Salam Perjuangan

21 November 2010

SYOR NAIK ELAUN ADUN RM8,000 : TIDAK MUNASABAH!


Gambar Hiasan Suasana Pilihan Raya



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim  mencadangkan supaya elaun ADUN di negeri itu dinaikkan kepada RM8,000 sebulan.


Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Peruntukan Untuk Mengurus DUN, beliau berkata, elaun asas sebanyak RM4,112.79 sebulan pada masa ini tidak mencukupi ekoran kenaikan kos sara hidup semasa.

Katanya, bayaran elaun itu tidak mencukupi terutama melibatkan seorang wakil rakyat yang bekerja sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan sampingan. "Saya harap elaun asas ini boleh dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM8,000 jika tidak RM10,000 sebulan.

"Ketika ini, orang yang menjual mi goreng boleh mendapat pendapatan RM8,000 sebulan manakala peraih ikan boleh mendapat RM10,000 sebulan," katanya ketika sidang DUN di sini hari ini. Suee Lim yang juga ADUN daripada DAP turut mencadangkan agar sidang Dewan Undangan Negeri mempertimbangkan untuk mengkaji semula elaun mesyuarat daripada RM75 kepada RM200 sehari. (baca penuh UM 13.Nov.2010).

Hai, hello brother janganlah bengong! Anda semua menjadi ADUN termasuk ADR kerana anda semua menawarkan diri atau anda dipilih oleh parti anda setelah anda bersetuju untuk menjadi calon pilihan raya. Tujuan anda adalah untuk berjuang berlandaskan prinsip parti masing-masing di samping berbakti untuk rakyat jelata demi tanah air kita yang tercinta ini.Jikalau kakitangan kerajaan juga skim gaji tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bersandarkan kelulusan akademik, kelulusan ikhtisas, pengalaman, pencapaian prestasi dan kenaikan pangkat.

Tetapi anda wakil rakyat walaupun mendapat elaun daripada wang rakyat juga tetapi eloklah bertanya diri sendiri apakah tujuan anda menjadi pemimpin? Apakah tujuan anda berbakti sebagai wakil rakyat? lngat anda bukan tuan kepada rakyat yang mesti dibayar upah setaraf pegawai atasan kerajaan bertaraf jusa yang banyak terikat dengan peraturan am kerajaan.

Difahamkan anda wakil rakyat masih tidak terikat dalam hal-hal menjalankan urus niaga perniagaan,menerajui syarikat-syarikat dan sebagainya.Yang penting asalkan anda tidak rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa. Bahkan wakil rakyat bukan semua yang memiliki ijazah pertama,kedua atau ketiga. Masih ada lagi wakil rakyat yang hanya sekadar memiliki kelulusan SPM atau lebih rendah lagi.Kerana apa? 

Menjadi pemimpin atau wakil rakyat berkelulusan akademik tinggi bukan sesuatu yang wajib walau kini amat dititikberatkan.Menjadi pemimpin atau wakil rakyat mestilah memiliki sijil sabar, sijil, amanah. sijil jujur,sijil pemurah, sijil pemaaf dan sijil berlemah lembut.Tanya diri anda adakah anda memiliki sijil-sijil ini?Jika ada eloklah, baguslah dan tahniah.

Justeru, janganlah mengukur pengorbanan anda dengan nilaian wang ringgit.TB tertarik apa yang dikatakan oleh Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang, yang mana beliau mahu mencontohi sikap Umar ibni Abdul Aziz seorang tokoh lslam contoh yang menjadi pentadbir yang mengamalkan hidup serderhana, berjimat cermat dan mengutamakan kepentingan rakyat. Jadi anda bagaimana?  

Saranan TB, padamkan hasrat anda mahu menuntut elaun setinggi itu.Jangan samakan anda dengan pendapatan si penjual mee goreng di Petaling Street atau seorang pemandu teksi di Singapura. Awas…anda jangan mula bersikap tamak dan mula lupa diri? Siapakah yang memilih anda? Jika anda rasa rugi,letaklah jawatan..duduk tepi jalan juallah durian atau dukung; yang mungkin anda boleh dapat RM10ribu sebulan.Tidak sesiapapun memaksa anda!!!




18 November 2010

AWAS ! TINDAKAN JIKA PERSOAL HAK BUMIPUTERA


Tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 boleh diambil terhadap sesiapa yang mempersoalkan mengenai hak bumiputera kerana ia telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.
Pakar undang-undang, Profesor Salleh Buang berkata, hak bumiputera Sabah dan Sarawak adalah sama dengan hak orang Melayu dan kerana itu ia tidak boleh dipertikaikan.
"Hak itu tidak boleh dipersoalkan. Kita perlu berlapang dada bagi sebarang pertikaian dalam pelaksanaannya.
"Jika ada pihak yang persoalkan tentang hak itu, maka tindakan boleh diambil oleh pihak berkuasa," jelasnya  ( baca penuh Utusan Malaysia 13/11/2010).


