Salam Perjuangan

29 Januari 2016

puisi: BERDERAI PEDIH

 BERDERAI PEDIH



Suatu petang
di sebuah pasar raya
ayahmu berkenalan
dengan seorang pesara TNB
katanya dia 78 tahun
sihat walafiat
isterinya 61 tahun
jalan bertongkat
pesara guru sekolah rendah

Dia amat berbangga
anak gadisnya lepasan UUM
berjaya kini menjadi guru
seperti ibunya jua
mengajar di sekolah menengah
dalam negeri Selangor

Katanya  dahulu anaknya
pelajar terbaik STPM
di SMKDMS Nilai
tempat ayahmu mengajar
suatu ketika waktu

Dan semena-mena teringat ayah
akan syaqira yang pintar
lepasan perakaunan USIM
yang tidak mahu menjawat guru
tiba-tiba air mata ayah
berderai pedih!


DR RAJIEE HADI,

BANDAR BARU NILAI,NSDK.
27 Julai 2015.

27 Januari 2016

SRC RM42 JUTA BIKIN CERITA LAWAKKAH?

Sementara kita terus ketawa dengan lawak jenaka Peguam Negara sejak pagi Selasa dalam usahanya membersihkan nama Najib Razak berkaitan derma RM2,600 juta, penjelasan tentang dana RM42 juta daripada SRC International juga tidak kurang membuatkan kita terbahak-bahak jadinya.

Najib dibersihkan daripada isu berkaitan derma RM2,600 juta bukan saja kerana  tiada apa-apa imbuhan yang diminta, bahkan juga kerana sejumlah RM2,030 juta lebihannya telah dipulangkan semula kepada keluarga Diraja Arab Saudi yang dikenal pasti sebagai pendermanya.

Berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International pula, penjelasan Peguam Negara, Apandi Ali ialah:-

- tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan  Perdana Menteri mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat sebarang kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- tiada apa-ap keterangan yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, Perdana Menteri mempercayai  segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke akaun-akaun beliau sebelum itu.

Dalam bahasa yang mudah, ayat Apandi itu bermaksud bahawa Najib tidak mengetahui mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta itu, jauh sekali memberi kebenaran wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Maka dengan itu, Najib dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berkaitan wang RM42 juta itu.

Tidakkah ini satu lagi jenaka yang boleh membuatkan kita ketawa dengannya?

Lebih membuatkan kita ketawa jika persoalan-persoalan di bawah ini terus tergantung tanpa jawapan.

Pertama, siapakah memasukkan wang tersebut dan bagaimana mereka memperolehi nombor akaun bank peribadi Najib?

Kedua, logikkah jika seseorang memasukkan wang sebesar RM42 juta jumlahnya,  tetapi tidak memberitahu atau memaklumkan langsung mengenainya kepada penerima wang tersebut?

Ketiga, adakah sebagai Perdana Menteri, Najib betul-betul tidak pernah memberikan nombor akaun bank peribadinya kepada sesiapa?

Keempat, jika tidak pernah, bagaimana nombor akaun bank itu boleh diperolehi oleh orang lain?

Kelima, adakah perkara biasa bagi Najib memberikan nombor akaun banknya sehingga ia bukan lagi rahsia dan kemudian sesiapa saja boleh memasukkan wang ke dalamnya?

Keenam, setelah mengetahui adanya dana RM42 juta dalam akaun peribadinya, apa yang Najib lakukan terhadap wang tersebut? 

Adakah wang itu sudah habis dibelanjakan atau masih dalam simpanan lagi?

Kenapa ia tidak dipulangkan semula kepada SRC International seperti yang dilakukannya dalam sebahagian daripada wang derma RM2,600 juta kepada keluarga Diraja Arab Saudi itu?

Dalam pada itu, persoalan yang tidak kurang misterinya ialah mengapa dua bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Farid Kamil dan Suboh Md Yassin melarikan diri ke luar negara sejak sekian lama?

Apa yang mereka takutkan? Adakah mereka mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu?

Adakah selepas kes ini ditutup, mereka akan terus berada di luar negara atau akan segera kembali ke dalam negara?

Sementara kita menunggu ada atau tidak jawapan kepada persoalan-persoalan ini, marilah kita terus ketawa kerana sebenarnya penjelasan Apandi Ali dalam membersihkan Najib semalam  adalah lawak jenaka paling "rare" sejak negara kita merdeka. ( sumber: shahbuddin.com. 27/01/2016).

26 Januari 2016

NAJIB YANG BAIK HATI....



 Tiada kesalahan dan pendakwaan yang akan diambil terhadap Perdana Menteri, Najib Razak setelah penyiasatan lebih enam bulan oleh SPRM berhubung wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International barangkali tidaklah begitu memeranjatkan kita semua.

Ini kerana keputusan itu pada umumnya sudah dijangka oleh sesiapa pun juga, cuma yang ingin ditunggu ialah bagaimana penolakan kes itu akan dilakukan oleh Peguam Negara.

Walaupun SPRM yang melakukan penyiasatan, tetapi sama ada pendakwaan hendak dilakukan atau sebaliknya, ia adalah kuasa Peguam Negara. Oleh kerana Apandi Ali dilantik secara mengejut menggantikan Gani Patail, penutup skripnya tidaklah begitu sukar untuk dijangka.

Tetapi yang lebih memeranjatkan ialah apabila Peguam Negara turut memaklumkan bahawa selain tiada kes yang boleh dikaitkan dengan Najib berkaitan wang tersebut, beliau  juga dimaklumkan sudah memulangkan kembali RM2,030 juta daripada RM2,600 juta yang diterimanya kepada keluarga penderma daripada Timur Tengah tersebut.

Kata Peguam Negara,  wang itu dipulangkan oleh Najib kepada penderma kerana ia tidak lagi diguna pakai.

Oh oh oh...baiknya hati Perdana Menteri kita ini. Oleh kerana tidak diguna pakai, wang derma itu dipulangkan kembali. Jumlahnya pula bukan seratus dua, tapi ribu-ribu juta.

Memang zuhud dan tidak gelap mata dengan dunia rupanya pemimpin kita ini. Mungkin Najib satu-satunya pemimpin yang pernah memulangkan kembali wang derma yang diterimanya dalam jumlah ribu-ribu juta nilainya.

Barangkali di dalam dunia juga hanya ada seorang manusia yang memiliki hati sesuci dan sebersih Najib ini. Sebelum Najib, rasanya tidak ada yang memiliki hati seperti itu dan diharapkan dengan contoh teladan yang ditunjukkan ini lebih ramai lagi yang akan menuruti jejak langkahnya itu, terutama isteri dan anak-anaknya.

Di sebalik Peguam Negara telah membersihkan Najib menjadi bersih sebersih-bersihnya umpama kain putih atau seperti bayi yang baru lahir, beliau juga menzahirkan bahawa Najib adalah pemimpin yang begitu mulia hatinya sehingga sanggup memulangkan kembali wang derma yang diterimanya.

Peguam Negara, Apandi Ali hari ini membersihkan nama Najib daripada sebarang kesalahan jenayah berkaitan penerimaan wang ke dalam akaun peribadinya itu atas alasan "tidak cukup bukti" untuk mengaitkannya dengan tiga kertas siasatan yang dihantar oleh SPRM itu.
Serentak dengan itu, Apandi juga mengarahkan SPRM menutup terus kes itu.

Tiadalah lagi apa-apa yang boleh dibangkitkan mengenai derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta itu walaupun hakikatnya SPRM telah menghantar tiga kertas siasatan mengenainya.

Dalam hal ini, biasanya orang yang menderma tidak mengharapkan lagi wang yang didermanya dikembalikan kerana selepas menderma, yang diharapkan selepas itu hanyalah pahala saja.

Apatah lagi digembar-gemburkan kononnya derma itu untuk memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ali Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan kerana ingin UMNO terus berkuasa di negara ini.

Ehhh...kenapa dipulangkan pula? Sudah tamatkah agenda memerangi keganasan, menegakkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, menentang DAP dan memperkukuh UMNO supaya terus berkuasa?

Walaupun tidak diminta, Najib rupa-rupanya dengan rela hati memulangkan wang besar itu semata-mata kerana ia tidak digunapakai lagi.

Perghhh...mulia dan suci murni sungguh hati Najib rupanya!

Ada sesiapa nak percaya?

