Salam Perjuangan

19 April 2012

RESOLUSI KONVENSYEN PENDIDIKAN KE-19: Syabas Dr Supian dan Dr Ali.

INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS BAHASA MELAYU

KONVENSYEN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU KALI KE-19
Tarikh : 20 hingga 22 MAC 2012

RESOLUSI KONPEN 2012

Sebanyak 22 tajuk pembentangan kertas kerja dan tiga pameran poster yang dipaparkan dalam KONPEN 2012.
Dengan berdasarkan tajuk-tajuk kertas kerja itu, pihak penganjur telah dapat membuat resolusi.

A. KURIKULUM

(I) PENUKARAN NAMA MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA KEPADA BAHASA MELAYU
Penggunaan nama mata pelajaran bahasa Malaysia mesti diubah kepada Bahasa Melayu seperti yang tercatat dalam Akta 152 Perlembagaan Negara.

(II) TINGKATKAN PERANAN BAHASA MELAYU DAN KESUSASTERAAN MELAYU
Pengajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu hendaklah diwajibkan kepada semua pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi dalam persekolahan dan peringkat pengajian tinggi. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu menjadi jati diri bangsa Melayu dan asas kepada pembentukan bangsa Malaysia. Pengajaran Kesusateraan Melayu mestilah diwajibkan kepada semua pelajar. Kesusasteraan dapat membentuk manusia mempunyai peribadi mulia dengan nilai-nilai murni dan sebagai kesannya mereka akan menjadi manusia yang dapat menjalankan tugas dengan jiwa yang murni, berhemah, bertanggungjawab atas sebab pendidikan yang dihayati melalui keusasteraan Melayu


(iii) PEMANSUHAN PPSMI

Pemansuhan PPSMI hendaklah dilaksanakan dalam kadar yang segera dan tidak berperingkat-peringkat seperti yang dilaksanakan sekarang.

B. PEDAGOGI

(i) PEDAGOGI BAHASA MELAYU PERLU DIINOVATIFKAN

Pedagogi bahasa Melayu hendaklah dijalankan dengan cara yang inovatif, menarik dan berkesan serta menghiburkan melalui pengaplikasian pelbagai strategi, kaedah dan teknik pengajaran. Hal ini ada ditemukan dan dicadangkan dalam kertas kerja tertentu dalam konvensyen ini.

(ii) PENGAPLIKASIAN ILMU TATABAHASA BAHASA MELAYU SECARA MELUAS UNTUK SEMUA GURU

Pengaplikasian ilmu tatabahasa bahasa Melayu mesti dilaksanakan secara terancang dan menarik di samping sumber ilmunya dipastikan dapat difahami oleh murid atau pengguna bahasa dengan jelasnya. Sebarang isu tatabahasa yang memeningkan semua pihak mesti diatasi dan sumber rujukan kukuh serta tepat amat diperlukan. Hal tersebut akan membantu tenaga pengajar dan pengguna bahasa Melayu ke arah penggunaan bahasa Melayu yang betul.

(iii) PENGGUNAAN BAHASA MELAYU YANG BERMARTABAT OLEH SEMUA GURU

Penggunaan bahasa Melayu yang bermartabat dalam semua pengajaran mata pelajaran perlu diamalkan oleh semua pendidik pada setiap masa.

(iv) PELAKSANAAN KURSUS BAHASA MELAYU DAN KOMUNIKASI

Kursus tatabahasa dan komunikasi bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara terancang dan sepenuhnya kepada semua guru khususnya guru matematik dan sains pada semua peringkat

C. KANDUNGAN

(i) PEMERKASAAN EJAAN JAWI

Penggunaan ejaan jawi perlu diketengahkan semula kerana tulisan ini adalah khazanah bangsa Melayu. Kita mesti sedar bahawa ejaan dan tulisan jawi itu sebenarnya jati diri bangsa Melayu dan kita sudah pasti menangisi keistimewaannya itu sekiranya dibiarkan hilang di buminya sendiri.

(ii) PELESTARIAN TATABAHASA BAHASA MELAYU

Kandungan tatabahasa bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan bahasa Melayu mesti diperinci semula. Hal ini demikian kerana sukatan tatabahasa yang ada pada masa kini masih terlalu umum.

(iii) PENGGARAPAN BAHASA MELAYU DAN DIDIK HIBUR

Pengaplikasian bahasa Melayu dalam didik hibur mestilah mengikut ilmu bahasa Melayu yang tepat. Hal ini penting agar pengguna bahasa Melayu dibiasakan dengan cara berbahasa yang betul.

Dikemukakan oleh: Disahkan oleh :
(Dr SUPIAN BIN MOHAMAD NOOR) (Dr HAJI ALI BIN MAHMOOD)
Penyelaras KONPEN 2012 Timbalan Pengarah IPGKBM

TB: Syabas kepada Dr Supian dan Dr Ali yang meneruskan kelangsungan perjuangan Bahasa Melayu dalam kurikulum pendidikan negara. Selagi anda masih berkhidmat dan 'ada kuasa' salurkan perjuangan murni itu ke arah kebaikan dan kemurnian bahasa, pendidikan dan keguruan. Mereka adalah teman sekuliah (classmates) sewaktu dahulu ketika kami sama-sama melangkah ke menara gading untuk meraih gelar Sarjana Muda Pendidikan.


 Bagi TB, IPGM/BM atau sinonim dengan MPB (L.I) adalah tempat TB jatuh bangun tatkala mengenali kehidupan mahasiswa dan kota kosmopolitan. Di pentas MPB itulah (sekarang dikenali Dewan Zaaba) bermulanya TB secara serius mengenali drama pentas dan teater dengan lakonan teater 'Wali' dan 'Hari Jadi Nona' pada tahun 1977 yang lalu.TB dengan syahdu menyanyi 'Selamat Tinggal Bungaku' pada malam anekaragam tahunan. Almaklumlah kawan-kawan seangkatan ramai yang ke Sabah dan Sarawak tetapi TB tidak pasti lagi. 


Sedih dan pilu ketika itu ditinggalkan kawan-kawan sekuliah. Masa dan waktu terus berlalu pergi; sehingga kini Konvensyen Pendidikan ke-19 telah berlangsung di IPGM/BM mengingatkan TB, Konpen (tidak pasti pertama atau kedua) di Sekolah Menengah Sains Air Keruh,Melaka (kini SMS Sultan Muzaffar Shah) yang TB turut sertai pada tahun 1977 yang ketika itu diselenggarakan oleh krew Profesor Emiritus Dr Awang Had Salleh dengan Persatuan Suluh Budimannya seperti Cikgu Mansor Dewa, Cikgu Abdul Rahman Salleh, Cikgu Yunus Maris dan ramai lagi. Kini Dr Supian dan Dr Ali serta rakan-rakan lain yang melangsungkan kesinambungan diucapkan syabas atas daya usaha kalian. 

TIUB BOCOR TETAP TIUB BOCOR

DALAM usia yang baru setahun jagung; melangkaui dua tahun, TB bersyukur kerana blog TIUB BOCOR telah dilawati hampir 25 ribu pembaca! Bukan mudah mahu menarik minat atau mendapatkan peminat setia yang terus mahu melayari atau sedikit sebanyak sesekali menjengok blog seperti ini.

Pada awalnya bukan mudah TB mahu memulakan blog ini. Sebabnya, TB sememangnya seorang penulis; penulis kreatif dan penulis deskriftif. Bukan mahu riak; tapi TB telah punya sejarah panjang dalam dunia penulisan sejak 1970-an. TB pernah mengekori Ahmad Boestaman, lshak Haji Muhammad (Pak Sako), Kassim Ahmad, Keris Mas, A.Samad lsmail, Ahmad Sebi Abu Bakar ketika TB remaja dahulu dalam setiap wacana ilmu dan bengkel penulisan. Bahkan rakan-rakan senior TB yang akrab seperti T.Alias Taib (Allahyarham) dan  Dino SS (Allahyarham) banyak juga memberi lakaran warna dalam hidup TB sebagai penulis bebas.

Memulakan sebuah laman blog kira-kira 2 tahun lalu  seiring dengan gelombang TMI/ICT membuatkan TB berfikir banyak kali. Kerana lCT dan blog tidak ada prasyarat pun kepada sesiapa.Dan sebab itu kedapatan pada hari ini bagai tumbuh bak cendawan selepas hujan pencatat-pencatat blog yang 'memaparkan ikut sesuka hati' dan tanpa silu mengangkat diri sebagai pejuang beraneka rupa.Apatah lagi gejala 'copy n paste' yang tanpa berfikir dan tanpa beretika meluas di sana sini. Tujuan mereka semata-mata kerana menyebarkan sensasi,fitnah, glamourisme dan protes jiwa yang membara.

Namun demi meneruskan tarbiyah kerana TB kini tidak mempunyai audien secara langsung seperti guru-murid dalam bilik darjah/kuliah maka TB memberanikan diri memulakan penulisan blog semata-mata mahu menampilkan idea-idea untuk pembaca boleh berfikir dan menyedari kepentingan sesuatu isu yang TB kemukakan. Pada awalnya TB tidak pun memberi sebarang tips pun siapakah TB; kerana niat TB bukan mahu dikenali; baik wajah,rupa atau fizikal. Tetapi selepas satu tahun dengan menerima pendapat teman di sisi, TB mula menyelitkan sedikit sebanyak siapakah TB tanpa secara langsung.

