Salam Perjuangan

08 Ogos 2011

BAHASA MELAYU: KEMELUT YANG TIDAK BERKESUDAHAN


LEBIH separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut. Sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar? Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu diiktiraf bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa.
Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Prof. Dr. Awang Sariyan, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr. Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.
Sejak abad ketujuh pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.
Begitu tinggi kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan melalui pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina, I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu.

I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ketujuh.
Dr. Awang turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.
"Van Linschottenmenyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.
Menurut Dr. Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.
"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.
"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr. Awang.
Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad ke-13 hingga ke-19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr. Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun ke-15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr. Awang.

Beliau merujuk kepada seorang ulama besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu.

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulama pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr. Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilainya diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.
"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris.

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr. Awang.

Jadi katanya, fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan.
Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu.
Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.
Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr. Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.
Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr. Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.
"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.
"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.
Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.
Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr. Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar untuk hubungan komunikasi biasa sahaja.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain," katanya.
Dr. Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi.
Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan tanpa sebarang penangguhan.

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah? - BERNAMA

CAMERON HIGHLAND: TANAH RUNTUH LAGI


 TIGA  buah rumah dilaporkan tertimbus sepenuhnya dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, 5.45 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Brinchang ketika dihubungi Bernama malam ini berkata dua buah rumah lagi yang terletak berhampiran turut mengalami kerosakan, tetapi hanya kerosakan kecil.

Ditanya sama ada tanah runtuh itu disebabkan oleh hujan, beliau berkata pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian berkenaan.
"Mangsa yang cedera telah dikenal pasti sebagai penduduk Orang Asli. Namun, mangsa yang dipercayai terkorban masih belum dikenal pasti identitinya,” kata beliau.
Setakat ini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang wanita cedera parah dalam kejadian itu.

Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.(sumber: BERNAMA)

TB: MP Devamany nama anda 'naik'lagi. Apa anda buat?

SAJAK KEPADA ISTERI

DR. RAJIEE HADI


Sejak malam turun sajak ini
kelak bakal ada seorang isteri menangis
tetapi dia tidak menyesal
kerana suaminya pulang menjenguk rumah
bersama ayat-ayat-Nya
untuk menjawab kesempurnaan manusia
dari tangis bayi yang mencari dirinya!

Rumah Seribu Bintang, Tanjung Agas,
1982.
(Bacaria, 26 Disember 1982)

07 Ogos 2011

MUHAMMAD HAZIQ RAJIEE: DI ANJUNG KEHIDUPAN (buat Haziq)Selamat Hari Lahirmu 7/8/2011


Semalam, haziq pada degup keempat belas
masih berkaca dan punya besar impian
jauh pun perjalanan kerikil membentang
dia pasrah yakin masa depan

Dia putera kita yang peramah
mula mengenal kebebasan makna
tetapi tuan gurunya menasihatkan:
“lihatlah ikan-ikan di akuarium
bisa makan dan berenang sewenangnya
tidak harus bolos menyerang
akan pecahlah arca bertebaran
hilang pangkalan pedoman haluan

Semalam, haziq pada nafas keremajaan
pada mata ayah dipendam harapan
setelah getar usia di hamparan
Ya taiban!Ya taiban! Ya taiban!
cabaran pasti datang di anjung kehidupan


RAJIEE HADI
Serdang ,
8/4/2003


DARAH TINGGI @ HYPERTENSION





PEMERIKSAAN kesihatan adalah adalah langkah terawal yang disifatkan paling terbaik dalam usaha mencegah serangan gejala penyakit darah tinggi.

Tetetapi ia mungkin bukan amalan di kalangan kita, tetapi lebih baik disegerakan pemeriksaan supaya apa juga penyakit terutama darah tinggi dapat dikesan di peringkat lebih awal.
Ini kerana penyakit darah tinggi yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu biasanya tidak menunjukkan apa-apa tanda di peringkat awal.

Malah kata Pakar Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir pemeriksaan kesihatan itu menjadi lebih penting terutama kepada mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.

"Contohnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, menghidap kencing manis, mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan sejarah darah tinggi di kalangan keluarga,'' katanya.

Beliau berkata, dengan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dapat melakukan usaha pencegahan dari awal.
"Kajian yang dilakukan di Malaysia (Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Ke 3) menunjukkan 42.6 peratus rakyat negara ini menghidap darah tinggi pada 2006,'' katanya.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 29.9 peratus semasa kajian pada 10 tahun sebelum itu.

"Kajian pada tahun 2006 juga menunjukkan hanya 36 peratus sahaja yang mengetahui mereka menghidap darah tinggi dan hanya 87.7 peratus daripada mereka yang menerima rawatan,'' katanya.

Dr. Shaharuddin berkata, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan pula tidak berada pada tahap pengawalan darah tinggi yang baik.

"Penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan baik kerana ia sebenarnya menjadi salah satu penyebab utama serangan jantung, lemah jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang,'' katanya.
Mengenai punca penyakit darah tinggi, kata Dr. Shahruddin, lebih daripada 90 peratus tidak mempunyai penyebab yang khusus dan dipanggil essential hypertension.

"Walaubagaimanapun ia berkait rapat dengan faktor genetik, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat dan peningkatan umur,'' katanya.

Selain itu, katanya, sebilangan kecil penyakit darah tinggi disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan dipanggil secondary hypertension.

"Antara penyebabnya ialah penyakit buah pinggang, primary hyperaldosteronism, cushing syndrome dan phaeochromocytoma," katanya.

Tambahnya, terdapat juga sebilangan pesakit mengalami tekanan darah tinggi hanya bila datang berjumpa doktor yang dinamakan white-coat hypertension atau office hypertension.

"Jika mengesyaki perkara ini biasanya doktor akan menyarankan pesakit merekod bacaan tekanan darah di rumah atau membuat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat merekod tekanan darah yang dipakai pesakit selama 24 jam,'' katanya.

Selain itu, katanya, pemakanan juga turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat penyakit darah tinggi.

"Kajian menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit darah tinggi dan juga menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi,'' katanya.
Tambahnya, salah satu kajian klinikal dinamakan DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) menunjukkan keberkesanan pemakanan yang sihat untuk menurunkan tekanan darah.
"Pemakanan DASH merangkumi meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan dan kekacang,'' katanya

Diet itu juga menyarankan pengurangan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu dan daging.

Selain itu, katanya, penyakit darah tinggi dan juga kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah atherosclerosis - kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.
Katanya, akibat kerosakan salur darah, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.
Walaubagaimanapun tidak semua pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi mengidap penyakit darah tinggi dan begitu juga tidak semua pesakit darah tinggi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Tetapi kebiasaannya kedua-dua penyakit itu berkait rapat.
"Stres boleh meningkatkan tekanan darah untuk seketika tetapi kesan jangka panjang stres keatas tekanan darah masih tidak begitu jelas,'' katanya.

Begitupun pesakit darah tinggi disaran mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.

Dr. Shahruddin memberitahu, darah tinggi boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Ia merangkumi mengawal berat badan di mana mesti mengekalkan berat berat badan yang ideal iaitu jisim berat badan 18.5-22.9 kg/m2.

"Jika mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, penurunan berat badan disyorkan.
"Sebaiknya ambil makanan yang rendah lemak, mengurangkan penggunaan minyak dan santan, mengurangkan pengambilan garam dan gula dan juga meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin,'' katanya.(sumber: UM,2/8/11)

LEMAK:HINDARILAH


HARI ini cukuplah tujuh hari kita berpuasa menunaikan Rukun Islam yang ke-3. Kaum Hawa adalah individu yang paling sibuk sekali membuat persediaan di bulan puasa dan juga bagi menyambut hari raya. Menempah baju sudah bermula beberapa bulan yang lepas, rumah mula dihias dan kuih-muih serta kek raya mula ditempah. Semuanya dilakukan agar sambutan hari raya meriah dan sempurna. Namun begitu tidak ramai yang membuat persediaan diri sendiri melainkan menempah baju raya dan mungkin membuat rambut raya.

Kalangan remaja misalnya mungkin tidak kisah tentang penampilan wajah pada hari raya, sedangkan seperti yang diketahui jerawat dan remaja sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Ketidakseimbangan hormon dan jangkitan bakteria P.Acne merupakan penyebab utama masalah jerawat remaja. Teknologi terbaru merawat jerawat dengan berkesan menggunakan laser dan Intense Pulse Light membolehkan masalah jerawat diatasi dengan cepat. Laser seperti laser Erbium (Pixel ) dan Long Pulse Nd:Yag dapat membunuh bakteria serta menghalang kelenjar sebum menjadi terlalu aktif . Intense Pulse light seperti Isolaz boleh menyedut minyak dan nanah keluar dari jerawat dan menghilangkan radang jerawat. Keajaiban rawatan terbaru ini adalah ia boleh menghalang jerawat baru tumbuh sampai bila-bila. Dengan kata lain ia memang boleh menyembuhkan jerawat.

