Salam Perjuangan

22 November 2014

MAAFKAN SAYA, WANITA

Maafkan saya,
Shazlina yang ditemui
di rumah makan
tidak saya perkenalkan
wanita itu, isteri saya
menyebabkan kamu
tunduk malu

Maafkan saya,
tidak memperkenalkan Farhan
kepadamu Lela
yang kematian suami
ketika dirundung malang
kerana Farhan
menghilang entah ke mana

Maafkan saya,
ketika di Brunei Darussalam
saya mahu membantu Noreen
mendapatkan pekerjaan
di kementerian pendidikan malaysia
setelah pulang dari united kingdom
kerana telah kehilangan
nombor telefon bimbitmu

Maafkan saya,
kerana tidak mengetahui
kelahiran anakmu, Shazrin
untuk diucapkan tahniah
setelah kehidupan tegar
di kota metropolitan ini
bahang matahari mencengkam
kau hadapi rapi
topi seorang jurutera


Maafkan saya,
Atiqa wanita malang
mahu dilacurkan temannya
lelaki hidung belang
kerana saya tidak berkesempatan
membawamu jalan ke syurga
di kementerian pembangunan keluarga


Maafkan saya,
Ereen sahabat isteriku
yang kian lanjut usia
tidak dapat saya bantu
mencarikan untuk dirimu
calon suami baik
mengikut acuan seleramu


Maafkan saya,
maimon rakan sejawat lama
yang kutemui di khemah mina
seakan saya tidak mengenalinya
kerana hati saya ini
tidak mahu terluka dilukai
mengenang sepuluh tahun
pedih kalbu di kolej itu!


HAJI RAJIEE HADI,
B.B.Mahkota Bangi,
22 November 2014.

### Nama-nama 'watak' dalam puisi di atas, tidak ada kena mengena dengan sesiapa; baik yang masih hidup atau mati.Jika ada persamaan, dari segi nama dan peristiwa, anggaplah ia suatu kebetulan sahaja.

12 November 2014

CAMERON HIGHLAND: SALAH SIAPA?

SALAH siapa adakalanya ungkapan yang sudah klise dan membosankan. Apatah lagi jikalau di pihak sini atau sana saling menuding menyalahkan antara satu sama lain. Kesudahannya isu pokoknya terus berlalu: 'pi mai pi mai tang tu juga..'Begitulah apa yang terjadi program RTM/TV 1 yang berinfo dan berilmu seperti rancangan "Lanskap' yang disiarkan secara langsung pada malam 11 November 2014 lalu. Syabas diucapkan kepada perantaranya Sdr Suhaimi dan Sdr Sayed yang berkesan dan terkesan mengendalikan program yang berkualiti seperti itu.

Tiga ahli panel yang tidak kurang hebatnya dalam bidang kejuruteraan alam sekitar ,pengairan serta di bidang ekologi dan geologi sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Ada baiknya susulan berikunya diundang pihak yang berkuasa seperti  SPRM, D.O Majlis Daerah Cameron Highland, MP Cameron Highland, Penguasa lmigresen dan PBT.

lsu rasuah dan pecah amanah serta pengkhianatan sentiasa berlegar di benak TB. TB yakin semua ahli panel dan para perantara pun mula menyebut elemen-elemen tersebut. Tetapi oleh kerana adanya 'kengkangan dalaman' program tersebut lebih memfokuskan isu-isu yang berkaitan ilmiah dan penyelidikan yang menyentuh faktor mendapan, banjir dan perubahan cuaca dek akibat kerakusan pembukaan tanah hutan secara rakus,tamak dan mementingkan keuntungan baik oleh pekerja,majikan atau peneroka 'halal' mahupun yang haram!