Walaupun ada artikel TB  tulisan asli yang TB terbitkan di blog ini; namun atas nama berita/isu semasa ada juga bahan yang relevan TB kutip daripada akhbar-akhbar perdana dan portal berita semasa dengan komen -komen yang TB selitkan di ruangan pojok di bawahnya untuk pembaca berfikir.TB tetap catatkan sumber bahan atas nama etika kewartawanan dan penulisan.

Nama TIUB BOCOR agak anaeh dan mengelirukan. Nama TB mendapat ilham daripada nama 'tiub' (tube) yang sering digunaka dalam internet.. Alhamdulillah lama kelamaan nama Tiub Bocor telah 'berenjin'  dan mula hidup dalam laman Google dan Yahoo seperti hari ini. Dan TB tetap TB; bukan bahan murahan yang menyebarkan sensasi dan tohmahan. Biarkan blog lain berbuat demikian;terpulanglah mereka. TB bukan blog bersifat kepartian atau kesukuan. TB berjuang untuk sejagat demi kemanusiaan sejagat dengan nilai-nilai murni dan kasih sayang lantaran menulis kerana cinta hakiki kepada Allah SWT. (TB)

SUAMI ISTERI HINDARILAH DINGIN.....

Bagi melahirkan rasa cinta yang tidak pernah padam di samping menyemarakkan rasa kasih dalam rumah tangga pasangan suami isteri di negara ini, Pusat Dagangan Kelantan (KTC) melancarkan ‘Pekej Mengurat Isteri Sendiri’.

 Program berkenaan mula dilancarkan hari ini dan berkuat-kuasa serta merta. Ketua Pegawai Operasi KTC, Aziz Desa dalam kenyataannya hari ini berkata menerusi PMIS, pasangan suami isteri boleh menginap di mana-mana jenis bilik penginapan yang disediakan dengan potongan harga istimewa.

 “Pelanggan juga turut mendapat sarapan pagi dan sajian set makanan malam di kamar masing-masing sewaktu penginapan,”ujarnya. Aziz seterusnya berkata, bagi pasangan kelamin yang sudah mempunyai zuriat turut dialu-alukan dengan membawa anak masing-masing.

 Katanya, walaupun ianya belum dilancarkan secara rasmi sebelum ini, namun pasangan suami isteri yang juga seorang guru di negeri ini telah menempah bilik untuk menyertai majlis ini malam tadi. “Alhamdulillah, mereka berpuas hati dengan pekej yang ditawarkan sambil menyifatkan ianya sesuatu yang unik,”ujarnya. Pada waktu yang sama, KTC turut mengalu-alukan anggota polis dan keluarga masing-msing menyertai pakej berkenaan bersesuaian dengan ulang ahun Polis Diraja Malaysia ke-205 menerusi pakej Terima kasih Polis dengan harga RM205.(sumber : HD)


TB: Hubugan suami isteri usahlah dingin. Bawalah dan tukarlah persekitaran yang berbeza. Bawalah tukar dan imej penampilan yang berbeza dalam suasana yang berbeza. Pokoknya atas kehendak 'selera' kedua-dua pihak. Setiap pasangan sewajarnya berfikiran kreatif dan bertindak inovatif. Yang lama akan terasa baru, yang baru tetap terasa baru.

18 April 2012

PENGUAT KUASA FARMASI KEMENTERIAN KESIHATAN KERAP PANTAU DAN BERTINDAK...

Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan baru-baru ini merampas sebanyak 170,000 peket minuman pelangsing keluaran sebuah syarikat kosmetik terkenal bernilai RM500,000 dipercayai mempunyai racun berjadual yang diharamkan.

Pengarah Penguat Kuasa Farmasi kementerian itu, Mohd. Hatta Ahmad berkata, berdasarkan aduan daripada orang awam, pihaknya telah menjalankan siasatan dan kajian terhadap produk minuman tersebut sebelum ini.

"Hasilnya, minuman pelangsing tersebut disahkan mempunyai sibutramine iaitu sejenis racun yang merbahaya dan telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia.

"Berikutan itu, Bahagian Penguat Kuasa Farmasi hari ini bertindak menyerbu sebanyak 27 premis serentak di seluruh negara termasuk kilang dan ibu pejabat syarikat itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan merampas 170,000 peket minuman berkenaan yang mempunyai dua perisa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Justeru Awang Selamat dalam Bisik-Bisik UM (17.4.12) cukup bimbang dengan kegiatan syarikat-syarikat kosmetik tempatan yang tumbuh bak cendawan. Yang lebih membimbangkan bukan jumlah kemunculannya, tapi produk yang diperkenalkan.
Rata-rata syarikat itu memperagakan produk untuk kelihatan cantik, ramping, serta yang berkaitan dengan tenaga batin seksualiti.

Kesemua produk itu memerlukan pengguna mengambilnya secara oral atau disapu di bahagian muka dan anggota badan.Kemunculan tiba-tiba syarikat-syrikat sebegini, dengan mempromosikan makmal-makmal kimia mereka harus diteliti olah pihak berkuasa.

Awang sering mendengar iklan-iklan yang disampaikan mengenai keajaiban produk mereka.
Mereka mendakwa produk masing-masing berupaya menyembuhkan penyakit-penyakit kronik dan sebagainya.

Persoalannya benarkah syarikat-syarikat ini menghasilkan sendiri produk mereka? Adakah ia membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memakan masa serta kos yang tinggi?
Tapi sebaliknya, benarkah juga dakwaan yang mengatakan mereka hanya mengeluarkan produk yang bahannya diimport dari negara-negara tertentu dan ia hanya dibungkus di sini sahaja. Jika benar, adakah bahan-bahan itu terjamin selamat?

Itulah yang terjadi , apabila Bahagian Penguat Kuasa Farmasi merampas 170,000 peket minuman pelangsing keluaran sebuah syarikat kosmetik terkenal dipercayai mengandungi racun berjadual.
Minuman pelangsing tersebut disahkan mempunyai sibutramine iaitu sejenis racun yang merbahaya dan telah diharamkan penggunaannya di seluruh dunia.(disesuaikan daripada UM,17.4.12)

TB: Sangat berharap agar pihak Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia terus memaklumkan dan mengumumkan nama produk yang dirampaskan dan diharamkan penjualannya serta nama syarakita yang mengeluarkannya kepada umum sebaik rampasan dilakukan. lni mengelakkan agar tidak timbul teka-teki dan spekulatif orang awam yang boleh menimbulkan fitnah,a ndaian,ramalan dan sebagainya. Bahkan teruskan serbuan dan rampasan sekiranya ada produk yang tidak mematuhi piawai. Adakah produk yang tidak berlabel MAL dianggap merbahaya? (TB)

LEMBAGA PENAPIS FILEM MALAYSIA: BERTANGGUNGJAWABLAH !


ALLIED Coordinating Committee of Islamic NGO's (ACCIN) yang dianggotai oleh NGO Islam membantah tindakan TV3 menyiarkan adegan bogel terlampau yang menampakkan kemaluan pelakon Emile Hirsch dalam rancangan Kids Movie Magic (Into The Wild).

Filem Into The Wild itu ditayangkan oleh TV3 pada hari Sabtu, 24 Mac lalu, pada 11.30 pagi hingga 2 petang. ACCIN kesal dengan tayangan adegan bogel tersebut yang jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, agama rasmi negeri-negeri serta agama-agama lain.

ACCIN kesal dengan kegagalan Lembaga Penapisan Filem (LPF) menapis adegan ini dan filem lain dari dalam dan luar negara. LPF sewajarnya sensitif terhadap kandungan filem untuk tontonan kanak-kanak. Kelemahan LPF akan memberi kesan negatif kepada usaha menangani gejala sosial yang merosakkan masyarakat seperti gerakan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) yang ingin menghalalkan zina dan adegan seks terlampau di layar filem dan TV.
Hak orang Islam dalam "Cairo Declaration on Human Rights in Islam" (CDHRI) harus diberi perhatian sewajarnya semua pihak.

CDHRI Perkara 17 (a) menyebut "Setiap orang berhak hidup dalam persekitaran bersih, jauh dari kelakuan buruk dan moral keji, persekitaran yang mendorong pembangunan dirinya dan menjadi tugas negara dan masyarakat pada amnya menyediakan hak itu".

Akhirnya, menyedari adegan itu adalah sebahagian manifestasi keruntuhan moral Barat yang wajar disekat siarannya, ACCIN berharap kerajaan, LPF, TV3 dan semua stesen penyiaran dapat mengambil pengajaran bagi memastikan perkara sama tidak berulang.(sumber: Datuk Zainal Abidin bin Abdul Kadir Pengerusi ACCIN)

17 April 2012

POLITEKNIK KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI: TERBELA ATAU DIBELA?

