukanlah bermaksud perkahwinan poligami. Apa yang saya maksudkan ialah perkahwinan bagi kaum lelaki dan kaum wanita setelah kematian atau "kehilangan" atau penceraian dengan pasangan masing-masing.

Pada zaman ini bagi kaum wanita atau isteri yang telah kematian suami (lebih manis) disebut "balu". Tahukah anda daripada mana asalnya perkataan "balu"? (sila rujuk Kamus Dewan). Walhal pada zaman datuk nenek penulis; kata "janda" merangkumi gelaran yang diberikan bagi kaum wanita yang sudah berkahwin tetapi hidup bersendirian semula sama ada disebabkan kematian atau penceraian (talak).

Oleh kerana perkembangan pesat dalam kehidupan sekarang dan pertembungan budaya luar maka lahirlah gelaran "ibu tungggal". Bahkan untuk lebih spesifik ada pula gelaran "ibu tinggal" dan "ibu tunggul". Kepada pembaca sila carilah maksud apa yang dikatakan ibu tinggal dan ibu tunggul. Bagi ibu tunggal ialah mereka yang menjadi balu atau janda yang turut tinggal bersama dengan tanggungjawab dan amanah dengan anak-anak yang di bawah jagaannya.

Bagi ibu tunggal atau janda/balu berhias tanpa anak ini faktor usia, ketrampilan, pergaulan dan pendedahan sosial, psikologi dan kekukuhan atau kerapuhan kewangan boleh menjadi faktor menarik atau menolak bagi membina sebuah perkahwinan baharu atau perkahwinan kedua. Bagi mereka yang sudah ada anak; faktor bilangan anak, usia anak dan keperluan bio-psikologi anak memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Bagi wanita yang berstatus balu/janda/ibu tunggal muda faktor seksologi hanyalah sekadar pelengkap dan fitrah bagi sebuah kehidupan normal. lni bermakna bagi wanita, "kesunyian dan kesepian" seorang wanita tidak sama dengan kaum Adam. Kaum Adam banyak dipengaruhi dengan elemen livido yang mendorongkan segala perlakuan dan tingkah lakunya.

Justeru, pada kebiasaannya wanita yang kematian suami akan mengambil banyak perkiraan sebelum bersetuju dengan perkahwinan kedua. Oleh kerana mereka "kehilangan" suami secara mengejut pada usia yang belum "agak tua" maka mereka akan sering mengalami gangguan psikologi bahkan dihimpit stres dengan rasa serba salah, rasa bersalah, dilema, kurang yakin, rendah diri, hilang keyakinan dan tumpuan dan berbagai-bagai lagi gangguan mental.Mereka lebih gemar "merindui bayangan silam" yang mana lama kelamaan mereka akan hilang kejatidirian dan hilang keyakinan. Natijahnya akan memakan masa dua-tiga tahun atau lebih lama lagi tempoh masa bagi memberi ruang dalam hati mereka membuka pintu keinginan untuk perkahwinan kedua.

Bagi wanita yang menjadi balu atau janda disebabkan penyakit si suami yang sudah memakan masa lama hingga berpuluh-puluh tahun, terdapat kes mereka boleh menerima perkahwinan kedua dalam tempoh masa yang pendek selepas kematian si suami. ltupun bergantung kepada latar pasangan yang melamarnya dan sikon kesihatan dirinya.

Sebenarnya kajian belum banyak dibuat dari sudut perkahwinan kedua bagi wanita berstatus balu atau janda. Jikalau ada kajian ilmiah pun hanyalah berkisar kes atau isu beban kewangan dan beban psikologi dalam kalangan ibu tunggal dan kajian yang berhubungan stres atau kemurungan ataupun depresi dalam kalangan ibu tunggal setelah kematian suami atau penceraian. Semoga ada para pengkaji/penyelidik yang akan cuba membuat penyelidikan terperinci setelah sebuah hipotesis yang  penulis telah dedahkan ini. (oleh: Dr Rajiee Hadi al-Latis)








