Salam Perjuangan

09 Mei 2014

A.SAMAD SAID MAHU MATI DI MASJID…….




 

  
Masih istiqomah berkarya demi anak bangsa dan agama... lagenda hidupMalah beliau sering berpuasa selang sehari kerana mengikut amalan Nabi Daud dan mengamalkannya sejak beberapa tahun yang lalu.“Kebanyakan daripada hidup saya, saya telah berpuasa tetapi sebelum ini saya hanya berpuasa tiga hari sebulan. Kini dengan usia yang semakin tua , saya lebih hampir dengan kubur dan lebih hampir dengan kehidupan akan datang. Saya perlu lebih suci,” Dia sering berada di Masjid Negara pada setiap hari Selasa dan Khamis. Pada hari Jumaat dia biasanya berada di masjid KLCC. Banyak masa dihabiskan untuk solat dan membaca al-Quran.“Saya mahu berada di masjid apabila saya mati ,”Allahuakbar...


Masih istiqamah berkarya demi anak bangsa dan agama... legenda hidup yang penuh warna dan rona.

Malah beliau sering berpuasa selang sehari kerana mengikut amalan Nabi Daud dan mengamalkannya sejak beberapa tahun yang lalu.


“Kebanyakan daripada hidup saya, saya telah berpuasa tetapi sebelum ini saya hanya berpuasa tiga hari sebulan. Kini dengan usia yang semakin tua , saya lebih hampir dengan kubur dan lebih hampir dengan kehidupan akan datang. Saya perlu lebih suci,”
Dia sering berada di Masjid Negara pada setiap hari Selasa dan Khamis. Pada hari Jumaat dia biasanya berada di masjid KLCC. Banyak masa dihabiskan untuk solat dan membaca al-Quran.
“Saya mahu berada di masjid apabila saya mati ,”
Allahuakbar...Hanya Allah Yang Maha Mengetahui……..

31 Mac 2014

EKSPLOITASI PELAJAR TAHFIZ PERBUATAN JIJIK

MEREKA ini kebal! Itulah yang sering diperkatakan mengenai golongan yang mempergunakan kanak-kanak dan remaja di atas perjuangan tahfiz sedangkan terdapat segelintir daripada golongan ini menggunakan tujuan derma amal tersebut untuk kesenangan peribadi.

Ini telah memalitkan nama busuk kepada segelintir pentadbir dan pengusaha tahfiz asli yang sememangnya memerlukan dana daripada masyarakat umum untuk terus berdiri memperjuangkan niat yang suci tersebut.
Golongan zalim pula mempergunakan kanak-kanak untuk memperdagangkan picisan hasil perniagaan mereka supaya dapat berselindung di atas nama aktiviti kokurikulum demi mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

Notis demi notis dan amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat namun golongan zalim ini hanya membutakan mata dan memekakkan telinga demi mengecapi keuntungan material duniawi.

Masyarakat Malaysia amat pemurah dalam soal bersedekah dan sifat pemurah inilah yang dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Daripada Abi Musa Al-Ash'ari RA, daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: Setiap Muslim ada baginya pahala sedekah, mereka bertanya: Wahai Nabi, orang yang tidak dapat? Baginda bersabda: Bekerjalah menggunakan tangan sendiri yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan bersedekah.

Mereka bertanya: Jika tidak dapat? Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang menderita yang sangat berhajat kepada pertolongan, mereka bertanya lagi: Jika tidak dapat?

Baginda menegaskan: Maka hendaklah dia melakukan amal ma'ruf dan menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya perbuatan itu akan mendapat pahala sedekah baginya. (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Setiap Muslim berpeluang melaksanakan sedekah daripada hasil yang dikerjakannya dan jika tidak dapat berbuat demikian maka cukuplah dengan membantu orang yang berada dalam kesusahan dengan tenaga yang mereka ada.

Akan tetapi dalam dunia serba moden ini, sifat murah hati tersebut senang dimanipulasi oleh golongan zalim ini.

Siapa yang tidak luluh melihat anak kecil menjual kismis pada pukul 10 malam.
Kadang-kadang hati tergerak untuk membantu akan tetapi jika mengenangkan bahawa ia merupakan satu penipuan maka hati berhenti untuk membantu.

Ada yang berkata, kita bantu sahajalah mereka walaupun kita tahu dalang di sebalik tahfiz ini hanya menipu untuk kekayaan.