Hehehe....Lawak betul dan sehingga pilihan raya 2018 nampaknya kita tidak perlu lagi menonton sebarang hiburan televisyen untuk ketawa dan menghiburkan hati. Lawak ini saja sudah memadai membuatkan kita ketawa sepanjang masa.(sumber disesuaikan daripada shahbuddin.blogspot.com 
26/01/2016).


24 Januari 2016

puisi: DI HADAPAN PULAU

Bertahun-tahun perjalanan
kusam curam berbalam
getar getir memutar
hanyir hambar menyambar
di sini dipacakkan pepohon sabar

Bertahun-tahun kembaraan
di sebatang jalan sunyi berdiri
ada kasturi dan kemboja
mewangi setanggi meruntun hati
di sini dipacakkan kalbu iman

Bertahun-tahun kemudi
di samudera tidak bertepian
riak gelombang di persimpangan
antara hidup dan kematian
semerbak harapan menuju destinasi

Bertahun-tahun di puncak hayat
bekalan masih tidak pasti
mahu dibawa pulang ke azali
sedangkan di hadapan pulau itu
kian menghampiri pangkalan
berlabuh, menemui Kekasih Abadi!


DR RAJIEE HADI
Lembah Kelang, SDE.
24 Januari 2016.





20 Januari 2016

puisi: JIKALAU

Ombak di laut berkocak
adalah hatiku berdetak
ombak di laut bergelombang
adalah hatiku bimbang

Kapal melebarkan sauh
dia semakin menjauh
dermaga sendirian sepi
pelabuhan tanpa penghuni

Pantai tidak memutih
kalbuku turut merintih
pepohon ru kian menghilang
ada kasih cinta terhalang

Laut terbentang pesona
nyaman tatap terpana
hadirnya madah gulana
bukan sengsara bukan merana

Jikalau semena-mena tsunami
memusnah impian berzaman
kita tidak lagi berpuisi
ketika menemui Yang Azali.



DR RAJIEE HADI,
Bayan Close, Bukit Mahkota, Bangi SDE.
20 Januari 2016.

05 Januari 2016

PENARIK BECA, MANTAN MENTERI & LIM KIT SIANG

Saya tidak berasa bangga jika diperkenalkan atau dikenali sebagai mantan menteri tetapi segar ceria apabila  seseorang mengenali saya sebagai wartawan,penulis buku atau blogger.

Kebanyakan orang tidak terus menegur saya kerana tidak pasti. Tetapi apabila saya tersenyum pada seseorang yang memerhatikan saya berkali-kali  maka dia akan bertanya "Ini Zainuddin Maidin Zamkata ke?",Ya kata saya dan jawapan yang selalu saya terima" Kami takut hendak menegur takut salah orang"

Saya telah bersara sebagai Menteri Penerangan lebih 7 tahun tetapi saya yakin  orang tidak lagi akan mengenali jikalau saya tidak terus  menghubungi mereka  menerusi  penulisan saya. Walaupun tidak lagi boleh menulis di Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia di bawah pemerintahan  Demokrasi ala Najib tetapi saya masih boleh bernafas  menerusi blog Zamkata

Saya tidak terkejut  jikalau dalam kalangan profesional,pegawai tinggi kerajaan ,orang koporat dan sebagainya  mengenali saya sebagai penulis tetapi saya terkejut, terharu dan berbangga apabila baru -baru ini seorang penarik beca di Pulau Pinang memberitahu dia mengikuti blog saya.

Namanya Din tetapi katanya orang panggilnya Pak Tam kerana dia hitam.Dia benar-benar hitam sehingga bila diambil gambarnya, saya tidak dapat mengenali wajahnya menyebabkan saya terpaksa mengulangi pengambilannya.

Ceritanya begini:Apabila saya keluar dari Hotel Bayview George Town  untuk menyewa sebuah beca yang kelihatan di hadapan hotel itu saya mendapati penariknya tidak ada.

Saya bertanya mana tuannya pada orang lain yang apabila melihat saya terus mendekati saya dan bertanya ini Maidin Zainuddin ke? Jawab saya bukan. "Ini Zainuddin Maidin" dan penarik beca yang tadinya tidak kelihatan muncul dari sebalik pokok besar dan berkata kepada kawannya  " Eh hang tak kenal ini  Zamkata."

Itu nama blog saya. Saya  bangga dan terus bertaya" Hang baca blog aku?. "Apabila rehat-rehat bacalah,"katanya bersahaja  dan saya tersedar betapa kesilapan penilaian saya terhadap kualiti manusia berasaskan kepada kerja mereka .

"Orang kata blog aku anti Najib?",kata saya kepadanya "Tak adalah Tan Sri, Saya tidak  rasa begitu, saya rasa  Tan Sri tak terikat dengan sesiapa, Tan Sri bebas,"
Saya semakin mengagumi pandangan waras seorang penarik beca  yang tidak terbawa oleh sentimen.

Selama dua hari di Penang saya menggunakan penarik beca ini  untuk  membawa saya melalui lorong-lorong kecil di pulau ini yang telah banyak bertukar rupa menjadi lorong-lorong yang romantik,cantik, bersih dan artistik dengan studio 3D di sana- sini yang menampakan kerativiti seni dan inovasi kerajaan negeri untuk menjadikannya lebih menarik disamping mendatangkan rezeki kepada pengusaha.

Dinding-dinding kedai lama di sani- sini dihiasi  dengan lukisan dan rekaan bentuk logam yang  menarik untuk kamera para pelancong.

Hari kedua setelah mendapat  upah kecil daripada saya , Pak Tam datang dengan pakaian lebih kemas dan bersih,bercermin mata hitam yang menambahkan hitamnya dan bercincin batu hitam besar.

"Hebat Pak Din hari ini,"kata saya dan dia tersenyum lebar. Saya tanya Pak Din  dah khawin ke?.Dia bercerita  tak pernah khawin kerana tidak  pernah mempunyai perkerjaan tetap sejak muda, dari pemandu  lori, menjadi pengawal dan membuat   berbagai-bagai kerja lain lagi sehinggalah berakhir sebagai penarik beca.

Saya katakan padanya" banyak orang tak kerja  tetap pun  tetapi khawin juga. yang betulnya hang ni kaki rumbu semasa muda sampai lupa nak khawin, betul tak?" Dia ketawa besar dan memberitahu bahwa 80% penarik beca tidak khawin,tidak mempunyai rumah tetap,tidur dibeca atau berkongsi bilek yang disewa bersama kawan-kawan.

Pak Din biasanya tidur di atas beca sahaja tapi jarang sekali sakit demam,tidak ada darah tinggi atau kencing manis. Pencarian cukup makan.Di belakang becanya saya lihat  tergantung berbagai-bagai bungkusan makanan yang diberi orang.

Dari penarik beca ini dan juga daripada seorang  pemandu teksi dari Lapangan Terbang  Pulau Penang ke hotel, saya mendapati banyak  cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menginjak hati rakyat dengan berbagai-bagai bantuan   yang mungkin tidak diketahui atau tidak dipedulikan  oleh orang-orang UMNO atau BN seperti bantuan tetap tahunan kepada pemandu-pemandu teksi,kepada nelayan-nelayan untuk tukar pukat enam bulan sekali,kepada ibu ibu  yang melahirkan anak dan berbagai-bagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerintahan Gerakan(BN) dulu.

Saya bimbang kerana caranya adalah lebih berkesan dari BRIM dan berlaku secara senyap tetapi meresap di hati rakyat biasa.

Ketika di  Lapangan Terbang  Pulau Pinang saya bertembong dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang,anggota Parlimen DAP "tergantung" , Lim Kit Siang dan keluarganya  yang hendak  menaiki Firefly bersama saya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lama saya tidak berjumpa dengannya.

Katanya kepada saya " Ini orang merbahaya, Najib makin kuat". Saya tertawa.Siapa saya?

"Kuatnya hanya dengan sokongan padu pemimpin-pemimpin  UMNO dan tidak di kalangan rakyat.Tetapi itulah caranya untuk memelihara perpaduan parti. Saudara lebih tahu" kata saya dan Kit Siang nampak  bersetuju kerana dia lebih maklum tentang rahsia menguasai perpaduan parti dengan caranya yang  dianggap sebagai dictatorial.

