Salam Perjuangan

27 September 2012

HOSPITAL SERDANG

Di Hospital Serdang ini
kita banyak menghitung
sesal hari lalu

Di Hospital Serdang ini
kita lebih tahu
nilai tawa dan tangisan

Di Hospital Serdang ini
kita lebih menghargai
kebebasan dan keterikatan

Di Hospital Serdang ini
kita banyak mengagumi
setiap gerak dan langkah

Di Hospital Serdang ini
kita banyak memaafkan
dan memohon kemaafan

Di Hospital Serdang ini
kita lebih banyak didekati
senyuman dan kasih sayang

Di Hospital Serdang ini
tidak kurang jua
penantian yang kian menghilang

Di Hospital Serdang ini
kita mula hilang
perdu kasih  dan harapan

Di Hospital Serdang ini
kita akan menemui
sejati kasih dan kepalsuan

Di Hospital Serdang ini
kita banyak menafsir
makna nafsu dan keinginan

Di Hospital Serdang ini
tiada siasah yang resah
milik dunia yang tenteram

Di Hospital Serdang ini
tanpa berbalah  tiada yang menang
ataupun kalah yang pasrah

Di Hospital Serdang ini
kita pun sampai di titik
persimpangan dalam kehidupan.

RAJIEE HADI,
Serdang SDE 26-9-12

26 September 2012

IMIGRESEN OH IMIGRESEN !

EMPAT  pegawai Imigresen termasuk seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda M361,400 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam selepas didapati bersalah memperoleh rasuah daripada pemandu feri dan orang perantara membabitkan nilai keseluruhan RM86,850 pada 2010.
    
Kesemua tertuduh yang ketika kejadian bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang didakwa memperoleh wang suapan itu yang dimasukkan ke dalam akaun mereka atau individu lain sebagai upah bagi memudahkan
urusan kemasukan penumpang warga Indonesia ke negara ini tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan.
    
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM361,400 ke atas Md Shahrizal Che Dan, 27, selepas dia didapati bersalah terhadap 31 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM51,760.
    
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di empat cawangan Public Bank Pelabuhan Klang, bandar Klang, Taman Sentosa dan Taman Bukit Tinggi, kesemuanya di Klang, antara 20 April dan 16 Jun 2010.
    
Md Shahrizal juga boleh dipenjarakan 34 tahun dan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mohamad Izuwansyah Samsuri, 26, pula dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM261,950 selepas didapati bersalah terhadap 25 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM31,690.
    
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang antara 21 April hingga 17 Jun 2010.
    
Mohamad Izuwansyah juga boleh dipenjara 25 tahun dan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
    
Selain itu, Nor Shahazlina Sulaiman, 26, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM14,500 atau setahun penjara sekiranya gagal membayar denda selepas didapati bersalah memperoleh suapan berjumlah RM2,900 pada 29 Ogos lepas, di Maybank Cawangan Pandamaran, Klang, antara 10 malam hingga 12 tengah malam, 29 Ogos 2010.
    
Sementara Mohammad Huzzail Ahmad, 32, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda selepas didapati bersalah memperoleh suapan RM500 di depan sebuah rumah di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang, pada 25 September 2010. 
    
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
    
Hakim Asmadi membenarkan permohonan keempat-empat tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pembayaran denda. 

Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada Ahad pertama setiap bulan dan menaikkan jumlah jaminan setiap tertuduh kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.
    
Terdahulu, peguam Aminuddin Mohd Ramli yang mewakili Nor Shahazlina memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya atas alasan wanita itu merupakan pesalah pertama dan tidak pernah dikenakan tindakan disiplin sepanjang bertugas di Jabatan Imigresen.
    
Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Mohammad Huzzail dan Mohamad Izuwansyah juga memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas kedua-dua anak guamnya atas alasan mereka telah insaf atas perbuatan masing-masing.
    
"Saya bersama Mohammad Huzzail selama setahun sejak kes dijalankan dan saya lihat dia telah menjadi manusia baik kerana kes ini memberi pengajaran cukup hebat padanya. Sementara Mohamad Izuwansyah mempunyai seorang anak berusia setahun tujuh bulan dan isterinya kini sedang mengandung anak kedua hampir tujuh bulan," katanya.
    
Peguam Mohamad Fozi Md Zain yang mewakili Md Shahrizal berkata walaupun anak guamnya menghadapi paling banyak pertuduhan tidak ada sedikitpun wang rasuah digunakan dan didapati padanya.
    
Beliau juga memohon Md Shahrizal tidak dijatuhi hukuman penjara kerana hukuman denda yang dikenakan ke atasnya sudah amat berat.
    
