DIKENALI sebagai Negeri Di Bawah Bayu disebabkan kedudukannya yang
berada di luar zon ribut yang sering melanda utara perairannya, Sabah
sememangnya sebuah negeri yang unik.
Ia terletak di utara kepulauan Borneo, iaitu pulau ketiga terbesar di
dunia selain diliputi kawasan seluas 73,500 kilometer persegi.
Melihat aspek geografinya, Sabah memiliki pantai sepanjang 14,400
kilometer di samping keindahan lebih 40 buah pulau yang menghiasi
sekelilingnya.
Dengan Laut China Selatan terletak di pantai barat, Laut Sulu di
timur laut dan Laut Sulawesi di sebelah selatan, sewajarnya perairan
Sabah dihuni pelbagai hidupan laut yang penuh misteri.
Dari aspek positif, kelebihan itu menjadikan Sabah sebuah destinasi
pelancongan air yang wajib dikunjungi, ditambah dengan variasi makanan
laut yang tiada batasan.
Bagaimanapun, kehadiran sejenis mikroorganisma di perairan Sabah yang
hidup bebas dan telah dikesan sejak tahun 1976 membawa kepada cerita
yang menakutkan.
Dengan saiz 25 mikrometer dan hanya boleh dilihat menerusi mikroskop,
hidupan ini, Pyrodinium bahamense var compressum mampu mencetuskan
fenomena air merah sehingga dianggap sebagai pembunuh senyap kepada
nyawa manusia.
Dalam fenomena terbaharu, dua kematian dilaporkan di Sepanggar, Sabah
dipercayai akibat keracunan selepas memakan kerang yang dicemari toksik
yang berpunca daripada fenomena air merah yang bermula dua bulan lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Rayner Stuel Galid berkata,
Pyrodinium bahamense var compressum merupakan plankton mikroskopik yang
tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Katanya, apabila spesies beracun itu telah mencapai satu jumlah yang
besar, air laut akan membentuk tompok-tompok merah yang akhirnya
dikenali sebagai fenomena air merah atau red tide.
"Mengikut rekod Jabatan Perikanan Sabah, plankton ini dikesan buat
pertama kali pada tahun 1976 dengan 202 kes keracunan kerang paralitik
dan telah mengakibatkan tujuh kematian.
"Mikroorganisma yang juga pengeluar racun atau toksik kumpulan
keracunan kerang-kerangan paralitik ini menyerang hidupan laut
terutamanya hidupan jenis kerang-kerangan selain ikan-ikan pelagik,"
katanya.
Antara kerang-kerangan yang disahkan beracun semasa fenomena ini ialah kerang, kupang, siput sudu, tiram, remis dan siput tarik.
Hakikatnya kata Rayner, kejadian air merah biasa berlaku di perairan
pantai barat meliputi perairan Kudat di bahagian utara Sabah sehinggalah
ke Labuan.
Ia berlaku secara bermusim iaitu pada penghujung tahun dan awal
tahun. Fenomena ini biasa terjadi selepas hujan lebat pada musim kemarau
atau kesan daripada suhu rendah berpanjangan sepanjang musim hujan.
"Air laut akan kelihatan berwarna merah kecoklatan akibat ledakan
pertumbuhan dinoflagellate bertoksik kerana pertambahan nutrien dalam
air laut," ujar Rayner.
Justeru kata beliau, segala bentuk kerang-kerangan selain ikan
pelagik seperti ikan tamban dan ikan basung adalah antara hidupan yang
dicemari.
"Pada masa 30 minit pertama, mangsa yang memakan hidupan laut yang
telah dicemari akan berasa kebas pada bibir, muka dan seterusnya
bahagian leher.
"Mangsa juga akan berasa seperti dicucuk jarum di hujung jari tangan
dan kaki, sakit kepala, pening, muntah dan cirit-birit," jelasnya.
Bagi kes yang teruk, ujar beliau, mangsa akan mengalami kelumpuhan otot, sukar bernafas dan rasa tercekik.
"Dalam kes yang sangat serius, kematian boleh berlaku dalam masa dua
hingga 23 jam kerana sistem pernafasan menjadi lumpuh dan jantung tidak
berfungsi," tambahnya.
Dalam pada itu, menjawab persoalan mengapa hanya sebilangan hidup
laut yang menjadi toksin dalam fenomena air merah, beliau menjelaskan,
ia berhubung kait dengan sistem pemakanan hidupan laut itu selain jenis
ikan pemakan plankton.
"Plankton yang toksin akan terkumpul dalam organ hidupan laut itu
semasa proses penapisan makanan. Apabila hidupan laut itu dimakan pula
oleh manusia, toksik itu berpindah masuk ke dalam tubuh manusia sekali
gus memudaratkan kesihatan," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Makmal Ride Tide, Jabatan Perikanan Sabah,
Ainah Poyong menjelaskan, apabila analisis toksin dalam kerang-kerangan
menunjukkan keputusan 400 unit Mouse (MU), maka satu pengumuman setempat
akan dibuat melibatkan kawasan terbabit sahaja.
JIKA jari kaki berasa seperti dicucuk jarum selepas menikmati hidangan laut, anda mungkin telah terkena racun.
"400MU itu dianggap had terendah kepada tahap berbahaya untuk
manusia. Namun, jika analisis toksin mendapati kandungan telah melebihi
400MU, maka satu pengumuman awam akan dilakukan," katanya.
Untuk rekod, katanya, analisis toksin ke atas beberapa contoh
kerang-kerangan yang dibuat baru-baru ini menunjukkan peringkat setinggi
6,900MU di kawasan Putatan, 4,010MU (Papar) dan 3,300MU di Tuaran.
"Pihak kami menjalankan dua kaedah pemantauan untuk mengenal pasti
kandungan toksin ini iaitu menerusi sampel kerang-kerangan dan ikan-ikan
pelagik serta sampel air laut.
"Pemantauan akan dibuat sepanjang tahun iaitu sekali dalam tempoh dua
minggu," ujar Ainah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam
mengendalikan kes air merah.
Tambahnya, isi kerang-kerangan dan sampel air yang diambil dari
perairan laut akan dibawa ke makmal untuk diekstrak bagi menentukan
kandungan toksin.
"Dari situ kita akan tahu kawasan mana yang mempunyai toksin yang
tinggi sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak jabatan," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, sehingga kini belum ada bahan penawar yang
khusus untuk rawatan keracunan akibat memakan kerang-kerangan.
"Langkah terbaik adalah mengelak daripada memakan semua kerang-kerangan serta ikan jenis pelagik," katanya.
(sumber : KOSMO 13/1/2013)