SEBELUM politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti berpindah 'rumah' ke Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT), institusi pendidikan yang berorientasikan teknikal dan vokasional ini 'duduk sebumbung' di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia  (KPM)di Bahagian Teknik dan Vokasional KPM.

Sebelum TB menyentuh mengenai nasib,hala tuju dan masa hadapan para pensyarah Politeknik-Politeknik KPT (PKPT), TB sukalah menyingkap senario sejarah tercetusnya mengenai cuti tahunan para Ketua Pejabat  (Guru Besar, Pengetua, Pengarah) yang mengepalai sekolah rendah,sekolah menengah, maktab/politeknik KPM ketika itu.

TB ketika itu turut menganggotai sebagai Ahli Majlis Permuafakatan Kementerian Pelajaran Malaysia yang pada masa itu dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Rafie Mahat.Ahli majlis ini di samping dianggotai oleh pengarah-pengarah pelajaran(pendidikan), ketua-ketua bahagian KPM, ianya turut dianggotai oleh presiden-presiden dan setia-setia usaha persatuan/kesatuan perguruan kebangsaan.

Seingat TB, isu cuti tahunan timbul ketika membahaskan beban kerja ketua-ketua pejabat atau pentabiran di institusi pendidikan khususnya di sekolah-sekolah dan tuntutan elaun beban kerja atau kerja lebih masa yang turut dibangkitkan oleh Majlis Guru-Guru Besar dan PKPSM (badan mewakili pengetua-pengetua sekolah menengah; termasuk pengetua maktab, politeknik dan kolej komuniti sebelum dinaik taraf kepada 'pengarah').

Dipendekkan cerita, isu tersebut dipanjangkan dengan menyediakan kertas kerja proposal ke JPA. Alhamdulillah, JPA meluluskan tuntutan elaun kerja masa (TB tidak pasti mungkin termasuk elaun tanggung kerja atau pangku kerja dan seumpamanya) yang mana ketua-ketua pejabat ini (termasuklah semua guru besar, pengetua dan pengarah maktab/politeknik ketika itu) mendapat nikmat faedah dengan syarat cuti persekolahan yang selama ini dinikmati oleh guru-guru/pensyarah di KPM diganti dengan CUTI TAHUNAN sama seperti penjawat awam yang bukan guru/pensyarah KPM. Senario inilah yang banyak tidak diketahui oleh kebanyakan warga KPM dan KPT.

Apabila politeknik/kolej komunti 'berpindah' ke KPT, rata-rata para pensyarahnya menjangkakan prospek mereka juga dinaiktarafkan seperti para pensyarah di IPTA yang bernaung di bawah KPT.TB dimaklumkan pada mulanya para pensyarahnya juga turut menjangkakan  budaya kerja seperti semasa di bawah KPM. Bahkan mereka juga menjangkakan peluang kenaikan pangkat dan elaun-elaun sama seperti di IPTA khususnya para pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan sarjana dan PhD seperti mana rombakan yang dilakukan kepada lPSI/MPSI yang bertukar UPSI dahulu.

Namun ironinya dan amat menyedihkan para pensyarah politeknik (yang kononnya setaraf IPTA) diberitakan mengikut kerja waktu pejabat (punch card 8.00 pagi- 5 petang; ada juga mengikut waktu anjal). Mereka juga bukan hanya tertumpu kepada kerja-kerja akademik (p & p) tetapi dibebankan juga dengan kerja-kerja perkeranian dan pentadbiran.Bahkan yang menyedihkan ketika teman-teman sejawat mereka yang berada di KPM menikmati peluang prospek kenaikan pangkat yang lebih baik seperti mana yang diumumkan baru-baru ini oleh Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran Malaysia , nasib para pensyarah politeknik terumbang-ambing dan seakan 'samar dan kelabu' tidak menentu.Bahkan mereka yang memiliki ijazah lanjutan bagaikan tidak dipedulikan; tidak seperti teman-teman sejawat mereka di maktab-maktab perguruan yang kini telah dinaiktarafkan sebagai IPGM yang setaraf IPTA.

Justeru, TB tidak pastikah adakah nasib para pensyarah politeknik ini dibela dan mendapat perhatian daripada kepemimpinan atasan khususnya YB Menteri Pengajian Tinggi, Dato Seri Mohd Khaled Nordin? Adakah ada para pensyarahnya masih menjadi ahli Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan beberapa persatuan/kesatuan perguruan/pendidikan kebangsaan yang lain?Adakah ahli-ahli yang telah 'berpindah' ke KPT ini masih boleh mendapat pembelaan?

 Jika ada para pembaca budiman khususnya para pensyarah politeknik yang berstatuskan ahli mana-mana persatuan/kesatuan pendidikan sila ajukan atau laporkan kepada persatuan/kesatuan masing-masing.Cadangan TB adalah baik juga para pensyarah politeknik sendiri menubuhkan kesatuan kakitangan akademiknya seperti mana yang telah sedia wujud di IPTA bagi menjamin hak-hak mereka selaku kakitangan akademik. lngatlah 'zaman pecah dan perintah' sudah berlalu. Bersatu itu teguh.

 Keprihatianan pihak KPT meninjau dan mengambil perhatian kebajikan para pensyarah KPT amatlah dialu-alukan dan disanjung tinggi demi mencapai matlamat KPT ke arah pendidikan tekninal di peringkat global. (TB)




15 April 2012

MASJID AL AZIM PANDAN INDAH, SELANGOR DARUL EHSAN

TB ucapkan tahniah dan syabas kepada AJK Masjid Al Azim kerana berjaya menampilkan imej masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi sebagai pusat komuniti masyarakat. Kegiatan riadah, wacana ilmu, hiburan lslam seperti nasyid, sukan rakyat dan aktiviti ekonomi telah dapat dilaksanakan dengan baik. Pokoknya nawaitu yang baik akan menghasilkan matlamat yang baik jua.

Cuma TB tidak pasti adakah para penceramah sedia berceramah andainya tidak ada 'salam sampul'  (bayaran wang) dihulurkan. TB harap tidaklah benar andainya masyarakat kini melabelkan kini ramai lahir 'ustaz sampul' dan ala selebiriti yang agak rajin berceramah kini.

Almaklumlah zaman sekarang banyak lahir 'ustaz segera'. Tukang jual ubat pun menggelar diri 'ustaz', tok bomoh pun 'ustaz', pengajar silat pun dipanggil 'ustaz', penceramah motivasi yang sanggup melabelkan dirinya 'motivator diiktiraf' juga mahu dipanggil 'ustaz' penyanyi nasyid pun panggil 'ustaz' dan macam-macam 'ustaz' lagi.Walhal jikalau di Universiti AlAzhar gelaran 'Ustaz' itu untuk mereka yang berkedudukan 'Profesor' dan yang ada PhD di Universiti AlAzhar akan memakai tarbus (songkok Arab) yang bersalut baldu merah di atasnya!

Namun TB percaya masih ramai lagi 'ustaz' yang sedia menyampaikan ilmu agama secara percuma semata-mata niat kerana fisabilillah. Wallahualam. (TB)

14 April 2012

DONG ZONG JANGAN BIKIN MALU NANTI KENA "TIYAU"....


DONG ZONG nampaknya ingin menjadikan pendidikan Cina di Malaysia sebagai peras ugut politik. Ia cuba mengambil kesempatan Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai agenda menekan Kementerian Pelajaran, melakukan provokasi kepada orang-orang Cina supaya memperjuangkan isu-isu melampau.

Ia jelas sekali perkauman dan tidak sensitif dengan perasaan kaum lain dan tidak faham dengan Dasar Pendidikan Negara apalagi semangat Perlembagaan Malaysia. Kalau isunya bersifat administratif penulis percaya boleh diatasi dengan perbincangan.

Kalau ia sengaja dibangkitkan dengan maksud yang seiring dengan dasar politik pembangkang Dong Zong sudah tidak rasional lagi. Menteri Pelajaran telah sekian kali menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil seperti yang dibimbangkan oleh setengah pihak atau didesak oleh banyak pihak mengenai sekolah satu aliran.(sumber: UM,14/4/12)

TB: Bukan sekali dua masyarakat menuding jelek DONG ZONG yang TB pun tidak pasti apakah pertubuhan ini berdaftar atau tidak. Heboh juga dalam blog-blog yang mendedahkan Presiden Dong Zong yang kononnya 'membeli' ijazah kedoktorannya dan dari mana asal usul persekolahannya, TB pun tidak pasti. Nampak sangat Dong Zong ini setiap kali muncul seolah-olah menangguk di air keruh dan berjuang atas nama chauvinisme atau perkauman yang sempit. Dalam dunia tanpa sempadan ini, Dong Zong patut terima realiti. Jika mengiktiraf SATU MALAYSIA biarlah perjuangan itu atas nama Satu Malaysia; termasuklah satu bahasa 'Bahasa Malaysia', satu dasar pendidikan 'Dasar Pendidikan Malaysia' dan satu bangsa ' bangsa Malaysia'. lni bermakna bukan yang bersifat kecinaan. Jika mahu kecinaan; semuanya ada di negara CHINA. Bahkan di Singapura pun tidak ada lagi yang bersifat kecinaan! (TB)


TV ALHIJRAH

TB (penulis) mengucapkan syabas kepada warga TV ALHIJRAH (JAKIM) kerana saluran alternatif ini  mula mendapat tempat dan hati masyarakat. Bahkan TB dimaklumkan bukan hanya penonton beragama lslam sahaja yang menontonnya tetapi termasuk juga yang bukan lslam. Apa yang penting warga kerja TV ALHIJRAH sewajarnya beristiqamah,beriltizam dan berkeyakinan dengan jati diri dan wajah (imej) serta matlamat saluran ini.