Masalah kulit untuk wanita yang berumur 20-40 tahun pula adalah kesan parut jerawat, pigmentasi dan pori-pori muka yang kasar. Kesan parut jerawat agak susah untuk diselindung dengan kosmetik berbanding masalah pori-pori atau pigmentasi. Setakat ini tiada bahan kosmetik yang boleh merawat masalah parut jerawat. Ini kerana parut jerawat di sebabkan perubahan pada lapisan kulit yang cedera semasa radang jerawat. Aktiviti memicit jerawat memburukkan keadaan.
 Rawatan yang terbaik untuk merawat kesan parut jerawat berlekuk adalah dengan menggunakan laser CO2 (SmartXide) atau laser Erbium. Laser ini juga boleh merangsang pertumbuhan kolagen pada kulit sekali gus menegangkan kulit dan mengecilkan pori-pori muka. Untuk mengecilkan pori-pori dan membuang pigmentasi rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan rawatan Intense Pulse Light. Cahaya yang dikeluarkan dari Intense Pulse Light boleh merangsang pembentukan kolagen untuk mengecilkan pori-pori serta boleh menanggalkan jeragat dengan hanya satu atau dua rawatan sahaja.


Kedut


Masalah utama wanita yang berumur 30-50 tahun adalah lebih kepada kedut-kedut muka yang boleh menyebabkan wajah kelihatan lebih berusia dari usia sebenar. Untuk wanita yang berusia 30 ke 40 tahun, kedut-kedut muka akan timbul apabila kita berkerut, tersenyum atau marah. Manakala bagi mereka yang berusia 40 hingga 50 tahun, kedut-kedut muka di kawasan hidung dan mulut mula muncul walaupun tanpa pergerakan wajah. Untuk menghilangkan kedut-kedut muka akibat pergerakan wajah, rawatan yang bersesuaian adalah Botulinum Toxin A (BTA). Selepas menerima rawatan ini, kedut-kedut tidak akan kelihatan walaupun kita tersenyum atau mengerutkan wajah dan bertahan sehingga enam bulan. Rawatan BTA juga boleh dilakukan untuk meruncingkan dagu, melengkungkan kening dan menaikkan pipi yang 'jatuh'. Untuk kedut muka di kawasan hidung dan mulut, rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan filler. Selain itu, filler boleh menebalkan bibir dan memancungkan batang hidung.

Di bulan puasa ini , ramai yang mengambil kesempatan untuk menguruskan badan. Berpuasa memang boleh membantu menguruskan badan kerana badan akan memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga sewaktu kita berpuasa. Untuk membantu badan menjadi lebih kurus, lebih kan mengambil protein semasa berbuka dan bersahur.
Elakkan memakan karbohidrat dan gula serta banyakkan memakan sayur-sayuran. Melakukan senaman di bulan puasa juga boleh mempercepatkan proses mencairkan lemak. Untuk meningkatkan metabolisme badan, ada beberapa makanan tambahan yang boleh diambil seperti L.Carnitine , Co Enzyme Q10 dan kromiun.

Makanan tambahan ini bukan sahaja boleh membantu badan memecahkan lemak tetapi jika diambil dalam jangkamasa berterusan, boleh membantu mengawal gula dalam darah dan mengelakkan penyakit jantung dan kencing manis

Terdapat juga segelintir di antara kita yang mempunyai badan yang kurus tetapi mengalami lebihan lemak di tempat-tempat tertentu. Ramai wanita datang ke klinik saya untuk mendapatkan rawatan masalah lemak di lengan. Masalah lemak di lengan menyebabkan sesetengah wanita susah untuk membeli pakaian yang sesuai kerana tidak muat di bahagian lengan. Untuk merawat lebihan lemak di kawasan tertentu, rawatan laser lipolysis adalah yang terbaik. Dalam prosedur ini, hanya lemak di bahagian tertentu sahaja akan dihapuskan. Hasil rawatan bukan sahaja sangat memuaskan tetapi kekal untuk selama lamanya. Hebat bukan.

Tiga minggu lagi hari raya akan muncul. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan agar kita kelihatan cantik, muda dan menawan, anda perlu bertindak sekarang kerana kulit wajah perlu masa untuk menampakkan hasil. Oleh itu buatlah persediaan awal agar hari raya anda akan menjadi lebih meriah, bermakna dan ceria. Di bulan yang mulia ini ingin saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca. Semoga anda menjadi cantik dan hebat selamanya.(sumber: MM,7/8/11, penulis boleh dihubungi di 09-5164777.)

NABI: CARA MENJAGA KESIHATAN


BAGAIMANAKAH cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.
Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja. 
Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. 

Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpe
nyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
Selalu bangun sebelum subuh 

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah. 

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran. 


Aktif menjaga kebersihan 

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. 

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim) 


Tidak pernah makan berlebihan 

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih) 

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. 

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat. 


Gemar berjalan kaki 

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar. 

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang
hendak kita pergi. 


Tidak pemarah 

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa. 

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring. 

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang
kan gundah 
di hati. 


Optimis dan tidak putus asa 

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t. 

Tidak pernah iri hati 

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.” 


Pemaaf 

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. 

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat. 

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, ba
nyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.(sumber:Umminessa.blogspot.com,6/8/11)

MUALAF DAN PERMASALAHANNYA: JABATAN AGAMA TERUS TIDURKAH?

“SAYA bermimpi menghadap Kaabah. Selepas terjaga, saya rasa cukup tenang. Tidak lama selepas itu, saya berjumpa seorang ustazah dan bertanyakan hal ini.

Selepas diterangkan, saya dan suami tertarik dengan Islam lalu menukar agama,” itu detik awal Norjalilah Abdullah Wong, 46, mendapat hidayah memeluk Islam.


Sebagai saudara baru dia memerlukan bimbingan daripada rakan Islam, terutama ilmu agama, namun pada peringkat awal sokongan sungguh sukar diperoleh.

Jiwanya meronta kerana harapannya mendalami Islam seolah-olah dipandang sebelah mata banyak pihak, terutama di kampung halamannya. Bukan sokongan diperoleh, sebaliknya sindiran dan ejekan.



“Pemahaman saya mengenai Islam cukup tipis, apatah lagi untuk mengenali huruf al-Quran. Saya cuba belajar dengan menghadiri solat berjemaah dan kuliah agama yang diadakan di surau kampung saya.

“Namun ketika menjejakkan kaki ke rumah Allah itu, saya dihalau. Malah, jemaah surau berkata orang Cina tidak boleh memasuki surau berkenaan.

“Bagaimanapun, demi mengenali Islam dan mendalami ilmu agama ini, saya dan suami sanggup berulang alik dari Pahang ke Kuala Lumpur setiap hari,” kata Norjalilah yang lebih mesra disapa Nor.

Apa diceritakan Nor antara pengalaman pahit dan dugaan yang dilalui golongan mualaf di negara ini. Jika dihitung, ia hanya sedikit jika mahu dibandingkan dengan pelbagai herdikan, kejian dan penerimaan negatif keluarga masing-masing dan masyarakat.

Walaupun pada dasarnya negara kita berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi, pendedahan mengenai golongan berkenaan cukup sedikit. Selain itu, penerimaan masyarakat sering menjadikan golongan ini patah semangat untuk lebih mengenali agama Allah.

Jika mahu dihitung, kebanyakan saudara baru Islam mengalami pelbagai dugaan hanya untuk mengenali agama ini. Sedikit sebanyak, ramai juga yang tewas di tengah jalan kerana tidak diterima.

Menurut Nor, dia dan suaminya sama-sama ikhlas untuk mengenali Allah dan agamanya. Disebabkan itu, mereka memeluk Islam dan merantau seluruh negara untuk mengenali-Nya.

“Di kampung, kami sering dipandang sinis termasuk oleh orang Islam. Jangan kata mahu membimbing kami, mereka lebih rela menuduh dan menghina kami memeluk Islam kerana harta.

“Jika mahu diikutkan, kami tidak dapat apa-apa dengan memeluk agama ini. Jadi, bagaimana kami boleh dituduh begitu? Malah, ketika mengucapkan dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Bentong, kami tidak diberikan apa-apa. Jangan kata wang ringgit, membimbing kami pun tidak.

