Salam Perjuangan

18 Februari 2012

BEIJING CHINA, CATATAN SEBUAH PERJALANAN

 SAYA dan rombongan TM Travel & Tours dibawa ke dataran Tianamen yang dingin cuaca dan suhu ketika itu untuk melihat lokasi bersejarah itu dan yang menjadi tumpuan para pelancong asing datang dan bergambar.

Penulis (TB) di Dataran Tianamen
Sungguh ramai manusia datang ke sini, jadi tidak pelik apabila bertembung dengan kumpulan pelancong dari Malaysia sendiri.
Kebiasaannya para pelancong datang ke dataran Tianamen untuk bergambar dengan berlatarbelakangkan bangunan Parlimen, Muzium Kebangsaan dan pintu gerbang masuk ke Forbidden City.
Forbidden City (Kota Larangan) Beijing,China

Pintu-pintu gerbang ini bukan seperti gerbang biasa tetapi lebih menyerupai bangunan besar yang mempunyai laluan terowong di bawahnya untuk masuk ke perkarangan yang ke seterusnya.
Di Hadapan Sebuah Restoran Muslim

Pada zaman dahulu untuk masuk ke Forbidden City, seseorang itu akan melalui 9 pintu gerbang sebelum tiba di perkarangan utama. Sebahagian daripada pintu itu telah lama dirobohkan.

Setelah melewati tiga gerbang dan perkarangan, barulah tiba di kaunter tiket. Tiket untuk masuk ke Forbidden City ialah RMB60.Namun kami dikhabarkan telah termasuk dalam pakej lawatan kami.



Sebuah Tasik Yang Beku Ketika Musim Sejuk
Orang-orang di sini kata, tidak sah datang Beijing jika tidak buat tiga perkara iaitu melawat Forbidden City atau kota larangan memanjat Tembok China dan makan itik panggang Peking.Hmm, tapi saya tidak makan itik panggang itu.

Bahagian dalam Forbidden City bermula dengan sederet jambatan. Jambatan di tengah-tengah adalah hanya untuk maharaja, di sebelahnya adalah untuk permaisuri dan diikuti dengan pembesar-pembesar istana. Jambatan paling tepi adalah untuk mereka yang berpangkat paling rendah.

Ruang perkarangan forbidden city agak luas dan tidak berpokok seperti yang kita sering tonton dalam filem-filem China dan Hong Kong, serta terbahagi kepada banyak perkarangan. 
Balairong maharaja terletak di bahagian tengah forbidden city, manakala beberapa bangunan lagi seperti perpustakaan berada di belakangnya.


Bermain Salji Sungguh Menyeronokkan

Di bahagian belakangnya juga ada taman-taman dan tasik. Mengikut kisahnya, terdapat 999½ bilik di dalam kompleks istana ini, memang satu hari pun tidak cukup untuk meninjau semua kawasan di situ. (diolahsuaikan daripada UM,16/9/11-TB)

HARI INI

Awan kian syahdu
langit mendung kelabu
tatapku menyimpan rindu
tiada tempat mengadu

Desa kian jauh
kota di hutan batu
layar kehilangan sauh
teman menjadi sekutu

Desir tanpa arah
haluan tanpa kemudi
sahabat kian parah
kehidupan tidak bersendi

Arus musim bersilih ganti
gelombang hadir tidak menentu
perhentian ini kita menanti
untuk menuju ke alam situ!


RAJIEE HADI,
Bandar Bukit Mahkota,Bangi.
18 Februari 2012.




15 Februari 2012

LEFTENAN ADNAN SAIDI: MEMORI SYAHDU 14 FEBRUARI

DALAM keghairahan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini menyambut tarikh 14 Februari sebagai Valentine Day atau hari memperingati kekasih, kita lupa pada tarikh itu juga mencatatkan satu peristiwa penting yang perlu diingati untuk membangkitkan semangat cinta dan kasihkan negara.
Tarikh 14 Februari menyaksikan satu tragedi, satu pengorbanan dan satu perjuangan seorang anak Melayu, yang tidak pernah merasa gentar berdepan dengan maut demi mempertahankan tanah melayu dari penaklukan tentera Jepun.
Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang keberaniannya menjadi sebutan sehingga kini.



Walaupun tewas namun perjuangan beliau tidak pernah ada noktahnya dan semangat itu terus membara bersama-sama pahlawan dan para perjuang tanah air yang lain sehingga ke hari ini.
Mungkin ramai generasi muda hari ini masih tidak mengenali tokoh pejuang ini, Lt. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor dilahirkan pada 1915.

Adnan mendapat pendidikan awal di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan berdedikasi. Setelah tamat persekolahan beliau memulakan karier sebagai guru pelatih selama setahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun.
Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta terpilih sebagai rekrut terbaik.

Pada 1936, beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan dan setahun kemudian Lt. Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.
Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan ke Pangkat Leftenan Muda dan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Lt. Adnan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.

Pada 1941, Lt. Adnan membawa keluarganya tinggal di Pasir Panjang dan ketika berita pihak Jepun bersedia menyerang Singapura, beliau membawa keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang dan pada ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak yang ketiga. Itulah kali terakhir Lt. Adnan bersama keluarganya sebelum beliau menemui ajal di tangan Jepun.

Pertempuran Bukit Candu

PERTEMPURAN Bukit Candu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, berlaku sehari sebelumnya.
Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.

Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik iaitu ia boleh melihat bahagian utara Singapura dengan lebih jelas dan merupakan laluan langsung ke kawasan Alexandra yang mana terdapatnya depot bekalan peluru dan gudang utama bekalan makanan, hospital tentera dan kemudahan-kemudahan lain Tentera British. Justeru, lokasi ini perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi melancarkan serangan ke pesisiran Selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.

Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya, namun Kompeni 'C' dan Lt. Adnan yang ditempatkan di perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai 'Celah' (Gap) telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun beralah dan berundur walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.