Asyik bercakap ,lupa saya hendak bergambar dengan pemimpin besar pembangkang itu  untuk disiarkan dalam blog saya yang  pastinya akan  menjadi bahan spekulasi media social  "Konspirasi Baru Zam Lim Kit Siang" setelah konspirasi dengan Tun Mahathir dan Tun Daim.

(Artikel ini TB siarkan penuh sebagai menghargai 'seorang sahabat penulis' . TB turut membetulkan secara minor ejaan dan tatabahasa dalam artikel ini tanpa mengubah maksud dan struktur ayat asal blogger Zamkata. Komen TB: Penulis sejati adalah penulis yang sedia "merakyatkan" jiwa raga dan kalbu hatinya di mana-mana jua situasi tanpa mengira darjat dan kedudukan insani.)





24 Disember 2015

puisi: HARI LAHIR

hari lahir
dedaun waktu
gugur persatu
helaian kalendar
dalam getar
semalam & mendatang

kami tonton
kehidupan layar
kasih sayang
dalam keluarga
makna pengorbanan
erti perjuangan

di layar perak
cinta silam
lima belas tahun
prasangka sengketa
bertaut memori
alam terbentang

hari lahir
ada terpisah
resah gelisah
ada pertemuan
tidak berkesudahan
dalam mimpi indah.



DR RAJIEE HADI.
USIM, NS,
.
23 Disember 2015.




22 Disember 2015

puisi: SENANDUNG HATI

Bukan tidak pernah
air mata ini gugur
tanpa temaram
larut karam
tidak bertepian

Bukan tidak pernah
malam berbalam
kelam suram
purnama menghilang
diselimuti kesepian

Bukan tidak pernah
adik datang
dalam tangisan
pohon simpati
sengsara menanti
rebah ke bumi

Bukan tidak pernah
kenangan mendatang
terdampar musnah
cinta pun bertasbih
pesisir memutih

Bukan tidak pernah
berpisah lama
pergi menjauh
jangan oh jangan
agar rindu ini
tidak berpanjangan!



DR RAJIEE HADI,
Putra Nilai,NS.
22 Disember 2015.




18 Disember 2015

puisi: SAHABATKU TAHAJUD

Sahabatku Tahajud
mengusik tidurku
tatkala usia ini
menikmati santun kehidupan

Sahabatku Tahajud
menghilangkan indah mimpi
duniawi fatamorgana
mengingati ukhrawi abadi

Sahabatku Tahajud
membisik gelisah
lelah penghadaman
dinihari belum kecundang

Sahabatku Tahajud
bangkit zikirullah
taubah khusuk solat
refleksi riwayat

Sahabatku Tahajud
salam syukur pada-Nya
mengasihi diri ini
menyedarkan lenaku,



DR RAJIEE HADI,
Usim Anggerik,
Bandar Baru Nilai NS.
18 Disember 2015.








09 Disember 2015

puisi; SANGKAR HATI


dia balu muda
khabarnya jelita ayu
persis segar bayu
aroma aura bersatu
menusuk kalbu
gemersik kecapi dinihari

dia balu muda
keremajaan diri
disulami rapi
tangis masa silam
bersimpuh empati
bertemali simpati

dia balu muda
dinikahi pucuk usia
pesakit kanser hati
yang tabah melayari
bertahun-tahun bahtera
empat cahaya mata

dia balu muda
meneruskan titian
hari demi hari
pencarian cinta
mendamba hakiki
seorang suami mithali

dia balu muda
melakari impian
menggodam memori
dilema penantian
antara persimpangan
pencarian acuan diri

dia balu muda
kini terkepung
dalam sangkar hati
rintih kalbu suara
apakah yang dicari
sesingkat kehidupan ini
selain dalam reda-Nya.



DR RAJIEE HADI
Seri Mahkota, BBM,Bangi,
9 Disember 2015.













\










21 November 2015

NORUMAZA HASHIM

NORUMAZA HASHIM (Puan)  bukanlah seleberiti ataupun tokoh ternama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang mahu TB ketengahkan.Beliau hanyalah seorang insan biasa.Tanpa sebarang prejudis, TB hanya mahu mencatatkan mengenai sebuah kejayaan yang berteraskan, sekiranya ada usaha maka di situ ada jalan kejayaan.

Norumaza dilahirkan di Sekinchan, Selangor Darul Ehsan pada tahun 1974.Beliau baharu menyambut hari kelahirannya pada 15 November lalu. Selamat hari lahir! Dilahirkan daripada sebuah keluarga besar yang berpendapatan sederhana,Bapanya seorang Pekerja Am di sebuah sekolah kerajaan.lbunya suri rumah sepenuh masa. Anak ketujuh daripada sepuluh orang adik beradik. Sejak dari kecil, beliau banyak belajar berdikari dan 1994 terus berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di Akademi Pengajian lslam, di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan pembiayaan sendiri. Beliau berjaya meraih Sarjana Muda Pengajian lslam bidang Usuluddin dengan kepujian pada tahun 1998.

Demi mengenangkan keluarganya yang susah; apatah lagi pada tahun akhir di UM bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. beliau menempuh duka pilu yang mendalam akibat tragedi bapanya.Dengan tabah dan kental semangat, anak yatim ini berjaya menamatkan pengajian sarjana muda dengan jayanya (TB: semasa ini di manakah Yapeim, Baitulmal, Pusat Zakat?)

Kerana kelangsungan kehidupan, pada tahun 1999 Norumaza tanpa membuang masa, tanpa memilih kerjaya, tanpa bimbang berjauhan, beliau sanggup menerima tawaran sebagai 'pensyarah' di sebuah kolej swasta di Kota Baharu, Kelantan Darul Naim.Walaupun pekerjaannya ini tidak boleh menjamin masa hadapannya, namun beliau berjaya bertahan sehingga lima tahun (2003) dan menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar di kolej tersebut.

Di kolej tempatnya bekerja di Kota Baharu, beliau terpaksa menghadapi cabaran lantaran persekitaran tempatnya bekerja termasuk rakan-rakan sejawatnya kebanyakannya mendapat pendidikan sekular total.Dan di antara mereka termasuklah rakan-rakan rumah sewanya yang pernah belajar di USA dan Eropah dan telah terdedah dengan pengaruh Barat yang agak bebas. Mujurlah beliau dapat menyesuaikan diri. Sudah ditakdirkan kolej tempatnya bekerja menerima musibah kebakaran teruk hingga terpaksa diberhentikan operasinya.

Tanpa membazir masa dan tanpa memilih pekerjaan, beliau memohon kursus Diploma Pendidikan lkhtisas Ambilan Ke-2 Sekolah Rendah (KPLI- Kursus` Perguruan Lepasan ljazah) pada tahun 2004. Ketika itu Bahagian Pendidikan Guru (BPG) memberi ruang kepada pemegang ijazah untuk mengikuti kursus perguruan sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia.Beliau tanpa konflik diri  namun memiliki semangat waja untuk berbakti kepada anak bangsa di peringkat sekolah rendah walaupun pernah bergelar 'pensyarah' .Dengan izin Allah pada bulan Jun 2004 beliau diterima berkursus di Maktab Perguruan lslam (kini IPGM kampus Pendidikan lslam),Bandar Baru Bangi,Selangor Darul Ehsan selama satu tahun. Beliau berjaya menamatkan KPLI pada bulan Jun 2005.Kemudian semasa konvokesyen Diploma Pendidikan KPLI di MPI 2005 beliau memperoleh keputusan' Cemerlang'. Dan tidak lama selepas itu, beliau diarahkan bertugas di Sarawak. Walau bagaimanapun takdir telah menentukan yang mana beliau tidak ke Sarawak tetapi berjaya berkhidmat dalam Negeri Selangor negeri kelahirannya di sebuah sekolah dalam daerah Hulu Langat di sekitar Bangi.

Sepanjang perkhidmatannya sehingga kini (2005- ) beliau telah berjaya naik pangkat gred 44 dan memegang pelbagai perfolio sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Walaupun kesibukan dan telah dikurniakan anak, beliau komited dengan tugas persekolahan tanpa mengabaikan rumah tangga.Justeru demi menyambut baik seruan KPM dengan Budaya llmu beliau telah mendaftarkan  pengajian sarjananya (master) di UKM  pada tahun 2009 secara separuh masa dengan biaya sendiri.