“Saya cuma terkilan apabila ada masyarakat mengaku Islam tetapi tidak menerima kami seadanya. Sepatutnya, mereka mengajar kami solat, mengaji dan mengenali Allah dengan lebih dekat. Ini tidak. Ketika mula-mula memeluk Islam, kami terpaksa duduk di rumah dan belajar solat hanya berpandukan VCD.

“Sampai satu masa, saya dan suami menangis kerana dilayan seperti itu dan tidak memahami sepenuhnya apa yang diajar menerusi VCD berkenaan. Mujur Tuhan membantu dan menguatkan semangat kami. Akhirnya, kami berpindah ke Raub dan memulakan hidup baru di sana,” katanya.

Nor berkata, kini dia dan suami sering merantau seluruh negara demi mengenali Allah SWT dan agamanya. Pada masa sama, setiap kali tiba Ramadan, mereka berulang alik dari Raub ke Perkim, Kuala Lumpur untuk sama-sama mengerjakan ibadat dengan saudara baru lain.

“Saya sudah serik untuk pergi ke masjid dan surau kerana pandangan negatif masyarakat. Sebab itu, bila tiba bulan puasa, saya dan suami sanggup berulang alik ke Perkim untuk mengerjakan solat tarawih bersama-sama.

“Alhamdulillah, kami tidak pernah rasa penat setiap kali datang ke Kuala Lumpur walaupun jaraknya jauh. Mungkin ini ganjaran buat kami berdua,” katanya.

Berbeza pula dengan Saiful Sim, 50. Sejak memeluk Islam, dia diketepikan oleh isteri dan dua anaknya. Kerana tidak mampu menerima perubahan agama, Saiful akhirnya disingkirkan keluarga.

“Saya meminati Islam sejak di bangku sekolah. Waktu itu saya gemar membaca, termasuk buku agama. Lama-kelamaan apabila dewasa, saya merantau dari kampung di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mendalami agama ini.

“Namun, apabila benar-benar ingin memeluk Islam, saya disingkir isteri. Malah lebih teruk, dia memburukkan saya dan menghasut anak supaya membenci saya.

“Terus terang, saya tidak faham kenapa dia buat begitu. Puas saya jelaskan, tetapi dia tidak boleh menerimanya. Namun sejak itu, saya mula reda dan menganggapnya sebagai dugaan Tuhan. Kini, saya lebih tenang apabila mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya.

Menurut Saiful, selain keluarga, dia tidak terlepas daripada pandangan sinis masyarakat yang majoritinya beragama Islam. Namun, apabila berpindah ke Kuala Lumpur, pandangan itu lama-kelamaan hilang.

“Mungkin, perbezaan fikiran antara masyarakat di kampung dan bandar jauh berbeza. Rasanya, di bandar pendedahan mengenai mualaf lebih banyak berbanding di kampung.

“Syukur, kini saya tidak lagi terasa asing. Malah, kebanyakan orang Islam seperti saudara saya. Alhamdulillah, Tuhan membawa saya bertemu jalan tepat dan kini saya gembira. Rasanya, ia mungkin dugaan buat kami (mualaf),” katanya.(sumber: Metro,6/8/11)

MAKTAB PERGURUAN BAHASA, KUALA LUMPUR

TB sedang berusaha mengesani para pelajar/guru pelatih Maktab Perguruan Bahasa (MPB),Lembah Pantai, Kuala Lumpur sesi 1976-77 dalam apa jurusan pun yang kini TB tidak pasti sama ada masih berkhidmat, sudah bersara ataupun telah kembali ke rahmatullah.

Maktab Perguruan Bahasa yang ditubuhkan di Bukit Senyum,Johor Baharu (1956) kemudian berpindah ke Lembah Pantai,Kuala Lumpur (1957) merupakan sebuah maktab perguruan terkemuka dan terkenal pada suatu ketika. MPB ( bertukar nama kepada lnstitut Bahasa (IB) kemudian lnstitut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) dan kini Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu/IPGM).

Kepada sahabat-handai dan teman-taulan yang pernah menuntut di MPB 1976-77 sila hubungi alamat emel blog TB atau memberi respons dan reaktif menerusi blog ini. Suatu perjumpaan dan jejak kembali rakan-rakan seperjuangan sedang diusahakan oleh JK Sekretariat Pelaksana.

Bagi penuntut MPB kenangan dan nostalgia tetap terpahat kukuh di sepanjang jalan hayat kehidupan. Antara lepasan MPB yang telah mengukir nama ialah Datuk Seri Dr Rais Yatim, Prof Emeritus Awang Had Salleh, Allahyarham Dr Atan Long, penulis Yahya lsmail, Datuk Dr Mohd Shahrom 0sman (kini MP Lipis) dan ramai lagi.

Semoga ketemu!

06 Ogos 2011

DI BRUNEI ADA JUGA 1MALAYSIA!


Produk-produk negara jiran yang terjual dalam Karnival Produk 1Malaysia di Giant Hypermart Rimba membuktikan satu lagi kejayaan jenama yang dipercayai dan dekat di hati pengguna tempatan.
Barangan makanan seperti termasuk, martabak, keropok lekor, nugget, minuman, jem dan pelbagai jenis sos adalah antara 90 produk yang dijual 16 syarikat dari Malaysia.

Karnival yang berlangsung hampir sebulan itu berakhir hari ini dengan penutupannya disempurnakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Dato' Abdullah Sani Omar.(sumber:MP)

SULTAN HASANAL BOLKIAH : PERKENAN PERINTAH ANTIKEGANASAN


PEJABAT  Peguam Negara dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenankan perintah yang dinamakan Perintah Anti-Keganasan 2011 berkuat kuasa pada 18 Julai lalu.

Perintah Anti-Keganasan 2011 adalah manifestasi daripada komitmen kuat Negara Brunei Darussalam dalam memerangi keganasan, termasuk di arena antarabangsa.

Perintah berkenaan antara lain memperuntukkan bagi kesalahan seperti perlakuan perbuatan pengganas, keanggotaan kumpulan pengganas, pembiayaan keganasan dan sokongan atau bantuan kepada mana-mana kumpulan pengganas atau perbuatan pengganas.(sumber:MediaPermata,1/8/11)

MR. BEAN


AKTOR  komedi Britain, Rowan Akitson yang terkenal dengan watak Mr. Bean, telah keluar daripada hospital hari ini selepas menjalani rawatan ekoran terlibat dalam kemalangan apabila kereta yang dipandunya melanggar sebatang pokok, semalam.

Akitson yang mengalami kecederaan bahu selepas kereta F1 McLaren yang dipandunya tergelincir di sebatang jalan dekat Haddon, timur England, sebelum melanggar sebatang pokok dan terbakar.
Pelakon berusia 56 tahun itu sempat keluar dari kawasan kemalangan sebelum pasukan bomba tiba untuk memadamkan kebakaran tersebut. -(sumber: AFP, 5/8/11)

05 Ogos 2011

KUPU SB

TB ucapkan salam Ramadan al-Mubarak kepada warga KUPU SB di N.Brunei Darussalam dengan iringan secebis tazkirah  pendek semoga memberi manfaat kepada diri TB dan awda sekalian.

"Tiada saat yang perit seperti sakratul maut. Tiada waktu yang khusyuk sekhusyuk waktu solat.Tiada bulan yang seberkat Ramadan,tiada malam sebaik malam Lailatul Qadar dan tiada bahan sebaik bahan bacaan kitab suci al-Quran. Justeru teguhkan semangat meneruskan kesinambungan perjuangan agama dan bangsa yang tiada noktah.

Kita adalah anak Melayu lslam yang cekal yang terus berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air tercinta. Salam Aidilfitri 1432 Hijrah kelak, maaf zahir batin".(TB)

NAJIB RAZAK: BERITA TERKINI

PAS hari ini mendakwa wujudnya 'gerakan' dalam Umno untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai perdana menteri.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata gerakan tersebut bagi menjatuhkan Najib sebelum pilihan raya umum ke-13 kerana presiden Umno dilihat sebagai "liabiliti kepada BN".

"Ada gerakan serius yang meminta supaya Najib berundur daripada (jawatan) perdana menteri.

"Najib dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) dilihat liabiliti kepada BN kerana pada waktu ini ia memberi kesan negatif kepada pilihan umum akan datang," katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.(sumber:Mkini,4/8/11)
TB: Wallahualam. Salam Ramadan.