Seorang pemanggil talian terus yang menamakan dirinya 'Hisham Rais' begitu emosional tetapi berfakta menyingkap serba ringkas sejarah pembukaan Camerong Highland sebelum merdeka 1957 oleh peneroka lnggeris bernama 'Cameron' semata-mata bertujuan untuk membuka kawasan peranginan di kawasan tanah tinggi untuk tujuan berehat. Tetapi selepas merdeka, C.H ini telah dikomersialkan dengan pembukaan kawasan pertanian secara galak dan berterusan bagi tujuan keuntungan dan kekayaan banyak pihak. Mungkin ada sebab tertentu hujah-hujah 'Hisham Rais' kemudiannya diputuskan atau terputus!

lsunya SALAH SIAPA? PATI ? Pendatang dengan izin? Majikan? Ahli politik tempatan? Taukeh-taukeh di belakang tabir? Orang-orang dalam Majlis Daerah Cameron Highland? PBT? Justeru, marilah semua pihak dedahkan,bongkar dan selongkar segera; bawa ke muka pengadilan dan jatuhkan hukuman setimpal. Adalah sesuai dan bertepatan dibuka kertas SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA kerana ini melibatkan kepentingan awam!

TB yang pernah melawat ke sana pertama kali, 1976 ketika belajar di sebuah kolej di Kuala Lumpur. Ketika itu sejuk dingin. Namun kini C.H telah tidak seindah masa lalu. C.H kini sudah cacamarba. Nepalis, Bangladeshi, lndian, lndonesian, pendatang Myanmar, pekerja Thai dll. bersepah di sana sini seperti negara ibu bapa mereka! Bertindaklah segera...bukan tindakan segera seperti Palanivel yang minta segera bantuan RM40juta bagi membantu mangsa dan C.H yang dilanda banjir dan tanah runtuh!

Oh tanah airku! (TB)

09 November 2014

DI SIMPANG 75

(Buat Leo Aws).

Kutemui digit 75,
di kafe pagi unikeb,
meneliti akhbar perdana
hati-hati dengan mata luluhnya.
ditatap wajah demi wajah,
sesekali kudengar rengusnya.

Dia masih membara dada,
walau di alam persaraan,
tidak siapa mengenalinya lagi,
umpama roda alam,
berpusing meninggalkan zamannya.

Dia adalah profesor ternama,
yang kini menggilap sastera bisu,
tidak siapa peduli,
airmataku membasah pipi.

Tiba-tiba aku menggenggam erat,
pesara guru agama,
perintis sebuah kolej guru ternama,
geraknya lewat dinihari,
dengan salam kusanjung  homat,
dengan terketar suara,
mengharapkan aku menegurnya,
pada bila-bila tersua.

Kulafazkan syukur Ilahi,
teringatkan sahabatku Leo,
dari KB ke Kuala Lumpur,
pagi cerah ini,
bersama rombongan keluarga,
menemani puteri ke UPSI,
ke pintu perjuangan baharu.

Dr, Hj. Rajiee Hadi,
UKM, Bangi
6 Nov. 2914

05 November 2014

BULI PELAJAR ASRAMA PERBUATAN JIJIK....

TB sendiri berasa geram,marah dan macam-macam perasaan yang tidak dapat diucapkan apabila terpapar di sana sini video di You Tube dan berita utama di kaca TV berhubung kes pelajar sekolah berasrama membuli (tidak keterlaluan boleh digunakan istilah 'mendera dan menyeksa') rakan-rakan mereka terutama yang junior.

Belum dapat dipastikan lagi sama ada kes yang dipaparkan itu berlaku di asrama-asrama pelajar sekolah bantuan kerajaan atau swasta.Dan belum diupastikan juga lagi sama ada di sekolah berasrama harian ataupun di sekolah berasrama penuh.Dan juga tidak dapat dipastikan sama ada asrama di maahad tahfiz ataupun asrama-asrama kendalian agensi seperti Felda, Yayasan dan sebagainya.

Apa yang paling penting Pengetua dan Penolong Kanan (HEM) yang juga merangkap Ketua Warden (sekarang TB tidak pasti carta organisasinya) sewajarnya memantau dan melakukan 'spot check' dari semasa ke semasa atau secara berkala tanpa batasan waktu. lni juga bagi memastikan warden (suatu ketika dahulu dipilih dalam kalangan guru juga) sentiasa bertugas 24 jam selaku warden asrama! dn sudah tentulah seorang warden tahu apa yang wajib dilakukan! Apatah lagi sekarang warden telah diberi elaun bulanan yang lumayan sebagai warden sepenuh masa.