Banyak dugaan terpaksa dihadapinya. Selain pernah menghadapi kemalangan jalan raya semasa memandu kereta ke UKM, cuti sakit, cuti bersalin, beban kewangan pengajian dan sebagainya beliau masih gigih mahu menamatkan pengajian. Siapakah 'di belakang tabir' yang menjadi pendorong kuat kepada kejayaan Norumaza? ; biarlah, hanya dia yang mengetahui jawapannya. Kepada penyelianya Prof Datin.Dr Amla Salleh (balu Allahyarham Datuk Mahadir Khir bekas timbalan Menteri Pendidikan), jasanya tidak mudah dilupakan.Berbanyak-banyak terima kasih Norumaza tujukan ternasuk rakan-rakan sejawat dan semua ahli keluarga kerana dorongan positif yang telah dicurahkan.

Kini Ustazah Norumaza Hashim telah berjaya meraih gelar Sarjana Pendidikan (M.Ed.) dalam bidang Bimbingan Kaunseling Fakulti Pendidikan UKM pada konvokesyen kali ke-43 di UKM, Bangi 2015.
Semoga hari-hari esok dan mendatang akan terus menyinari bersama cahaya mata baharu lagi, insya-Allah dengan selamat,sejahtera ,sihat wal'afiat dan dilindungi Allah jua. Adakah rezeki beliau akan dianugerahkan pada kali ini (kerana tidak pernah memperoleh biasiswa!) Hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran (PhD) secara sepenuh masa, biarlah masa yang akan menentukan! Tahniah.(TB)




15 November 2015

YAPEIM

SEBENARNYA TB telah menulis dalam blog ini apa kaitan hidup TB dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi lslam (Yapeim) pada 20 Mei 2015. TB telah meramalkan ada sesuatu yang tidak kena, tidak betul dengan Yapeim.

Akhirnya baharu sehari dua ini NOW sebuah pertubuhan pemikir dan penyelidik yang diketuai anak muda generasi kini sdr Akmal telah 'berjaya' membongkar apa yang dikatakan 'penyelewengan dana wang dalam Yapeiem.lni suatu permulaan sejarah.teruskan bahawa kes ini ke muka pengadilan.Dakwa mereka yang terbabit menyalahgunakan kuasa dan sebagainya.

Ya, hancur luluh hati TB mengenangkan Yapeim ini. Sebenarnya kita wajar selidik juga dana wang di baitulmal yang banyak di setiap jabatan agama/majlis agama negeri, yayasan-yayasan kebajikan, pusat-pusat zakat yang mana wang ini 'tidak diaudit oleh auditor bertauliah'.

Alangkah hancur luluh semua umat lslam Malaysia termasuk TB yang setiap bulan dahulu sebagai penjawat awam memotong gaji bulanan bertahun-tahun dahulu; begini kesudahan akhirnya atas tagline atau label lSLAM. Apakah hukuman yang sewajarnya kepada pengkhianat ini?

01 November 2015

puisi: PERISTIWA

Sebelum berijab
engkau paparkan
jejak berliku
ayat-ayat sengsara
simpatis empatis
perjalanan hidup
mendamba cahaya
sehingga kuhafal
bait-bait hingga kini

Sebelum berijab
doamu seringkali
seorang suami
zuriat kasih sayang
pengikat amanah
jambatan duniawi
ke sana kelak ukhrawi

Selepas berijab
apa lagi dikejari
whasap astro ICT
temanmu sejati
tidak peduli lagi
emosi harga diri
alpa sejarah hayat
jerebu kelabu
mengepung kalbu

Sesungguhnya begini
dalam kemiskinan
ada kebesaran
dalam kekayaan
ada kealpaan
dalam kegembiraan
ada kelekaan
dalam kemarahan
ada peringatan.


RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, BBM.
1 November 2015.

04 Oktober 2015

KOON YEW YIN : JUTAWAN PEMURAH

KAMI tidak saling mengenali. TB sendiri tidak tahu apakah fahaman agama atau politik Koon Yew Yin seorang jutawan yang sederhana tetapi tidak sekaya Robert Kuok atau Ananda Krisnan ataupun Vincent Tan. Pada kebiasaannya ahli perniagaan yang mula 'galak' dan mula mengumpul aset dan wang melangkaui jutaan ringgit sudah memakai gelar sama ada Tan Sri, Datuk Seri, Datuk, atau Dato'. Paling minimum pun memakai gelaran 'ustaz' di pangkal nama. lihatlah para pedagang produk herba tempatan yang berlumba-lumba dengan gelaran. Apa ada pada gelaran? Tentulah masing-masing ada kemahuan yang tersirat di sebaliknya. terserahlah.Namun ini berbeza dengan Koon Yew Yin, 88 tahun yang mula menceburi diri di alam perniagaan sejak di peringkat asas dan meningkat dari satu tingkat ke satu tingkat dengan berbekalkan azam semangat, berjimat cermat, punya perancangan tajam dan merendah diri serta suka menderma. lnilah yang menarik hati TB. TB tidak mahu mengulas panjang.Semoga artikel di bawah (The Malaysian lnsider,3 Oktober 2015) akan menjadi bahan renungan kita bersama. Berikut TB kutip tulisan tersebut tanpa mengubah teks asal. Terima kasihkepada TMI dan penulis asalnya:





Pada 2009, Koon Yew Yin menawarkan untuk menderma RM30 juta kepada Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) untuk membantu membina asrama di kampus Kampar. Tawaran tersebut ditolak serta-merta pentadbiran universiti tersebut, seingatnya.

Beliau berusia 76 tahun pada ketika itu, berjaya dan berduit dan memutuskan menggunakan sebahagian besar kekayaannya untuk membantu yang miskin.
Apabila tawarannya ditolak, Koon melabur RM30 juta di pasaran saham. Enam tahun kemudian beliau kembali dengan tawaran lebih besar – RM50 juta untuk dana membina asrama di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang.


Derma sebesar itu menghairankan, tetapi itulah yang diinginkan Koon, 82, pengasas syarikat pembina Mudajaya Sdn Bhd (kini IJM Corporation) dan Gamuda Sdn Bhd.
Menetap di Ipoh kini, dan mengajar kepada orang lain bagaimana untuk menjadi kaya supaya mereka juga dapat membantu golongan miskin dengan kekayaan yang diperolehi.
Dalam satu temuramah emel bersama The Malaysian Insider, warga emas itu berkata beliau cenderung kepada kerja-kerja kebajikan disebabkan zaman kanak-kanaknya yang sukar.
"Saya mempunyai 11 adik-beradik dan sering memerlukan barang kerana saya anak lelaki. Sebab itulah saya ingin membantu orang miskin. Selain derma RM50 juta saya kepada kerajaan Pulau Pinang untuk membina asrama pelajar, saya ada membiayai lebih 300 biasiswa kepada pelajar miskin supaya mereka dapat melengkapkan pengajian tinggi," katanya.

Kekayaan adalah untuk membantu

Bapanya memiliki kedai keranda di Kuala Lumpur, dan Koon lulus pengajian dengan diploma kejuruteraan sivil daripada Kolej Teknikal (kini Universiti Teknologi Malaysia) pada 1957 di bawah biasiswa Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau kemudiannya berkelayakan sebagai Chartered Civil Engineer dengan pembelajaran sendiri pada 1962, sebelum memulakan kerjaya korporat yang membawanya kepada mengasaskan syarikat pembinaan terbesar di Malaysia – IJM dan Gamuda.

Beliau mengasaskan kedua-dua syarikat dengan 2 rakan kerja pada 1967, sebelum Mudajaya bergabung dengan IGB dan Jurutama untuk membentuk IJM Corporation pada 1980.
Pada 1975, beliau menjual saham pemilikan beliau di Gamuda.

Namun di pasaran sahamlah di mana Koon, 32 tahun lalu, mula mengumpul lebih banyak lagi aset dan kekayaan."Pada 1983 saya mempunyai sakit jantung yang serius. Sebelum pembedahan jantung saya di London, saya memberi semua aset saya kepada isteri dan anak-anak. Selepas pembedahan saya, saya mula belajar bagaimana untuk membuat wang dari pasaran saham," katanya.
Pada masa itu beliau adalah pengarah eksekutif di Mudajaya/IJM tetapi melepaskan jawatannya dan melabur masa dan wangnya dalam saham.