CUEPACS : BERI DUA BULAN BONUS GAJI AIDILFITRI


 KONGRES  Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan kepada semua kakitangan awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan itu dengan segera bagi mengurangkan beban kakitangan awam.

"Tahun ini, kita tidak mahu kerajaan memberi bantuan khas seperti dua tahun lalu tetapi kita minta kerajaan beri bonus dua bulan kepada kakitangan awam.

"Memandangkan keadaan ekonomi negara semakin baik dan inflasi juga dapat dikawal, maka inilah masa yang sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan permohonan ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat memberikan bonus kepada semua kakitangan awam masing-masing sebulan, sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Omar berkata, pihaknya menolak cadangan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen sedia ada dan digantikan dengan skim pencen bercarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Cuepacs tetap mahu semua kakitangan awam menerima pencen selepas bersara kelak melainkan terdapat skim yang lebih baik daripada skim sedia ada," katanya.(sumber: UM,5/8/11)

TB: Tahniah Sdr Omar Osman yang telah memakai 'title' Datuk. Syabas, walaupun dapat gelaran tetapi perjuangan untuk kakitangan awam dalam perkhidmatan dan pasca perkhidmatan masih kental terus disuarakan oleh beliau. TB tahu penat lelah perjuangan para pemimpin kesatuan sekerja ini lantaran TB juga dahulu pernah bersama-sama dengan Datuk Siva Subramaniam. Kesatuan sekerja berjuang untuk semua walaupun ada sesetengah ahli dalam perkhidmatan awam tidak pun menganggotai mana-mana kesatuan sekerja. Sebagai badan gabungan TB ucapkan syabas kerana tidak melupakan juga golongan pesara-pesara kerajaan dari semua peringkat. Sudah tentu bonus juga merangkumi kepada para pesara sekalian.

04 Ogos 2011

DISIPLIN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH AGAMA: SATU KAJIAN KES DI NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA.


ABSTRAK


Masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah kerap diperkatakan saban masa.  Namun demikian, masalah ini tidak boleh dibiarkan berterusan. lnstitusi sekolah adalah tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran yang kelak bakal melahirkan modal insan berkualiti .Sampel kajian di sebuah sekolah menengah agama di negeri Selangor dalam menangani disiplin pelajar bermasalah ini bertujuan mengenal pasti peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Faktor yang dikaji ialah profil pelajar, faktor-faktor penyumbang dan persepsi pelajar terhadap peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling . Seramai enam pelajar dipilih secara rawak sebagai responden kajian. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah kualitatif .  Soalan protokol telah digunakan  terbahagi kepada tiga persoalan pokok. Data dianalisis dengan  menulis semula perbualan yang dirakam, kemudian dikategorikan mengikut persoalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor diri pelajar, keluarga, rakan sebaya dan pembelajaran mempengaruhi masalah disiplin pelajar. Walau bagaimanapun, faktor rakan sebaya adalah faktor utama  yang banyak mempengaruhi . Persepsi responden menunjukan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling  memberi impak baik khususnya terhadap aktiviti pelajar bermasalah disiplin.   Justeru, beberapa cadangan telah dikemukakan dalam usaha mengatasi masalah disiplin di kalangan pelajar; khususnya di sekolah-sekolah menengah agama di Malaysia.

(Baca penuh projek penyelidikan di Pusat Sumber Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. dan lain-lain)


Oleh MAHNESSA BINTI A. KADIR
PROJEK PENYELIDIKAN SARJANA PENDIDIKAN
(BIMBINGAN DAN KAUNSELING)
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.

BOTAK PELAJAR & SIMPATI KEPADA PENGARAH PELAJARAN JOHOR



KEGAGALAN  ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, mengawal emosi hingga sanggup melemparkan pelbagai kata-kata kesat, menyebabkan perbincangan bersama Jabatan Pelajaran Johor dan Penjara Kluang berhubung dakwaan anak mereka didera ketika Price of Freedom, semalam berakhir tanpa penyelesaian.

Malah, pertemuan selama tiga jam bermula 9.30 pagi di sekolah itu juga hanya dihadiri 13 keluarga daripada 33 pelajar yang mendakwa menjadi mangsa dera petugas program motivasi di Penjara Kluang selama tiga hari dua malam mulai Jumaat hingga Ahad lalu.

Pertemuan yang sepatutnya mencari penyelesaian, bertukar kecoh apabila ada penjaga melemparkan kata-kata kesat serta tohmahan tidak berasas terhadap pentadbiran sekolah.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, serta kakitangannya yang hadir juga tidak terlepas daripada dilemparkan dengan kata-kata kesat apabila dilabelkan sebagai bebal dan bodoh oleh waris pelajar.

Suasana tegang itu tetap dihadapi Mohd Nor serta Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed yang memberi jaminan akan menyiasat dakwaan itu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.

Ketika ditemui selepas pertemuan terbabit, Mohd Nor berkata, program Price Of Freedom akan diteruskan dan pihaknya sedia membuat penambahbaikan terhadap pengisiannya.

“Jabatan pelajaran bersikap terbuka dan kita sedia memberi ruang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Jika terbukti dakwaan pelajar benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan atau guru terbabit,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, lima sekolah sudah menghantar pelajar mengikuti program motivasi itu, namun pihaknya tidak menerima aduan berhubung salah laku atau keganasan yang didakwa dilakukan kakitangannya.

Beliau berkata, pelajar hanya mengikuti program simulasi merasai kehidupan di penjara yang dijalankan di kawasan selamat.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan sekumpulan 33 pelajar sekolah terbabit mengharungi pengalaman mengerikan apabila mendakwa didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selamat tiga hari dua malam di penjara Kluang mulai petang Jumaat hingga Ahad lalu.

Mereka mendakwa bukan saja digunting rambut pendek ala banduan, malam ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma. (sumber: Bharian,4/8/11)

TB: Apapun tujuan kem motivasi tersebut mempunyai objektif ke arah kebaikan  dan murni. Apa yang menjadi kesilapan mungkin berlaku halangan-halangan komunikasi yang wujud silap faham antara ibu bapa-pelajar,Jabatan Pelajaran Johor dan Jabatan Penjara Kluang.Apatah lagi jika apa yang dilakukan tidak ada perancangan rapi (planning), pelaksanaan yang menepati piawai kurikulum pendidikan psikologi dan pemantauan daripada sekolah,PPD dan jabatan.

Apa boleh buat; sudah terantuk baru terngadah.Mungkin ada pihak atau individu yang terlalu ghairah dalam usaha mendisiplinkan pelajar-pelajar bermasalah tanpa berbincang secara terperinci aspek pelaksnaannya.Mujur tidak ada pelajar yang cedera atau lebih dasyat lagi membawa kematian dan kemudaratan. 

Sewajarnya modul PLKN boleh dijadikan garis panduan bagi memupuk kendiri pelajar yang bermasalah ini;asalkan kita tidak menganggap mereka sebagai 'sampah'. lngatlah pembelajaran itu sepanjang hayat dan berikanlah mereka peluang belajar sambil mengenali hakikat kewujudan diri bukan penyeksaan diri!

SARJANA & PENSYARAH UNIVERSITI TAMPAL NAMA........


UNIVERSITI di Malaysia kehilangan hikmah. Akhir-akhir ini kita lihat universiti merestui 'pemboncengan gratis' di kalangan ahli akademik. Jika tidak membonceng dalam kegiatan penyelidikan dan penerbitan, mereka dianggap sebagai tidak normal.

Tiba-tiba kita terlihat banyak nama yang menulis pada sesuatu karya. Perkara itu tidak salah. Tetapi jika nama-nama itu tidak ada kaitan intelektual dengan bidang atau tema yang dibincangkan, bagaimana kita mengukur hasilnya?

Walaupun kajian dan penulisan antara disiplin digalakkan, perlu ada teguran jika ia disalahgunakan. Ramai ahli universiti yang telah salah tafsir konsep dan falsafah penglibatan kepelbagaian disiplin dalam sesuatu projek kajian.

Jika nama-nama itu hanya dikenali dengan kepakaran bahasa dan kemungkinan besar hanya menyunting sesuatu hasil penulisan, apakah namanya layak berkampung sekali?
Kadang-kadang, seseorang ketua jabatan itu meminta namanya diletakkan sebagai penulis bersama kepada penulisan yang tidak ada kaitan dengan bidangnya.

Asalkan tindakan itu dapat memberi markah kepada semua terbabit, dapat dicatat dalam kurikulum vitae dan dinilai untuk kenaikan pangkat, ia 'restui' oleh semua yang terbabit.
Tanggapan sedemikian merupakan satu masalah amat besar yang melanda pandangan alam universiti ke arah 'prestasi yang cemerlang.'