29 Januari 2016

puisi: BERDERAI PEDIH

 BERDERAI PEDIH



Suatu petang
di sebuah pasar raya
ayahmu berkenalan
dengan seorang pesara TNB
katanya dia 78 tahun
sihat walafiat
isterinya 61 tahun
jalan bertongkat
pesara guru sekolah rendah

Dia amat berbangga
anak gadisnya lepasan UUM
berjaya kini menjadi guru
seperti ibunya jua
mengajar di sekolah menengah
dalam negeri Selangor

Katanya  dahulu anaknya
pelajar terbaik STPM
di SMKDMS Nilai
tempat ayahmu mengajar
suatu ketika waktu

Dan semena-mena teringat ayah
akan syaqira yang pintar
lepasan perakaunan USIM
yang tidak mahu menjawat guru
tiba-tiba air mata ayah
berderai pedih!


DR RAJIEE HADI,

BANDAR BARU NILAI,NSDK.
27 Julai 2015.

27 Januari 2016

SRC RM42 JUTA BIKIN CERITA LAWAKKAH?

Sementara kita terus ketawa dengan lawak jenaka Peguam Negara sejak pagi Selasa dalam usahanya membersihkan nama Najib Razak berkaitan derma RM2,600 juta, penjelasan tentang dana RM42 juta daripada SRC International juga tidak kurang membuatkan kita terbahak-bahak jadinya.

Najib dibersihkan daripada isu berkaitan derma RM2,600 juta bukan saja kerana  tiada apa-apa imbuhan yang diminta, bahkan juga kerana sejumlah RM2,030 juta lebihannya telah dipulangkan semula kepada keluarga Diraja Arab Saudi yang dikenal pasti sebagai pendermanya.

Berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International pula, penjelasan Peguam Negara, Apandi Ali ialah:-

- tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan  Perdana Menteri mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat sebarang kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- tiada apa-ap keterangan yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, Perdana Menteri mempercayai  segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke akaun-akaun beliau sebelum itu.

Dalam bahasa yang mudah, ayat Apandi itu bermaksud bahawa Najib tidak mengetahui mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta itu, jauh sekali memberi kebenaran wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Maka dengan itu, Najib dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berkaitan wang RM42 juta itu.

Tidakkah ini satu lagi jenaka yang boleh membuatkan kita ketawa dengannya?

Lebih membuatkan kita ketawa jika persoalan-persoalan di bawah ini terus tergantung tanpa jawapan.

Pertama, siapakah memasukkan wang tersebut dan bagaimana mereka memperolehi nombor akaun bank peribadi Najib?

Kedua, logikkah jika seseorang memasukkan wang sebesar RM42 juta jumlahnya,  tetapi tidak memberitahu atau memaklumkan langsung mengenainya kepada penerima wang tersebut?

Ketiga, adakah sebagai Perdana Menteri, Najib betul-betul tidak pernah memberikan nombor akaun bank peribadinya kepada sesiapa?

Keempat, jika tidak pernah, bagaimana nombor akaun bank itu boleh diperolehi oleh orang lain?

Kelima, adakah perkara biasa bagi Najib memberikan nombor akaun banknya sehingga ia bukan lagi rahsia dan kemudian sesiapa saja boleh memasukkan wang ke dalamnya?

Keenam, setelah mengetahui adanya dana RM42 juta dalam akaun peribadinya, apa yang Najib lakukan terhadap wang tersebut? 

Adakah wang itu sudah habis dibelanjakan atau masih dalam simpanan lagi?

Kenapa ia tidak dipulangkan semula kepada SRC International seperti yang dilakukannya dalam sebahagian daripada wang derma RM2,600 juta kepada keluarga Diraja Arab Saudi itu?

Dalam pada itu, persoalan yang tidak kurang misterinya ialah mengapa dua bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Farid Kamil dan Suboh Md Yassin melarikan diri ke luar negara sejak sekian lama?

Apa yang mereka takutkan? Adakah mereka mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu?

Adakah selepas kes ini ditutup, mereka akan terus berada di luar negara atau akan segera kembali ke dalam negara?