Usahlah terikut-ikut dalam apa juga 'situasi' dengan TV saluran-saluran kotemporari yang lain. Apa yang wajar pengacara sewajarnya banyak membaca dan berilmu. Biarlah dalam setiap tutur kata sewaktu pengacaraan TV, sentiasa menggunakan bahasa yang standard yang mana gunakan bahasa yang betul, gramatis dan indah. Pengacara hendaklah sentiasa menerapkan nilai-nilai murni sejagat dengan menyelitkan petikan-petikan dan maksud ayat al-Quran, hadis, perumpamaan, bidalan dan pepatah Melayu. HARAMKAN frasa kata yang salah seperti; diaorang (mereka), kitaorang (kami), mereka-mereka (mereka) dan banyak lagi.

Perilaku dan cara interaksi serta komunikasi pengacara TV sentiasa diperhatikan penonton.Apatah lagi imej TV ALHIJRAH berkonsepkan dakwah lslamiah. Usahlah pengacara wanita yang kemungkinan keterlaluan lalu terlupa sambil bercakap menepuk bahu pengacara lelaki (ini pernah terjadi). Dalam apa jua pun baik solekan, senyuman dan gelak ketawa biarlah sederhana. Hindari yang bersifat keterlaluan.

Pemilihan bahan dan program yang berbentuk ilmu duniawi dan ukhrawi wajar diperbanyakkan. Buktikanlah Bahasa Melayu yang pernah berperanan sebagai lingua-franca dan bahasa utama di Nusantara dalam penyebaran agama lslam sejak abad ke-13 lalu patut dihidupkan dan disuburkan semula. Kitab-kitab karangan Raja Ali Haji, Sheikh Nuruddin al-Raniri,Hamzah Fansuri dan sebagainya boleh dikupas bagi menggali semula ilmu dan ajaran lslam yang tak lapuk dek panas tak lekang dek hujan.Sekiranya mahu menyiarkan program hiburan import seperti dari lndonesia TB sarankan pilihlah drama/sinetron yang berkonsepkan hidayah agama yang banyak disiarkan di TV 5 (Tipi Lima) lndonesia.

TB ucapkan selamat maju jaya. (TB)

13 April 2012

SALAHUDDIN AYUB PEMIMPIN PAS

SAAT  Aceh dilantun gempa bumi dengan kekuatan 8.6 skala ritcher saya (Mohd Sayuti Omar) sedang minum kopi dengan Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub di sebuah kopitiam di Taman Melati Kuala Lumpur. Agak lama saya tidak bersembang dengan Salahuddin. Sejak beliau 'bertukar paksa' kawasan dari Kubang Kerian (Kelantan) ke Johor (belum tentu kerusi mana), jarang-jarang kami dapat bersembang kerana masing-masing kesibukan.

Saat saya di Kuala Lumpur dia ke Johor Bharu. Nampaknya Salahuddin terpaksa membuka 'huma' baru sekali lagi selepas berjaya membuka tanah hutan di Kubang Kerian. Tentulah berbeza sekali membuka tanah hutan di Johor dengan mendiami kawasan sudah kerja (KSK) di Kelantan. Apa yang diduduki atau diusahakan oleh Salahuddin di Kubang Kerian boleh dianggap sebagai, dia mengusahakan kawasan sudah kerja (KSK).

Berada di KSK lebih mudah dari membuka huma baru yang masih penuh dengan onak dan duri serta gaung yang curam dan dalam. Di KSK kemudahan asas seperti jalan, eletrik dan air sudah tersedia. Tunggu lagi untuk mengindah dan mencantikkan memerlukan daya kreativiti yang tinggi. Alhamdulilah selepas sembilan tahun (dua penggal) di Kubang Kerian Salahuddin berjaya memberi sesuatu kepada rakyat Kubang Kerian dan beliau sendiri berjaya mencatat nama sebagai seorang wakil rakyat berkualiti.

Menyebut jasa besar beliau di Kubang Kerian bagi saya ialah bagaimana usaha beliau membangunkan rumah untuk anak-anak yatim. Mengkagumi peruntukan dicari sendiri dan tidak bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan. Sokongan orang ramai membantu anak yatim dari seruan ikhlas Salahuddin menjelaskan bahawa beliau mempunyai pengaruh dan disayangi oleh orang ramai.

Selain itu beliau berjaya memainkan peranan di parlimen dengan jayanya. Perbahasan atau isu-isu serta kerajinan ditunjukkan meletakkan Salahuddin sebagai ahli Parlimen dikenali dan dikagumi. Ini ditokok pula dengan cara dia berbahas dan berhujah penuh sentimental dan tidak dibuaki emosi. Tentulah kejayaan itu didokongi keberhasilan beliau sebagai wakil rakyat di Kubang Kerian.

Perpindahan beliau ke Johor saya ibaratkan sebagai pulangnya perantau ke negeri sendiri setelah lama berpergian menuntut ilmu. Ketiadaanya selama ini bolehlah dianggap beliau pergi bertapa mempelajari ilmu dan menuntut rukun-rukun dan peradaban politik di Kelantan. Al maklumlah Kelantan adalah universiti politik terbuka di negara ini.

Apabila Salahuddin diminta untuk pulang dan dia sendiri rela, ini menunjukkan ilmu yang dipelajarinya sudah sarat dalam dada. Dia sudah bersedia untuk berbakti di watan sendiri. Apa yang diperolehi dan dialami selama sembilan tahun di Kelantan akan dicurah ataupun dimanfaatkan di negeri kelahirannya pulak.

Membuka tanah baru atau pulang untuk berhadapan dengan petulangan, bukan mudah. Johor adalah kubu kuat Umno yang penuh dengan pahlawan yang tikam tidak lut selam tidak lemas bakar tidak mudah hangus. Ia akan menguji Salahuddin sebagai pejuang dan pemimpin. Di Johor nanti daya kepimpinannya akan dituji. Intelektualiti kepimpinanya juga akan diperiksa. Begitu juga dengan ilmu hakikat siasah yang diperolehi akan dicabar di Johor kelak.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah beliau berjaya atau tidak. Berjaya dalam perjuangan adalah subjektif. Kejayaan bukan bermakna menang kerusi yang ditandingi, tetapi berjaya mengharungi perjuangan, pembukaan tanah human baru dan ikhlas meninggalkan tanah lama juga, itulah kejayaan sejati. Dalam perjuangan kalah dalam pertarungan bukan kalah. Istiqamah dalam perjuangan itulah kemenangan mutlak yang dicari.

Mengenang pengembalian Salahuddin ke Johor sesuatu yang menarik buat saya. Perpindahan tanpa bantah zahir itu menunjukkan beliau ada nilai-nilai tawaduk dan taat kepada pucuk pimpinan. Apabila timbul cakap-cakap mengatakan Pas Kelantan tidak mahukan orang luar, atau orang luar setakat dua penggal sahaja, Salahuddin sudah membuat persediaan disegi mental. Dia memahami mesej itu dan bertindak sebelum orang mengunci pagar.

Beliau tidak memberi apa-apa komen dan pasrah dengan kehendak dan keputusan itu. Syarat yang ditetapkan oleh Kelantan yang memberi pinjaman dan gelanggang untuk beliau berlajar mengenali rakyat dengan title wakil rakyat diterima dengan penuh terima kasih. Maka beliau terus membuat persiapan untuk berpindah rumah dan membuka huma baru.

Tidak ada apa-apa protes baginya. Saya pernah menyatakan sesuatu kepadanya untuk mengenali hati budinya dalam politik dengan perpindahan itu. Namun beliau tenang menjawab; "kita sebagai pejuang dan orang parti kena ikut arahan pemimpin, T" begitulah katanya lembut dan penuh sopan. Nada cakapnya yang selalu bebunga sedih menyebabkan hati jadi terkedu.

Tidak nampak yang beliau ralat dengan cadangan itu. Walaupun beliau tahu kehidupan di lokasi baru - tanah huma tidak semudah yang dilalui di tanah KSK, tetapi ia bukan sebab untuk beliau menolak atau berdalih, jauh sekali merajuk sebaliknya itu dijadikan cabaran dalam dia berpolitik.
Baginya dia telah menjadikan dirinya sebagai panglima yang sedia menurut arahan demi perjuangan.

Saya yakin dan percaya juga dengan perwatakan dan sejuring hatinya yang saya kenali beliau bukan seorang yang tahu mendesak dan berhajat menyusahkan parti. Ketulusan Salahuddin dalam perjuangan tercermin pada raut wajahnya yang jernih dan tenang.