Mereka menyatakan bahawa tanggungjawab bersedekah mereka telah selesai dan apa yang berlaku di sebaliknya hanya Allah yang tahu dan semoga Allah memberikan balasan kepada golongan zalim ini.
Secara peribadi, penulis merasakan jika kita masih terus membantu mereka, maka mereka merasakan diri mereka kebal.

Ini akan menyebabkan mereka terus berleluasa menzalimi kanak-kanak dan remaja atas nama tahfiz ciptaan mereka.

Sudah sampai masanya, pihak berkuasa membuka mata dan mengaku bahawa perkara ini adalah serius.
Tanggungjawab memantau dan menghukum golongan ini merentasi beberapa agensi dan kementerian.
Berpakatlah demi maslahah umum. Gunakan akta dan enakmen yang sedia ada.

Jika tidak cukup kita bawa sebutan rang undang-undang baru demi menjaga dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan golongan remaja dan kanak-kanak yang dimanipulasi ini.

Sekurang-kurangnya gunakanlah Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang sedia ada. Bertindaklah segera sebelum nasi menjadi bubur.(sumber:MOHAMMAD NOORIZZUDDIN, USIM, 31/03/14)


01 Februari 2014

ROJINS

SENGAJA TB meletakkan 'search' enjin carian dengan nama 'Rojins' . Rojins asalnya Rozain yang mana nama asalnya Rozaidin. Dari mana asal usul nama ini timbul, tidak perlulah TB ceritakan dalam ruangan yang terbatas ini.

Rojins sememangnya nama 'popular' di sekitar tahun 1976-1977 di Maktab Perguruan Bahasa (kini IPGM kampus Bahasa Melayu), Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Rata-ratanya para pelajar atau guru-guru pelatih program PMIA, PIIA, PMS, PIS dan PPAK mengenali nama 'Rojins'. Rojins yang solo tidak punya pacar atau cewek adalah pelajar PMIA-2B yang sekelas kuliah bersama Azizi Zakaria, Arumugasamy, Chew Hock Liong, Teh Khadijah, Cik Puteh, Arshad, Kamaruddin Awang (pesara D.O jajahan Gua Musang,Kelantan), Sahak Wahid, Museri Latib, Asmah Alwi, Rokiah,Rosnah, Hasnan dan beberapa nama lagi.

Rojins juga rakan serumah sewa premis bangunan rumah kedai di Jalan Bangsar,Kuala Lumpur bersama Sazali, Nazir, Azmi, Ghazali Hamzah, Saperi UKM, lsmail Derani, Baharuddin, Ali Mustari, Ali Mamak Kedah, lsmail, Wet Chit, Maung Ban Cheng, Jalil Kedah dan ramai lagi.

Rojins juga yang aktif bersama-sama kumpulan kesenian dan drama serta pengakap bersama Kharuddin Wahab (arwah), Geng Jawa Johor (Omar Selamat & Jailani Ahmad). Geng Johor (Roslan, Hanafi dll), Sahak Wahid, Museri, Azizizi, Hassan Topit, Kamaruzaman Abdullah, Khairuddin Kuala Pilah (arwah),Chan PPAK, Chong PMS dan lain-lain lagi. Tidak dilupakan Rojins juga adalah rakan sekolah  di Muar dan sekuliah universiti bersama Ali Mahmod (Dr Haji Ali bin Mahmood, Timbalan Pengarah IPGM-BM/MPB KL) dan rakan sekolah Mohd Nor Ghani (Pengarah JPn Johor) dan ramai nama lagi yang menjawat di pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

Begitulah roda putaran nama Rojins yang terhenti seketika hingga tahun 1977. Tidak ramai yang mengetahui bahawa nama timangan atau nama glamour Rojins ada kaitan dengan nama lain. Tentu ramai yang mencari nama ini di dalam enjin google atau yahoo namun tidak berjumpa. Dengan TB menyiarkannya maka TB harap segala permasalahan dan kekusutan dapat diselesaikan.

Apabila TB mula menulis di akhbar-akhbar dan majalah arus perdana tanah air sebelum 1978 TB menggunakan banyak nama pena; antaranya Adzie Roha, Roha (yang paling popular), Roy dan banyak nama pena selepas itu (tujuannya: meluaskan skop penulisan pelbagai genre).Dan kemudiannya yang paling terkenal dan tekal ialah nama pena RAJIEE HADI yang terus mencipta nama di persada sastera tanah air dalam genre puisi dan cerpen!