Pada tengah malam hari yang sama, 'C' Coy dengan kekuatan 42 orang terdiri daripada gabungan sebahagian anggota Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Briged India ke-44, diperintahkan untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu.

Setelah memilih lokasi yang sesuai untuk pertahanan, Lt. Adnan memerintahkan anggotanya memperkukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir di sekeliling kawasan tersebut. Pada petang 14 Februari, pihak Jepun mengatur strategi menggunakan helah dengan menyamar sebagai "Tentera Punjabi", British-Indian Army.

Bagaimanapun Lt. Adnan dapat menyedari helah tersebut apabila perasan sesuatu tidak kena dengan tentera berturban yang mara itu, bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.
Menyedari helah itu, Lt. Adnan membiarkan tentera Jepun tersebut menghampiri garisan pertahanan sebelum beliau dan anak buahnya melepaskan tembakan daripada mesingan Lewis dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat serta tentera Jepun sekali lagi terpaksa berundur dari Pertahanan Bukit Candu. Dua jam kemudian tentera Jepun melancarkan serangan balas besar-besaran dalam bilangan yang lebih besar.

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu dengan melibatkan pelbagai jenis senjata seperti granet, bayonet dan parang turut digunakan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut namun bilangan tentera musuh yang ramai tidak mampu dilawan oleh Lt. Adnan dan pasukannya.
Pertempuran yang berlangsung selama 48 jam itu menyebabkan ramai jiwa Askar Melayu terkorban dan tidak kurangnya yang cedera. Namun bagi Lt. Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.

"Biar Berputih Tulang, Jangan Berputih Mata", kata-kata inilah yang membakar dan terus menyemarakkan lagi semangat juangnya dan rakan-rakan yang lain agar tidak gentar menghadapi Jepun demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah yang terakhir.

Namun Lt. Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Candu akhirnya ditawan Jepun dan beliau sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung di sebatang pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet Jepun.

Mayat beliau dilarang diturunkan daripada pokok tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Jepun akan turut menerima nasib yang sama.
Kematian Lt. Adnan merupakan episod perjuangan seorang anak Melayu yang berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta. Semangat dan pengorbanan beliau perlu dikenang dan disemai dalam setiap generasi muda hari ini dengan menjadikan 14 Februari tarikh untuk dikenang, gugurnya seorang pahlawan dan pejuang negara.

Lt. Adnan turut dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Selangor oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datuk.
"Biar putih tulang, jangan putih mata," jadi pengajaran
SESUNGGUHNYA keberanian Lt. Adnan dan rakan-rakan yang bertempur bermati-matian merupakan episod yang kekal dalam lipatan sejarah.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Lt Datuk Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi? Masih adakah anak bangsa pada hari ini yang mahu mengikut jejak langkahnya yang sanggup berputih tulang daripada berputih mata? Pastinya jika Lt. Adnan dapat melihat Malaysia pada hari ini yang begitu makmur dan pesat membangun, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara ini dengan darah dan nyawanya.

Keberanian Lt. Adnan turut diakui oleh General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".
Iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah keberanian Lt. Adnan adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati di kalangan seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agama. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan oleh musuh negara.

Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah dan bangsa demi kepentingan material dan diri sendiri serta tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.

Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini.
Mereka perlu disedarkan agar tidak sesekali terjerat dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuru harakan negara demi kepentingan pihak tertentu.
Mereka harus menjadikan semangat Lt. Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan serta sayang dan cintakan negara.

Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu demi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.

Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka.

Pada tanggal ini, 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Lt. Adnan dan marilah bersama-sama kita menghadiahkan sekalung doa buat insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.(sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia)

14 Februari 2012

'NASIONALISME: PUPUK ANAK GENERASI MUDA!'












BUKTI MELAYU UTAMAKAN PENDATANG?


SEMPENA cuti panjang selepas menyambut Maulidur Rasul baru-baru ini, saya dan isteri ke Kuala Lumpur untuk mengintai peluang perniagaan. Kesempatan ini saya gunakan untuk melawat beberapa tempat menarik dan tumpuan orang ramai di KL. Ini termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Bukit Bintang dan KLCC.

Dalam pemerhatian, saya dapati rata-rata peniaga di kawasan ini bukan Melayu. Orang Melayu hanya berniaga di kaki lima, pinggiran gedung dan kedai. Kebanyakan mereka hanya berniaga di pasar malam di mana khemah didirikan di waktu petang dan terus berniaga hingga malam.

Saya juga memantau ke Pasar Seni dan Bangunan Aked Mara di mana terdapat Melayu berniaga tetapi tidak serancak di kedai-kedai yang terdapat di Bukit Bintang.

Seperti sedia maklum, gedung-gedung membeli belah dan kedai-kedai di KL semuanya dimiliki oleh bukan Melayu. Kalau adapun hanya tiga hingga lima peratus sahaja dimiliki Melayu. Sewa pula terlalu mahal untuk peniaga Melayu. Kalau begini sampai bila kita hendak melihat lebih ramai Melayu terlibat dalam perniagaan di bandar-bandar besar.
Saya juga ke Petaling Street dan Little India di Brickfields kerana sudah tiga tahun tidak ke sana. Tempat ini lebih cantik dan menarik berbanding apa yang saya pernah lihat dahulu. Ini kerana ia telah dinaik taraf oleh kerajaan untuk menarik pelanggan dan juga pelancong. Saya melihat identiti Petaling Street sebagai dimonopoli oleh kaum Cina dan Little India oleh kaum India.

Setelah pergi ke semua tempat ini saya bertanya kepada diri sendiri di manakah orang Melayu berniaga di KL seperti kaum Cina dan India yang masing-masing ada Chinatown dan Little India?

Apakah kaum Melayu yang terdiri daripada majoriti rakyat Malaysia tidak ada tempat untuk memperagakan ke-Melayuan kita? Haruskah dibiar bangsa kita terpinggir hinggakan tiada identiti di negara sendiri?