TB yang pernah berpengalaman bertugas di sebuah SBP (sekarang SBT) di Kuala Lumpur pada tahun 1980-an dahulu faham dan mengetahui banyak perkara yang berlaku di sebalik tabir kehidupan pelajar di sekolah berasrama penuh. Dan ditambah pengalaman TB sendiri yang mempunyai anak (sekarang sudah menjadi guru!) yangpernah tinggal di asrama dan anak TB sendiri menerima 'fitnah' dikenakan tindakan disiplin.TB tidak mahu menghuraikan dalam blog yang ringkas ini apa yang telah berlaku.

Namun apa yang mahu TB tegaskan, warden sewajarnya seorang yang berdisiplin, beramanah dan beretika. Warden juga tidak dibenarkan melakukan 'kerja di luar' kerana tugas dan tanggungjawab warden ialah 24jam!

Sehubungan dengan video buli pelajar yang dipaparkan; pelajar yang menjadi mangsa buli dan dera ini hendaklah tampil ke hadapan membuat aduan rasmi melalui ibu bapa masing-masing kepada pengetua dan guru-guru dan seterusnya ke pihak berkuasa. Sewajarnya hukuman dan tindakan tegas dikenakan kepada si pembuli dan si pelakunya. lnilah bahananya akibat pengaruh drama-drama dan filem tempatan yang seringkali menonjolkan gengster dan pesalah juvana sebagai wira mereka lantaran anak-anak remaja melihat dari persepsi yang berbeza daripada golongan dewasa. (TB)

WANITA UMNO........

SUATU waktu dahulu TB pernah menyuarakan 'surat terbuka kepada Pemuda UMNO' dalam akhbar arus perdana berhubung dengan tanah rezab Melayu yang kian susut dan berkurangan. TB juga menyuarakan kebimbangan sama ada wujudnya pertambahan atau kian merosotnya jumlah pembabitan orang-orang Melayu dalam bidang profesional seperti perubatan,kejuteraan,perundangan, seni bina dan sebagainya. Mujurlah dikhabarkan Perhimpunan Agung Tahunan tahun ini akan membahaskan isu tanah rezahb Melayu. Bahaslah dengan cermat dan baik serta cerdik penuh fakta!

Seperkara yang TB ingatkan kepada WANITA UMNO termasuk Puteri UMNO, janganlah asyik menimbulkan perkara-perkara yang bersifat lawak jenaka sahaja. Usahlah hanya membabitkan isu-isu meminta pertambahan kerusi dan jawatan sahaja. Berfikirlah dengan baik,cermat dan rasional. Anda sebagai ibu, sebagai wanita berkerjaya sama yang telah berusia atau masih muda tidak salah menyentuh nasib dan masa hadapan wanita-wanita Melayu yang matang tetapi belum berumahtangga. lni adalah soal muslimah tetapi jika direnung-renungkan ada kepentingan ummah sejagat!

Soal perkahwinan atau jodoh adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun ada pihak mengatakan ini adalah isu bersifat peribadi tetapi jika sudah menjadi majoriti maka ini adalah tanggungjawab semua pihak. Wanita/gadis Punjabi walaupun kecil jumlahnya di Malaysia tetapi kerana kaum mereka tahu tanggungjawab survival masa hadapan maka kebanyakan wanita mereka berumahtangga.lni kaum mereka bertanggungjawab mencarikan dan mengaturkan jodoh mereka.

Justeru sudah tiba masanya WANITA UMNO menerusi biro kebajikannya melakukan suatu soal selidik bagi mengenal pasti jumlah sebenar wanita/gadis/muslimah Melayu/lslam yang masih tidak pernah berkahwin.Kajian bolehlah dilihat dari aspek umur, kerjaya, geolokasi, minat dan sebagainya.Hasil soal selidik ini dan perolehan hasil dapatannya bolehlah dibuat suatu jawatankuasa tindakan segera bagi meleraikan dan memikirkan mekanismenya bagi menyelamatkan 'gen' yang bagaikan permata untuk survival ummah Melayu/lslam di bumi Malaysia ini..Tidak perlu TB tulis panjang lebar.Cukuplah sekadar ini,memadailah. (TB).