Paling pokok, Tiub Bocor berharap semua pihak wajib bertegas;terutama bahagian penguatkuasaan yang berkait rapat dengan  soal pelaksanaan undang-undang.Negara kita terlalu banyak akta,enakmen dan seksyen digubal dan diwawarkan.Tetapi setakat ini belum kita terdengar pun ada majikan yang dikenakan hukuman rotan atas kesalahan melindungi pendatang asing yang memasuki dan bekerja di negara kita secara haram atau tanpa sah di sisi undang-undang. Begitu juga perbuatan membuang sampah di merata-rata tempat atau merokok di tempat awam ; walau ada larangan dan denda dipamerkan tetapi tidak sering kita dengar aspek pelaksanaan dan hukuman dilakukan.Jikalau masalah kekurangan pegawai penguatkuasa maka sewajarnya kerajaan menambahkan tenaga kerja.Jika untuk tujuaan penggalakkan,mana-mana orang awam yang memberi maklumat bolehlah diberi hadiah atau saguhati.Justeru undang-undang mempersoalkan perkara 153 Perlembagaan bukanlah perkara baru dengan wujudnya Akta Hasutan 1948.Soalanya sejauh mana tindakan pelaksanaannya? Dengan bertambahnya bijak pandai tetapi yang bertambah seperti kata bidalan Melayu lawyer buruk di negara kita maka semakin kalutlah jika tidak dibendung atau diambil tindakan tegas. Jangan semata-mata kerana kepentingan politik maka cacamarbalah jadinya bak  pi mai pi mai tangtu!


17 November 2010

BAHASA MELAYU : BAHASA RASMI, BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA ILMU DAN BAHASA PERPADUAN DAN KOMUNIKASI NEGARA, BAHASA MALAYSIA BAHASA SATU MALAYSIA.


Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.
Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.
Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.
"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.
"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya .
Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.
Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.
Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.
Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.
"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.(baca penuh UM 10 Nov.2010)
TIUB BOCOR hairan apabila sesuatu perkara yang menyentuh tuntutan berkaitan soal keadilan yang berkepentingan peribadi maka Perlembagaan Malaysia yang menjadi rujukan. Tetapi apabila hal-hal kebahasaan yang telah jelas dalam Perkara 152 mengapa mahu diprovokatif?Negara lndia meletakkan bahasa lnggeris bahasa rasmi manakala bahasa kebangsaannya ialah bahasa hindi.Tetapi adakah lndia menjadi negara maju,kaya dan mewah?Filipina, bahasa rasmi bahasa lnggeris manakala bahasa kebangsaannya bahasa tagalong; apakah Filipina menjadi maju kerana bahasa lnggerisnya? Yang kita tahu,kedua-dua negara tersebut masih ditakuk paras kemiskinan tertinggi di dunia.



SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

10 Zulhijjah 1431H

Puluhan ribu jemaah telah pun bergerak mulai 5 pagi (10 pagi waktu Malaysia) dari khemah mereka di Mina, kira-kira 10 kilometer ke barat laut Arafah. Ramai antaranya mengerjakan solat subuh di Masjid Namira atau semasa dalam perjalanan.


Kebanyakan jemaah yang lain dibawa ke Arafah dengan bas menjelang tengah hari. Perhimpunan di Arafah melambangkan kemuncak haji yang bermula semalam, dengan lebih dua juta jemaah bergerak dari kota suci Mekah atau terus dari Mina, sebuah bandar khemah yang hidup hanya semasa tempoh mengerjakan haji.


Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef bin Abdul Aziz semalam berkata, bilangan jemaah dari luar negara mencecah 1.8 juta orang iaitu tertinggi dalam sejarah, manakala kira-kira 200,000 permit dikeluarkan untuk jemaah tempatan termasuk warga Saudi dan negara Arab Teluk.


Namun puluhan ribu jemaah tanpa permit turut membanjiri Mina mulai semalam, dengan memintas sekatan jalan raya yang didirikan oleh pihak berkuasa bagi menguatkuasakan peraturan 'tiada permit, tiada haji'.


Ramai antara jemaah tanpa permit itu sudah pun berada di Arafah malam tadi sebagai persiapan untuk wukuf.

Menjelang terbit matahari, tempat tertinggi di Arafah, Jabal Rahmah dipenuhi sebilangan jemaah berpakaian ihram yang mendaki ke puncak untuk mengambil kedudukan dan menghabiskan masa dengan berdoa dan berzikir.



Selepas Maghrib, jemaah bergerak ke Muzdalifah, separuh perjalanan di antara Arafah dan Mina, untuk bermalam (mabit) dan mengutip anak batu bagi tujuan melontar jamrah. Mereka kembali ke Mina selepas solat subuh esok untuk mula melontar jamrah dan melakukan ibadat korban.


Penulis selesai  menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam 2008.