Sementara kita menunggu ada atau tidak jawapan kepada persoalan-persoalan ini, marilah kita terus ketawa kerana sebenarnya penjelasan Apandi Ali dalam membersihkan Najib semalam  adalah lawak jenaka paling "rare" sejak negara kita merdeka. ( sumber: shahbuddin.com. 27/01/2016).

26 Januari 2016

NAJIB YANG BAIK HATI....



 Tiada kesalahan dan pendakwaan yang akan diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak setelah penyiasatan lebih enam bulan oleh SPRM berhubung wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International barangkali tidaklah begitu memeranjatkan kita semua.

Ini kerana keputusan itu pada umumnya sudah dijangka oleh sesiapa pun juga, cuma yang ingin ditunggu ialah bagaimana penolakan kes itu akan dilakukan oleh Peguam Negara.

Walaupun SPRM yang melakukan penyiasatan, tetapi sama ada pendakwaan hendak dilakukan atau sebaliknya, ia adalah kuasa Peguam Negara. Oleh kerana Apandi Ali dilantik secara mengejut menggantikan Gani Patail, penutup skripnya tidaklah begitu sukar untuk dijangka.

Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah apabila Peguam Negara turut memaklumkan bahawa selain tiada kes yang boleh dikaitkan dengan Najib berkaitan wang tersebut, beliau  juga dimaklumkan sudah memulangkan kembali RM2,030 juta daripada RM2,600 juta yang diterimanya kepada keluarga penderma daripada Timur Tengah tersebut.

Kata Peguam Negara,  wang itu dipulangkan oleh Najib kepada penderma kerana ia tidak lagi diguna pakai.

Oh oh oh...baiknya hati Perdana Menteri kita ini. Oleh kerana tidak diguna pakai, wang derma itu dipulangkan kembali. Jumlahnya pula bukan seratus dua, tapi ribu-ribu juta.

Memang zuhud dan tidak gelap mata dengan dunia rupanya pemimpin kita ini. Mungkin Najib satu-satunya pemimpin yang pernah memulangkan kembali wang derma yang diterimanya dalam jumlah ribu-ribu juta nilainya.

Barangkali di dalam dunia juga hanya ada seorang manusia yang memiliki hati sesuci dan sebersih Najib ini. Sebelum Najib, rasanya tidak ada yang memiliki hati seperti itu dan diharapkan dengan contoh teladan yang ditunjukkan ini lebih ramai lagi yang akan menuruti jejak langkahnya itu, terutama isteri dan anak-anaknya.

Di sebalik Peguam Negara telah membersihkan Najib menjadi bersih sebersih-bersihnya umpama kain putih atau seperti bayi yang baru lahir, beliau juga menzahirkan bahawa Najib adalah pemimpin yang begitu mulia hatinya sehingga sanggup memulangkan kembali wang derma yang diterimanya.

Peguam Negara, Apandi Ali hari ini membersihkan nama Najib daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan penerimaan wang ke dalam akaun peribadinya itu atas alasan "tidak cukup bukti" untuk mengaitkannya dengan tiga kertas siasatan yang dihantar oleh SPRM itu.
Serentak dengan itu, Apandi juga mengarahkan SPRM menutup terus kes itu.

Tiadalah lagi apa-apa yang boleh dibangkitkan mengenai derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta itu walaupun hakikatnya SPRM telah menghantar tiga kertas siasatan mengenainya.

Dalam hal ini, biasanya orang yang menderma tidak mengharapkan lagi wang yang didermanya dikembalikan kerana selepas menderma, yang diharapkan selepas itu hanyalah pahala saja.

Apatah lagi digembar-gemburkan kononnya derma itu untuk memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ali Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan kerana ingin UMNO terus berkuasa di negara ini.

Ehhh...kenapa dipulangkan pula? Sudah tamatkah agenda memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan memperkukuh UMNO supaya terus berkuasa?

Walaupun tidak diminta, Najib rupa-rupanya dengan rela hati memulangkan wang besar itu semata-mata kerana ia tidak digunapakai lagi.

Perghhh...mulia dan suci murni sungguh hati Najib rupanya!

Ada sesiapa nak percaya?