Sebenarnya nama TB mengikut surat beranak dan kad pengenalan ialah RAJIEE BIN ABDUL HADI (sebutan baku 'Raji'ee) Begitulah kisah ringkasnya. Semoga kita semua yang pernah bersua dan mencipta persahabatan murni dapat bertemu pada suatu masa.Harapan TB agar ada antara sahabat kita yang masih berdaya saing dan masih bertugas demi bakti kepada agama,bangsa dan negara (termasuk yang masih meneruskan perjalanan ke Jusa C,Jusa B dan Jusa A (?)) dapat mengelolakan suatu perjumpaan reunion
antara kita. Alangkah indah dan sesuatu yang indah dapat bertemu dan berseloka seperti dahulu dalam ceria dan 'gumbira'........

TB: Dr.Haji Rajiee bin Abdul Hadi @Dr Rajiee Hadi (Hp:01136545501). Bagi yang lahir 1954 diucapkan selamat bersara...dan sahabat yang lahir 1955/56 selamat terus bertugas...yang telah bertukar haluan awal..teruskan perjuangan..tiada bersara dalam kehidupan!

17 Januari 2014

BINA NEGARA, BUKAN RUNTUHKAN NEGARA......

       SEJAK kebelakangan ini, terlalu banyak isu yang membelenggu lingkaran kehidupan anggota masyarakat negara ini. Sebagaimana yang pernah disuarakan oleh beberapa tokoh dalam melihat proses pembangunan negara, ada yang beranggapan semakin sebuah negara itu membangun pesat, cabarannya adalah untuk berhadapan dengan kehadiran pelbagai pecahan dalam masyarakat yang mempunyai ekspektasi tinggi ke atas perubahan persekitaran yang berlaku.

       Ia dikaitkan dengan pendemokrasian sehingga demokrasi tidak berdiri sendiri sebaliknya diberikan takrifan yang berbagai-bagai termasuk 'demokrasi mutlak', 'demokrasi terpimpin', 'demokrasi palsu', 'demokrasi dunia ketiga', 'demokrasi dunia pertama' dan sebagainya.
Hakikatnya, Malaysia istimewa. Malaysia merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Setiap ruang ada keunikan yang menjadi panduan dalam mencari kesepakatan bersama. Malaysia bukan negara membangun tetapi merupakan negara sedang pesat membangun yang sudah menjadi ketetapan untuk muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Ia sudah terbina dengan acuan sendiri berbulatkan kepada kepelbagaian etnik dan agama yang mewarnai nilai kebudayaan, perwatakan dan gaya hidup penghuninya.

           Ada kelas atasan, pertengahan dan bawahan. Ada individu yang bersifat sederhana, liberal; ada juga yang radikal dan ekstrem. Ia lahir dari proses sosialisasi yang melibatkan agen-agen yang berbeza. Ada yang dulunya sederhana, kini radikal; ada pula dulu radikal kini sederhana. Ada yang memanipulasi persekitaran untuk meraih simpati, ada pula yang menggunakan persekitaran untuk melaga-lagakan ideologi kerana tahu ia boleh membawa kepada keadaan kemerosotan keyakinan dan kepercayaan ke atas kerajaan kerana acapkali apa yang berlaku dikaitkan dengan kerajaan dan parti tanpa memahami bagaimana boleh memisahkan antara kerajaan dan parti politik.
              
             Bagaimana kita mampu berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran selama ini? Adakah ini desakan kebebasan yang diperkatakan oleh tokoh ilmuan Barat dalam konteks sosiologi politik? Tidakkah pengalaman lepas mengajar kita untuk menjadikannya sebagai iktibar dan iltizam untuk memastikan pengalaman lepas tidak berulang lagi. Apakah proses pendemokrasian yang sedang dilalui oleh kita membelakangkan nilai perkongsian dan kepunyaan yang diraikan selama ini berpandukan kepada sifat tolak-ansur, hormat dan faham di antara satu sama lain? Toleransi dan nilai kedamaian yang semakin hari semakin mengecil secara terselindung walaupun ada yang merasa gugup untuk bercakap mengenainya secara terbuka.