Perjalanan haji tahun ini bebas daripada sebarang insiden tidak diingini sejak jemaah mula berhimpun di Mekah. Masjidil Haram dibanjiri kira-kira 1.7 juta jemaah yang mengerjakan solat Jumaat minggu lepas. Kira-kira 2.5 juta umat Islam berhimpun di sini hari ini pada hari yang merupakan kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah. – (sumber AFP)


TB dan team TB blogspot serta ahli keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin. Semoga kita semua beroleh hidayah ke jalan kebaikan dan sama-sama menghayati erti setiap pengorbanan. Apatah lagi jika kita tidak merasai kesusahan, kita tidak akan merasai kesenangan dan kesyukuran. SALAM AIDILADHA…Allah-hu-Akhbar!!!!


15 November 2010

Abd. Ghafar KP Pelajaran Baharu

Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baharu


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat  adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.


"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran
Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.


Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.
"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.


Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.


Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.


Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.


Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.
- Bernama


TIUB BOCOR ucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Abdul Ghafar seorang sahabat lama, yang mana seingat TB pernah kami bersama-sama menduduki Jawatankuasa Tertinggi Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1991,1992 dan 1993.Sewaktu itu TB dan beliau berkhidmat di bawah JPWP KL. TB sangat bertuah kerana dua tahun berturut-turut TB diberi penghormatan mendeklamasikan puisi sempena Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Kampo Rajo Pusat Belia Antarabangsa,Cheras Kuala Lumpur dan di Dewan Pusat lslam,Kuala Lumpur. 


      Abdul Ghafar seorang yang nampak pendiam tetapi boleh tersenyum apabila didekati dan seorang yang berhemah,bersopan dan amat menghormati kawan. Walaupun kami kini membawa haluan tersendiri tetapi TB percaya semangat cintakan dunia pendidikan tetapjitu dengan cara perjuangan masing-masing. Datuk Abdul Ghafar yang yang agak lama di Kuala Lumpur tentu amat memahami cabaran-cabaran pelajar waktu kini terutama di kota besar seperti Kuala Lumpur. Kepada beliau, TB titipkan bahawa tiada kata secantik bahasa, salam perjuangan dan teruskan obor baktimu sampai bila-bila, syabas dan tahniah!





12 November 2010

MPPK WAJAR


 
Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin



MAJLIS Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang ditubuhkan kelmarin diharap meletakkan pendidikan negara ini pada tahap yang lebih cemerlang. Idea menubuhkan MPPK ini pernah dicadangkan pada 1995, tetapi menjadi kenyataan pada 10 November 2010 lalu.

     Majlis ini mempunyai peranan menasihati Menteri Pelajaran berhubung isu-isu berkaitan pendidikan negara. Untuk tujuan itu, tujuh anggota majlis yang terdiri daripada pakar dalam bidang pendidikan telah dilantik. Majlis ini dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Noordin.

     Dengan barisan anggota majlis yang terdiri daripada tokoh pendidikan pelbagai kaum, MPPK dijangka mampu memberi nasihat dan input untuk pembangunan pendidikan negara. Sudah tentu mereka memahami apa yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
     Tujuh anggota majlis ini akan melihat sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat lepasan menengah, hala tuju pendidikan dan pembangunan modal insan serta kebolehpasaran pelajar kita.
      Adalah tugas anggota majlis ini untuk menimbangkan setiap perkara yang dirujuk kepadanya dan mengemukakan nasihat mengenainya kepada menteri. Sebagaimana harapan Muhyiddin begitu juga rakyat yang mahu MPPK memikirkan kaedah bagaimana untuk merapatkan jurang pendidikan terutama perbezaan aliran demi memupuk perpaduan kaum dari peringkat sekolah. Selama ini banyak isu pendidikan diserahkan kepada masyarakat untuk membuat tafsiran masing-masing.
      Dengan adanya majlis penasihat ini, tuduhan kepada kerajaan mengenai sesuatu dasar pelajaran dapat dikurangkan. Kita bersimpati dengan kerajaan yang terpaksa turun ke bawah mendapatkan buah fikiran rakyat sebelum melaksanakan sesuatu dasar.
Kadangkala sesuatu dasar yang baik untuk anak-anak dan generasi muda 'terbengkalai' bertahun-tahun angkara permainan politik pihak tertentu
      Kini, elok kita serahkan pula kepada tokoh-tokoh pendidikan untuk memerah otak memikirkan apa yang baik untuk pendidikan negara. Biarlah mereka memikirkan perkembangan kurikulum, penilaian dan pentafsiran pendidikan, perancangan dan penggubalan dasar pendidikan serta isu-isu pendidikan.
      Penubuhan MPPK ini tidak boleh ditangguhkan lagi. Dalam kita bergerak di landasan menuju negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi, soal modal insan iaitu melalui pendidikan perlu diberi keutamaan. Bidang pendidikan perlu ke hadapan untuk tempoh 10 tahun akan datang selaras dengan dasar dan transformasi yang dilakukan kerajaan. Pelan induk pendidikan negara perlu dilaksanakan bersesuaian dengan tuntutan dan perkembangan semasa negara.
      Jadi tidak salah kerajaan menubuhkan MPPK agar strategi pendidikan negara dapat digerakkan sepenuhnya mengikut hala tuju dan dimensi baru negara (sumber UM,11 Nov.2010)