Hehehe....Lawak betul dan sehingga pilihan raya 2018 nampaknya kita tidak perlu lagi menonton sebarang hiburan televisyen untuk ketawa dan menghiburkan hati. Lawak ini saja sudah memadai membuatkan kita ketawa sepanjang masa.(sumber disesuaikan daripada shahbuddin.blogspot.com 
26/01/2016).


24 Januari 2016

puisi: DI HADAPAN PULAU

Bertahun-tahun perjalanan
kusam curam berbalam
getar getir memutar
hanyir hambar menyambar
di sini dipacakkan pepohon sabar

Bertahun-tahun kembaraan
di sebatang jalan sunyi berdiri
ada kasturi dan kemboja
mewangi setanggi meruntun hati
di sini dipacakkan kalbu iman

Bertahun-tahun kemudi
di samudera tidak bertepian
riak gelombang di persimpangan
antara hidup dan kematian
semerbak harapan menuju destinasi

Bertahun-tahun di puncak hayat
bekalan masih tidak pasti
mahu dibawa pulang ke azali
sedangkan di hadapan pulau itu
kian menghampiri pangkalan
berlabuh, menemui Kekasih Abadi!


DR RAJIEE HADI
Lembah Kelang, SDE.
24 Januari 2016.





20 Januari 2016

puisi: JIKALAU

Ombak di laut berkocak
adalah hatiku berdetak
ombak di laut bergelombang
adalah hatiku bimbang

Kapal melebarkan sauh
dia semakin menjauh
dermaga sendirian sepi
pelabuhan tanpa penghuni

Pantai tidak memutih
kalbuku turut merintih
pepohon ru kian menghilang
ada kasih cinta terhalang

Laut terbentang pesona
nyaman tatap terpana
hadirnya madah gulana
bukan sengsara bukan merana

Jikalau semena-mena tsunami
memusnah impian berzaman
kita tidak lagi berpuisi
ketika menemui Yang Azali.



DR RAJIEE HADI,
Bayan Close, Bukit Mahkota, Bangi SDE.
20 Januari 2016.

05 Januari 2016

PENARIK BECA, MANTAN MENTERI & LIM KIT SIANG

Saya tidak berasa bangga jika diperkenalkan atau dikenali sebagai mantan menteri tetapi segar ceria apabila  seseorang mengenali saya sebagai wartawan,penulis buku atau blogger.

Kebanyakan orang tidak terus menegur saya kerana tidak pasti. Tetapi apabila saya tersenyum pada seseorang yang memerhatikan saya berkali-kali  maka dia akan bertanya "Ini Zainuddin Maidin Zamkata ke?",Ya kata saya dan jawapan yang selalu saya terima" Kami takut hendak menegur takut salah orang"

Saya telah bersara sebagai Menteri Penerangan lebih 7 tahun tetapi saya yakin  orang tidak lagi akan mengenali jikalau saya tidak terus  menghubungi mereka  menerusi  penulisan saya. Walaupun tidak lagi boleh menulis di Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia di bawah pemerintahan  Demokrasi ala Najib tetapi saya masih boleh bernafas  menerusi blog Zamkata

Saya tidak terkejut  jikalau dalam kalangan profesional,pegawai tinggi kerajaan ,orang koporat dan sebagainya  mengenali saya sebagai penulis tetapi saya terkejut, terharu dan berbangga apabila baru -baru ini seorang penarik beca di Pulau Pinang memberitahu dia mengikuti blog saya.

Namanya Din tetapi katanya orang panggilnya Pak Tam kerana dia hitam.Dia benar-benar hitam sehingga bila diambil gambarnya, saya tidak dapat mengenali wajahnya menyebabkan saya terpaksa mengulangi pengambilannya.

Ceritanya begini:Apabila saya keluar dari Hotel Bayview George Town  untuk menyewa sebuah beca yang kelihatan di hadapan hotel itu saya mendapati penariknya tidak ada.