Beliau bermula dengan RM200,000 untuk digunakan dan semenjak itu seringkali untung berjuta.
Koon berkata, cara beliau menguasai pasaran adalah dengan menjadi 'pelabur contrarian' - seseorang yang membeli semasa semua sedang menjual dan menjual semasa semua sedang membeli.
Dan ini ilmu yang beliau ingin berikan kepada orang ramai, kerana beliau sering menulis di blognya tentang tips pelaburan.
"Selepas membaca beberapa buku tentang pelaburan daripada guru terkenal seperti  Benjamin Graham, Warren Buffet, Peter Lynch serta pengalaman 32 tahun saya, saya ingin berkongsi pengetahuan saya dengan mereka yang berminat." katanya."Saya percaya mengajar orang lain bagaimana untuk membuat duit adalah seperti mengajar seseorang bagaimana untuk memancing berbanding memberi mereka ikan," tambahnya.

Harapannya adalah sama tidak kiralah sesiapa yang membantu, sama ada dengan berkongsi tips pelaburan atau dengan wang – mereka juga akan membantu yang miskin apabila mempunyai duit.
Ini juga sama dengan mereka yang memanfaatkan tips pelaburan beliau, lebih 300 pelajar menerima biasiswanya, dan juga kerajaan negeri Pulau Pinang kerana menerima ferma RM50 juta kepada hostel USM.

Mahukan negara lebih baik

Koon bukan sahaja aktif membuat duit dan memberi derma, beliau juga sering menulis tentang isu nasional."Pada 1970 apabila polisi ekonomi baharu diperkenalkan, KDNK per kapita Singapura, Taiwan dan Korea Selatan sama dengan kita. Mereka menjadi negara maju walaupun tidak mempunyai sumber semula jadi seperti kita," kata penyumbang artikel kepada The Malaysian Insider itu."Kita masih belum menjadi negara maju kerana pentadbiran buruk dan rasuah kerajaan BN (Barisan Nasional). Saya akan terus menulis untuk membangkitkan keburukan tentang kerajaan sehingga pengundi akan mengundi keluar BN dari Putrajaya," tambahnya.

Di antara ketidakpuashatiannya dengan kerajaan pemerintah hari ini juga terserlah dalam jawapan balasnya kepada penolakan tawaran RM30 juta derma kepada Utar pada 2009."Pemimpin MCA yang mengawal Utar memiliki semua tanah di luar kampus universiti, menolak tawaran saya kerana tidak mahu saya rosakkan perniagaan lumayan hartanah pembangunan mereka," katanya.
Koon percaya DAP sedang mentadbir Pulau Pinang "dengan baik" dan ada sebabnya mengapa beliau memilih untuk menderma RM50 juta kepada kerajaan negeri itu.Derma terkini beliau untuk membina asrama boleh menempatkan 2,200 pelajar. Pada masa ini USM hanya boleh menawarkan kemudahan asrama kepada pelajar tahun pertama.

'Anak-anak tak perlukan wang saya'

Koon berkata tidak berniat untuk menyimpan kekayaan peribadinya juga.
"Saya sudah menulis dalam wasiat saya, selepas pemergian saya, semua aset yang tinggal akan didermakan kepada yang miskin untuk membuatkan mereka gembira," katanya.
Koon percaya beliau memberi yang terbaik kepada anak-anaknya dan mereka tidak memerlukan wangnya."Saya memberikan anak-anak saya pendidikan terbaik yang boleh dibeli dan mereka dapat hidup senang tanpa wang saya," katanya.

"Saya ingin membantu pelajar miskin untuk melengkapkan pengajian tinggi mereka kerana saya percaya dengan pendidikan yang baik, mereka boleh mendapat pendapatan cukup untuk keluarga mereka sendiri dan orang lain," katanya.Beliau juga menegaskan, mereka yang menerima biasiswanya tidak perlu membayar semula, tetapi perlu mendedikasikan diri mereka untuk membantu orang miskin apabila sudah mempunyai wang.

"Saya percaya ada antara mereka yang akan meneruskan kebajikan selepas pemergian saya jika mereka amalkan sistem atau falsafah yang sama, akan ada lebih banyak lagi pekerja kebajikan,"
katanya.Banyak kebahagiannya dalam membantu, kata jutawan itu, kerana ia "mewujudkan" kebahagiaan."Orang ramai perlu sedar tujuan utama kita adalah kebahagiaan. Mereka akan mendapat kebahagiaan jika mereka boleh wujudkannya. Jika mereka beri sebahagian wang mereka untuk membantu yang miskin yang akan gembira, maka mereka juga akan gembira," katanya. –(sumber: TMI 03/10/ 2015.

30 September 2015

NAJIB

TB sekadar mengutip teks sepenuhnya daripada blog chedet.cc tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia. Segala tulisan,catatan,komen,judul yang sama dan seumpamanya adalah pendapat peribadi Y.Berbahagia Tun Mahathir dan tidak ada kena mengena dengan blogger Tiub Bocor(TB).TB siarkan agar tulisan tersebut menjadi banding beza dan renungan kita/pembaca budiman bersama. Berikut adalah tulisan tersebut:


1. Saya telah bekerja keras untuk menjadikan Najib Perdana Menteri Malaysia.
2. Tetapi sekarang saya mahu dia disingkirkan, meletak jawatan daripada menjadi Perdana Menteri.
3. Ia bukan hal peribadi.
4. Ia adalah kerana dia telah gagal teruk sebagai Perdana Menteri.
5. Daripada awal lagi saya perhatikan perkara-perkara salah yang dia lakukan.
6. Kita telah merdeka semenjak 1957. Kita sepatutnya dapat mentadbir negara kita sendiri. Sesungguhnya kita telah pun berbuat demikian selama beberapa dekad sebelum Najib, dan kita telah melakukannya dengan cemerlang.
7. Tetapi Najib melantik beberapa pegawai British sebagai penasihatnya.
8. Najib telah melantik ramai perunding asing untuk menasihatinya bagaimana mentadbir negara.
9. Orang-orang ini melibatkan kos berbilion-bilion ringgit tetapi nasihat mereka secara amnya tidak baik untuk negara ini. Mereka tidak tahu apa-apa tentang politik, ekonomi dan sensitivi Malaysia. Akibatnya pembangunan Malaysia lembab dan bangsa-bangsa berada dalam keadaan menentang satu sama lain.
10. Kerajaan di bawah pimpinan Najib menjadi sangat tidak popular. Walaupun memberi banyak wang kepada rakyat, mereka menolak beliau dalam Pilihan Raya 2013. Prestasi beliau lebih buruk daripada Abdullah, yang juga telah ditolak oleh rakyat. Orang Cina menolaknya sama sekali walaupun beliau mengisytiharkan dirinya sebagai saudara mereka.
11. Dia menimbulkan kemarahan kakitangan awam dengan menubuhkan Pemandu untuk mengambil alih tugas EPU. Kakitangan Pemandu yang bukannya pegawai Kerajaan telah dibayar gaji yang tinggi, jauh lebih tinggi mengatasi Skim Gaji Kerajaan. Begitu marah, sebilangan pejawat awam sebaik sahaja bersara mereka telah menyertai parti pembangkang dan bertanding sebagai calon pembangkang, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
12. Pertumbuhan ekonomi jatuh di bawah paras pertumbuhan ekonomi Filipina dan Indonesia.
13. Mata wang telah susut dan harga saham susut dengan teruk mengakibatkan masalah untuk perniagaan, pengimport dan pengeksport. Kos sara hidup meningkat terutama selepas GST.
14. Kemudian datangnya pula skandal 1MDB. Suatu dana yang sama sekali tidak perlu telah diwujudkan yang akan dibiayai oleh pinjaman yang besar. Kerajaan telah memberi satu juta Ringgit sebagai modal tetapi 1MDB (1Malaysia Development Berhad) telah meminjam 42 bilion Ringgit daripada pasaran. Ia membayar faedah yang tinggi sebanyak 5.9% dan memberikan komisen 10% kepada Goldman Sachs. Kerajaan tidak pernah meminjam begitu banyak atau membayar kadar yang begitu tinggi itu.
15. 1MDB membeli loji kuasa elektrik pada harga lebih tinggi daripada harga pasaran. Ia juga membeli/mengambilalih hutang piutang syarikat-syarikat janakuasa. Jumlah kos adalah 18 bilion Ringgit. 1MDB kehilangan begitu banyak wang sehingga ia tidak boleh membayar faedah ke atas pinjaman.
16. 1MDB membeli tanah Kerajaan pada 60 Ringgit kaki persegi sedangkan harga sebenarnya adalah lebih daripada RM3,000 kaki persegi. Dengan menilai semula tanah itu sebanyak 50 kali ganda, ia mendakwa asetnya adalah lebih besar daripada hutangnya. Ini adalah seperti menjual permit import yang didapati secara percuma daripada Kerajaan.
17. Kemudian 1MDB telah menyertai perniagaan yang mencurigakan dengan Petro Saudi sebagai rakan usaha sama. Ia membayar USD1 Bilion bagi saham 40 peratus miliknya itu. Enam bulan kemudian usaha sama ini telah dibubarkan. Akan tetapi USD1 Bilion itu bersama dengan USD700 juta yang lain telah ditukar menjadi pinjaman kepada Petro Saudi. Wang ini kini telah lesap.
18. Satu-satunya aset yang dipunyai oleh 1MDB sekarang adalah loji kuasa dan tanah di Kuala Lumpur. Lebih daripada RM20 Bilion daripada 42 Bilion ringgit itu tidak dapat dikesan atau dihitung.
19. Kemudian tiba-tiba Wall Street Journal melaporkan bahawa Najib mempunyai USD700 juta dalam akaun peribadinya di Bank Arab-Malaysia (bersamaan RM2.6 bilion pada masa itu).
20. Tidak ada PM Malaysia atau Presiden UMNO yang boleh mempunyai wang sebanyak itu. Semua sumbangan kepada UMNO biasanya diterima dan dibankkan oleh Bendahari UMNO. Semua aset diletakkan di bawah nama tiga pemegang amanah.
21. Tidak pernah dalam sejarah UMNO terdapat lebih daripada RM250 juta secara tunai. Semua aset lain adalah dalam bentuk saham, tanah dan bangunan. Presiden adalah bertanggungjawab untuk menyerahkan semua sumbangan kepada Bendahari untuk perbankan. Presiden tidak pernah menyimpan wang UMNO atau wang didermakan kepada UMNO, untuk pilihan raya misalnya, di dalam akaun peribadinya. Tiada peruntukan untuk akaun UMNO dikendalikan oleh Presiden.
22. Najib dan isterinya terkenal dengan gaya hidup yang mewah. Jelas sekali jutaan telah dibelanjakan untuk pertunangan dan pelbagai majlis perkahwinan di Malaysia dan Kazakhstan. Anak tiri Najib membelanjakan ratusan juta dolar membeli hartanah di London, New York dan California. Beliau juga membiayai pembikinan filem Hollywood, “The Wolf of Wall Street” dengan perbelanjaan melebihi USD100 juta.
23. Dengan gaji Najib sebagai Perdana Menteri, adalah mustahil baginya untuk membelanjakan jutaan ringgit bagi semua ini. Ada satu kenyataan oleh PMO yang mendakwa bahawa wang bagi harta-harta luar negara dan filem itu telah diwarisi. Adalah mustahil bagi Tun Razak, atau Haji Noah atau bapa Rosmah untuk memiliki dan mewariskan ratusan juta Ringgit. Malah mereka tidak dikenali sebagai jutawan pun. Adik beradik Najib menafikan dakwaan itu.
24. Jadi dari mana datangnya wang itu? Najib mendakwa 2.6 bilion Ringgit itu telah didermakan kepadanya oleh seorang Arab. Ini tidak masuk akal. Tiada siapa yang pernah memberikan wang sebanyak itu kepada sesiapa. Dan Najib tidak dapat membuktikan bahawa orang Arab itu telah memberinya wang.
25. Dan dengan itu sebuah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah, Gabenor Bank Negara dan Ketua Polis Negara telah ditubuhkan untuk menyiasat punca RM2.6 bilion berada dalam akaun peribadi Najib di Bank Arab-Malaysia.
26. Jawatankuasa Kira-Kira Dewan Rakyat juga sedang menyiasat apa yang berlaku kepada RM 42 bilion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB. Begitu juga Ketua Audit Negara.
27. Tiba-tiba Najib memecat Peguam Negara dengan mendakwa dia sakit. Peguam Negara menafikan beliau sakit. Tidak ada sijil oleh doktor membuktikan dia sakit. Najib tidak mempunyai hak untuk mendakwa bahawa Peguam Negara sedang sakit.
28. Pada masa yang sama, ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dikatakan telah pergi bercuti. Gabenor Bank Negara membisu. Kemudian dia menyatakan dia takut ditangkap.
29. Dua daripada ahli-ahli Kerajaan PAC dilantik Timbalan Menteri dan dua lagi diberi pekerjaan lain. Mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja mereka sebagai ahli PAC. PAC adalah tanpa seorang Pengerusi dan siasatan 1MDB telah berhenti.
30. Dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah ditangkap, dibebaskan dan dipindahkan ke Pejabat Perdana Menteri. Selepas komplen dibuat mereka telah dipindahkan semula ke Suruhanjaya.
31. Penolong Ketua Cawangan Khas telah dipindahkan keluar. Beliau kemudian membuat kenyataan yang keras terhadap pemindahannya.
32. Orang yang bercakap mengenai 1MDB dan 2.6 bilion ringgit dalam akaun Najib, atau melaporkan mengenainya telah ditangkap, pasport mereka dirampas dan diancam oleh polis dengan soal siasat. Ianya seolah-olah sebarang soalan mengenai 1MDB dan Najib 2.6 bilion merupakan tindakan untuk melemahkan demokrasi dan menjatuhkan Kerajaan yang dipilih dengan betul. Orang boleh ditahan sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah undang-undang baru yang bertujuan untuk mencegah tindakan keganasan. Bercakap tentang 1MDB dan RM2.6 bilion kepunyaan Najib seolah-olah merupakan tindakan keganasan. Najib lupa bahawa beliau sendiri terlibat dalam penyingkiran pemimpin terdahulu yang juga dipilih secara demokrasi.
33. Kemudian datangnya sesuatu yang menggemparkan. Al Jazeera menayangkan kisah pembunuhan gadis Mongolia Altantuya. Adalah jelas daripada kisah itu bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.
34. Ramai rakyat Malaysia tidak mahu mempercayainya. Tetapi orang di seluruh dunia mempercayai cerita itu. Ia telah menjadi satu skandal antarabangsa. Ia telah memalukan Malaysia. Di mana-mana sahaja sesiapa pergi, ada yang bertanya, “Apa yang telah berlaku kepada Malaysia”.
35. Di antara 1MDB, 2.6 bilion ringgit dalam akaun peribadi Najib dan pembunuhan Altantuya, nama baik Malaysia benar-benar rosak. Tidak pernah sebelum ini, Malaysia menjadi begitu hina oleh Perdana Menterinya sendiri. Tidak pernah orang memandang rendah negara ini. Tidak pernah sebelum ini rakyat Malaysia begitu malu dengan negara mereka.
36. Najib telah membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya.
37. Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi Perdana Menteri Malaysia. Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib. Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau. Tindakan yang diambil beliau untuk menahan seseorang untuk mengadakan perhimpunan untuk menuntut penyingkiran beliau adalah apa yang tidak demokratik dan bercanggah dengan undang-undang negara ini.
38. Saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk menuntut Najib membenarkan siasatan terhadapnya yang akan dijalankan oleh orang-orang bebas yang tidak dilantik olehnya. Najib mesti membenarkan proses undang-undang berjalan. Jika didapati bahawa dia telah melakukan kesalahan dia perlu didesak untuk
meletakkan jawatan.
39. Hanya dengan pengundurannya sebagai Perdana Menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun. Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula.

22 September 2015

puisi: RM2.6 Bilion

dapatkah saudara bayangkan
andainya karpal singh
masih lantang bersuara
dalam mulia dewan rakyat
menjerit dan berhujah
bertanyakan RM2.6 bilion
menafsirkan politiknya
antara rakyat dan peribadi

bagaimana pula tiba-tiba
anwar ibrahim muncul
sidang bermula kelak
adakah beliau juga
membuka kamus dewan
memberi definisi baharu
sambil garang suara
menunjukkan buku lima
atau akaun simpanannya

adakah anda pasti
dewan mulia ini
akan bermula dimensi
jika kerusi empok itu
boleh dicabut lontar
pastikah berterbangan
di atas kepala setiap ahli
demi menjaga kepentingan diri

dan sampai bilakah
kita tidak menemui
sebarang jawapan
meleraikan kekeliruan
jengkel berpanjangan
sidang yang ditangguhkan
dan rakyat pun terus
bercakaran.