Ini terbukti sebagai Naib Presiden beliau berhak untuk memperjuangkan dirinya untuk bertanding di mana-mana sahaja. Namun itu nampak tidak pernah digunakan untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya kedudukan sebagai Naib Presiden banyak digunakan untuk memperjuangkan nasib kawan-kawannya atau menjadi jambatan mengharmonikan keadaan dalam parti.

Apa yang berlaku di Kedah - pergelutan di antara Pahkrorazi Zawawi dengan Azizan Razak adalah bukti macam mana komitmen dan peranan diaminakn oleh Salahuddin. Apabila menyedari pergelutan semakin panas dan tiada usaha menanganinya maka beliau telah mengambil inisiatif menjadi orang tua memperjudikan dirinya demi kebaikan parti menangani isu itu.

Dalam hal ini Salahuddin telah menguji dirinya sendiri. Cuba kalau inisiatif itu tidak menjadi ia boleh dianggap beliau mencari fasal dan akan meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang gagal. Namun tanggungjawab itu diambil menunjukkan Salahuddin seorang yang memiliki iltizam yang kuat dan meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan dirinya. Alhamdulilahpergelutan di Kedah itu selesai dengan jaya.

Apa yang berlaku dan dilakukan Salahuddin sewajarnya diteladani oleh individu tertentu terutamanya oleh mereka yang merasakan diri mereka tidak dilayan dengan adil menjelang pilihan raya ini. Mereka yang akan tidak diletakkan bertanding kerana sebab-sebab tertentu ataupun dipindah kawasan kerana sebab-sebab tertentu juga perlu malu dengan Salahuddin.

Akurlah taatilah keputusan parti. Kenapa kita begitu sukar untuk menerima pandangan parti? Kalau Salahuddin boleh dengan senang berangkat ke Johor meninggalkan tanah KSK yang sudah dimajui, pokok sudah berbuah dan rakyat sudah sebati dengannya, kenapa tidak dengan kita? Seorang pejuang tidak boleh penakut dan terlalu hipokrasi.

Berjiwa besarlah seperti Salalhuddin. Kenapa kita merasa susah untuk akur dengan keputusan parti sebab kita merasakan apa yang menjadi milik kita itu adalah hak kita. Sedangkan apa-apa yang kita rasai itu dan nikmati itu hanya pinjaman sahaja. Hakikatnya kuasa, jawatan yang dipikul oleh seseorang wakil rakyat itu bukan hak mereka tetapi hak rakyat. Jadi kenapa harus gentar dan merasa sedih atas pertukaran atau pengunduran kita.

Jika kita benar-benar hebat letaklah di mana-mana pun kita tetap hebat, bak kata pepatah kalau benih yang baik lempar ke laut menjadi pulau lempar ke lembah menjadi gunung.- http://www.msomelayu.blogspot.com/

12 April 2012

NEGARA MUFLIS KALAU PEMBANGKANG MENANG?

NEGARA  akan muflis dalam tempoh dua tahun jika pakatan pembangkang memerintah dan menunaikan tiga perkara yang dijanjikan dalam siri kempen politik mereka sejak beberapa tahun lalu.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai  berkata, tiga janji tersebut iaitu menghapuskan kutipan tol, gaji minimum RM4,000 sebulan dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, sekiranya pembangkang memerintah negara ini, mereka memerlukan RM200 bilion setahun untuk menunaikan kesemua janji tersebut.

''Ketiga-tiga janji itu tidak realistik kerana untuk menghapuskan kutipan tol sahaja kerajaan memerlukan perbelanjaan tambahan RM100 bilion, PTPTN, RM43 bilion dan gaji minimum, hampir RM60 bilion setahun.(sumber: UM, 10/04/12)

11 April 2012

DYMM SPB DI-PERTUAN AGONG KE- 14 : DAULAT TUANKU !



Istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 bermula pagi ini di Istana Negara di sini dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.


Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terlibat dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara. 


Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, sebelum menerima "Hormat Diraja" daripada barisan kawalan kehormat, yang diikuti dengan lagu "Negaraku." 

Serentak dengan lagu "Negaraku' dimainkan, Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan.

Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pertabalan kali ini turut melakar sejarah kerana buat pertama kali Sultan yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. 

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84. 

Upacara hari ini yang disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dirakamkan oleh National Geographic Channel dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk penerbitan dokumentari bagi siaran di persada antarabangsa. 

Dokumentari pertabalan kali ini menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya. - (sumber:BERNAMA, HM , 11/04/12)



TB: Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Terkenang ketika di Negara Brunei Darussalam.

10 April 2012

BERSIH 3.0: DIBENARKAN ?

KERAJAAN  tiada masalah membenarkan perhimpunan BERSIH 3.0 dilangsungkan seperti dirancang selagi penganjur mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2011 dan tidak menimbulkan sebarang gangguan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, atas semangat akta yang baru digubal itu, kerajaan tidak akan melarangnya.

Ditanya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini, Hishammuddin berkata kumpulan itu boleh berhimpun tetapi tidak boleh menyusahkan orang awam atau menjejas ketenteraman awam.

Ditanya sekiranya penganjur boleh menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan, Hishammuddin bagaimanapun tidak memberikan jawapan jelas.

Sebaliknya, beliau berkata penganjur perlu berbincang dengan polis dan mencari lokasi lain supaya tidak menjejaskan orang awam.

Penganjur perhimpunan itu, BERSIH 2.0, sebelum ini mengumumkan bahawa perhimpunan berkenaan akan dijalankan selama dua jam bermula jam 2 petang pada 28 April di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perhimpunan dengan tema "Duduk Bantah" itu juga akan diadakan serentak di lokasi tertentu seluruh negara dan negara lain.

Perhimpunan berkenaan juga akan disertai oleh Himpunan Hijau – perhimpunan untuk membantah loji nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant di Gebeng, Pahang.(sumber:MK, 10/04/12)

BAHASA MELAYU KINI

ISU memperkatakan Bahasa Melayu yang dikenali juga Bahasa Malaysia atau Bahasa Kebangsaan yang menjadi bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan satu Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Pendidikan Negara bukanlah isu baru atau isu lapuk. Namun sejauh mana rakyat Malaysia sudah mempelajari sejarah Bahasa Melayu dan susur galur serta jurusan linguistik atau tatabahasa Bahasa Melayu itu, itu boleh dipersoalkan sama ada setiap masa ataupun dari semasa ke semasa.

TB tidak bercadang memberi kuliah bahasa Melayu yang banyak cabang subkursusnya dalam ruangan ini. Memadailah TB ingin menghebahkan perkara-perkara yang dianggap betul oleh masyarakat pengguna bahasa tetapi sebenarnya suatu kesalahan besar yang mana TB khuatir lama kelamaan menjadi 'hypercorrection' iaitu yang salah atau silap dianggap betul atau benar.Tumpuan TB hanyalah kepada Bahasa Melayu moden bukanlah Bahasa Melayu klasik.

Sebelum itu, TB sukalah mahu mengingatkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai dua bentuk aksara atau tulisan iaitu tulisan Jawi dan Rumi (termaktub dalam Perlembagaan). Namun kini tulisan rumi dipakai meluas. Usaha mempopularkan semula tulisan jawi agar tidak pupus hayatnya tetap dilakukan dari masa ke masa sebagaimana usaha  program J-QAF anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia menerusi subjek Pendidikan lslam.

Penggunaan Bahasa Melayu disampaikan melalui dua situasi iaitu Bahasa Melayu persuratan (rasmi) dan Bahasa Melayu komunikasi (lisan). Ada juga bahasa Melayu disampaikan dalam bentuk bahasa isyarat.TB mahu menyentuh mengenai nasib Bahasa Melayu komunikasi secara verbal yang luas diguna pakai kini. Sehubungan ini komunikasi lisan/verbal yang TB mahu sentuh ialah yang digunakan secara formal sama ada dalam bilik darjah, bilik kuliah, mesyuarat, seminar, pembentangan kertas kerja, pengacaraan majlis di radio,televisyen dan seumapamanya. TB dapati kedapatan rangkai kata atau frasa ayat yang digunakan agak silap keterlaluan. Contoh berikut:

Salah/Silap                                 Betul/Benar

semenjak dua menjak                 semenjak itu
kita orang                                   kami
dia orang                                    mereka
kita (GN diri pertama jamak)      kami
kita (GN diri jamak)                    kita
kita                                             kamu,awak,kau
mereka-mereka                           mereka

Contoh-contoh di atas ditunjukkan kerana kekerapan yang terjadi kini. Kepada guru, pemimpin, para pengacara di radio dan TV, ibu bapa dan  anda semua memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu bahasa. Dalam apa jua situasi gunakan bahasa Melayu yang betul,indah, dan gramatis.Namun demikian dialek atau loghat seperti dialek bahasa Melayu Kedah, bahasa Melayu Sarawak, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Kelantan dan lain-lain lagi bolehlah diteruskan dan dihidupkan dalam penggunaan situasi yang tidak formal seperti dalam kelompok keluarga dan teman-teman. Justeru, jika tidak tahu, belajarlah dan bergurulah.(TB)

09 April 2012

BABA NYONYA MELAKA: WAJARKAH STATUS BUMIPUTERA?