Saya bertanya mana tuannya pada orang lain yang apabila melihat saya terus mendekati saya dan bertanya ini Maidin Zainuddin ke? Jawab saya bukan. "Ini Zainuddin Maidin" dan penarik beca yang tadinya tidak kelihatan muncul dari sebalik pokok besar dan berkata kepada kawannya  " Eh hang tak kenal ini  Zamkata."

Itu nama blog saya. Saya  bangga dan terus bertaya" Hang baca blog aku?. "Apabila rehat-rehat bacalah,"katanya bersahaja  dan saya tersedar betapa kesilapan penilaian saya terhadap kualiti manusia berasaskan kepada kerja mereka .

"Orang kata blog aku anti Najib?",kata saya kepadanya "Tak adalah Tan Sri, Saya tidak  rasa begitu, saya rasa  Tan Sri tak terikat dengan sesiapa, Tan Sri bebas,"
Saya semakin mengagumi pandangan waras seorang penarik beca  yang tidak terbawa oleh sentimen.

Selama dua hari di Penang saya menggunakan penarik beca ini  untuk  membawa saya melalui lorong-lorong kecil di pulau ini yang telah banyak bertukar rupa menjadi lorong-lorong yang romantik,cantik, bersih dan artistik dengan studio 3D di sana- sini yang menampakan kerativiti seni dan inovasi kerajaan negeri untuk menjadikannya lebih menarik disamping mendatangkan rezeki kepada pengusaha.

Dinding-dinding kedai lama di sani- sini dihiasi  dengan lukisan dan rekaan bentuk logam yang  menarik untuk kamera para pelancong.

Hari kedua setelah mendapat  upah kecil daripada saya , Pak Tam datang dengan pakaian lebih kemas dan bersih,bercermin mata hitam yang menambahkan hitamnya dan bercincin batu hitam besar.

"Hebat Pak Din hari ini,"kata saya dan dia tersenyum lebar. Saya tanya Pak Din  dah khawin ke?.Dia bercerita  tak pernah khawin kerana tidak  pernah mempunyai perkerjaan tetap sejak muda, dari pemandu  lori, menjadi pengawal dan membuat   berbagai-bagai kerja lain lagi sehinggalah berakhir sebagai penarik beca.

Saya katakan padanya" banyak orang tak kerja  tetap pun  tetapi khawin juga. yang betulnya hang ni kaki rumbu semasa muda sampai lupa nak khawin, betul tak?" Dia ketawa besar dan memberitahu bahwa 80% penarik beca tidak khawin,tidak mempunyai rumah tetap,tidur dibeca atau berkongsi bilek yang disewa bersama kawan-kawan.

Pak Din biasanya tidur di atas beca sahaja tapi jarang sekali sakit demam,tidak ada darah tinggi atau kencing manis. Pencarian cukup makan.Di belakang becanya saya lihat  tergantung berbagai-bagai bungkusan makanan yang diberi orang.

Dari penarik beca ini dan juga daripada seorang  pemandu teksi dari Lapangan Terbang  Pulau Penang ke hotel, saya mendapati banyak  cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menginjak hati rakyat dengan berbagai-bagai bantuan   yang mungkin tidak diketahui atau tidak dipedulikan  oleh orang-orang UMNO atau BN seperti bantuan tetap tahunan kepada pemandu-pemandu teksi,kepada nelayan-nelayan untuk tukar pukat enam bulan sekali,kepada ibu ibu  yang melahirkan anak dan berbagai-bagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerintahan Gerakan(BN) dulu.

Saya bimbang kerana caranya adalah lebih berkesan dari BRIM dan berlaku secara senyap tetapi meresap di hati rakyat biasa.

Ketika di  Lapangan Terbang  Pulau Pinang saya bertembong dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang,anggota Parlimen DAP "tergantung" , Lim Kit Siang dan keluarganya  yang hendak  menaiki Firefly bersama saya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lama saya tidak berjumpa dengannya.

Katanya kepada saya " Ini orang merbahaya, Najib makin kuat". Saya tertawa.Siapa saya?