Saya ingin cadangkan agar kerajaan menyediakan tempat perniagaan untuk orang Melayu dengan identiti Melayu. Kerajaan perlu berkorban mencari tanah, tempat yang strategik, boleh berdaya maju serta menarik, lengkap dengan kemudahan awam. Jadikan tempat ini sebagai kawasan yang melambangkan bangsa Melayu dan juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Dapatkan tanah di tengah kota atau pinggir kota untuk usaha ini. Bina seperti 'mall' yang terdapat di dalam dan di luar negara, barisan kiri-kanan bangunan dua hingga tiga tingkat yang berunsur Melayu. Di tengahnya pula dijadikan kawasan kaki lima yang luas dihias dengan gerai-gerai kecil, berbumbung serta berudara nyaman.

Letakkan juga pondok jual barangan cenderamata seperti kain batik, songket, produk kraftangan, juga warung kopi, kafe dan restoran. Sediakan dataran dan pentas bagi upacara budaya dan surau untuk beribadat.

Jadikan ia tempat tumpuan beli belah keluarga yang beriadah di hujung minggu serta tarikan pelancong. Biarlah tempat ini nampak ada kelas dan selesa.

Kalau kerajaan telah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menaik taraf Petaling Street, Little India dan baru-baru ini Perdana Menteri umumkan peruntukan RM2 juta untuk sediakan Pusat Budaya India di Batu Caves, apalah kiranya kerajaan menyediakan peruntukan untuk membina kawasan 'Warisan Melayu' ini supaya kita tidak dilihat terpinggir?
Saya terkilan melihat rata-rata tidak ada satu pun pusat beli belah yang dikendalikan sepenuhnya oleh bangsa Melayu di KL. Kepada bangsaku yang telah dilimpahkan Allah dengan rezeki yang luas, lihatlah di keliling kita, bantulah usaha ini. Kita mahu bangsa kita juga berjaya.

Kepada syarikat bumiputera dan juga syarikat milik kerajaan (GLC) yang telah berjaya, inilah masanya untuk sama-sama memberi sumbangan dengan membantu kerajaan memajukan projek 'Warisan Melayu' tersebut demi maruah anak bangsa kita.

Diharap kerajaan bantulah anak bangsa kita dari kaca mata yang lebih luas, lebih besar dan lebih jauh. Bantulah mereka untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang terdapat di kompleks warisan ini supaya terus maju dan berkembang. Masukkan ia dalam kelendar pelancongan sebagai satu lagi tempat untuk dilawati pelancong dari dalam dan luar negara.(sumber: Y Hussin,UM 14/02/12)

11 Februari 2012

KFC: KENTUCKY FRIED CHICKEN (INSIDE STORY)

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan menemui kakitangan restoran Kentucky Friend Chicken i-City, Shah Alam untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden kekasaran yang berlaku di premis berkenaan Isnin lalu.
Setiausaha agung pertubuhan itu, Syed Hassan Syed Ali berkata, PERKASA akan berbuat demikian memandangkan pelanggan yang mendakwa diserang dalam insiden tersebut telah mendapat perhatian media.
"Nampaknya pihak yang didakwa diserang oleh pekerja KFC sahaja yang dapat perhatian media. PERKASA rasa mereka (staf KFC yang terlibat) perlu diberi peluang menjelaskan kepada orang ramai apa sebenarnya berlaku.
"PERKASA akan berjumpa dengan staf KFC terbabit dalam masa terdekat ini untuk mendapat penjelasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga memerhatikan bahawa komen yang timbul berhubung isu berkenaan "sangat tidak adil kepada staf KFC tersebut."
Katanya lagi, pelanggan yang tampil dalam sidang media semalam – Danny Ng – tidak sepatutnya bertindak memarahi kakitangan resoran berkenaan.
"Pastinya ada cara nak luahkan kehampaan apabila apa yang kita hendak sudah habis. Mengapa pula lebih suka menjerit-jerit marah dalam premis yang bukan dia punya? Dia hanya seorang pelanggan sahaja, apa hak dia nak marah-marah pekerja KFC," soalnya lagi.
Syed Hassan turut melahirkan keprihatinannya ke atas kakitangan terlibat yang menurutnya perlu "berdiri sepanjang hari dan bergerak ke sana sini dalam dapur" dan perlu melayani pelanggan yang ramai.
Malaysiakini juga telah mengunjungi premis berkenaan hari ini, namun pihak pengurusan restoran yang ditemui enggan mengulas mengenai insiden tersebut.
Tinjauan ke restoran dua tingkat itu mendapati premis tersebut beroperasi seperti biasa dan para pelanggan turut memenuhi ruang makan di tingkat bawahnya untuk makan tengah hari. (sumber: my.news.yahoo.com, 11/02/12)

TB turut bersimpati nasib pekerja-pekerja makanan segera yang komited dan rajin  di restoran-restoran makanan segera yang tumbuh melata di negara  kita dewasa ini.Yang kebanyakannya pula anak-anak muda bumiputera yang hendak mencari rezeki sesuap nasi sambil menimba pengalaman.lronisnya dan amat menyedihkan, kurang banyak mana-mana pertubuhan membela nasib mereka. Apatah lagi upah elaun kepada pekerja yang amat rendah.Bahkan ada yang tidak masuk akal. Walhal ‘taukeh’ yang berada ‘di atas’ mengumumkan keuntungan jutaan ringgit setiap tahun. Di manakah keadilannya?Di manakah silapnya? (TB)

TRAGEDI PASIR SALAK




USAHA memulihkan semula rumah dan kubu Datuk Maharajalela di Pasir Salak wajar dilakukan demi memartabatkan perjuangan mereka dalam menentang Inggeris.