AKHBAR tempatan hari ini, 9.4.2012 melaporkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam akan mengemukakan kepada Perdana Menteri mengenai permohonan status Bumiputera terhadap kira-kira 4,000 spesis Baba Nonya Melaka. Ali Rustam turut memperakui sumbangan golongan tersebut kepada sejarah Melaka yang telah sedia wujud lebih 600 tahun yang silam.

TB ingin menarik salah satu kisah benar....seorang lelaki Cina yang berketurunan Baba Melaka, Mr. Yap (bukan nama sebenar) yang lahir di Melaka zaman pemerintah kolonial lnggeris di Negeri-Negeri Selat. Apa yang istimewa beliau bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Melayu yang petah dan fasih (telor/loghat seperti Melayu juga) tetapi beliau dan keluarganya boleh bertutur dalam dialek Hokkian dan sedikit-sedikit boleh berbahasa Mandarin dan lnggeris. Mr Yap telah berkahwin dengan wanita Cina dan dikurniakan 5 anak. Beliau tetap mengakui dirinya Baba.

Kemudian sebelum negara mencapai kemerdekaan, beliau berkahwin dengan wanita Melayu setelah memeluk lslam dengan menukar nama Ahmad bin Abdullah (bukan nama sebenar).Kerana beliau bijak menyesuakan diri dengan keluarga baru, beliau berjaya mengassimilasikan dirinya dengan agama lslam, adat resam Melayu dan cara hidup orang Melayu.

 Bahkan beliau secara automatik 'menjadi Melayu' dan merasakan dirinya Melayu termasuk cara pemikirannya. Kini anak-anak cucunya tetap merasakan Melayu dan tercatat berketurunan Melayu. Setelah menjadi 'Melayu' dan berstatuskan bumiputera secara assimilasi beliau terus terang menyatakan kejayaan seseorang itu bukan bergantung kepada status bangsanya tetapi bergantung kepada rajin atau malas, beriltizam atau pasif, berilmu atau tidak berilmu. Sekarang Encik Ahmad bin Abdullah telah kembali ke rahmatullah ketika usianya menginjak lebih kurang 83 tahun.

Soalnya, apakah Baba Nonya Melaka sekarang yang generasi muda kini telah hidup cara moden yang mana telah bertutur bahasa Mandarin, bersekolah di SJK Cina, sudah hilang identiti cara berpakaian, berdondang sayang, cara kejiranan, corak pemakanan dan pemikiran, telah berkahwin campur dengan 'Cina Totok' (Cina Malaysia) mahu mengidentifikasikan dirinya Baba Nonya? TB ingin tahu apakah yang dimaksudkan dengan Baba Nonya itu?

 Ali Rustam ada menyebut keturunan Baba Nonya datang sejak awal zaman Kesultanan Melaka dahulu. Bagaimana pula yang datang semasa zaman pentadbiran lnggeris di Negeri-Negeri Selat pada tahun selepas 1880-an? (sila rujuk dan baca Hikayat Abdullah). Bagaimana pula mahu kita berikan status Baba Nyonya di Pulau Pinang dan Singapura? Pening? Justeru, tiada masalah janganlah buat masalah atau menambahkan masalah yang telah sedia banyak. Janganlah 'bermain politik' perkara sebegini. (TB).


08 April 2012

ALI RUSTAM : TERGUGAT DAN DIGUGAT ?


PIMPINAN Pakatan Rakyat (PR) Melaka mencabar Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyatakan pendirian terhadap tindakan seorang pemipin Umno Cawangan dalam Parlimen Bukit Katil yang membuat ugutan bunuh terhadap seorang penduduk di Bukit Baru Dalam.
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek berkata, ugutan tersebut merupakan suatu perkara yang serius dan menggambarkan bahawa Umno sudah tidak mampu untuk berdepan dengan PAS dan PR secara profesional.

"Ketua Menteri mesti memberikan kenyataan tentang isu ini.
"Keduanya Umno mesti bertanggungjawab dengan semua isu keganasan politik seperti ini.

“Dan ketiganya polis mesti bertindak segera dan tidak mendiamkan diri sahaja berkaitan isu sebegini kerana banyak laporan dibuat menjadi hambar dan tiada tindakan yang diambil," ujarnya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Sementara itu Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong berkata sebagai Pengerusi Umno Negeri Melaka dan Ketua Umno Bahagian Bukit Katil, Mohd Ali Rustam mesti bertanggungjawab dan menyatakan pendirian berhubungan insiden tersebut.

"Kita cabar Ali Rustam supaya nyatakan pendirian berkaitan kes ini kerana ianya sangat serius melibatkan unsur-unsur jenayah.

"Dia tidak boleh berdiam diri kerana ianya melibatkan keselamatan rakyat dan keharmonian penduduk di situ," ujar Khoo yang juga Setiausaha Publisiti DAP negeri.

Beliau mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas supaya ianya tidak berulang lagi.

Semalam, Harakahdaily menyiarkan laporan bahawa seorang rumah yang tidak mahu namanya disiarkan telah membuat laporan polis bersama Penyelia Dun Bukit Baru, Yusof Wahab.

Ini ekoran tindakan 3 lelaki yang dipercayai pimpinan Umno dan penyokong Umno Cawangan Bukit Baru Dalam yang datang mengugut beliau dan suami beliau kerana memasang bendera PAS pada rumahnya yang disewa menjadi Markas PAS.(sumber:HDN. 08/04/12)

PRU 13: SELAMATKAN ISLAM , MELAYU, RAJA


Pengundi, khususnya di Pulau Pinang perlu menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai peluang untuk menyelamatkan serta melindungi hak keistimewaan Islam, Melayu dan institusi raja daripada dihapuskan oleh pihak- pihak tidak bertanggungjawab termasuk pembangkang.

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali menegaskan, undi mereka akan menjadi penentu kerajaan mana yang boleh dipertanggungjawabkan mempertahankan ketiga-tiga keistimewaan tersebut yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebagai orang Islam mereka wajib mempertahankan ketiga-tiga perkara itu dan memilih pemimpin yang benar-benar dapat menyelamatkannya.(sumber: UM, 08/04/12)

07 April 2012

SULTAN MOSQUE SINGAPORE





Masjid Sultan, Kampung Gelam, Singapura



Masjid Sultan ialah sebuah masjid di Singapura dan terletak di kawasan Kampung Gelam. Ia merupakan sebuah masjid yang terpenting di negara itu.
Apabila Singapura diserahkan kepada British pada 1819, penguasa pulau tersebut,Temenggong Abdul Rahman dan Sultan Hussain Shah dari Johor, mendapat pampasan wang dari British untuk membolehkan mereka memerintah Singapura. Mereka juga diberi gaji tahunan dan juga hak untuk medirikan tempat tinggal di Kampung Gelam.
Kawasan di sekeliling Kampung Glam telah diperuntukkan oleh British untuk orangMelayu dan mereka yang beragama Islam. Di sini, Sultan Hussain telah membina istana beliau dan telah membawa kaum kerabatnya dari Kepulauan Riau untuk mendiaminya. Para pengikut Sultan dan Temenggong, yang kebanyakan berasal dari Riau, Melaka dan Sumatera, juga dibawa untuk tinggal di sana.
Sultan Hussain mempunyai hasrat untuk membina sebuah masjid yang setaraf dengan statusnya. Beliau membina sebuah masjid di sebelah istananya dari 1824ke 1826 dan mendapat dana dari Kompeni Hindia Timur Inggeris. Masjid yang asal merupakan sebuah bangunan berbumbung piramid berbaris dua dan merupakan seni bina yang lumrah pada masa itu.
Masjid ini pada mulanya ditadbir oleh cucu Sultan, iaitu Alauddin Shah hingga 1879. Pada 1914, kerajaan tempatan telah memanjangkan jangka masa sewa untuk tanah yang didiami masjid tersebut ke 999 tahun. Sebuah lembaga pemegang amanah didirikan untuk menjaga hal ehwal masjid.
Singapura, pada awal 1900-an  telah menjadi pusat perdagangan Islam dan telah menarik ramai pedagang untuk bermastautin di Kampong Gelam. Oleh kerana masjid ini tidak dapat menampung bilangan jemaah Islam yang meningkat dan juga telah menjadi usang, lembaga pemegang amanah Masjid Sultan memutuskan untuk membina sebuah bangunan masjid yang lebih besar pada 1924.
Arkitek Denis Santry dari firma Swan and Maclaren yang dilantik untuk kerja pembinaan ini, telah dalam perancangan senibinanya, mengambil idea dari masjid-masjid ala Indo-Arab serta menggabungkan bentuk menara dan birai. Pembinaan masjid ini memakan masa empat tahun dan siap pada tahun 1928.
Reka bentuk Masjid Sultan tidak berubah sejak ia dibina semula pada 1924, dengan hanya proses pembaikan dijalankan kepada dewan utama pada tahun 1960-an dan juga pembinaan sebuah bangunan tambahan pada 1993. Masjid ini telah diisytiharkan oleh kerajaan Singapura sebagai sebuah monumen kebangsaan pada 14 Mac 1975.
Kini, Masjid Sultan milik Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).(sumber:wikipedia.org/wiki/Masjid_Sultan)




Ruang dalam Masjid Sultan Singapura

TB Sedang Berwuduk di Masjid Sultan Singapura



LEMBAGA PENAPIS FILEM , DEWAN BAHASA & PUSTAKA TEMPAT MENGADU?