Pemerhatian Prof. Muhammad Syukri Salleh (Utusan Malaysia, 20 Julai 2011), dan Prof. Madya Mohamad Md. Yusof ( Utusan Malaysia, 26 Julai 2011) ke atas gejala budaya material yang menular di universiti amat menakutkan. Jika ini tidak ditangani, akan pupuslah kesarjanaan di Malaysia.

Ini ada kaitannya dengan bagaimana universiti kita dipaparkan dan ditonjolkan kepada dunia. Tidak kira universiti awam atau swasta, terlihat semacam kegilaan yang menyesatkan.

Ini ada kaitannya dalam penonjolan keakraban universiti dengan industri dan profesion. Universiti kita kini nampaknya tidak mempedulikan etika dan tatasusila dalam kerjasama, pemasaran dan pengiklanan universiti dan tawaran kursus yang ada. Jika kajian rambang dilakukan, pihak industrilah yang 'dipertuhankan.'
Universiti tidak boleh 'diindustrikan'. Malangnya inilah yang sedang berlaku apabila ahli akademik membonceng, sama ada dalam projek penyelidikan atau penerbitan, di mana hasil karya dan penulisan seseorang itu diukur dengan kaedah nombor, kerana kaedah inilah yang paling mudah.

Nampaknya, banyak masa terbuang dengan menumpukan kepada cadangan menulis dan mendapatkan pembiayaan penyelidikan, dan menyiapkan laporan penyelidikan. Ada yang menerbitkannya dan ada yang tidak. Akan tetapi apakah menerbitkan hasil penyelidikan yang dibiayai itu satu bukti pencapaian dan pemaparan kesarjanaan?

Kita lupa hikmah yang perlu ada pada universiti. Nilai jauhari terhakis dalam diri kita sehinggakan kita tidak lagi mengenal manikam. Kita tidak tahu menilai idea, konsep dan teori.
Saya khuatir jika gejala ini berlarutan tanpa kekangan, maka hapuslah kesarjanaan di Malaysia. Yang ada hanya kilang-kilang mengeluarkan ijazah hasil dari para pensyarah yang taksub kepada model Pengajaran Berasaskan Hasil (OBE) yang tidak boleh mengukur nilai dan kepercayaan.

Pensyarah-pensyarah berkenaan membayangi bahawa mereka bukan pensyarah tetapi sebahagian daripada profesion dan pasaran. Itu merosakan nilai akademik. Mereka tidak dapat membezakan antara nilai akademik dan nilai pasaran.

Dengan itu apa yang kian berlaku ialah masyarakat pensyarah dilentur untuk akur kepada KPI tanpa kesarjanaan dan hikmah.

Apa yang mereka peduli ialah mengajar mengikut acuan yang diberi, mendapat sekian banyak pembiayaan untuk penyelidikan (tidak kira siapa membonceng) dan menerbit dalam jurnal-jurnal yang berindeks dalam pangkalan data tertentu.

Amalan budaya material dan wang sebagai pengukur hasil para pensyarah kini amat tebal di kalangan universiti kita. Ini hendaklah dihentikan.

Para pemimpin universiti hendaklah muhasabah akan kesan jangka panjang jika ia berlarutan. Ilmu dan kesarjanaan tidak dapat dijanakan tanpa keikhlasan dan integriti.
Malah, keadaan ini kian mempengaruhi para pensyarah muda, dan juga yang lama. Ada wang, boleh terbit dan ini dikira dalam KPI pensyarah itu dan universiti.

Budaya ini telah banyak disalahgunakan. Ada 'pakar' dari universiti tempatan, yang dijemput oleh beberapa buah universiti lain, memaklumkan bahawa 'membonceng' itu halal. Dan 'membonceng' itu membolehkan nama kita tersiar di berpuluh-puluh jurnal dalam masa setahun. Dan kegiatan ini amat digalakkan.
Dengan itu, seseorang itu dinilai sebagai 'cemerlang' dan seterusnya dianggap sebagai pensyarah yang 'berkualiti.' Di mana integritinya di sini?

Apakah istilah 'cemerlang' dan 'kecemerlangan' dan 'kualiti' itu telah mengaburkan kita akan kesarjanaan dan hikmah? Mengapa istilah 'cemerlang' ini digunakan dengan sewenang-wenangnya dalam universiti dan masyarakat kita?

Saya kira kita telah lari daripada matlamat asal mengapa kita bekerja di universiti dan asas penubuhan universiti itu.Saya bukan menentang usaha dan inisiatif ke arah memperbaiki pengajian tinggi kita. Apa yang saya ingin tegur ialah usaha itu telah banyak disalah tafsir dan disalah guna oleh para pensyarah lalu direstui oleh pentadbir universiti itu sendiri.(sumber : UM,4/8/11)

TB pernah menghadiri suatu seminar besar pada tahun ini, seminar antarabangsa anjuran sebuah persatuan profesional yang dianggotai oleh ahli-ahli akademik beberapa buah universiti terkemuka tanah air dengan kerjasama beberapa universiti tempatan.  Malangnya kertas kerja yang dibentangkan oleh kebanyakan pelajar pasca sarjana TB rasa belum mencapai standard yang diharapkan. Apa yang menyedihkan para pensayarah yang berkaitan turut meletakkan nama-nama mereka. Bayangkan satu kertas kerja sekitar 5-12 halaman dibarisi penyumbang/penulis seramai 3-5 orang. Sama-samalah kita fikirkan antara kualiti,pengisian dan harapan kepada sarjana kita pada hari ini.

ANAK YATIM DIEKSPLOITASI MINTA SEDEKAH: SAMPAI BILA?

PENGGUNAAN kanak-kanak dalam menjalankan aktiviti ‘meminta sedekah’ dengan berselindung di sebalik nama institusi atau rumah anak-anak yatim dikesan kembali aktif.

Malah, dalam tinjauan yang dilakukan wartawan unit khas Utusan Malaysia di sekitar Lembah Klang baru-baru ini mendapati, sebuah pusat tahfiz anak-anak yatim di Kedah yang pernah diarah menghentikan operasinya serta-merta oleh pihak berkuasa, masih menjalankan aktiviti mereka.

Dengan alasan mengumpul dana, para pelajar pusat tahfiz beralamat di Kuala Kedah itu meminta simpati orang ramai sambil menjual cakera padat (CD), madu, buku agama serta barangan lain.(sumber: UM, 4/8/11)


TB: Jabatan Kebajikan Masyarakat usahlah bergerak dan bertindak ikut bermusim. Dakwa mereka ke muka pengadilan.Paparkan 'iklan' di TV, sedarkan masyarakat dan lakukan serius membanterasnya. Jangan hangat-hangat tahi ayam!

MOHD NOR GHANI PENGARAH PELAJARAN JOHOR

TB ucapakan tahniah kepada Sdr Mohd Nor Ghani rakan sekolah TB yang kini menjawat Pengarah Pelajaran Johor. TB masih ingat, semasa TB berada di Tingkatan 6 Rendah, Mohd Nor ketika itu berada Tingkatan 6 Atas. Susuk tubuhnya yang besar dan suaranya yang parau, anak kelahiran Tangkak,Johor (jika tidak silap TB) ini begitu mesra dan akrab terutamanya selepas tamat tempoh minggu orientasi.

TB masih ingat rakan-rakan seangkatan Mohd Nor seperti Mohd Aman, Ali Mahmood (Dr. yang kemudian jadi rakan sekelas/sekuliah TB semasa di ijazah pertama di universiti), Nor Azman, 0bet Tawil, Sairan,Ajali Mahzan (arwah) dan lain-lain lagi. Sungguhpun kami berbeza; junior-senior tapi hubungan kami akrab bagai adik-beradik.Sebelum Mohd Nor, Sdr Mukhi yang pernah menjawat Pengarah Jabatan Johor (kini telah bersara wajib) adalah rakan sejawat sewaktu sama-sama menjadi guru muda di daerah Muar sekitar tahun 1970-an dahulu.

TB faham kini Mohd Nor tentu tidak sunyi menghadapi cabaran sebagai 'penghulu cikgu' dalam negeri Johor. lsu pelajar yang kononnya bagai didera apabila menjalani kem motivasi di penjara mula heboh diperkatakan masyarakat kini.Pelbagai pro dan kontra dilontarkan.TB tahu Mohd Nor sewaktu masa dahulu pernah aktif dalam sebuah parti politik dalam bahagian Ledang,Tangkak,Johor. Semoga reputasi masa lalunya dalam politik tidak dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Hati-hatilah Mohd Nor dalam mengemudikan bahtera pendidikan di Johor. TB doakan agar sdr tetap tabah dan yakin diri dalam melaksanakan misi dan visi asalkan kita ada ketulusan,ketelusan dan keikhlasan.