SEGALA-GALANYA sudah tersurat. Tidak ada apa-apa yang boleh mengubah suratan takdir ini. Namun, setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Begitulah permulaan persengketaan di dalam keluarga diraja Perak selepas Sultan Perak ke-24, Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah mangkat di Sayong pada tahun 1871.

Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini mengakibatkan jenazah Almarhum Sultan tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masalah itu, Raja Bendahara Ismail ditabalkan sebagai Sultan.

Akibat pertabalan itulah, perselisihan faham berlaku dan berlarutan di antara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Memburukkan lagi keadaan apabila pergaduhan besar berlaku di antara dua kongsi gelap pelombong Cina iaitu puak Ghee Hin dan Hai San di sekitar Kelian Pauh dan Kelian Baharu. Akibatnya, peperangan puak berlaku sepanjang tahun 1861 hingga 1862 dan 1871 hingga 1874.

Pihak Inggeris yang tidak mahu kepentingan ekonominya terjejas terutama bijih timah telah menggunakan isu tersebut untuk mencampuri urusan negeri Perak.

Dengan penuh bijaksana, pihak Inggeris berjaya ‘memerangkap’ Raja Abdullah dan beberapa Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Turut dijemput dalam rundingan itu adalah wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Muslihat Inggeris gagal dihidu pihak istana sehingga termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Sejak itu, bermulalah perjuangan orang-orang Melayu Perak menentang Inggeris sehingga Residen Pertama Inggeris di Perak, J.W.W. Birch dibunuh pada 2 November 1875.

Walaupun peristiwa itu telah berlaku kira-kira 137 tahun yang lalu, namun kesannya masih boleh dilihat di Pasir Salak. (sumber: UM,11/02/12)

10 Februari 2012

NAJIB RAZAK SUDAH MELAMPAU?

MUFTI Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.
“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.
“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.
“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.
Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.
Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.
“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.
“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.(sumber:Syed Mu’az Syed Putra,TMI, 10/02/12)

TB harap juga pengacara siaran langsung yang beragama Islam janganlah membuat ulasan seolah-olah mengagung-agungkan perayaan keagamaan bukan Islam yang keterlaluan kerana dikhuatiri akan terpesong.  Justeru adalah lebih baik pada masa-masa akan datang disarankan agar pengacara TV bukan Islam yang membuat ulasan secara langsung bagi acara keagamaan yang  bukan Islam.

HANG TUAH WUJUD!


MANA-MANA  pihak yang mengeluarkan kenyataan mengenai kesahihan kewujudan Hang Tuah, tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber tunggal semata-mata sebagai rujukan mereka, demikian menurut Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusoff Hashim.

MAKAM HANG TUAH DI TG. KELING MELAKA (foto oleh TB)
Sebaliknya, tokoh sejarahwan itu berkata, Sejarah Melayu merupakan sumber pribumi paling tepat untuk membuktikan kewujudan seorang pahlawan yang memegang jawatan laksamana (Hang Tuah).

Ujarnya, signifikan Hang Tuah dalam sejarah cukup terserlah apabila 14 daripada 28 bab Sejarah Melayu memperkatakan mengenai Hang Tuah dan angka ini sebenarnya merangkumi lebih kurang 44 peratus daripada keseluruhan kandungannya.

"Perdebatan mengenai kewujudan Hang Tuah sebenarnya sudah tidak berbangkit lagi. Kita sebenarnya sudah mempunyai sumber yang mencukupi. Bukti-bukti dan sumber yang ada sudah jelas membuktikan bahawa Hang Tuah sememangnya wujud.

"Justeru, jika kita menafikan kewujudan Hang Tuah, maka kita sebenarnya turut menafikan sejarah Melayu itu sendiri,” kata beliau ketika ditemuramah dalam program “Dalam Radar” terbitan Bernama Radio24, semalam. — BERNAMA, 10/02/12)

09 Februari 2012

AWANG SARIYAN: TAHNIAH!


DEWAN  Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan perlantikan Dr Awang Sariyan, 59, sebagai Ketua Pengarahnya yang baru berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang tamat perkhidmatan pada 31 Januari lalu, selepas menyandang jawatan itu sejak 1 Februari 2009.

DBP dalam kenyataan semalam memaklumkan majlis serahan tugas diadakan pada 31 Januari lalu.
Turut hadir pada majlis itu, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar. Dr Awang ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Foreign Studies University Beijing, China (Januari 2008-Julai 2011).

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.(sumber:HMetro, 09/02/12)
TB mengucapkan tahniah dan selamat berjuang. 

'HAJI EKSPRES': JAUHILAH !


Berita 'haji ekspres' merupakan suatu perbuatan yang sangat mengaibkan dan sangat keji kepada semua yang terlibat termasuk bakal haji dan yang telah pergi menunaikan haji.

Tidak sedarkah mereka bahawa mengambil hak orang lain adalah sama dengan mencuri dan mencuri itu adalah haram?
Selain haji ekspres, pelbagai urusan yang memerlukan syarat dan kriteria tertentu perlu ditinjau oleh SPRM. Urusan seperti itu dengan mudah boleh mengundang berlakunya penyalahgunaan kuasa dan secara langsung boleh menyebabkan rasuah berlaku. (sumber:Tunggu Giliran)

08 Februari 2012

ABDUL RASHID DOGOL, JAILANI AHMAD, TAN & DR HAJI ALI MAHMOOD

PADA minggu ini TB alami suatu peristiwa yang nostalgik walaupun singkat tetapi bermakna. Sebagai seorang ahli akademik perantau, penulis,penyair,aktivis dan pengembara pulang ke tanah air kebetulan bertemu rakan -rakan yang  lama tidak bertemu sekitar 15- 30 tahun lebih sesuatu anugerah llahi. Apatah lagi dengan dipanjangkan usia, diberikan kesihatan dan ketrampilan yang sihat sejahtera walaupun tidak menafikan fitrah Azajallah dari aspek keterbatasan pergerakan; kami dapat bertemu bertanyakan khabar terkini dan melihat sendiri perubahan diri dan segalanya.