TB menerima rungutan daripada para pembaca budiman, sejak akhir-akhir ini kedapatan pihak pengedar filem dan pawagam yang menayangkan filem-filem terbaru di pawagam yang tidak disertakan sarikata dalam Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan, bahasa Malaysia negara kita. Setahu TB, salah satu syarat wajib sesebuah filem asing yang mahu ditayangkan kepada umum di pawagam, selain melalui proses penapisan, wajiblah disertakan sarikata dalam BM. Apakah syarat wajib ini sudah berubah atau ada kelonggaran kini?

Dalam suatu tinjauan TB, memang benar TB pernah alami sebuah filem Hindi yang pernah ditayangkan di sebuah pawagam ternama di Kuala Lumpur tanpa TB sangka tidak mempunyai sarikata BM. lni sesuatu yang melanggar tradisi yang sepatutnya kita sedia maklum.

Seandainya ini berlaku, ini suatu malapetaka dalam usaha memartabatkah BM ada pihak yang memperlekehkan BM walaupun mengadakan sarikata BM banyak menguntungkan pihak pengedar filem.Soalnya, pihak penguat kuasa manakah yang patut bertindak; Lembaga Penapis Filem atau Dewan Bahasa & Pustaka? (TB)

KETUA PEMBANGKANG DITUKAR: GIMIK ATAU REALITI?

MENURUT   Setiausaha Agung PAS,  Datuk Mustafa Ali ,  Pakatan Rakyat (PR) bersedia menukar Ketua Pembangkang .

“Selepas pilihan raya ke-13, kita memang nak Datuk Seri Anwar Ibrahim digantikan oleh Datuk Seri Najib atau Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Pembangkang,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Mustafa berkata petang tadi, beliau ditanya wartawan daripada media perdana mengenai tindakan seterusnya yang akan dilakukan Pakatan Rakyat sekiranya Anwar berjaya dilucutkan jawatan di parlimen oleh impeachment yang cuba dibawa Datuk S Nallakaruppan dan peguam Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dalam permainan politik kuning Umno terbaru terhadap Anwar dalam isu biseksual.

Apabila wartawan tersebut bertanya samada PR bersedia menukar Ketua Pembangkang sekiranya berlaku, Mustafa yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Pa memilih untuk menjawab secara sinis soalan nakal beliau dengan menyatakan setuju bahawa Anwar digantikan dengan Najib dan Muhyiddin sebagai Ketua Pembangkang selepas PRU13.

Terdahulunya, Shafee berkata usul yang dikemukakan Nalla akan dibawa ke jawatankuasa disiplin parlimen bagi membolehkan Anwar digantung atau mengosongkan kerusi itu.


Membalas tindakan Nalla dan Shafee, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata pengusulan pelucutan jawatan Anwar sebagai Ketua Pembangkang menandakan kedua-dua mereka jahil undang-undang.

“Tiada peruntukan atau rujukan kes untuk pelucutan jawatan di Dewan Rakyat. Di England, kali terakhir ia dipakai pada 200 tahun dahulu dan kini sudah lapuk. Rasional pelucutan jawatan adalah untuk menjamin kebertanggungjawaban menteri dan eksekutif dalam pentadbiran. Adanya usul undi tidak percaya, jawatankuasa terpilih dan soal jawab tertutup parlimen menjadikan prosedur ini bahan sejarah.

“Contoh Bill Clinton yang digunakan Shafee juga menunjukkan beliau jahil akan mekanisme pelucutan jawatan di Amerika, yang diguna untuk memecat anggota Kerajaan Persekutuan seperti Presiden,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini berkata tiada peruntukan untuk usul melucutkan jawatan Anwar atas persoalan peribadi dan bukan salah laku beliau di Dewan Rakyat samada dari segi pertuturan dan tindakan.

“Tiada mekanisme untuk itu. Dalam standing orders, pun tak ada,” kata beliau di lobi parlimen.(MK)

AMPUN TUAN PATIK......


BEKAS isteri Sultan Brunei semalam memenangi kes mahkamah terhadap bekas pengawal peribadinya yang mencuri dan menjual berlian miliknya bernilai lebih 12 juta pound (RM60 juta).
Fatimah Kumin Lim mengambil batu permata yang dimiliki Mariam Aziz, 55, dan menggantikannya dengan barang kemas tiruan. Mariam yang mempunyai empat anak hasil perkahwinannya dengan Sultan Hassanal Bolkiah pada 1981 sebelum bercerai pada Februari 2003, ‘berjaya memenangi kes ini,’ umum hakim di Mahkamah Tinggi London.

Dakwaan itu bersangkut-paut dengan rantai tangan berlian bernilai 3.5 juta pound (RM10.5 juta) dan dua butir berlian berharga yang diberikan kepadanya oleh Sultan sebagai hadiah pada 1986.
Sebutir berlian berbentuk buah pir dianggarkan Mariam bernilai 8 juta pound (RM40 juta), manakala berlian berbentuk segi empat tepat berwarna kuning dikatakan bernilai 600,000 pound (RM3 juta). Hakim Justice Lindblom menolak dakwaan Fatimah, 34, bahawa dia diarahkan Mariam supaya menjual berlian berkenaan bagi membayar hutang judi majikannya itu. Mariam menuntut kerugian mengikut nilai harga rantai tangan itu atas dasar ia sudah dijual dan tidak dapat dikembalikan. Hakim berkata, dia berhak memperoleh kira-kira RM16.62 juta.(sumber:HM, 07/04/12)

SHAHRIZAT ABDUL JALIL : ELOKLAH SELAMAT JALAN!!!



Shahrizat Abdul Jalil bersama kakitangan KPWKM selepas Perhimpunan Bulanan KPWKM terakhirnya di Putrajaya, semalam. - BERNAMA




MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan menamatkan tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara dan menteri, Ahad ini meluahkan rasa sayu untuk meninggalkan warga kementerian itu.

Beliau bagaimanapun menganggapnya seorang yang bertuah kerana pernah dan berpeluang bekerja bersama-sama dengan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur, para pegawai dan semua kakitangan kementerian.
"Mereka semua yang berada di kementerian amat rajin, berdedikasi dan komited. Kami bertugas sebagai sebuah keluarga dan bersama-sama mengharungi suka serta duka.(sumber: UM, 07/04/12)
...

'NIKAH KOBOI' : ELAK DAN JAUHILAH.


PERNIKAHAN   yang menggunakan khidmat jurunikah palsu atau lebih dikenali sebagai ‘nikah koboi’ terutama yang berlangsung di tepi jalan tidak sah menurut syariah dan enakmen keluarga Islam negara ini.
Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Badli Shah Alauddin berkata, perkahwinan begitu perlu segera menjalani proses faraq yang membawa maksud kepada pembubaran pernikahan bukan melalui talak.

“Macam mana kita boleh kata pernikahannya sah sedangkan dia melanggar syarat wali iaitu perkara wajib dalam Rukun Nikah yang dijelaskan bahawa wali perlu berada melebihi dua marhalah (83 kilometer) dari lokasi pernikahan, baru kata tidak wujud.
“Tapi kes ini, dia melangsungkan pernikahan di tepi jalan, sekali gus menjelaskan yang walinya masih berada dalam lingkungan wujud. Maka, perkahwinannya tidak sah kerana tidak berwali.

“Walaupun pasangan yang mahu berkahwin itu sukar menemukan walinya, dia tetap perlu mendapat keredhaan individu terbabit untuk keberkatan dalam perkahwinannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai khidmat jurunikah palsu dikesan bergiat aktif di Perak dan beberapa negeri lain untuk pasangan yang mahu berkahwin, tetapi tidak mendapat restu ibu bapa atau suami yang ingin berpoligami tanpa kebenaran isteri.
Sindiket didalangi warga tempatan itu digelar ‘Tok Ayah’ menawarkan khidmat dengan bayaran RM2,000 hingga RM5,000 dan mengambil masa kurang 10 minit untuk proses pernikahan yang boleh dijalankan di tepi jalan sebelum pasangan diberi sijil nikah palsu.

Mengulas lanjut, Badli Shah yang juga bekas Kadi Daerah Temerloh berkata, berbanding pernikahan yang berlangsung di Thailand termasuklah  pernikahan di  Vietnam, Cambodia, lndia, China, lndonesia, UK, Arab Saudi dan sebagainya  masih sah  dari segi syarak. Cuma pasangan tersebut perlu dapat pengesahan daripada konsulat atau kedutaan Malaysia di negara tersebut. Dengan adanya surat perakuan itu, pasangan  tersebut bolehlah mendaftarkan perkahwinan mereka di mana-mana mahkamah syariah negeri-negeri dalam Malaysia yang berkenaan dan mendaftarakan pula di mana-mana pejabat pendaftar nikah,kahwin dan rujuk di mana-mana jabatan agama negeri yang berkaitan. Pendaftaran ini pun tidak bersifat paksaan tetapi atas kerelaan bagi tujuan memudahkan proses pengadilan hal ehwal kekeluargaan lslam ( jika ada sebarang kes MAL berbangkit kemudian hari) ( disesuaikan daripada MyMetro 7/4/12).