Kepada rakan-rakan sekelas TB yang juga menjawat pos 'Pengarah' di negeri Johor seperti di Jabatan Penerangan,Jabatan Arkib, Jabatan Bekalan Air (kini Syarikat Air Johor) dan lain-laian jabatan TB ucapkan selamat bertugas dan selamat hadir kelak meniti dan masuk ke gerbang persaraan wajib  apabila sampai saatnya dengan selamat dan sihat walafiat. Salam perjuangan!(TB)

03 Ogos 2011

JABATAN PENDAFTARAN MALAYSIA: APA SUDAH JADI?

KURANG empat jam selepas Malaysiakini melaporkan seorang penduduk tetap (PR) yang memegang kad MyPR merah telah didaftarkan sebagai pengundi baru, dia nampaknya telahpun menjadi warganegara.

NONEDia kini mempunyai MyKad biru, berdasarkan semakan pada sistem dalam talian yang sama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mana butiran identifikasi dirinya direkodkan.

Semakan pada sistem pengesahan dalam talian JPN sebanyak dua kali - pada jam 5.48 petang semalam dan 11.30 pagi ini - menunjukkan nama Mismah adalah berstatus PR yang telah mengambil kad MyPRnya (No 640704715238), kad pengenalan bagi PR.

Apabila nombor yang sama dimasukkan ke dalam sistem pengesahan dalam talian SPR, Mismah yang sama adalah pengundi berdaftar yang baru.

Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang ini menunjukkan hasil yang mengejutkan - Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru.

Statusnya pada sistem pengesahan dalam talian SPR kekal sama pada jam 3 petang - pengundi yang baru berdaftar dalam senarai daftar tambahan pemilih yang dipamerkan oleh semakan umum.(sumber: MK,3/8/11)

TB: Bayangkan jika kerana wang ringgit dan kebendaan, bukan mustahil Afrikan  dan berbondong-bondong PATI dari lndia,Sri Lanka,China,Myanmar,Vietnam dan lain-lain juga akan mudah jadi warganegara. Apatah lagi kini jika lelaki asing berkahwin dengan wanita tempatan; boleh dapat kewarganegaraan. Kes di atas apakah 'Mismah' berkahwin dengan rakyat Malaysia? TB harap JPN dapat beri penjelasan segera. lni bahaya, bahaya pada setiap masa dan keadaan!

JENAYAH DAN MAHKAMAH HARI INI


PEGAWAI penyiasat pihak berkuasa, pasukan pendakwaan dan pembelaan  dan mahkamah yang berpengalaman telah menempuhi prosiding dan perbicaraan kes-kes jenayah yang disabitkan pada masa-masa lalu.Manakala orang awam telah beberapa kali mengikuti perkembangan perbicaraan kes-kes berprofil tinggi seperti pembunuhan misteri yang mensabitkan hukanan mandotori gantung sampai mati dan sebagainya.

Tentulah setiap kali perbicaraan dan hukaman dijatuhkan setiap episod menjadi teka-teki dan perhatian. Apa yang orang awam mahu ialah biarlah para penjenayah yang melakukan kejahatan jenayah itu dijatuhi hukuman setimpal dan undang-undang tidak diperkotak-katikan. Orang ramai juga tentu berdukacita andainya si penjenayah sebenarnya terlepas di tali gantung atau diringankan hukuman lantaran kelemahan pendakwaan, saksi-saksi yang berpaling tadah dan bersikap 'auta' serta kelicikan di pihak pembelaan pula.

Dalam era yang serba celik ini, kita faham kadang-kadang sukar pihak penyiasat  mahu memperoleh maklumat jika setiap prosedur biasa yang dilakukan akan ditohmah dengan pelbagai  kecaman di pihak luar. Agak aneh zaman sekarang ada juga mereka yang di luar 'gemar' bersimpati dengan penjenayah sebenarnya.

 Kita faham bahawa mengikut undang-undang 'seseorang belum didapati bersalah sekiranya mahkamah belum menjatuhkan hukuman bersalah ke atas si pelaku atau 'Orang Kena Tuduh' (OKT).lnilah dilema pegawai-pegawai penyiasat yang pada masa kini kena gunakan pendekatan psikologi tinggi.

Apatah lagi jika pembabitan wang ringgit digunakan dan dimanipulasikan yang mana 'saksi-saksi boleh dibeli'. Dalam erti kata lain ' hari ini kata lain, esok cakap lain, semasa siasat cakap lain, dalam mahkamah membisu seribu bahasa dengan menggeleng-gelengkan kepala'. Segala aksi-aksi inilah juga memerlukan kebijaksanaan pihak pendakwaan.

Apatah lagi sekiranya OKT ini terpengaruh dengan filem-filem jenayah yang membabitkan perbicaraan di mahkamah.Pihak berkuasa juga boleh memikirkan tentang kesannya sekiranya OKT itu dibawa ke mahkamah untuk sesi perbicaraan bersama-sama dengan dua,tiga atau lebih kawan-kawan yang disabitkan yamg mana boleh memberi impak psikologi. Kemungkinan wujud hilang rasa ketakutan, hilang rasa bersalah bahkan seperti memberi sokongan psikologi di antara rakan-rakan mereka.

Dalam apa jua situasi pun apa yang kita harapkan semoga tiang keadilan dapat ditegakkan.Mereka yang bersalah sama ada melakukan, bersubahat dan berkomplot menerima balasan dan menerima hukuman yang sebenarnya-benarnya hukuman. Sehubungan ini setiap manusia juga mengharap Tuhan Yang Maha Berkuasa menunjukkan cahaya kepada para hakim kita agar menperoleh hidayah dan rahmat-Nya.(by TB)

ILMU: JANGAN KEDEKUT MENYEBARKANNYA




APABILA menyebut mengenai ilmu, saya ingin berkongsi kata-kata hikmah Imam al-Ghazali dalam nasihat al-Muluk. Beliau mengatakan, manusia ada empat kategori. Pertama, seorang berpengetahuan dan tahu apa yang dia tahu. Dialah orang berilmu.
Kedua, orang berpengetahuan, tetapi dia tidak tahu apa yang dia tahu. Dialah pelupa. Hendaklah kamu mengingatkannya. Ketiga, orang tidak berpengetahuan dan sedar dia tidak tahu. Dia memerlukan tunjuk ajar. Hendaklah kamu mengajarnya.

Keempat, orang tidak berpengetahuan tetapi tidak tahu apa dia tidak tahu. Dialah orang yang bodoh. Hendaklah kamu memberikannya ilmu pengetahuan. Sudah tentu kita tidak mahu berada dalam kategori manusia terakhir. 

Tetapi apabila direnungi, sejauh mana semangat kita menerokai dan berkongsi ilmu dalam persekitaran? Mungkin kita terfikir sejenak dan terbayang kesibukan setiap hari menguruskan rumah tangga, keluarga, kerja dan masyarakat. 

Ini antara alasan sering disebut-sebut. Sedangkan apabila kita membaca kisah sahabat dan tabiin yang sanggup mengembara jauh dari Madinah ke Damsyik, semata-mata mencari ilmu, kita patut rasa malu pada diri sendiri dan kagum dengan mereka. 

Mereka bermusafir hanya untuk mempelajari satu hadis daripada sahabat yang mendengar sendiri daripada Baginda Rasulullah SAW. Mereka memiliki semangat dan kecintaan tinggi terhadap ilmu. 
Antara kisah masyhur ialah Said al-Musayyab, Abu Darda’ dikenali sebagai hakim al-ummah (kebijaksanaan umat) dan Abdullah Abbas, dikenali dengan hibr al-ummah (yang terpelajar dalam kalangan umat Islam) dan bahr al-ulum (lautan ilmu pengetahuan). 

Hebatnya semangat mereka menjunjung ilmu walaupun terpaksa menempuh kepayahan sehingga melahirkan tamadun Islam yang gemilang. Semangat mereka itu patut kita jadikan iktibar selepas Allah dan Rasul-Nya membentangkan segala kelebihan ilmu kepada kita. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa Allah inginkan kebaikan kepadanya, maka Dia akan memberikan kepadanya pemahaman mendalam dalam urusan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Ini membuktikan kebaikan tidak akan terhasil tanpa pemahaman ilmu membawa kepada kebaikan iaitu ilmu agama itu sendiri. Ilmu sifatnya ibarat cahaya penyuluh yang boleh menerangi kegelapan, menunjuk arah perjalanan, memandu akal menentukan baik daripada yang buruk. 