Sahabat, Abdul Rashid Dogol (kini Guru Besar di sebuah SK di Melaka) ialah teman sekolej dahulu (Maktab Perguruan Bahasa,Kuala Lumpur sesi 1976/77; kini IPGM/KBM,KL). Walaupun kami tidak sekelas tapi rakan semaktab yang akrab yang sering juga bertemu,bercerita dan bergelak ketawa ketika itu. Suara dan pergerakannya masih seperti dahulu walaupun beberapa aspek fizikal telah mengalami proses alami..almaklumlah.Pertemuan sekejap di bandar Jasin,Melaka tetap mesra.

Jailani Ahmad (TB tidak pasti sama ada beliau Guru Besar atau GPK di sebuah SK di Muar) ialah teman sekelas TB semasa menuntut di Tingkatan Enam di sebuah sekolah di bandar Muar sekitar tahun 1973. Jailani yang ramai kawan memanggilnya 'Wak Kang' kerana loghat kejawaannya yang pekat masih tidak berubah telor Jawanya.Susuk tubuhnya yang gempal besar (hahaha..pernah menjawat sebagai Penolong Ketua Pengawas sekolah) kini agak susut sedikit; sementara rambutnya mula kian gugur. Menurut isterinya (lahir 1971) yang baru dinikahi hampir setengah tahun lalu, Jailani mula mengamalkan diet dan makan ubat mengawal berat badan. Ada apa-apa ke? Hehehe....secara lucu isterinya bagaikan tidak percaya TB adalah rakan sebaya dan teman sekelas di bangku persekolahan dahulu. Kerana apa? Wallahualam.Doa TB agar Jailani yang kini telah mempunyai 4 cucu akan terus bahagia dengan rumah tangga barunya setelah kematian isteri pertamanya dahulu.

Tan atau Cikgu Tan TB temui  semasa TB berlegar-legar dalam kereta di bandar Jasin,Melaka.TB nampak seorang warga emas keturunan Cina bersama isteri dan anaknya sedang melintas jalan. TB rasa ada sesuatu yang menyentuh hati TB secara tiba-tiba. TB berpusing kereta lalu berhenti memanggil secara rambang dengan vokal 'Cikgu!, Cikgu!' .TB pasrah. Tiba-tiba dia menoleh dan TB hampirinya  lalu menyapa , ' lni guru SMK Bukit Gambir Muar dulu ya???' Dia mengangguk. 'Saya dahulu pun mengajar di sana'. TB menjelaskan dengan beriya-iya. Dia menggeleng-gelengkan kepala tidak dapat mengingati dan mengenali TB lebih daripada 100%! TB terus memancing dan bercerita serta menyebut nama penuh TB. Kemudian Tan baru dapat mengingati sedikit ' oh dulu awak kurus, awak dulu tiap minggu 'conduct' lagu Negaraku dan lagu Negeri Johor 'lan? 'Ya,ya,ya..' TB mengukuhkan ingatannya yang mula pudar. Rupa-rupanya Tan kini telah berusia lebih 62 tahun! . Beliau mengajar di SMK Bukit Gambir sekitar tahun 1980-81. TB pula pernah berkhidmat di situ sekitar tahun 1978-83. ' Saya ingat tadi kamu anak murid saya'. TB hanya tersenyum dan bersyukur kerana dipanjangkan usia bertemu kawan lama sempena Cap Goh Mei tahun naga air ini.

Dr Haji Ali Mahmmod rakan sekelas dan sekuliah TB semasa menuntut ijazah pertama di UPM,Serdang,Malaysia 1982/83. Ali kini Timbalan Pengarah sebuah IPGM di Kuala Lumpur. Ali masih tetap 'low profile', berperawakan sederhana dan masih terus tampak alim tapi mesra kawan. Banyak juga kenangan manis pahit sewaktu sama-sama melanjutkan pelajaran di menara gading dahulu. Baiklah kerana kesuntukan waktu, ada waktu nanti TB ceritakan jua. Dengan takdir, TB dapat bertemu Ali kerana menghantar (mengiringi?) anak ketiga TB yang berjaya mengikuti kursus perguruan KPLI/Diploma Perguruan Lepasan ljazah setelah tamat pengajian ijazah pertamanya di UniZa, Kuala Terengganu.

Semoga empat (4) pertemuan dalam seminggu ini memberi makna dan erti mendalam dalam kehidupan. Begitulah benar bak kata pujangga 'hidup ini umpama roda'. Harapan dan doa, agar kami semua dan rakan-rakan lain dikurniakan kesihatan baik dan dapat bertemu pada masa-masa mendatang! (TB).

06 Februari 2012

HANG TUAH: TIDAK MELAYU HILANG DI DUNIA!






TB tidak mahu mengulas sama ada wujud atau tidak Hang Tuah atau Hang Li Po itu seperti mana yang diperkatakan oleh Prof.Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim (Gilbert Khoo?) dalam senuah portal berita baru-baru ini.Jika tidak wujud Hang Li Po mahukah komuniti Cina Malaysia meruntuhkan dan meratakan sahaja Bukit Cina, Melaka yang kononnya menjadi penempatan rombongan dari China bersama Puteri Hang Li Po sewaktu bersemenda pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah Melaka dahulu?

Kita sedia maklum kini  Bukit Cina  mempunyai nilai hartanah tinggi di kawasan komersial Bandar Raya Melaka. Justeru, mahukah penduduk Cina Melaka meruntuhkan sahaja Perigi Hang Li Poh atau Perigi Puteri yang kononnya sebagai peninggalan bukti sejarah? Apa pula akan jadi dengan makam Tun Teja di Merlimau Melaka? Tun Teja adalah salah seorang isteri Sultan Mansur Shah yang ada kaitan dengan sejarah hidup Hang Tuah.