TIUB BOCOR mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Dr.Wan Zahid Mohd Nordin selaku Pengerusi MPPK.Sekurang-kurangnya pengisian Wawasan Pendidikan yang diilhamkan oleh beliau semasa menjawat KPKPM dahulu dapat diteruskan hala tujunya dan dapat direalisasikan lantaran wawasan tersebut bagi TB amat jelas,mantap dan begitu sinonim dengannya. Dengan adanya MPPK setiap dasar yang mahu dilaksanakan dapat difikirkan dan diputuskan dengan sebaik mungkin agar sejarah PPSMI tidak berulang kembali. Syabas kepada para anggota MPPK dan selamat terus berbakti!



11 November 2010

BAHASA MELAYU : BAHASA RASMI, BAHASA KEBANGSAAN, BAHASA ILMU DAN BAHASA PERPADUAN DAN KOMUNIKASI NEGARA, BAHASA MALAYSIA BAHASA SATU MALAYSIA.

Hanya bahasa Melayu boleh diiktiraf sebagai bahasa rasmi di negara ini.

Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak pernah melarang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat malah menggalakkan mereka menguasai bahasa antarabangsa itu.
"Kita juga telah menjadikan bahasa Inggeris selaku bahasa pengantar kedua di sekolah-sekolah selepas bahasa Melayu.
"Adakah ini masih belum mencukupi sehingga bahasa itu (Inggeris) juga perlu dijadikan bahasa rasmi?," soalnya .
Nik Safiah berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan wakil parti DAP dari Datuk Keramat, Pulau Pinang, Jagdip Singh Deo yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi kedua di negeri itu.
Menurut Jagdip, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai bandar antarabangsa pada masa depan.
Cadangan wakil DAP itu disuarakan ketika Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.
Dalam pada itu, Nik Safiah menambah, penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa kedua dilihat seakan-akan memberi persaingan terhadap bahasa kebangsaan itu.
"Justeru, saya sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan penggunaan bahasa Inggeris selaku bahasa rasmi kedua walaupun di Pulau Pinang," tegasnya lagi.(baca penuh UM 10 Nov.2010)
TIUB BOCOR hairan apabila sesuatu perkara yang menyentuh tuntutan berkaitan soal keadilan yang berkepentingan peribadi maka Perlembagaan Malaysia yang menjadi rujukan. Tetapi apabila hal-hal kebahasaan yang telah jelas dalam Perkara 152 mengapa mahu diprovokatif?Negara lndia meletakkan bahasa lnggeris bahasa rasmi manakala bahasa kebangsaannya ialah bahasa hindi.Tetapi adakah lndia menjadi negara maju,kaya dan mewah?Filipina, bahasa rasmi bahasa lnggeris manakala bahasa kebangsaannya bahasa tagalong; apakah Filipina menjadi maju kerana bahasa lnggerisnya? Yang kita tahu,kedua-dua negara tersebut masih ditakuk paras kemiskinan tertinggi di dunia.

09 November 2010

BAHASA IDENTITI NEGARA


SEKUMPULAN pakar, pencinta dan aktivis bahasa yang mewakili agensi kerajaan dan swasta, persatuan dan individu pada perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu, April lalu, mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan khusus untuk memperjuangkan hal berkaitan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa itu diharap akan membolehkan sebarang perkara berhubung bahasa kebangsaan mendapat perhatian kerajaan dan diselaraskan antara kementerian dan agensi yang berkaitan, khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 5 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa PBT memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.
Mereka boleh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan bagai memastikan tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.
         
Dalam urusan seharian, beliau mahu semua pemimpin korporat supaya tidak meminggirkan bahasa kebangsaan. "Penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan, perlulah diberi penegasan," katanya. Selepas 53 tahun Malaysia merdeka dan sematang usianya, gesaan Timbalan Perdana Menteri itu bukan remeh tetapi penting untuk memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini.

Penegasan semula penggunaan Bahasa Melayu ini dalam urusan rasmi seperti mesyuarat dan urusan kerajaan turut diungkap pada persidangan meja bulat itu dalam memorandum yang dicadang dihantar kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran. Kata mereka, penggunaan ayat atau istilah atau perkataan dalam bahasa lain hanya patut dibenarkan dengan izin seperti yang dipraktis di Parlimen.


Kebanyakan mereka memberi penekanan kepada usaha ini di peringkat sekolah - 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kebetulan penganjur ialah Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Apa yang ditekankan ialah usaha memberikan nilai dan kepentingan bahasa kebangsaan. Antaranya syarat lulus Bahasa Melayu dalam pensijilan terbuka, hendaklah ditingkatkan daripada lulus (Gred E) kepada kepujian gred C.