              Dunia ini indah. Malaysia tidak terkecuali. Yang indah adalah kehadiran anggota masyarakat yang berlainan boleh duduk bersama walau nilai berbeza. Kita perlu kembali kepada asas. Adakah kita memahami apa yang menjadi asas dalam membina negara ini; tulang belakang kepada keutuhan negara-bangsa ini.Jika ditanya setiap rakyat Malaysia, apakah mereka mampu menyatakan secara jujur apakah yang menjadi asas kepada hirupan udara Malaysia yang rencam? Dari mana munculnya asas yang memastikan negara ini boleh terus kekal stabil dan tidak tergugat oleh anasir yang berkepentingan sendiri dan bukan untuk negara-bangsa. Adakah hasutan pihak tertentu yang berkepentingan atau mengambil kesempatan untuk mengeruhkan kestabilan keharmonian yang terbina selama ini perlu diberikan ruang dengan meminggirkan teras negara ini?
             Perlembagaan, hakikatnya adalah penggerak kepada keseluruhan hubungan sesama anggota masyarakat negara ini. Dengan rujukan kepada beberapa elemen utama dalam Perlembagaan, ia wajar dijadikan perhitungan ketika lahir perasaan memberontak dalam kalangan segelintir anggota masyarakat yang ketara sifat syak wasangka, prejudis dan etnosentriknya. Hubungan majoriti dan minoriti bersifat resiprokal, saling membalas; perlu memerlukan di antara satu sama lain.
                 
            Merujuk dan memahami Perlembagaan akan membolehkan kita menerokai nilai sebenar yang menjadi asas kepada hubungan antara masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Beberapa perkara yang menjadi teras seperti yang pernah saya perihalkan dalam artikel bertarikh 17 Julai 2012. Saya nyatakan bahawa 'jangan disalahkan Perlembagaan jika memilih untuk melihat ia hanya dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat keseluruhannya.
Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan); Perkara 153 (Perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya, untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan semata-mata.
            
           Misalnya, Perkara 3 menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Perkara 3 juga menyentuh bagaimana agama-agama lain boleh diamalkan. Begitu juga dengan Perkara 153 yang menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini. Begitu juga dengan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kepimpinan negara.
            Dalam artikel bertarikh 19 November 2013, saya ada mengambil ungkapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mengingatkan "Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sedang menyinsing. Ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang habuan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi" di Kongres Majlis Profesor Negara II 2013. Titah baginda lagi "Perlembagaan negara berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Ia menggariskan rangka asas organisasi negara, fungsi kerajaan dan tata urus keadilan. Jika difahami, dihormati, dihayati dan diamalkan tanpa penyimpangan, semangat yang tersirat dalam Perlembagaan negara adalah formula penyatupaduan paling berharga".Warga Malaysia perlu kembali kepada asas untuk memahami apa yang menyatupadukan kita. Mahu memahami, toleransi dan hormati perbezaan yang ada sebagai aset utama dan bukan penghalang agar kepelbagaian dapat terus diraikan.
              Sengketa dan telagah boleh diselesaikan dengan pelbagai cara tanpa ada kepentingan yang melangkaui kepentingan perpaduan inter dan intra etnik. Kompromi dan berkorban adalah asas kepada amalan nilai-nilai yang dikongsi bersama untuk melahirkan sifat kepunyaan sesama kita.Sudah tiba masanya sebuah Majlis Isu Strategik (MIS) ditubuhkan agar pihak berwajib yang berautoriti menganggotainya untuk memahami isu dari pelbagai sudut demi pertimbangan yang mengutamakan rakyat serta negara khususnya. Ia akan membolehkan pihak yang mempunyai kepakaran ke atas sesuatu isu dirunding dan diterima maklum balas serta penasihatan demi sekuriti tanahair. Ia juga akan menerima keyakinan rakyat secara umumnya kerana MIS ini berperanan mengharmonikan sesuatu isu, mengurus konflik perselisihan pandangan yang semakin menjadi-jadi kerana terjemahan dan tafsiran mengikut keselesaan masing-masing dan adakalanya tidak praktikal; tanpa melihat kecerahan dari sudut Perlembagaan sekalipun apabila hasutan mengelirukan persepsi dan pandangan.


                        Asas muhibah bergantung kepada mereka yang menghuni negara ini dan mereka juga bertanggungjawab bersama memastikan keharmonian terpelihara. Toleransi dan kedamaian tidak boleh dipikul oleh hanya segelintir sahaja tetapi jika majoritinya menerima hakikat kepentingan tasamuh dan berjiwa Malaysia, negara ini akan terus kekal hidup berukun rakyatnya. Bawa kembali nilai asas agar Malaysia kekal makmur, muhibah dan aman sentiasa. sumber U.Malaysia, disesuaikan daripada tulisan Prof Madya Dr Pandian Subramaniam,USM).

16 Januari 2014

FACEBOOK : RAMAI YANG ROSAK.