Apa jadi dengan makam Hang Tuah di Tanjung Keling? Perigi Hang Tuah di kampung Sungai Duyung dan sejarah kampung tersebut? Makam Hang Jebat di Jonker Street? Makam Sultan Alauddin Riayat Shah di Pagoh Muar? Makam Sultan Mahmud Shah yang lari ke Kampar? Dan segala nama kesultanan Melaka bermula Parameswara (Sultan Muhammad Shah) dan seterusnya?

Adakah tempat-tempat yang TB sebutkan di atas semuanya legenda,mitos dan tidak berfakta? Apakah  jadi dengan buku yang bersifat histrografi 'Sejarah Melayu' yang menjadi sumber rujukan salasilah peradaban Melayu?

Makam/Kubur Hang Tuah apakah bukan bukti kewujudannya?
Apakah Khoo Kay Kim memperlekehkan sumber sastera sejarah sebagai fakta rujukan dalam menyusur galur peradaban dan ketamadunan Melayu di Nusantara? Apakah Khoo tidak memahami apa itu sastera lisan, sastera sejarah,sastera lslam yang mana ada hubung kait dalam memperkatakan sejarah bangsa Melayu di Kepulauan Melayu ini sejak zaman berzaman dahulu?

Mengapakah kita terlalu mudah melekatkan label 'mitos dan legenda' dalam banyak hal dan isu ke atas apa jua sejarah yang berkaitan dengan tamadun Melayu? Lihat, tidak sesiapapun mempertikaikan Maharaja Ming, Shih Huang Ti atau mana-mana tokoh silam dunia di benua Eropah hatta di Asia seperti peninggalan  lstana Larangan,Tembok Besar China, Ayuthia,  dan sebagainya, sebagai legenda atau mitos? Sepatutnya di pundak pakar-pakar sejarah kajian dan penelitian dilakukan secara berterusan walaupun memakan masa dan merentasi zaman.

Dengan mengambil sikap menyatakan Hang Tuah , Hang Li Poh dan seumpamanya sebagai legenda dan mitos; itu adalah pendekatan jalan mudah yang tidak sihat. Mengapakah  ada double standard dalam hal ini?
 ?

04 Februari 2012

HASAN ALI: BAKAL PRESIDEN KITA?


PERWAKILAN  negeri Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita),  sebulat suara mendesak Presiden mereka, Datuk Zaid Ibrahim, meletak jawatan secara terhormat setelah gagal menerajui parti.
Zaid Ibrahim
Hasan Ali
Pada masa sama, mereka juga berhajat untuk mempelawa bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, mengisi jawatan itu.
Ketua Kita Kedah, Zamil Ibrahim, berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu perlu meninggalkan parti dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber untuk menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.
Beliau berkata, perwakilan dari setiap negeri termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirkan Zaid jika itu merupakan cara yang terbaik menyelamatkan parti.
“Zaid gagal menerajui parti dan  cuba menconteng arang ke muka kami, kononnya pemimpin Kita di negeri-negeri tidak memberi kerjasama. Itu semua pendapat peribadinya dan tiada kena-mengena dengan parti.
“Saya minta 10,000 ahli Kita bertenang. Presiden tidak boleh membubarkan parti ini sesuka hati kerana ia bukan syarikat persendirian, sebaliknya beliau harus membubarkannya melalui mesyuarat luar biasa (EGM) dan perlu sokongan tiga perempat ahli,” katanya.
Ditanya mengapa Kita berminat mendapatkan khidmat Hasan, Zamil berkata, buat permulaan pihaknya akan bekerjasama dengan Hasan kerana berpendapat beliau pemimpin yang mempunyai pendirian jelas dan perjuangannya hampir selari dengan parti berkenaan.
“Hasan mempunyai pengaruh yang kuat dan saya percaya, sekiranya beliau menerajui parti ini, tidak mustahil Kita akan kukuh dan  menjadi kuasa ketiga, sesuai dengan konsep dibawa Hasan yang selari dengan perjuangan parti ini.
“Sekarang Kita akan berhadapan dengan pilihan raya umum. Di Kedah, 18 calon dikatakan telah menawarkan diri, jadi di mana maruah kami apabila ada pemimpin yang akan dicalonkan, tiba-tiba partinya pula dibubarkan,” katanya lagi(Baca penuh di The Malaysian Insider , 04/02/12)

KAABAH : SEJARAH SEPINTAS LALU






AWALNYA, Mekah /Makkah hanyalah sebuah hamparan kosong. Sejauh mata memandang pasir bergumul di tengah terik menyengat. Aliran zamzamlah yang pertama kali mengubah wilayah gersang itu menjadi sebuah komunitas kecil tempat dimulainya peradaban baru dunia Islam. 

Bangunan persegi bernama Kaabah didaulatkan  menjadi pusat dari kota itu sekaligus pusat ibadah seluruh umat Islam. Mengunjunginya adalah salah satu dari rukun Islam, Ibadah Haji.

Kaabah masih tetap berdiri kokoh hingga saat ini dan diperkirakan masih terus berdiri hingga kiamat menjelang. Beberapa generasi pernah menjadi saksi berdirinya Kaabah hingga berbagai kemelut menyelimutinya.

Adalah Ismail, putra Nabi Ibrahim dan Siti Hajar, yang kaki mungilnya pertama kali menyentuh sumber mata air zamzam. Akibat penemuan mata air abadi ini, Siti Hajar dan Ismail yang kala itu ditinggal oleh Ibrahim ke Kanaan di tengah padang, tiba-tiba kedatangan banyak musafir. Beberapa memutuskan untuk tinggal, beberapa lagi beranjak.

Ibrahim datang dan kemudian mendapatkan wahyu untuk mendirikan Kaabah di kota kecil tersebut. Kaabah sendiri berarti tempat dengan penghormatan dan prestij tertinggi.