 Pelajar tingkatan enam sepatutnya diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan syarat kelulusan Bahasa Melayu untuk kemasukan ke tingkatan enam, IPTA dan IPTS perlu ditingkatkan.
Dengan meluasnya pendedahan anak muda kepada bahasa SMS, berbual di Internet, twitter dan facebook misalnya, dibimbangi tahap pengungkapan Bahasa Melayu mereka semakin merosot.

Seorang aktivis mencadangkan supaya ujian lisan diwajibkan di sekolah-se kolah dan dijadikan syarat kelayakan menyambung pengajian di universiti.
Antara usaha menggalakkan penuturan Bahasa Melayu yang betul juga ialah dengan menganjurkan aktiviti untuk pelajar. Umpamanya jika sekolah-sekolah sering mengadakan aktiviti sehari berbahasa Inggeris, sepatutnya aktiviti yang sama boleh dibuat untuk Bahasa Melayu.
                                                                                                               Sumber : Bernama

06 November 2010

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM :SELAMAT DATANG KE DUNIA PESARA


Tan Sri Alimuddin Mohd Dom bukan sekadar berjaya membina kerjaya cemerlang dalam sektor pelajaran dengan menyelesaikan banyak misi kementerian tetapi turut mampu mewujudkan hubungan baik dengan semua pihak termasuk pihak media, sekali gus membolehkan segala isu ditangani dengan berhemah, apatah lagi umum cukup maklum bahawa sangat banyak isu membabitkan pendidikan.

Beliau berpendapat  perkembangan sektor pendidikan selama perkhidmatan beliau, jelas PIPP menjadi antara topik utama yang diperkatakan kerana ia projek bernilai RM25.2 bilion dalam menjana masa depan negara.

“Dengan enam teras utama iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, saya lihat ia berjaya secara keseluruhannya.

“Dalam rancangan itu, terutama dalam sasaran pelaksanaan 13,015 projek pembangunan luar bandar, Kementerian sudah melaksanakan pelbagai inisiatif pengantarabangsaan pendidikan dan hasilnya ialah kejayaan murid negara ini dalam pertandingan bercorak akademik dan kokurikulum pada peringkat antarabangsa.

“Antara kejayaan yang dapat dibanggakan ialah Kementerian sedang merintis pelaksanaan transformasi pendidikan di 500 sekolah rendah seluruh negara untuk mengubah pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran supaya lebih berpusatkan murid dan berorientasikan tema serta modular,” katanya.

Malah, sebenarnya ketika beliau bakal menamatkan khidmatnya selepas mula bertugas pada 30 Mei 1976 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak, beliau masih sempat mengadakan persidangan kajian semula PIPP yang pada kali ini menekankan konsep ‘1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’.

Rasionalnya, kajian semula itu dibuat untuk menjadikan pendidikan di negara ini setara dengan negara lain yang lebih pesat dan pantas. Harapannya untuk melihat perluasan dalam bidang vokasional makin menjadi nyata dengan sasaran utama kementerian. Kali ini ialah menambah pengambilan pelajar jurusan teknik dan vokasional sebanyak 100 peratus pada 2015.

“Kursus di sekolah teknik dan vokasional akan ditambah baik kualitinya sebanyak 80 peratus, selain menambah lebih 95 peratus pelajar yang mendapat dua sijil dan semua itu akan dilaksanakan sebelum 2015,” katanya.

Apapun, dalam kalangan pemerhati pendidikan melihat antara kejayaan dan perubahan penting yang dibuat ketika perkhidmatannya ialah pemansuhan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik dan dijangka dijalankan secara berperingkat bermula dengan murid tahun satu seawal 2011.

Namun, perubahan itu tidak pula meminggirkan bahasa Inggeris yang turut diperkukuhkan dengan penambahan seramai 13,933 guru subjek itu termasuk 1,000 dari luar negara, 600 guru bersara dan selebihnya ialah guru keluaran Institusi Pendidikan Guru (IPGM) dan institusi pengajian tinggi lain.

“Masa yang diperuntukkan untuk bahasa Inggeris juga ditambah, semua itu adalah persiapan bagi menghadapi pelan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula 2012,” katanya.

Sebenarnya banyak lagi boleh diperkatakan mengenai pencapaian dan perubahan yang berlaku ketika zaman Alimuddin, termasuk pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan penubuhan sekolah kluster.

Menyorot perjalanan kariernya dalam bidang pendidikan, beliau sebenarnya banyak berkhidmat sebagai guru di sekitar Perak dengan beberapa kali berubah jawatan sebelum memegang jawatan pertama sebagai pengetua pada 1989 di SMK Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak. Bukan itu saja, beliau sudah berpengalaman menjadi pengetua di lima sekolah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Sekolah pada 2003.