"Kuatnya hanya dengan sokongan padu pemimpin-pemimpin  UMNO dan tidak di kalangan rakyat.Tetapi itulah caranya untuk memelihara perpaduan parti. Saudara lebih tahu" kata saya dan Kit Siang nampak  bersetuju kerana dia lebih maklum tentang rahsia menguasai perpaduan parti dengan caranya yang  dianggap sebagai dictatorial.

Asyik bercakap ,lupa saya hendak bergambar dengan pemimpin besar pembangkang itu  untuk disiarkan dalam blog saya yang  pastinya akan  menjadi bahan spekulasi media social  "Konspirasi Baru Zam Lim Kit Siang" setelah konspirasi dengan Tun Mahathir dan Tun Daim.

(Artikel ini TB siarkan penuh sebagai menghargai 'seorang sahabat penulis' . TB turut membetulkan secara minor ejaan dan tatabahasa dalam artikel ini tanpa mengubah maksud dan struktur ayat asal blogger Zamkata. Komen TB: Penulis sejati adalah penulis yang sedia "merakyatkan" jiwa raga dan kalbu hatinya di mana-mana jua situasi tanpa mengira darjat dan kedudukan insani.)





24 Disember 2015

puisi: HARI LAHIR

hari lahir
dedaun waktu
gugur persatu
helaian kalendar
dalam getar
semalam & mendatang

kami tonton
kehidupan layar
kasih sayang
dalam keluarga
makna pengorbanan
erti perjuangan

di layar perak
cinta silam
lima belas tahun
prasangka sengketa
bertaut memori
alam terbentang

hari lahir
ada terpisah
resah gelisah
ada pertemuan
tidak berkesudahan
dalam mimpi indah.



DR RAJIEE HADI.
USIM, NS,
.
23 Disember 2015.




22 Disember 2015

puisi: SENANDUNG HATI

Bukan tidak pernah
air mata ini gugur
tanpa temaram
larut karam
tidak bertepian

Bukan tidak pernah
malam berbalam
kelam suram
purnama menghilang
diselimuti kesepian

Bukan tidak pernah
adik datang
dalam tangisan
pohon simpati
sengsara menanti
rebah ke bumi

Bukan tidak pernah
kenangan mendatang
terdampar musnah
cinta pun bertasbih
pesisir memutih

Bukan tidak pernah
berpisah lama
pergi menjauh
jangan oh jangan
agar rindu ini
tidak berpanjangan!



DR RAJIEE HADI,
Putra Nilai,NS.
22 Disember 2015.




18 Disember 2015

puisi: SAHABATKU TAHAJUD

Sahabatku Tahajud
mengusik tidurku
tatkala usia ini
menikmati santun kehidupan

Sahabatku Tahajud
menghilangkan indah mimpi
duniawi fatamorgana
mengingati ukhrawi abadi

Sahabatku Tahajud
membisik gelisah
lelah penghadaman
dinihari belum kecundang

Sahabatku Tahajud
bangkit zikirullah
taubah khusuk solat
refleksi riwayat

Sahabatku Tahajud
salam syukur pada-Nya
mengasihi diri ini
menyedarkan lenaku,



DR RAJIEE HADI,
Usim Anggerik,
Bandar Baru Nilai NS.
18 Disember 2015.








09 Disember 2015

puisi; SANGKAR HATI


dia balu muda
khabarnya jelita ayu
persis segar bayu
aroma aura bersatu
menusuk kalbu
gemersik kecapi dinihari

dia balu muda
keremajaan diri
disulami rapi
tangis masa silam
bersimpuh empati
bertemali simpati

dia balu muda
dinikahi pucuk usia
pesakit kanser hati
yang tabah melayari
bertahun-tahun bahtera
empat cahaya mata

dia balu muda
meneruskan titian
hari demi hari
pencarian cinta
mendamba hakiki
seorang suami mithali

dia balu muda
melakari impian
menggodam memori
dilema penantian
antara persimpangan
pencarian acuan diri

dia balu muda
kini terkepung
dalam sangkar hati
rintih kalbu suara
apakah yang dicari
sesingkat kehidupan ini
selain dalam reda-Nya.



DR RAJIEE HADI
Seri Mahkota, BBM,Bangi,
9 Disember 2015.