Kaabah yang didirikan Ibrahim terletak persis di tempat Kaabah lama yang didirikan Nabi Adam hancur tertimpa banjir bandang pada zaman Nabi Nuh. Adam adalah Nabi yang pertama kali mendirikan Kaabah

Tercatat, 1500 SM adalah merupakan tahun pertama Kaabah kembali didirikan. Nabi Ibarahim dan  puteranya Ismail yang taat membangunkan  Kaabah daripada konkrit batu-batan  bukit Hira, Qubays, dan tempat-tempat lainnya.

Bangunan mereka semakin tinggi dari hari ke hari, dan kemudian selesai dengan panjang 30-31 hasta, lebarnya 20 hasta. Bangunan awal tanpa atap, hanyalah empat tembok persegi dengan dua pintu.

Celah di salah satu sisi bangunan diisi oleh batu hitam besar yang dikenal dengan nama Hajar Aswad. Batu ini tersimpan di bukit Qubays saat banjir besar melanda pada masa Nabi Nuh.

Batu ini istimewa, sebab diberikan oleh Malaikat Jibril. Hingga saat ini, jutaan umat Muslim dunia mencium batu ini ketika menunaikan umrah dan  haji, seperti mana yang pernah dilakukan  oleh  Nabi Muhammad SAW.

Selesai didirikan ,  Allah memerintahkan Ibrahim untuk menyeru umat manusia berziarah ke Kaabah yang didaulatkan  sebagai Rumah Tuhan. Dari sinilah, awal mula fardu haji dilaksanakan sebagai  ibadah akbar umat Islam di seluruh dunia.

Kerana tidak beratap dan bertembok rendah, sekitar dua meter, barang-barang berharga di dalamnya sering dicuri. Bangsa Quraisy yang memegang kendali atas Makkah ribuan tahun setelah kematian Ibrahim berinisiatif untuk membaikpulihkannya. Untuk melakukan hal ini, terlebih dahulu bangunan awal harus dirobohkan.

Al-Walid bin Al-Mughirah Al-Makhzumy adalah orang yang pertama kali merobohkan Kaabah untuk membinanya menjadi bangunan yang baru.

Pada zaman Nabi Muhammad, penambahbaikan juga pernah dilakukan selepas banjir besar melanda. Perselisihan muncul di antara ahli keluarga kaum Quraisy mengenai siapakah yang layak memasukkan Hajar Aswad ke tempatnya di Kaabah.

Rasulullah memainkan peranan  besar dalam hal ini. Dalam sebuah kisah yang terkenal, Rasulullah meminta keempat suku untuk mengangkat Hajar Aswad secara bersama dengan menggunakan secarik kain. Idea ini berhasil menghindarkan perpecahan dan pertumpahan darah di kalangan bangsa Arab.

Penambahbaikan terbesar dilakukan pada tahun 692. Sebelum renovasi, Kaabah terletak di ruang sempit terbuka di tengah sebuah mesjid yang kini dikenal dengan Masjidil Haram. Pada akhir tahun 700-an, tiang kayu masjid diganti dengan marmar dan sayap-sayap masjid diperluas,kan dan ditambah dengan beberapa menara. Renovasi dirasa perlu, menyusul semakin berkembangnya Islam dan semakin banyaknya jemaah haji dari seluruh jaziran Arab dan sekitarnya.

Wajah Masjidil Haram moden dimulai saat renovasi tahun 1570 pada kepemimpinan Sultan Selim. Arsitektur tahun inilah yang kemudian dipertahankan oleh kerajaan Arab Saudi hingga sekarang ini.

Pada penyatuan Arab Saudi tahun 1932, negara ini didaulatkan menjadi Pelindung Tempat Suci dan Raja Abdul Aziz adalah raja pertama yang menyandang gelar Penjaga Dua Masjid Suci, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Pada pemerintahannya, Masjidil Haram diperluas hingga dapat menampung seramai 48.000 jemaah.Masjid Nabawi pula diperluaskan  hingga dapat memuat 17.000 jemaah.

Pada pemerintahan Raja Fahd tahun 1982, kapasitas Masjidil Haram diperluas hingga memuat satu juta jemaah. Renovasi ketiga selesai pada tahun 2005 dengan tambahan beberapa menara. Pada renovasi ketiga ini, sebanyak 500 tiang marmar didirikan, 18 gerbang tambahan juga dibuat. Selain itu, berbagai-bagai  perangkat moden, seperti pendingin udara, eskalator dan sistem drainase juga ditambahkan.

Pada masa kini  hingga tahun 2020 dijangkakan Masjidil Haram akan diperluas hingga 35 peratus lagi  dengan kapasitas luar masjid dapat menampung 800.000 hingga 1.120.000 jemaah. Jika ada ruang bahagian dalam Masjidil Haram akan dapat menampung hingga dua juta jemaah.

Banjir Kaabah
Bencana alam yang mungkin sering terjadi di wilayah Makkah adalah banjir. Banjir terbesar tentu saja pada masa banjir bahtera Nabi Nuh. Ketika itu seluruh bangunan Kaabah runtuh. Banjir juga terjadi beberapa kali pada masa Nabi Muhammad. Sepeninggalan baginda, pada masa Khalifah Umar bin Khattab, banjir telah merosakkan dinding-dinding Kaabah.

Salah satu banjir yang sempat terdokumentasikan adalah banjir besar pada tahun 1941. Dalam gambar yang dipublikasikan secara luas, terlihat bahagian dalam Masjidil Haram tenggelam hampir setengah tinggi Kaabah.

Di beberapa tempat bahkan mencapai leher orang dewasa. Banjir-banjir inilah yang kemudian membuat beberapa tiang masjid yang terbuat dari kayu menjadi lapuk dan rapuh. Kerajaan Saudi terpaksa harus melakukan perbaikan beberapa kali untuk mengatasi hal ini.