Nyata rezekinya begitu murah. Mungkin juga berkat sikap merendah dirinya yang menyaksikan beliau dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta pada 2003, itupun tidak sampai setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Sektor Pengurusan IPTS.

Setahun selepas itu, portfolionya berubah dan pada 2005, beliau diamanahkan memimpin Jemaah Nazir selama dua tahun dan dilantik pula sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Sekolah pada 2007 dan hanya untuk empat bulan sebelum secara rasmi menjadi Ketua Pengarah pada 16 Julai 2007.

Meskipun 4 November 2010 adalah hari terakhir beliau bertugas di Kementerian Pelajaran, pastinya sumbangan besar beliau dalam memastikan nasib guru terbela akan menjadi ingatan sampai bila-bila dan diyakini ideanya akan terus dituntut demi terus mengangkat martabat pendidikan negara.(disesuaikan dan baca penuh BH 6 November 2010)

TIUB BOCOR mengenali Alimuddin ketika zaman Allahyarham Tan Sri Mohd Rafie Mahat menjawat Ketua Pengarah Pendidikan(Pelajaran) ketika itu.Kami sama-sama menduduki kerusi Ahli Majlis Permuafakatan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.Alimuddin mewakili Persidangan Kebangsaan Pengetua  Sekolah Menengah Malaysia (PKPSMM) selaku Yang DiPertua manakala TB mewakili KKGBMS selaku Presiden.Boleh dikatakan sejak menduduki ahli majlis tersebut kami bertemu,berbincang dan berbahas paling kurang 2-3 bulan sekali di mana-mana sama ada di Pusat Bandar Damansara atau di luar Kuala Lumpur. Alimuddin telah menampilkan ciri-ciri kepemimpinan yang unik dan tersendiri khususnya sebagai seorang pengetua cemerlang. Dan sejak itu TB dapati bintang Alimuddin kian menyerlah dan terserlah. Namun apa yang menarik, Alimuddin satu-satunya pengawai kanan KPM yang lebih banyak berkhidmat di sekolah  di JPN Perak. Seingat TB, kerjaya Alimuddin mula terus menyinar apabila beliau dinaikkan pangkat,dari Bahagian Sekolah, Jabatan IPTS, ke Bahagian Jemaah Nazir Persekutuan dan seterusnya menapak sehingga ke jawatan tertinggi, Ketua Pengarah Pelajaran.Tahniah!  Begitulah kini ada masa datang dan pergi.Walaupun TB lebih awal berjuang di luar KPM demi cintakan pendidikan dan dunia pendidikan, namun rasa persaraan tidak wujud bahkan tidak ada langsung di hati kecil TB.Bagi TB, semarak api perjuangan demi merancakkan tranformasi pendidikan negara bagaikan baru bermula walau kini sudah 32tahun bersemi.Setiap individu ada cara dan stail tersendiri. Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang dikatakan banyak meninggalkan legasi di KPM tentu semangat juangnya tidak berkubur setakat persaraan wajibnya,Tentu memorinya menghadapi kemelut PPSMI antara pro dan kontra, tranformasi pendidikan dari KBSR kepada KSSR dan beberapa perubahan struktur di KPM termasuk kelahiran KPTM tetap menjadi kenang-kenangan sepanjang perkhidmatannya. Kepada beliau, selamat datang ke dunia pesara….Walau ada syahdu, namun ada keindahan dan kebebasan yang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata!

05 November 2010

Di Restoran India Muslim


Gambar Hiasan

Di restoran india muslim ini
kulihat ada seorang isteri muda
berkulit putih kuning bertahi lalat di mata
yang menanti keputusan fasakhnya
suami hilang atau jejak di mana
sejak tiga tahun berlalu
tanpa berita walau derita
perih dera lara jiwa dan raga

Seorang wanita ayu
di restoran india muslim ini
dia umpama sampah hanyut di belantara kota
atau berkekalan dia seorang janda
menjaja cerita tanpa anak dan saudara
dia kelihatan diawet muda

Dibawanya kedutan seribu dalam nestapa
dirinya datang jauh dari pedalaman
kelmarin dibilangnya tersisih di tanah seberang
hari ini dikatakannya pula
datang jauh dari pedalaman desa
di pinggir kota, jauh di pantai timur
terlantar di pangsa bertingkat sempit padat waspada
mengharap sesuap nasi kehidupan hari muka
dengan malu yang tersembunyi
menghantar roti canai dan teh tarik ke mejaku

di restoran india muslim ini
ada takdir lebih manis masa-masa berlalu
mengingatkan seorang ibu dan anak-anak jiranku
menghitung serpihan helaian kalendar yang bertabur
di hujung usia yang tidak kembali lagi
dan pada saat itu berkayu tiga
kubayangkan menanti senja terakhir melabuh tirai
bagai analogi sebuah kehidupan dalam peta hidupku




TIUB BOCOR




EMPAT TANDA TAUBAT DITERIMA ALLAH



SEORANG ahli hikmah ketika ditanya apakah tandanya taubat seorang hamba itu diterima Allah? Lantas dijawabnya.