TB: Pernikahan atau ijab kabul pahalanya seperti mendirikan sebuah masjid. Pokoknya tidak melanggari hukum syarak dan menghindari perkara-perkara yang mengharamkan.  Namun kita harus ingat di samping wajib mematuhi hukum syarak, kita juga mesti patuh umarak (pemerintah). Justeru menikah 'di tepi-tepi jalan' yang tidak sahih wajar dijauhi. Jika keadaan yang memaksa menikah di luar kawasan sejauh lebih dua marhala (lebih kurang 89-92 km) terutama di luar negara maka bernikahlah di Majlis-Majlis Agama atau Pejabat-Pejabat agama negara berkenaan (milik pemerintah). Bahasa komunikasi wajib difahami (sekiranya tidak faham gunakan khidmat juru bahasa menghindari ditipu) tidak kiralah sama ada menggunakan bahasa Melayu, lnggeris, Arab, Urdu, Parsi dan sebagainya.

06 April 2012

USIM DR. BAHROM SANUGI : SEBUAH KISAH DAN TELADAN


DR. BAHROM SANUGI

TERKEJUT dan tertipu! Itulah reaksi seorang bekas dekan sebuah universiti awam selepas menyedari isteri ketiga yang dinikahinya selama setahun di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009 rupa-rupanya seorang lelaki yang menyerupai wanita.
Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Fakulti Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak.
Semasa pernikahan ketiga berlangsung, Bahrom masih memegang jawatan dekan USIM.
Lanjutan aduan itu, pejabat agama pada 23 November 2010 mengarahkan Bahrom dan isterinya, Sri Wani Choo Abdullah, 37, seorang pengusaha butik kecantikan supaya berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.
Pasangan itu juga difahamkan sempat mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah sejurus mereka berkahwin di Songkhla untuk mengesahkan pernikahan tersebut.
Difahamkan, jabatan agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menyiasat mengenai status jantina Sri Wani.
Bagi segera menyelesaikan kemelut itu, Bahrom yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid kemudian memfailkan permohonan faraq (memisahkan perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini terhadap Sri Wani pada 17 Januari 2011.
Susulan itu, Bahrom membuat permohonan pada 18 Januari lalu supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan jantina sebenar Sri Wani.(sumber: Kosmo, 06/04/12)

TB : No comment. 

05 April 2012

BERSIH 3.0 : RELEVANKAH?

PENGANJUR  BERSIH 3.0 hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan tersebut akan diteruskan pada penghujung bulan ini - jam 2 petang 28 April - di Dataran Merdeka, pusat bandar Kuala Lumpur.

Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A Samad Said ketika mengumumkan perkara itu turut menganggarkan 500,000 orang dijangka menyertainya kali ini.

bersih pc on jom 100 170112 samad saidKatanya, anggaran itu dibuat berdasarkan interaksi dan pertemuan beliau dengan anggota masyarakat dalam majlis tertentu dan juga di laman media sosial.

"Saya sendiri berjalan di mana-mana dan orang bertanya bila?

"Daripada interaksi sewaktu berjumpa dalam majlis atau dalam Facebook, saya mengkhayalkan setidak-tidaknya, himpunan ini akan mengumpul 500,000 orang," katanya.

Perhimpunan yang anjurkan bersama dengan 84 NGO lain itu juga akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia, kata sasterawan negara itu lagi.

Dalam perhimpunan kali ini, para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang.

"Walaupun BERSIH 3.0 adalah duduk sahaja, tetapi dia memberikan impak yang kuat," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

bersih announcing 3rd rally 040412 leafletSementara itu, Datuk S Ambiga yang juga pengerusi bersama berkata pada perhimpunan lalu, sebanyak 32 lokasi di seluruh dunia terlibat dengan BERSIH 2.0.

Katanya, jumlah itu berkemungkinan akan bertambah pada perhimpunan kali ini.

Lokasi luar negara itu akan diumumkannya pada sidang media selepas ini, katanya.

Perhimpunan kedua pada 9 Julai tahun lalu dihadiri puluhan ribu rakyat yang menuntut supaya lapan perkara itu dilaksanakan.

Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara untuk menambahbaik pilihan raya.

Laporan jawatankuasa itu dikemukakan ke parlimen semalam dengan bantahan oleh wakil pembangkang. (sumber: MK, 05/04/12)

03 April 2012

SISTEM TUKAR HAK MILIK SEMENTARA

SISTEM Tukar Hak Milik Sementara untuk membolehkan pemilik kereta menukar hak milik sementara kepada pengedar kereta terpakai bagi memudahkan penjualan kereta terpakai, dilancarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, semalam. “Penukaran hak milik kereta sementara hanya sah bagi tempoh maksimum enam bulan. Jika dalam tempoh itu, kenderaan itu tidak dijual, dengan itu syarikat kereta terpakai akan diberikan hak milik kekal kenderaan itu dan tempoh sementara itu secara automatik terbatal,” katanya selepas majlis pelancaran sistem itu di sini.

Beliau berkata, sistem itu menyediakan transaksi lebih selamat antara pemilik kereta dan pengedar kereta terpakai, dengan pemilik kereta terdahulu bebas daripada sebarang isu berkaitan kereta itu ketika fasa transaksi sebelum kereta itu dijual kepada pemilik baru.

“Dengan penukaran hak milik sementara, pengedar kereta terpakai akan bertanggungjawab atas segala kemalangan, saman, aduan dan sebagainya.

“Kita harap pengguna iaitu penjual faham bahawa mereka akan mendapat satu slip yang membuktikan yang kereta itu telahpun dijual (dan ditukar hak milik sementara) lengkap dengan butirannya.

Cho Ha berkata, tempoh penukaran hak milik sementara itu bukan untuk membeli kereta terpakai.
Katanya, sistem itu masih belum diwajibkan kepada semua pengedar kereta terpakai, sebaliknya ia akan bertindak sebagai alternatif kepada pemilik kereta dan pengedar kereta dalam mengendalikan transaksi dengan lebih selamat.

Beliau berkata, sistem online sudah dilaksanakan sejak Januari dan dibangunkan oleh eAuto.com dan MyEG Services Bhd, dijangka kira-kira 3,000 pengedar kereta di seluruh negara berdaftar dengannya menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, kira-kira 100 pengedar kereta berdaftar dan kita harap lebih ramai lagi akan berbuat demikian,” katanya.

Katanya, di bawah sistem itu, transaksi tukar hak milik kenderaan akan dikenakan caj kerajaan sebanyak RM10, dan RM15 oleh penyedia perkhidmatan dan kos itu akan ditanggung oleh syarikat kereta terpakai dan bukannya pemilik atau penjual kereta. –(sumber: BH, 03/04/12) 

01 April 2012

HATYAI THAILAND: BERITA MUTAKHIR


Senarai rakyat Malaysia mangsa letupan bom di Hatyai

Berikut ialah senarai nama mangsa warga Malaysia yang terbunuh dan cedera dalam kejadian letupan bom di Hotel Lee Garden Plaza di sini:
Meninggal dunia
1. Law Phin Hock, 46, (lelaki) berasal dari Taman Seri Petaling, Kulim, Kedah.
Hospital Rajyindee
1. Minnie Ng, 35, (perempuan), Banda Hilir, Melaka.
2. Choo Kok Boon, 46, (lelaki), UOG Heights, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
3. Sangathali Khrisnan, 33, (perempuan), Jasin, Melaka.
Hospital University Prince of Songkhla (PSU)
1. Ooi Foon Chuan, 33, (lelaki), Bukit Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang - kritikal.
2. Wong Szee Ee, 28, (perempuan), Butterworth, Pulau Pinang.
3. Lin Hock Bee, 38, (perempuan), Alor Setar, Kedah.
4. Lew Kin Lai, 38, (lelaki), Alor Setar, Kedah - kritikal.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menasihatkan rakyat Malaysia yang tiada hal penting agar mengelak daripada pergi ke selatan Thailand berikutan beberapa kejadian letupan bom di kawasan itu.

Beliau berkata, terdapat seorang lagi rakyat Malaysia dilapor masih hilang dalam kejadian tersebut selain seorang disahkan meninggal dunia. Dalam kejadian itu, 10 daripada 27 rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tersebut mengalami kecederaan serius iaitu 30 hingga 40 peratus terbakar.( sumber: Utusan oline, 01/04/12) TB turut merakamkan takziah kepada semua keluarga yang terbabit dan TB bersyukur bagi pihak yang selamat. 



TB di sebatang jalan utama di Hatyai

Pemandangan Kota Hatyai 


Night Market di Hatyai Berhampiran Plaza Lee Garden Hotel