01 November 2014

REFORMASI...REFORMASI...REFORMASI.....APA DIA? ..'.Amenda....?'

SUDAH lebih 15 tahun perkataan 'REFORMASI' dijerit-jeritkan oleh anak-anak muda (yang kini sudah berusia kian dewasa) di Malaysia. Frasa 'Reformasi' yang sangat popular sempena kejatuhan era pemerintahan Suharto di lndonesia lebih daripada dua dekad yang lalu.Frasa 'Reformasi" amat popular di lndonesia ketika itu, seiring dengan populariti Amien Rais yang kemudian berjaya menjadi pengerusi Majlis Permuasyuratan Rakyat (MPR).

Sejauh manakah lndonesia telah melaksanakan reformasinya selepas pasca Suharto hanya sejarah yang dapat menghakiminya. Apakah reformasi bermakna hidup rakyat kian bertambah kaya atau  miskin, korupsi kian meruncing, penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat kian merajalela; hanya sejarah juga yang akan menjunjung kebenaran untuk mengadilinya pada masa akan datang.

Begitu juga di Malaysia, apabila Kes Liwat II Anwar lbrahim mantan TPM Malaysia dibicarakan semula di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, kedengaran laungan...reformasi...reformasi.....reformasi!!! lroninya apakah yang melaungkan itu faham apa maksud kata 'reformasi' dan pernahkah sedetik atau sesaat cuma merenung dalam diri, apakah nasib yang akan menimpa dirinya, keluarganya, bangsanya pada masa-masa akan datang?.

Pernahkah mereka terfikir; dari manakah Anwar memperoleh banyak wang untuk membiayai kos guamam dan sebagainya walhal beliau hanyalah seorang 'pesara' (bekas TPM...tidak pasti adakah dipecat memperoleh pencen bulanan?). Jika berpendapatan tetap pun buat masa ini hanyalah elaun seorang MP. Adakah mencukupi? Jika tidak mencukupi; dari manakah punca kewangan beliau yang masih 'kukuh dan stabil'?Adakah derma daripada ahli-ahli partinya? Wallahualam.

Walaupun TB pernah ditawarkan menjadi ahli UMNO dengan tawaran menduduki AJK Bahagian di Semenanjung Malaysia dan juga ditawarkan menjadi ahli parti Gerakan; tetapi sehingga kini TB lebih selesa sebagai non partisan. TB juga pernah menghadiri majlis-majlis anjuran PAS suatu masa dahulu. Namun sehingga kini TB belum terdorong menjadi ahli PAS. Maka tidak usahlah disebut parti-parti nyamuk yang lain.


Justeru adalah adil TB menjadi penulis bebas menegur semua pihak pihak tanpa sempadan geopolitik dan ras. Justeru TB pernah menulis secara terbuka kepada Perdana Menteri, Pemuda UMNO, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya dengan niat kerana Allah dan rakyat dengan rasa tanggung jawab sebagai seorang warga yang cintakan negara.

Justeru, usahlah dipandang songsang jika TB juga menegur mereka yang sibuk melaungkan 'reformasi' tetapi tanpa memahami selok belok situasi sebenarnya. Begitu juga kepada para peminat bola sepak yang agak 'over' dalam segala hal...hinggakan ada yang terpaksa meminjam atau bergolok gadai semata-mata mahu hadir menontong bola sepak di stadium. Penyokong-penyokong tegar ini bersorak-sorai, bertegang leher dan ada yang bergaduh sesama sendiri. Natijahnya apakah yang anda dapat? menang sorak kampung tergadai? siapakah yang kaya raya dan pulun wang berpuluh-puluh ribu/juta RM hasil tiket pembelian para penonton?.  Adakah ini REFORMASI  juga? ......(TB)