\










21 November 2015

NORUMAZA HASHIM

NORUMAZA HASHIM (Puan)  bukanlah seleberiti ataupun tokoh ternama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang mahu TB ketengahkan.Beliau hanyalah seorang insan biasa.Tanpa sebarang prejudis, TB hanya mahu mencatatkan mengenai sebuah kejayaan yang berteraskan, sekiranya ada usaha maka di situ ada jalan kejayaan.

Norumaza dilahirkan di Sekinchan, Selangor Darul Ehsan pada tahun 1974.Beliau baharu menyambut hari kelahirannya pada 15 November lalu. Selamat hari lahir! Dilahirkan daripada sebuah keluarga besar yang berpendapatan sederhana,Bapanya seorang Pekerja Am di sebuah sekolah kerajaan.lbunya suri rumah sepenuh masa. Anak ketujuh daripada sepuluh orang adik beradik. Sejak dari kecil, beliau banyak belajar berdikari dan 1994 terus berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Akademi Pengajian lslam, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan pembiayaan sendiri. Beliau berjaya meraih Sarjana Muda Pengajian lslam bidang Usuluddin dengan kepujian pada tahun 1998.

Demi mengenangkan keluarganya yang susah; apatah lagi pada tahun akhir di UM bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. beliau menempuh duka pilu yang mendalam akibat tragedi bapanya.Dengan tabah dan kental semangat, anak yatim ini berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan jayanya (TB: semasa ini di manakah Yapeim, Baitulmal, Pusat Zakat?)

Kerana kelangsungan kehidupan, pada tahun 1999 Norumaza tanpa membuang masa, tanpa memilih kerjaya, tanpa bimbang berjauhan, beliau sanggup menerima tawaran sebagai 'pensyarah' di sebuah kolej swasta di Kota Baharu, Kelantan Darul Naim.Walaupun pekerjaannya ini tidak boleh menjamin masa hadapannya, namun beliau berjaya bertahan sehingga lima tahun (2003) dan menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di kolej tersebut.

Di kolej tempatnya bekerja di Kota Baharu, beliau terpaksa menghadapi cabaran lantaran persekitaran tempatnya bekerja termasuk rakan-rakan sejawatnya kebanyakannya mendapat pendidikan sekular total.Dan di antara mereka termasuklah rakan-rakan rumah sewanya yang pernah belajar di USA dan Eropah dan telah terdedah dengan pengaruh Barat yang agak bebas. Mujurlah beliau dapat menyesuaikan diri. Sudah ditakdirkan kolej tempatnya bekerja menerima musibah kebakaran teruk hingga terpaksa diberhentikan operasinya.

Tanpa membazir masa dan tanpa memilih pekerjaan, beliau memohon kursus Diploma Pendidikan lkhtisas Ambilan Ke-2 Sekolah Rendah (KPLI- Kursus` Perguruan Lepasan ljazah) pada tahun 2004. Ketika itu Bahagian Pendidikan Guru (BPG) memberi ruang kepada pemegang ijazah untuk mengikuti kursus perguruan sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia.Beliau tanpa konflik diri  namun memiliki semangat waja untuk berbakti kepada anak bangsa di peringkat sekolah rendah walaupun pernah bergelar 'pensyarah' .Dengan izin Allah pada bulan Jun 2004 beliau diterima berkursus di Maktab Perguruan lslam (kini IPGM kampus Pendidikan lslam),Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan selama satu tahun. Beliau berjaya menamatkan KPLI pada bulan Jun 2005.Kemudian semasa konvokesyen Diploma Pendidikan KPLI di MPI 2005 beliau memperoleh keputusan' Cemerlang'. Dan tidak lama selepas itu, beliau diarahkan bertugas di Sarawak. Walau bagaimanapun takdir telah menentukan yang mana beliau tidak ke Sarawak tetapi berjaya berkhidmat dalam Negeri Selangor negeri kelahirannya di sebuah sekolah dalam daerah Hulu Langat di sekitar Bangi.