Ilmu diumpamakan seperti hujan membasahi bumi. Ia mampu menumbuhkan, menghidupkan, menyuburkan pelbagai tanaman dan manfaat kepada makhluk serta sifatnya boleh menyucikan. 

Kepentingan ilmu termaktub dalam wahyu Allah, surah al-Alaq. Ibn Kathir dalam tafsirnya menerangkan ayat itu menunjukkan rahmat dan nikmat pertama Allah kepada hamba-Nya iaitu memerintahkan mereka mempelajari ilmu pengetahuan serta mengajarkan apa yang tidak diketahui. 

Hal ini terlebih dulu dilakukan dengan mengurniakan serta memuliakan kita dengan akal. Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah mengatakan, umat Islam mendapat kedudukan mulia dan tinggi dalam dunia apabila mereka mempunyai ilmu pengetahuan. 

Oleh itu, antara usaha Rasulullah SAW ialah meminta tawanan musyrikin dalam Perang Badar mengajar umat Islam membaca sebagai syarat tebusan. 

Selaras tumpuan pembangunan masyarakat berteraskan pengetahuan yang diistilahkan sebagai K-Society, dalam alam pekerjaan ia perlu terus diberikan penekanan tinggi. Penguasaan ilmu secara langsung melalui kelayakan akademik semata-mata belum mencukupi menjamin kecemerlangan. 

Sebaliknya, mereka yang kurang baik pencapaian akademik juga boleh mencapai kecemerlangan dalam kerjaya jika terus meningkatkan pengetahuan melalui pembelajaran berterusan sebagai usaha pembangunan kendiri. 

Begitu juga bagi yang berada pada tahap tinggi dalam perjawatan, perkongsian bijak perlu digalakkan dalam organisasi supaya pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah pencapaian matlamat organisasi. 

Ilmu pengetahuan itu bermanfaat apabila diamal dan dikongsi dengan orang lain. Ia menjadi sedekah paling baik. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebaik-baiknya sedekah seseorang Muslim belajar ilmu kemudian mengajarkan kepada sahabatnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). 

Pembudayaan ilmu adalah warisan Rasulullah SAW yang tidak ternilai. Justeru, pelihara warisan ini serta marilah kita menyemarakkan budaya penerokaan ilmu dalam persekitaran kerja untuk manfaat diri dan organisasi. 
(sumber:umminessa.blogspt.com)

02 Ogos 2011

BAHASA MELAYU TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA


SAYA bukan sahaja bimbang dan keluh-kesah mengenang nasib masa hadapan Bahasa Melayu di Malaysia sahaja  tetapi juga tentang nasib baik Bahasa Melayu di Singapura, lndonesia, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Negara Brunei Darussalam. 

Walaupun nasib bahasa Melayu belum teruk terumbang-ambing tetapi saya amat sedar bahawa bangsa Melayu hanya boleh dikalahkan bukan hanya dengan aneka senjata teknologi tetapi boleh kalah dan pupus tamadun dan jati diri budayanya dengan 'membunuh semangatnya' melalui bahasanya yang tersohor sebagai wadah penyampaian dakwah di Alam Kepulauan Melayu suatu waktu dahulu.

Orang Melayu kini diasak-asak jiwanya agar tidak berjiwa besar, tidak membanggakan tamadun budayanya,hubung kait bahasa Melayu dalam dakwah lslamiah di Nusantara dan kini mula  tidak menghargai ketinggian nilai akal budi khazanah persuratan dan kesusasteraannya dan memperlekehkan apa jua yang berjenama ' lslam dan Melayu'. Walhal Melayu itu lslam, lslam itu Melayu mempunyai rahsia besar yang tersembunyi yang berkaitan dengan peradaban dan ketamadunan bangsa.


Justeru saya mengambil sekadar contoh tanpa prasangka bahawa andainya Negara Brunei Darussalam yang menjunjung falsafah dan paksi negara dengan 'MIB" atau Melayu,lslam,Beraja maka adakah dapat dipertahankan pada masa akan datang  sekiranya  Bahasa Melayu juga mula terancam dan alangkah malangnya jika ada segelintir orang Melayu di sana juga mula memandang 'dingin' terhadap bahasa Melayu sendiri? Mudah-mudahan dan doa saya tidak ada sedemikian.

Walhal MIB itu ada kaitan dengan jiwa dan jiwa bangsa itu adalah bahasanya.Dan kita juga berasa sedih mengenangkan darjat dan jati diri bahasa Melayu yang kian  terhakis di Selatan Thailand dan Selatan Filipina.

 Manakala di lndonesia walaupun penuturnya kian melebar kuantitinya  tetapi kita juga tidak mahu melihat bahasa Melayu lndonesia  merosot kualitinya dan 'dirosakkan' oleh  elemen cacamarba dan sembrono dalam sosok bahasa itu sendiri. Amalkan dan sebarkanlah Bahasa Melayu yang betul,indah,baku dan gramatis dengan apa jua sekalipun selagi kita ada kuasa dan berkuasa. Ketahui lah dan sematkan di sanubari nurani kita bahawa 'Bahasa Jiwa Bangsa'.(TB)

01 Ogos 2011

ZAM HALIM JAMALUDDIN: SEBUAH PROFIL KEJAYAAN


DUA gaya berbeza ditonjolkan Asisten Superintendan Zam Halim tatkala janji temu di Jabatan Unit Udara PDRM, Sungai Besi, Kuala Lumpur, awal pagi itu. Bermula dengan pakaian rasmi PDRM berwarna biru gelap, juruterbang berpengalaman ini mencuri perhatian dengan persalinan sut keselamatan berwarna jingga, sekali gus menampakkan kredibilitinya sebagai perwira negara.

Sama ada uniform rasmi PDRM mahupun sut keselamatan sebagai juruterbang, cabaran yang digalas di bahu juruterbang berusia 37 tahun ini tetap sama - sentiasa bersedia melakukan pelbagai misi penting termasuk mengetuai pasukan pemantau keselamatan udara.


Pada sesi temuramah itu, Zam Halim tidak keberatan membawa penulis meninjau isi perut pesawat Beechcraft King Air 350 yang digunakan PDRM sejak tahun lalu.

Jentera udara berwarna putih itu menjadi sebahagian daripada jentera dan perkakasan yang digunakan PDRM dalam misi keselamatan udara. Mampu memuatkan hingga 17 penumpang, keupayaan pesawat yang mampu terbang sejauh 500 kilometer sejam itu benar-benar mengagumkan.

“Sebagai juruterbang PDRM, kita perlu sentiasa bersedia menerbangkan pesawat bila-bila masa dengan aspek keselamatan diberi tumpuan utama.

“Bukan saja meliputi tugas di sekitar Lembah Klang, Jabatan Unit Udara yang menempatkan juruterbang dan anggota polis perlu bersedia dengan pelbagai misi penting demi keamanan negara,” kata penghias muka depan XY - Ikon Lelaki ini yang mula menyertai PDRM sejak 1997. 
Zam Halim berkata, skop kerjayanya cukup besar termasuk bekerjasama dengan agensi keselamatan lain bagi memantapkan sistem keselamatan negara.

Ditanya mengenai skop tugas Jabatan Unit Udara PDRM, ASP Zam Halim berkata, jabatan itu bekerjasama dengan semua unit dalam PDRM termasuk agensi kerajaan lain bagi mencegah jenayah.

“Sejak ditubuhkan pada 1979, Jabatan Unit Udara PDRM banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam operasi bersama. Ini sudah menjadi sebahagian daripada matlamat penubuhan jabatan ini sendiri.

“Sejak diserapkan pada 2002, saya juga diberi peluang menyertai misi bersama wakil agensi kerajaan termasuk Ops Patkor Optima dan Ops Tambak selain operasi mencari orang hilang,” katanya.

Tugas getir dan misi menyelamat, semua pengalaman itu dikongsi dalam temu bual bersama XY - Ikon Lelaki termasuk rekod penerbangannya yang sudah pun mencapai 2,500 jam. Ikuti kisah wira udara ini...

Bagaimana titik tolak anda menjadi juruterbang PDRM?

Saya tidak terus menjadi juruterbang ketika mula menyertai PDRM pada 1997. Kira-kira setahun selepas menamatkan kursus sebagai polis, saya ditugaskan sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah di IPD Manjung, Perak.