     "Tanda taubat seorang hamba itu diterima Allah ada empat.  
      Tanda itu adalah:"


1.    Putus hubungan dengan orang yang tidak baik (jahat) dan 
       mereka kemudiannya bersahabat dengan orang soleh.


2.    Menghentikan maksiat sebaliknya rajin melakukan  
       ketaatan terhadap perintah Allah.


3.    Hilang rasa kesenangan dunia di hatinya, sebaliknya sering 
       mengingati kesusahan di akhirat kelak.


4.  Percaya terhadap jaminan Allah berkaitan rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah.

Manakala katanya, sifat orang yang mengenali Allah itu ada enam:

1.   Jika seseorang itu ingat kepada Allah dia kan berbangga.

2.   Jika dia ingat kepada dirinya, dia akan merendah diri.

3.   Jika dia melihat ayat Allah (Al-Quran), dia akan mengambil   
       iktibar.


4.   Jika dia ingin melakukan maksiat, maka dia akan menahan 
      diri.


5.   Jika dia ingat kemaafan Allah, maka dia akan gembira.

6.   Jika dia ingat akan dosanya, dia akan terus memohon
      keampunan Allah.



04 November 2010

PAHLAWAN PERANG PENGHUNI NERAKA

DARIPADA  Sehal r.s bahawa ada seorang lelaki ynag paling berani mempertahankan kaum Muslim dalam suatu peperangan bersama Rasulullah SAW.  Lalu baginda memerhatikan lelaki itu dan berkata, "Siapa yang mahu memerhatikan seorang isi neraka, hendaklah diperhatikannya orang itu", lalu dalam ramai-ramai , ada seorang yang mengikut lelaki itu, sedangkan dia ketika itu masih termasuk seorang yang amat berani melawan kaum Musyrik.  Akhirnya dia luka dan hendak cepat mati. Maka diletakkannya hujung pedangnya anatara dua susunya sehingga pedang itu tembus antara kedua bidang bahunya.

     Orang yang mengikut lelaki yang membunuh diri itu segera datang menemui Rasulullah SAW dan mengucapkan, "Saya mengakui bahawa anda sebenarnya utusan Allah, " Nabi bertanya, "Mengapa begitu?" Jawabnya, "Anda menyatakan kepada di Anu, sesiapa yang hendak meperhatikan isi neraka, maka hendaklah memerhatikan orang itu.  Padahal dia termasuk orang yang paling berani membela kaum Muslim. Kerana itu saya merasakan bahawa dia tidak akan mati dalam keadaan serupa itu. Setelah menderita luka, dia ingin cepat mati.  Lalu membunuh dirinya."

     Ketika itu nabi bersabda." Sesungguhnya ada orang yang mengerjakan perkerjaan isi neraka, padalah dia termasuk isi syurga.  Dan ada pula yang mengerjakan perkerjaan isi syurga, padahal dia termasuk isi neraka.  Sesungguhnya perkerjaan itu dinilai menurut akhirnya." (Sahih Bukhari) .

SUTINAH DARI MALANG

 
Sutinah dari Malang
menaiki tren Kereta Api Tanah Melayu
menggendong segunung harapan
dari desa Jawa Timur
tanpa malu duduk bertinggung
di hadapan penumpang yang santun

Sutinah dari Malang
sembunyi lari meninggalkan majikan
dengan gaya anak kampungan
menuju bandar raya Kuala Lumpur
yang tidak pernah dikunjunginya

Sutinah dari Malang
menikmati nyaman pendingin hawa
beradu tanpa sendu di mata
ada mimpi bersama pacarnya
membina istana entah kapannya

Sutinah dari Malang
datang dari Pulau Jawa
mendamba impian satu Malaysia
tanpa diduga di tren ini
dia menemui satu dunia
dari setiap pelosok benua dan warna

Sutinah dari Malang
dia terpana bagai tidak percaya
sepasang kakinya terus bertinggung
tanpa malu menutupi bingungnya!

TIUB BOCOR
Oktober-November 2010.
Seremban -Kuala Lumpur – lpoh.




03 November 2010

MENGGALAS BATU API KETIKA INI: DI GALAS DAN DI BATU SAPI?

SANA SINI kempen dan demam melanda menjelang  4 November Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas,Gua Musang,Kelantan dan Batu Sapi,Sandakan,Sabah.Sana sini juga peruntukkan dan projek baru dicurahkan dengan tidak semena-mena. Adakah baik dari segi pengurusan ekonomi jika tiada perancangan dan wang dicurahkan secara adhoc?