Sepanjang perkhidmatannya sehingga kini (2005- ) beliau telah berjaya naik pangkat gred 44 dan memegang pelbagai perfolio sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Walaupun kesibukan dan telah dikurniakan anak, beliau komited dengan tugas persekolahan tanpa mengabaikan rumah tangga.Justeru demi menyambut baik seruan KPM dengan Budaya llmu beliau telah mendaftarkan  pengajian sarjananya (master) di UKM  pada tahun 2009 secara separuh masa dengan biaya sendiri.

Banyak dugaan terpaksa dihadapinya. Selain pernah menghadapi kemalangan jalan raya semasa memandu kereta ke UKM, cuti sakit, cuti bersalin, beban kewangan pengajian dan sebagainya beliau masih gigih mahu menamatkan pengajian. Siapakah 'di belakang tabir' yang menjadi pendorong kuat kepada kejayaan Norumaza? ; biarlah, hanya dia yang mengetahui jawapannya. Kepada penyelianya Prof Datin.Dr Amla Salleh (balu Allahyarham Datuk Mahadir Khir bekas timbalan Menteri Pendidikan), jasanya tidak mudah dilupakan.Berbanyak-banyak terima kasih Norumaza tujukan ternasuk rakan-rakan sejawat dan semua ahli keluarga kerana dorongan positif yang telah dicurahkan.

Kini Ustazah Norumaza Hashim telah berjaya meraih gelar Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang Bimbingan Kaunseling Fakulti Pendidikan UKM pada konvokesyen kali ke-43 di UKM, Bangi 2015.
Semoga hari-hari esok dan mendatang akan terus menyinari bersama cahaya mata baharu lagi, insya-Allah dengan selamat,sejahtera ,sihat wal'afiat dan dilindungi Allah jua. Adakah rezeki beliau akan dianugerahkan pada kali ini (kerana tidak pernah memperoleh biasiswa!) Hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD) secara sepenuh masa, biarlah masa yang akan menentukan! Tahniah.(TB)




15 November 2015

YAPEIM

SEBENARNYA TB telah menulis dalam blog ini apa kaitan hidup TB dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi lslam (Yapeim) pada 20 Mei 2015. TB telah meramalkan ada sesuatu yang tidak kena, tidak betul dengan Yapeim.

Akhirnya baharu sehari dua ini NOW sebuah pertubuhan pemikir dan penyelidik yang diketuai anak muda generasi kini sdr Akmal telah 'berjaya' membongkar apa yang dikatakan 'penyelewengan dana wang dalam Yapeiem.lni suatu permulaan sejarah.teruskan bahawa kes ini ke muka pengadilan.Dakwa mereka yang terbabit menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

Ya, hancur luluh hati TB mengenangkan Yapeim ini. Sebenarnya kita wajar selidik juga dana wang di baitulmal yang banyak di setiap jabatan agama/majlis agama negeri, yayasan-yayasan kebajikan, pusat-pusat zakat yang mana wang ini 'tidak diaudit oleh auditor bertauliah'.

Alangkah hancur luluh semua umat lslam Malaysia termasuk TB yang setiap bulan dahulu sebagai penjawat awam memotong gaji bulanan bertahun-tahun dahulu; begini kesudahan akhirnya atas tagline atau label lSLAM. Apakah hukuman yang sewajarnya kepada pengkhianat ini?

01 November 2015

puisi: PERISTIWA

Sebelum berijab
engkau paparkan
jejak berliku
ayat-ayat sengsara
simpatis empatis
perjalanan hidup
mendamba cahaya
sehingga kuhafal
bait-bait hingga kini

Sebelum berijab
doamu seringkali
seorang suami
zuriat kasih sayang
pengikat amanah
jambatan duniawi
ke sana kelak ukhrawi

Selepas berijab
apa lagi dikejari
whasap astro ICT
temanmu sejati
tidak peduli lagi
emosi harga diri
alpa sejarah hayat
jerebu kelabu
mengepung kalbu

Sesungguhnya begini
dalam kemiskinan
ada kebesaran
dalam kekayaan
ada kealpaan
dalam kegembiraan
ada kelekaan
dalam kemarahan
ada peringatan.


RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, BBM.
1 November 2015.