DR RAJIEE HADI,
Bandar Baru Nilai, N9.
22 September 2015.





17 September 2015

ASTRO, WHATS'AP dan seumpamanya............

TB sengaja mengemukakan topik mudah untuk mencergaskan kemahiran berfikir anda. Apakah akan terjadi kepada hubungan komunikasi sehala/ dua hala anda terhadap rakan sekerja, rakan sebaya, ahli keluarga anda, privasi diri anda, pemikiran anda dan gaya hidup anda andainya anda menamatkan perkhidmatan berbayar ASTRO, Whats'ap dan seumpamanya serta merta pada hari ini? Dan anda senaraikan baik/faedahnya dan buruk/kelemahannya secara jujur terhadap semua aspek yang telah dinyatakan dalam kehidupan anda.

Sila lakukan. Selamat mencuba.

10 September 2015

puisi: KAPTEN

kapten pastikan juara
dalam gemuruh penonton
dihina dan disanjung
apa jua diterima
menuju ke piala dunia

kapten mengemudi bahtera
samudera saujana gelora
gelombang adalah alunan rindu
daratan hanya meruntun jiwa
kepada keluarga tercinta

kapten bagaikan sayap
dunia adalah angkasa raya
menghubungkan benua ke benua
menjalinkan kasih sayang
dan jua suatu peperangan

kapten seperti abang sulung
sebuah platun didakap belantara
pertempuran tidak diduga
akibat kelalaian angkara
mati dan sengsara

kapten dalam suram kerdipan
ada maksiat dosa melingkari
di sebuah bar atau pub
perempuan dan minuman jalang
diurusnya dengan lancar

kapten bersara dengan gelar
mengusung kenangan silam
muda angkuh riak di wajah
diselaputi dendam membara
di sebuah agensi keselamatan

kapten bersara dengan gelar
seorang haji yang berdikari
merendah diri mengusung hati
berjaya ternama dengan bisnes
di sebuah takaful ukhrawi,



DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi SDE.
10 September 2015.




05 September 2015

puisi: KLASIK

juara bertemu juara
alunan merdu suara
linangan dan leraian
di pesisir wajah
nostalgia dan tabah

tidak semudah itu
memutar kembali
masa silam kelam
ada mesra menduga
ada kaca berbalam

kerikil usia mendepa
kaki terus melangkah
ada jejak luka pasrah
dalam lirik indah
pesona seniman dahulu

terima kasih kepadamu
anak-anak muda kini
mengembalikan basah ingatan
bunga hutan penawar rindu
menggamit kenangan.


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi,SDE.
5 September 2015.





03 September 2015

puisi: PURI BUANA

di sini saya menanti
kehadiran taulan
saat berbulan-bulan
mengatur persiapan
antara kalung ingatan
kasih berpanjangan

di sini saya impikan
jambatan ukhwah
silaturahim lslamiah
yang jauh di hati
yang dekat dalam jiwa
kita saling bicara

di sini lerai cinta
kita mahu tautkan
di penghujung usia
apa mahu direbutkan
peluit telah berangkat
dan mula merenung
sebuah pelabuhan

di sini tiba waktunya
abu hassan rakan sekelas
hassan topit rakan semaktab
ali mahmood rakan seuniversiti
abdul walid semail rakan pemuisi
tidak mengunjungiku di puri buana
dan aku terus menanti
saatnya Kekasih Abadi
di saujana sana.

Dr.Rajiee Hadi,
Puri Buana, BBB,SDE.
30 Ogos `2015.


29 Ogos 2015

puisi: SELAMAT DATANG 34 JAM

kalian usah berang
saya tidak pernah
membawa diri muncul
di perhimpunan bersih
yang dikatakan nyaman
segar udaranya

maaflah seperjuangan
saya hanya paparkan
apa itu bersih
lewat puisi kalam
suara pena hati
gelora kecewa
rakyat tertindas
korupsi & eksploitasi

hari ini anda kalian
menukarkan 24 jam
yang lama kita nantikan
kepada 34 jam
dengan amanah sabar
tekad,gerak & hasrat
demi air mata rakyat
darah pedih menyayat

Maafkan saya
dan terima kasih
masih ada yang ingat
saya di jalan raya
disakiti gas pemedih
semata-mata kasihkan
bahasa ibunda saya
rebahnya ppsmi
dahulu suatu waktu
& salam perjuangan!


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota,Bangi,SDE.
29 Ogos 2015.


26 Ogos 2015

puisi: PANTAI BAGAN LALANG


sana sini sisir pantai
kian pesona landai
rumah-rumah di tepian
kian riuh penghuni
kamar-kamar terapung
hujung minggu kini
tiada yang termangu
yang berjualan meriah
pedagang seberang
dan orang asing

sana sini sisir pantai
kian ragam membangun
wisata riang tawa
hujung teluk memukau
mimpi malam enak
tiada margasatua rimba
tiada hutan menakutkan
anak-anak kecil dilepaskan
bermain ombak rakus
hilang dilambung ganas

bagan lalang di sini
pernah kami berkampung
bersama rakan seperjuangan
diskusi tuju hala
bicara sebuah perjuangan
pada dekad-dekad lalu
memartabatkan pendidikan
anak semua bangsa
kini entah ke mana

bagan lalang di sini
anak-anak yang kukasihi
kita dekat di pelipis mata
mengapa jauh di lubuk hati
walau di sini pernah kita
bermesra dan meluah rasa
berbicara degup resah laut
berseloka camar di sebalik awan
mengutip kulit-kulit siput
pasir-pasir pantai kehitaman
tapi telah kita jernihkan
dengan azam & akujanji
namun ke manakah menyepi?


DR RAJIEE HADI,
Bagan Lalang, Sepang,SDE.
24 Ogos 2015.



21 Ogos 2015

puisi: CATATAN YANG BERTERBANGAN

apabila dia membaca
travelog guru karyaku
matanya mula berkaca
hatinya mula bersinar
kenangannya mula berputar
antara arwah suaminya
bersama-samaku awal kerjaya
tempat jatuh lagi dikenang

dia adalah seorang isteri
sahabatku ali yang baik
lulusan maktab bahasa
kami mengusung buku
dan mengatur hiruk-pikuk
di kelas-kelas peralihan
demi suatu perjuangan
yang tidak sesiapapun
mahu mengerti memahami

dia terus bercerita
ali  almarhum suaminya
seringkali menyebut namaku
guru muda yang tabah
mendaki puncak payah
kadangkala membuka album
kenangan dan airmata
silih berganti pilu
rakan-rakan kian menghilang
menjauh ditelan waktu

suatu hari ceritanya lagi
dia dan suaminya,ali
bersiar-siar ke desa gubuk ibu
melewati rumah kelahiranku
hasrat mahu bertandang
tapi sepi tidak berpenghuni
tidak diduga saatnya
beberapa hari kemudian
ali, sahabatku yang baik
meninggalkan nafas terakhirnya



maafkan aku
cikgu ali sugiman
cikgu abu bakar sobor
kami tiga serangkai
bertahun-tahun menyalin ingatan
di kelas-kelas peralihan itu
ada suka duka catatan
dan aku meninggalkan kalian
menimba ilmu lagi
dalam lipatan takdir
kalian pula meninggalkanku
buat selama-lamanya, alfatihah!


DR RAJIEE HADI,
Seri Mahkota, Bangi SDE.
21 Ogos 2015.





17 Ogos 2015

puisi: KEMERDEKAAN

kemerdekaan sebenarnya
yang kunikmati kini
bagaikan disirami hujan
umpama dipanah matahari
laksana deru angin
yang kukecapi percuma
pemberi Yang Maha Kuasa
tanpa muslihat musnah pekerti

kemerdekaan itu adalah
tanpa rasuah tipu daya
tanpa helah akaun peribadi
tanpa fitnah membela korupsi
tanpa urus niaga maruah diri
tanpa membeli peti undi
tanpa pohon ikhsan sana sini
tanpa menjual nama peribumi

kemerdekaan bukan hanya
mengenang perarakan semalam
kereta antik ke dataran pahlawan
tahun peristiharan pemimpin dijulang
belenggu penjajahan silam
si lebai pulang kelaparan
lalu sorak-sorai si kaduk
menang ayam kampung tergadai

sebenarnya mula kumengerti
kemerdekaanku bebas daripada
perintah am & pancaroba
pangkat & gila harta
aneka gelaran & kuasa
mahukan harum persepsi
tidak mengira usia angka
biarlah di ruang sempit ini
hanya jeriji besi ditabiri !