 “WANITA yang mudah terperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook kemudian mereka bertemu, ibarat seperti menempah bala,” kata pakar motivasi Dr Rubiah Hamzah.
Beliau yang juga penceramah bebas berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang jururawat berusia 25 tahun terpaksa mengambil masa empat hari untuk mencari jalan meloloskan diri daripada menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah rumah di Seksyen 19, Subang Jaya, yang dikenali melalui Facebook, Oktober lalu. Difahamkan, Romeo Siber yang hanya bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta itu juga dipercayai sudah memperdaya sekurang-kurangnya tiga wanita muda melalui Facebook sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, selagi laman sosial Facebook itu disalah guna, pelbagai masalah akan timbul sekali gus menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Jika dalam Facebook itu terdapat paparan gambar yang mendedahkan aurat serta menaikkan nafsu syahwat lelaki, tidak mustahil ia mendatangkan kemudaratan kepada wanita itu.

“Pendapat saya, wanita yang berkenalan melalui Facebook kemudian melalui fasa berjumpa dengan lelaki itu diibarat sudah menempah bala, kerana usia perkenalan tidak menjamin kebaikan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, mengambil contoh anak gadis yang berada di pusat perlindungan di negara ini yang kebanyakan sudah ‘rosak’ akibat mudah percaya kepada Romeo Siber.

“Fenomena pergaulan menerusi laman sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa batasan dan mampu menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Malah, ada antara lelaki itu bermodalkan ayat manis dan wajah kacak hingga berjaya menjerat cinta gadis remaja dengan menggunakan Facebook untuk menjadi pemuas nafsu mereka. Sasaran mereka adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri,” katanya.(sumber:HM, 16/01/14)

05 Januari 2014

DUTA KHAS BAZIR WANG RAKYAT ?

KECENDERUNGAN  pentadbiran Najib melantik duta khas dan penasihat khas yang menelan perbelanjaan tinggi dan membebankan kewangan negara ditegur Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Dalam satu kenyataan media, Sim mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik empat duta khas dan 13 penasihat khas yang sebahagiannya bertaraf menteri.

Sambil menyifatkan perlantikan itu sebagai “teramai dalam sejarah negara”, beliau turut mempertikaikan kewajaran kerajaan melantik Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sin sebagai duta khas bertaraf menteri ke Asia Timur seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim di Bintulu, baru-baru ini.

Negara kini mempunyai beberapa duta khas lantikan politik antaranya Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang ditugaskan ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Ong Ka Ting (Republik Rakyat China) dan Dato’ Seri S Samy Vellu (India Selatan) yang kesemuanya bertaraf menteri.

Sim mempertikaikan pelantikan tiga individu terbabit yang tidak memberi pulangan yang ketara kepada negara, malah hasil kerja mereka tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada negara.

“Saya ingin menyeru Perdana Menteri berhenti melantik duta-duta khas yang mahal dan memakan belanja yang besar dengan serta merta.

“Perlantik YB Dato Seri Tiong baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan. Kerajaan BN perlu menjelaskan rasionalnya melantik Duta Khas untuk hal ehwal Asia Timur,” ujarnya.

Sim menambah, Malaysia mempunyai duta-duta profesional yang berfungsi dengan baik di negara-negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berupaya mengendalikan urusan perdagangan dengan negara-negara tersebut.

“ Apakah tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas? Kerajaan BN harus menjelaskan mengapa perlu melantik Duta Khas, sedangkan kita sudah ada menteri perdagangan antarabangsa dan duta besar?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan kelayakan dan kepakaran Tiong sehingga dilantik duta khas dan adakah pelantikan itu satu ganjaran politik?

Isu yang paling penting, jelas Sim adalah pelantikan duta khas dan penasihat khas membabitkan kos yang tinggi dan membebankan kewangan negara.

Beliau turut membangkitkan jawapan kepada soalannya di Dewan Rakyat apabila kerajaan menjelaskan membayar gaji bulanan RM27,227.20 kepada duta khas yang lebih tinggi daripada gaji menteri.

“Oleh kerana mereka berstatus menteri maka mereka juga menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri. Mereka diberi pejabat yang dibiayai kerajaan.

“Ada sesetengah duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM. Mereka juga sentiasa menjelajah ke seluruh dunia. Kesemua ini memakan belanja yang besar,” ujarnya.