Banjir sering terjadi di Makkah karena letak geografis kota tersebut yang diapit beberapa bukit. Hal ini menjadikan Makkah berada di dataran rendah yang letaknya seperti mangkuk. Air hujan tidak dapat dapat mudah diserap oleh tanah, mengingatkan keadaan muka bumi Timur Tengah yang tandus. Justeru  menyebabkan  banjir  berlangsung beberapa lama. Ditambah lagi, sistem drainase ketika itu tidak sebaik sekarang.

Selain banjir, berbagai-bagai insiden pertumpahan darah tercatat pernah mewarnai sejarah Masjidil Haram. Mulai dari zaman sebelum Nabi Muhammad lahir hingga ke zaman moden pada abad ke -20. Beberapa insiden tersebut diakhiri dengan kemenangan para penguasa Kaabah.

Serangan Gajah
Serangan terhadap Kaabah yang paling terkenal terjadi pada tahun 571 Masehi, tahun kelahiran Nabi Muhammad. Kala itu, sebanyak 60.000 pasukan gajah yang dipimpin oleh Gubernur Yaman, Abrahah, berencana menyerbu Mekkah dan menghancurkan Kaabah.

Negara Yaman adalah salah satu negara Kristen besar kala itu. Sebuah gereja besar yang indah didirikan pada pemerintahan Raja Yaman, Habshah. Gereja tersebut bernama Qullais. Abrahah sebagai pembina gereja bersumpah akan memalingkan pemujaan warga Arab dari Ka'bah di Makkah ke gerejanya di Yaman.

Alkisah, mendengar hal ini, seorang Arab dari qabilah Bani Faqim bin Addiy tersinggung kemudian masuk ke dalam gereja dan membuang hajat di dalamnya. Abrahah marah luar biasa dan bersumpah akan meruntuhkan Kaabah. Berangkatlah dia beserta tentara terkuatnya, menunggang 60.000 ekor gajah.

Tidak ada satu pun kekuatan kabilah Arab Saudi yang mampu menandingi kekuatan puluhan ribu tentera gajah tersebut. Berdasarkan tentera daripada datuk Nabi Muhammad;  Abdul Mutalib, para penduduk Meakah mengungsi ke puncak-puncak bukit di sekeliling Kaabah. Berangkatlah rombongan tentera Abrahah menuju Kaabah, hendak menghancurkan bangunan mulia tersebut.

Menurut kisah, laju tentera gajah terhenti akibat serangan daripada  ribuan burung Ababil. Burung-burung ini membawa tiga butir batu panas di kedua kakinya dan paruhnya. Dilepaskannya batu-batu tersebut di atas tentera gajah. Batu yang konon berasal dari neraka itu menembus daging para tentaea dan gajah-gajah mereka. Sebuah tafsir mengatakan burung-burung itu membawa penyakit cacar yang menyebabkan para tentera Abrahah tewas akibat bisul yang sangat panas.

Inilah sebabnya, tahun penyerangan tentera gajah  dalam surah Al Fiil dalam  kitab suci Al-Quran menyatakan "Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah yang terbakar, lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat)." (Al Fiil: 3-4).

Pertelingkahan dengan Iran
Pada  zaman moden, insiden paling sering adalah pertelingkahan pasukan keselamatan  Arab Saudi dengan para penunjuk perasaan dari  Iran. Kehadiran para penunjuk perasaan merupakan perintah dari pemerintah Iran agar para jemaah haji Iran menyampaikan protes terhadap kerajaan Saudi.

Tragedi rusuhan  terjadi pada 31 Julai1987 yang menewaskan 401 orang. Di antaranya adalah 275 warga Iran, 85 warga Arab Saudi, dan 42 jemaah haji asal negara lain. Sebanyak 643 orang terluka, kebanyakan adalah jemaah haji Iran.Mudah-mudahan umat lslam bersatu walaupun apa jua mazhab dan dari mana asalnya. Kita tidak mahulah ibadah yang mulia dan suci ini menjadi gelanggang perseteruan antara sesama insan.

(Foto-Foto Di Atas Ketika TB Berada di Tanah Suci, 2011)

(Sumber asal VIVAnews.com & olahan semula TB)

02 Februari 2012

PULAU PANGKOR


Off the coast of perak State, north of Selangor , lies a cluster of fabulous islands with unquestionably some of the best coves and beaches on the western coast of peninsular Malaysia. Among them, two islands predominate in terms of accessibility, infrastructure and development - the largest island, Pangkor and her sister Pangkor Laut. Those who are not familiar with the geographical locations generally confuse the two.
Forty minutes by ferry from Lumut, the popular island resort of Pulau Pangkor (Pangkor Island) welcomes visitors with its serene golden beaches, crystalline blue waters, and cool refreshing breezes. Located about 90km south west of lpoh, it is largely inhabited by fisherfolk.
Pulau Pangkor Dutch Forth (Kota Belanda,Pulau Pangkor)



They live in scattered fishing settlements along the coast especially on the eastern side, facing the town of Lumut and Teluk Batik, and their catch comprises mainly cuttlefish and anchovy. The modern facilities make it an ideal gateway. A wide range of sun and sea activities are available such as scuba diving, wind-surfing, fishing and snorkeling.

( Peta Pulau Pangkor )
DI PULAU PANGKOR

Perjanjian yang termeterai di sini
telah mewarnakan lanskap minda
bangsaku tanah airku Tanah Melayu
setelah bertahun-tahun di pulau ini
membina kubu segala persiapan
Belanda kecundang pulang
lnggeris melaungkan kemenangan

Walaupun tidak kutemui
peninggalan union jack di sini
namun musim pergi dan datang
pendatang dahulu mewarisi bumi
pendatang sekarang menimba rezeki

Hujan belum reda di pulau ini
sejak semalaman berderai di dedaunan
kapal-kapal berlabuh kepenatan
ikan-ikan berenang riang di tepian
Pangkor kian berubah alam
setiap terbit matahari mendatang.


RAJIEE HADI,
Januari 2012.