DR RAJIEE HADI,
McD B.B.Nilai, N9DK.
17 Ogos 2015.





16 Ogos 2015

puisi: PADA HARI INI

satu zulkaedah
hari mulia ini
muhammad junjunganku
berangkat dari madinah
menuju makkah al-mukaramah
dengan wida' lafazmu
akupun merinduimu
airmata membasahi pipi

satu zulkaedah ini
setelah meninggalkan syawal
ramadan yang berlalu
zulhijjah menyusul lagi
apakah sempurna
doa ampunku pada-Nya?

pada hari ini
adam bapa salsilahku
memohon keampunan
yunus, zakaria dan lainnya
bermunajat tawaduk
dengan kudus doa pada-Nya
pada cahaya purnama ini
dimakbulkan jua oleh-Nya

pada hari ini
masih diberi kesempatan
untuk aku menahan segala
api kemarahan dan kelaparan
mengutip butiran dosa silam
dengan ampun doa zikirullah
untuk kulontar jauh selamanya!



RAJIEE HADI,
BBM, Bangi,SDE,
16 Ogos 2015



14 Ogos 2015

puisi: API MASIH MEMBARA

semalam yang kutahu
hujan membasahi bumi
api membakar merah
berhari-hari bahkan bertahun
namun tidak padam jua
entah mengapa

aku tidak pasti
mendung kian resah
ada hujan petanda
ribut datang menggila
pepohonan di perkebunan ini
entahkan rebah jua

kupohon flora alam
rerumput hijau mengecil
berzikir doa buatku
agar bumi indah ini
dapat kupijak aman
sebelum nafasku berhenti.




DR RAJIEE HADI,
MacDonald BBN, N9.
14 Ogos 2015.

12 Ogos 2015

puisi: MENUJU UTARA

Hujan dan angin
datang dan pergi
simpang-siur perjalanan
di lebuh maknawi ini
sepantas van jenazah
melepasi wajah kami

Di hentian rawat rehat
keletihan menakluki diri
tafsir sebuah kehidupan
menggalas lemahnya jiwa
kami manusia kerdil
tidak upaya meneruskannya

Kami melihat juga
van jenazah itu
berhenti di parkir
meninggalkan si mati
pasti tiada lagi kelaparan
keseorangan tidak ketakutan

Begitulah analogi
si mati sendirian
tidak seperti si pemandu
kelaparan panjang
sebuah perjalanan
menuju utara.


DR RAJIEE HADI,
Tapah, Perak darul Ridhwan.
6 Ogos 2015.



11 Ogos 2015

puisi: MERDEKA

Adakah aku masih merdeka
di hadapanku kem tahanan
ketika penjara sejarah ini
masih mencipta masalah

Adakah aku masih merdeka
andainya di belantara bukit ini
cengal jati dan meranti
dimusnahkan sesuka hati

Adakah aku masih merdeka
sekiranya setiap inci
di bumi pertiwiku ini
bukan kini milik bangsaku

Adakah aku masih merdeka
saat perasuah kini dipuja
antara kita pun
bercakaran sesama sendiri

Adakah aku masih merdeka
andainya di mana-mana destinasi
petaka diri bagaikan jerangkap samar
peluru di hujung nyawa!


DR RAJIEE HADI,
Kamunting, Perak.
9 Ogos 2015.

05 Ogos 2015

puisi: ANTARA AKU & DIA

aku anak marhaen
dia anak bangsawan
moyangku hanya penghulu
bersetia kepada temenggung
tidak punya apa
hanya sekangkang tanah
di desa hulu muara

dia anak bangsawan
pegawai istana negeri
dengan magis kuasa
akrab dengan istana
segala datuk paduka menteri
dijunjung adat berzaman
segala hutan belantara

dia anak pemimpin negara
aku hanya anak pengusaha karet
bersarapan pagi keledek ubi
berbasikal usang ke sekolah
tidak ada drebar peribadi
hanya subur tanah berbakti
kepada ibu pertiwi

dia menjadi ahli parlimen
kemudian timbalan menteri
ketika usia sebaya
aku hanya guru muda
lepasan maktab bahasa
yang gaji bukan luar biasa
tanpa biaya ke universiti

ketika dia mengira ribuan
aku hanya membilang angka
satu persatu tidak seberapa
mampu dengan vespa
dia telahpun nyaman
dalam mercedes
aku hanya garu kepala

ketika aku masih mengira
ratusan yang kecil
dia telahpun jauh
mengira jutaan bilion
meninggalkan aku
yang masih berkira-kira
honorarium sumbangan
sebuah puisi kecilku.



RAJIEE HADI,
BSP, Bangi,SDE,
6 Ogos 2015.






31 Julai 2015

puisi: HUJAN DI TANAH BANGI


Hujan tidak berjanji
akan lebat turunnya
hujan tidak pasti
akan berhentinya

Hujan turut membisu
reda gerimisnya
hujan tidak mengundang
halilintar membelah gema

Bisik hujan berkali-kali
apabila sampai waktuku
aku rela menyepi
bersemi bersatu bumi

Apa yang pasti
di tanah bangi ini
hujan yang berderai
gersang merekah
bertukar hijau subur

Apa yang pasti
tandus bahang ini
bertukar dingin nyaman
persada bening kembali
damai sukma pesona

Apa yang pasti
sesungguhnya hujan ini
menyimpan misteri
bahasa punjangga
dalam diri.

DR RAJIEE HADI,
Bangi,SDE.
20 Julai 2012.

puisi: : PANTUN JENAKA PULAU PENYENGAT (buat Leo AWS)



Pulau Penyengat bukan menyengat,
ada aura ada semangat,
jauh datang mesti ingat,
Melayu suka makan pengat.

Terima berita buku baharu,
daripada Leo Darul Naim,
dalam tongkang jangan garu,
jika baca SMS Tuk Him.

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji,
pujangga terbilang makam di sini,
asam pedas jangan dipuji,
kelak rupiah dibayar seguni.

Putar-putar naik bemo,
dua puluh lima ribu sejam bayaran,
berat kami macam sumo,
minta lebih mengaku jiran.

Dalam cendol ada tapai,
tepi laut balai adat,
tangan pendek tidak tergapai,
tangan panjang dipotong beradat.

Gadis pasentren entah di mana,
ada madrasah mengaji agama,
Pulau Penyengat hantaran istana,
usah mimpi ikut bersama.

Bertenang jangan asyik terkenang,
bersabar saat menanti debar,
masa lalu berkuak renang,
masa sekarang di dalam gebar.



DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat, Riau, lndonesia.
28 Jun 2012.




28 Julai 2015

puisi:SIAPAKAH GERANGAN

SIAPAKAH GERANGAN


siapakah gerangan
yang termuda
dilantik dalam kabinet
semata-mata legasi
kepada ayahandanya
yang dikatakan rakyat
banyak jasanya



siapakah gerangan
ketua pemuda itu
yang kemudiannya
dilantik mudah
menjadi penuh menteri
ketika hijau pucuknya



siapakah gerangan
yang memperkenalkan
akta pendidikan 1996
pendidikan tanpa sempadan
natijahnya berduyun-duyun
visa tanpa warna
dari seluruh dunia
dengan peningkatan IPTS
gejala virus pun menular
penyalahgunaan berleluasa

siapakah gerangan
timbulnya kapal selam
berjuta-juta harga
tidak dipastikan nilainya
hinggalah berduka
bapa si monggolia
puterinya terbunuh
misteri merajalela

siapakah gerangan
mengenakan GST
petrol dan barangan
harga rumah menggila
dan rakyat kian mencuka
onar pati di sana sini
jenayah bimbangkan
rakyat jelata

siapakah gerangan
memenggalkan jawatan
seorang tipiem
yang banyak berjasa
suatu ketika itu
tiada VCD cetak rompak
diburunya habisan
ketika di KPDN
dan guru-guru riang
warna-warni masa hadapan

siapakah gerangan
pelaku onar malang
negara tanah airku
yang tercinta ini
panas mula suram
hujan mula syahdu
tidak ada pasti
dalam penjara ini.



RAJIEE HADI,
BSP,28 Julai 2015