     Yang lucunya tetapi serius difikirkan ialah para pengundi  Cina atau lndia (bukan Melayu); baik di Batu Sapi mahupun di Galas mengambil kesempatan bijak meminta bermacam-macam  permintaan nafsu-nafsi yang lebih berpihak kepada keuntungan kelompok masing-masing. Bukan sesuatu yang  pelik pada waktu ini permohonan tanah, pembinaan atau pembesaran sekolah jenis kebangsaan (SJK), rumah-rumah ibadat, persatuan dan sebagainya diambil kesempatan oleh individu,kelompok atau pihak yang berkepentingan.

Bagaimana pengundi Melayu? Berdasarkan pengamatan beberapa PRK yang lalu termasuk kini di Galas dan Batu Sapi, para pengundi Melayu asyik membicarakan tentang kepemimpinan,kejelekan,kepincangan dan bermacam-macam tohmah antara satu sama lain yang lebih bersifat peribadi. Para pengundi Melayu termasuk calon-calon Melayu dan pemimpin-pemimpin Melayu; tidak kira daripada  mana-mana parti politik pun  asyik mencerca dan menuding kesalahan antara satu sama lain. Apakah  untungnya? Apakah faedah yang diperolehi? Sendiri tanya, sendiri boleh jawablah!

Yang nyata, kini tiba-tiba muncul pelbagai jelmaan sama  ada batu api, batu galas, batu permata, batu lesung,batu aked dan bukan mustahil menjelma pula batu belah batu bertangkup…yang kempunankan telur tambakul!!!!!!Sebab itu, cadangan daripada seorang hamba Allah (baca UM,2 November 2010) yang kini menjadi public figure agar   DS Anwar lbrahim bersara daripada politik kerana sebab-sebab dari kaca matanya adalah pandangan yang tidak matang dan berkepentingan. Jika disebabkan usia, bagaimanakah  pula dengan usia DS Haji Abdul Hadi Awang, Dato Tuan Guru Haji Nik Aziz, Tengku Razaleigh Hamzah, Lim Kit Siang, Mahyuddin Yassin,Karpal Singh dan ramai lagi yang seangakatan bahkan sebaya dengan DS Anwar lbrahim? Soal prinsip, misi dan visi perjuangan, idealisme,corak perjuangan,dan personaliti adalah satu aspek lain yang tidak perlulah TB kupas secara terperinci dalam kolum TB yang terbatas ini.Justeru, usahlah menggalas batu api ketika suasana hangat bengit PRK ini.   


02 November 2010

Harga Petrol Ron 97 naik 5 sen

PENCAPAIAN DIUTAMAKAN RAKYAT DIKEMUDIANKKAN???

(Idris Jala)
Harga petrol RON 97 dinaikkan 5 sen lagi mulai esok. Berikutan itu, harganya kini RM2.15 seliter, demikian menurut laporan.
.
Bagaimanapun harga pertrol RON 95 dan diesel tidak berubah.

Ini adalah kenaikan pertama harga minyak selepas kenaikan "5-dalam-1" pada 15 Julai tahun ini, yang bertujuan untuk mengurangkan beban subsidi kerajaan.

Pemotongan subsidi merupakan sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi untuk barangan keperluan seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Jala telah memberi amaran awal tahun ini bahawa Malaysia menghadapi prospek muflis pada 2019 - seperti yang berlaku di Greece dan Iceland kerana beban hutang - sekiranya subsidi tidak dikurangkan.

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan bahawa pengurangan subsidi adalah perlu, tetapi para pengkritik berkata usaha untuk memaksa pengguna berjimat, tanpa tindakan yang sama di pihak kerajaan, tidak membawa sebarang makna.

Lewat bulan lalu, Najib mengumumkan senarai projek baru - termasuk pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat bernilai RM5 bilion, yang menurut kerajaan akan menarik pelabur dan membuat Malaysia lebih menarik kepada pelancong.(baca penuh Mkini, 2Nov.2010)

TIUB BOCOR marah bercampur geram jikalau bab naik harga dan nasib rakyat dikemudiankan. Sebab apa? Kerana ini bertentangan bahkan melawan arus dasar Najib Razak, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bahkan ldris Jala dah buat potong stim menjelang pilihan raya kecil (PRK) Galas dan Batu Sapi pada 4 November 2010 ini. Jikalau telah diakui negara akan muflis menjelang 2019 andainya kerajaan berterusan tidak mengurangkan subsidi, hairan bin ajaib maka mengapa kerajaan tidak mengambil langkah-langkah berjimat cermat, berhemah dalam perbelanjaan? Apa yang rakyat tahu, setiap kali bajet atau belanjawan tahunan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri,  Kewangan memperuntukkan billion dan jutaan ringgit untuk projek mega yang berterusan. Dipendekkan cerita, isu yang yang boleh menyusahkan rakyat janganlah diketangahkan atau ditimbulkan. Apa yang rakyat mahu, ialah mereka tidak mahu dibebankan. Memberi contoh negara seperti Greece dan lceland membuatkan rakyat yang tidak berpendidikan tinggi juga boleh ketawa terbahak-bahak….