Sim juga menganggar perlantikan duta-duta khas membabitkan kos RM2 juta setahun.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu, usul yang dibawa Sim untuk memotong gaji duta-duta khas ditolak setelah dibahaskan anggota Dewan.

“Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55 peratus KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik satu lagi duta khas?” soal beliau.

Sim turut mencadangkan  Perdana Menteri menambah satu lagi langkah pengurangan kos kerajaan iaitu menghapuskan jawatan duta khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri.   

Najib baru-baru ini mengumumkan 11 langkah kosmetik untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebagai satu langkah ‘jimat cermat’. (sumber:HD, 05/01/14)

11 Disember 2013

TIPS JODOH BERTEMU JODOH.........


ADA beberapa saudara mara lelaki TB yang berusia hampir 40 tahun masih bujang tetapi hingga kini belum bertemu jodoh.Pelik bin Ajaib walaupun di luar sana, ramai wanita solo yang mendambakan seorang suami.Bahkan pernah bapa saudara pupu TB yang meninggal dunia ketika berusia 70 tahun tetapi masih bujang. Kasihan, tapi apakan daya.Adakah tiada jodoh, atau kesilapan manusia itu sendiri? Bahkan kedapatan ramai gadis; baik perawan mahupun janda muda,janda berhias ataupun ibu-ibu tunggal di luar sana yang menanti bakal seorang suami. Dalam erti kata lain, bertemu jodoh adalah sesuatu yang indah. Ya, sesuatu yang indah itu ada tikanya tidak perlu dicari.Sesuatu yang indah itu sebenarnya ada dalam diri sendiri. Berikut paparan TB (dengan bantuan kutipan beberapa sumber) bagaimana mahu memberikan motivasi agar jodoh dipertemukan.Dengan ini sedikit sebanyak tulisan berikut adalah amalan jariah ke arah tujuan kebaikan kerana Allah SWT. Hadis Nabi ada menyebut bahawa,"Aku (Nabi Muhammad SAW) sukakan nikah. Jika sesiapa membenci pernikahan umpama membenci sunnahku..."


1.
Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti 'magnet' yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan, perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat.Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki membentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan  tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau 'kegilaan' bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang 'gentleman' - bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinyaseperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangankomen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat. 


09 Disember 2013

JPA AKHIRNYA IKTIRAF SARJANA & PhD -PERJUANGAN PANJANG TIUB BOCOR TERCAPAI

 KERAJAAN  akan menetapkan gaji permulaan yang lebih tinggi sebagai insentif untuk penjawat awam yang mempunyai kelayakan akademik Doktor Falsafah (PhD) dan Sarjana meliputi 33 skim perkhidmatan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, 33 skim perkhidmatan gaji tersebut termasuk pensyarah universiti, pegawai teknologi maklumat, pegawai penyelidikan, akauntan, pegawai kanan polis serta pegawai tadbir dan diplomatik. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, 33 skim perkhidmatan gaji tersebut termasuk pensyarah universiti, pegawai teknologi maklumat, pegawai penyelidikan, akauntan, pegawai kanan polis serta pegawai tadbir dan diplomatik. 


Bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan masih berada di gred lantikan, dan kemudiannya memperoleh kelulusan akademik tersebut, beliau berkata kerajaan akan turut menawarkan insentif hadiah kenaikan gaji (HKG).
 


"Ini adalah khusus bagi skim-skim perkhidmatan seperti pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai perkhidmatan pendidikan lepasan diploma," katanya kepada soalan Senator Baharudin Abu Bakar pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini. 

Teks jawapan Najib dibaca oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berhubung soalan mengenai langkah pemberian insentif khas kerajaan kepada penjawat awam yang mempunyai kelulusan akademik di peringkat PhD dalam bidang-bidang kritikal kepada pembangunan negara. 

Selain itu, Najib berkata Lembaga Kenaikan Pangkat akan menimbang pegawai yang layak bagi urusan kenaikan pangkat berdasarkan sistem merit.

"Pegawai yang mempunyai PhD mendapat kelebihan dalam proses pertimbangan ke sesuatu jawatan kenaikan pangkat. 
"Sebagai contoh, bagi pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah di Kementerian Pendidikan Malaysia, pegawai dinaikkan pangkat melalui Laluan Cemerlang yang mengambil kira kelayakan akademik termasuk PhD dan pengalaman yang dimiliki," katanya. 

Najib berkata wajaran yang akan pegawai penilai berikan ialah 15 peratus daripada keseluruhan kriteria kecemerlangan. -( BERNAMA, 9 Disember,2013)