Bagaimanpun, sudah menjadi tekad saya untuk menjadi juruterbang. Lalu saya memohon jawatan itu dan alhamdulillah, cita-cita saya tercapai pada 1999 apabila berpeluang mengikuti kursus awal latihan sebagai juruterbang.

Apakah antara kriteria menjadi juruterbang dan apakah mudah memohon jawatan ini?

Selain mengambil kira keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aspek kesihatan dan kemampuan berdepan tekanan udara turut diambil kira bagi melayakkan seseorang memohon jawatan juruterbang.

Saya bertuah kerana bukan saja berada dalam kelompok 250 penyertaan awal, malah layak ke saringan 30 peserta, sebelum dikecilkan kepada tujuh anggota untuk menjalani kursus awal sebagai juruterbang.

Bagaimana pembelajaran sepanjang tempoh latihan itu? Mungkin anda boleh berkongsi sedikit pengalaman yang ada?

Tiada yang lebih menggembirakan saya kerana ini adalah profesion yang saya cita-citakan sejak dulu lagi. Pada peringkat awal, ujian dilakukan di Ipoh bagi kursus lesen juruterbang peribadi (PPL). Namun, daripada tujuh anggota yang menyertainya, hanya tiga anggota termasuk saya yang layak dalam ujian yang dikendalikan selama lapan bulan itu.

Antara aspek yang ditekankan termasuklah ujian IQ, matematik dan bahasa Inggeris. Kejayaan saya itu membolehkan saya diserapkan ke seksyen kapal terbang, manakala dua anggota lain ditempatkan di seksyen helikopter.

Tentu ada cerita di sebalik pengalaman kali pertama menerbangkan pesawat?

Gembira, gementar semua sekali saya rasakan ketika pertama kali dipertanggungjawabkan menerbangkan pesawat dalam penilaian asas untuk lulus ujian penerbangan.

Cuaca pagi itu cukup baik. Bayangkan, saya perlu menerbangkan pesawat secara solo daripada proses menerbangkan pesawat hinggalah ke pendaratan. Syukur dua penerbangan secara solo selama dua hari berlangsung dengan lancar.

Sejak bergelar juruterbang pada 2002, apakah misi yang anda lakukan bersama pasukan Jabatan Unit Udara PDRM?

Banyak misi yang sudah saya lakukan bersama pasukan ini termasuk tugasan rondaan udara, membanteras kes seludup dan kerjasama latihan untuk membantu meningkatkan sistem keselamatan negara.

Pada masa sama, saya berpengalaman menyertai aktiviti pemantauan trafik, rondaan marin dan penyeludupan selain membantu misi bantuan Mercy.

Boleh anda ceritakan sedikit mengenai kekuatan model pesawat Beechcraft King Air 350?

Sudah menjadi kebanggaan warga PDRM apabila model kapal terbang yang menjadi antara yang terbaik, dimiliki pasukan. Pesawat Beechcraft King Air 350 memiliki navigasi yang setanding dengan sistem pesawat komersial yang lain.

Setakat ini, ada tiga pesawat Beechcraft King Air 350 yang mula digunakan Jabatan Unit Udara PDRM, tahun lalu. Sebenarnya, selain model kapal terbang ini, ada dua lagi model lain yang biasa saya terbangkan iaitu model Cessna Caravan CE208 dan Pilatus Porter PC6.

Ketiga-tiga pesawat ini memiliki kelebihan tersendiri untuk misi keselamatan.

Bercerita mengenai profesion sebagai juruterbang, boleh anda terjemahkan tugas mencabar ini?

Apa yang dapat saya simpulkan, tugas ini mencabar dan memerlukan kemahiran yang tinggi termasuk menyertai pelbagai misi bantuan dan menyelamat.

Dari aspek penerbangan, tugasnya hampir sama saja dengan tentera dan pengendali pesawat komersial lain. Apabila sudah bersedia untuk menerbangkan pesawat, tumpuan harus diberikan sepenuhnya kepada tugas kerana segala tanggungjawab dan keselamatan penumpang terletak di bahu juruterbang.

Apa agaknya lokasi paling jauh yang pernah anda pergi bersama pesawat kebanggaan PDRM ini?

Setakat ini, lokasi paling jauh yang pernah saya terbang bersama pesawat Beechcraft King Air 350 dan dua lagi pesawat lain ialah dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu. Ini membabitkan penerbangan tanpa henti yang mengambil masa antara tiga jam hingga empat jam bergantung pada keadaan cuaca.

Misi menyayat hati & kisah pramugara MAS...

DARIPADA tugas rasmi membawa orang kenamaan hinggalah misi bantuan kecemasan, ASP Zam Halim berkongsi pengalaman lapan tahun berkhidmat dengan Jabatan Unit Udara PDRM. Akui juruterbang berpengalaman ini, setiap misi yang dipertanggungjawabkan mempunyai makna tersendiri.

Kata juruterbang kelahiran Klang, Selangor ini, pengalaman berbeza dilaluinya membuatkan dirinya cukup insaf dan bersemangat.

“Dalam banyak misi penerbangan kecemasan yang saya sertai, satu kejadian ini benar-benar menyentuh perasaan saya apabila ditugaskan membawa jenazah anggota polis suami isteri yang meninggal dalam nahas jalan raya.

“Apa yang membuatkan saya cukup sedih sepanjang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pangkalan Chepa, Kelantan itu ialah gelagat kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berhenti menangis di sisi jenazah ibunya.

“Hanya selepas penerbangan kira-kira 10,000 kaki, barulah anak kecil ini berhenti menangis itupun kerana dia tertidur di sisi jenazah ibunya. Biarpun cuaca ketika itu hujan lebat dan jarak penglihatan terhad iaitu sekitar tujuh kilometer, saya bersyukur segala-galanya selamat,” katanya berkongsi pengalaman duka dalam insiden yang berlaku dua tahun lalu.

Dalam berkongsi cerita sedih, Zam Halim juga bercerita pekerjaannya sebelum menyertai PDRM. Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, beliau pernah merasi pengalaman dalam tiga jenis pekerjaan berbeza.

“Pekerjaan pertama saya ialah sebagai kakitangan bank. Tetapi tidak lama kerana memang bukanlah cara saya untuk bertugas di pejabat semata-mata. Selepas bekerja sebagai kakitangan bank, saya beralih pula syarikat telekomunikasi Celcom, namun ia juga tidak kekal lama.

“Selepas dua jenis pekerjaan ini, saya memohon dua pekerjaan iaitu sebagai pramugara Penerbangan Malaysia (MAS) dan PDRM. Namun, saya menerima tawaran menjadi pramugara terlebih dulu.

“Sebaik tamat kursus, saya mula bertugas di awan biru hingga ke Jakarta, Indonesia,” katanya sambil menambah, sebaik PDRM menawarkannya tempat sebagai anggota polis, beliau meninggalkan MAS kerana cintanya terhadap bidang kepolisan. (sumber: bharian,31/7/11)

Profil

Nama: ASP Zam Halim Jamaluddin
Umur: 37 tahun
Tarikh lahir: 17 Oktober 1973
Tempat lahir: Klang, Selangor
Tinggi: 173 sentimeter
Berat: 72 kilogram
Status: berkahwin



TB: Sengaja TB kutip sumber ini sebagai rekod yang dapat dikesani sebagai tanda pencapaian seorang pendidik pada masa silam. Zam Halim ialah seorang anak didik TB ketika TB berkhidmat sebagai guru di sebuah Sekolah Berasrama PENUH (SBP) di Kuala Lumpur pada tahun 1980-an  lalu.TB masih ingat Zam halim yang lemah lembut lenggok jalannya seringkalai datang menemui TB bertanya banyak hal terutama berhubung beberapa aspek kemahiran berkomunikasi. Apatah lagi Zam Halim merupakan salah seorang peserta yang mewakili pelajar sekolah untuk ke pertandingan forum dan perbahasan. Ternyata dengan berkat kesungguhannya beliau dan teman-temannya berjaya menggondol johan peringkat kebangsaan.TB ingin tahu ; antara yang TB masih ingat ialah  Abu Razali dan  Hasmarizal. Tentu anda kalian telah berjaya menjadi golongan profesional.Harapan TB agar anda kalian berjiwa besar tetapi merendah diri, tabah dan yakin tidak berputus asa demi memperoleh kejayaan dalam apa jua cita-cita. Ya, seperti anda kalian semangat yang pernah Cikgu didik ketika team dalam pasukan forum dan perbahasan ketika suatu masih dahulu. Ah, nostalgia! Begitu pantas masa berlalu........