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nik Haslinie Hashim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal ke atas keempat-empat tertuduh atas alasan kesalahan mereka amat serius kerana mencemarkan maruah negara dan imej serta integriti penjawat awam di negara ini.
    
"Sebagai anggota pegawai Imigresen yang bertugas di pintu masuk negara mereka sepatutnya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah serta menunjukkan nilai-nilai murni, berbudi pekerti dan kejujuran.
    
"Bila undang-undang dan peraturan Jabatan Imigresen boleh dibeli dengan perbuatan rasuah bukan sahaja maruah Malaysia dan penjawat awam tercalar malah ia juga membawa masalah jenayah lain seperti kebanjiran warga asing yang
menimbulkan masalah sosial seperti melakukan jenayah rompakan dan dadah," katanya yang hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti.(sumber:Bernama, 25/9/12)

- Bernama

SURIA KLCC MAHU DIBOIKOT?

KUMPULAN  pendesak Melayu, Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA) memberi amaran akan memulaukan pusat membeli-belah Suria KLCC kerana mendakwa pihak pengurusannya bersikap pilih kasih dan menindas seorang peniaga bumiputera Melayu perempuan yang telah 14 tahun berniaga di situ.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali memberi amaran itu dalam sidang media di Parlimen semalam bersama Sherifah Salim, seorang pengusaha francais Foto Point yang mendakwa ditamatkan kontrak sewanya walaupun beliau membayar sewa tepat pada masanya dan mendapat keuntungan dari perniagaannya.

Sharifah mendakwa, beliau turut dinafikan premis perniagaan yang lebih besar walaupun kemudahan yang sama diberikan kepada peniaga bukan bumiputera yang lain.

Beliau juga mendakwa, turut diberi amaran sewanya akan dinaikkan daripada RM22,000 sebulan kepada RM45,000 sebulan jika tidak mengosongkan premisnya menjelang 30 september ini.

"Kita boleh edar risalah gesa orang Melayu jangan masuk KLCC untuk membeli-belah. Boleh masuk tapi kita 'window shopping'.

"Kalau pergi medan makan, kita ambil bau makanan sahaja," kata ibrahim.

Menurutnya lagi, PERKASA juga berupaya memainkan sentimen ke-Melayuan jika mereka bertindak melancarkan kempen untuk memulaukan Suria KLCC.

"Kita belum sampai ke tahap itu, kita boleh letak poster KLCC untuk orang bukan Melayu sahaja," kata ahli Parlimen Pasir Mas itu.(sumber:MK,26/9/12)

25 September 2012

PLUS LINE: 1800880000

PLUS Line: 1800880000.....ini adalah nombor telefon tanpa tol yang ada tertera  di atas tiket masuk ke Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Semenanjung Malaysia. Anda sewajarnya menyimpan nombor ini di dalam 'phonebook' telefon bimbit anda. Tahukah anda bahawa isu-isu yang TB paparkan telah berjaya diselesaikan oleh para informan yang menghubungi talian ini. Para petugas yang menjawabnya amat berhemah dan pantas serta cekap membantu:

1. Kereta Ali ditimpa musibah terlibat dalam kemalangan. Dengan menghubungi talian ini (selain 999) bantuan segera dapat diberikan.

2. Muthu kehabisan minyak kereta di pertengahan jalan lebuh raya. Dengan penghubungi talian ini pasukan peronda PLUS sedia membantu. Sayugia dimaklumi bantuan juga diberikan jika berlaku kerosakan kecil dan menunda kereta ke plaza tol yang berhampiran.

3. Rosnah diganggu oleh 'peniaga haram' di R&R. Beliau menghubungi talian ini. PLUS telah menghantar segera Penguatkuasa PLUS ke destinasi yang dinyatakan dengan tepat dan betul.

4.Haji Abu Bakar mengadu ada 'pendatang asing' yang berniaga dan mengemis termasuk kegiatan memungut derma atas nama ;derma amal anak-anak yatim. Beliau menghubungi talian PLUS. Aduan tersebut telah diambil tindakan segera.

5. Mary Tan mengadu ada peniaga yang tidak memberi resit dan harga dikenakan sesuka hati di gerai makanan R&R Plus. Dengan aduannya pihak PLUS telah mengambil tindakan proaktif, Resit bayaran wajib diberikan kepada pelanggan.

Di atas adalah beberapa contoh. Mungkin ada pembaca TB yang memperoleh pengalaman lain. Sila kongsikan pengalaman tersebut.

22 September 2012

SEKOLAH MENENGAH DAT0' MOHD SAID, NILAI 1987-88.

TB masih ingat, segar dalam ingatan Sekolah Menengah Dato Mohd Said, Nilai,Negeri Sembilan DK (SMKADMS) adalah antara tempat TB pernah bertugas sebagai guru siswazah pada tahun 1987-1988, selama dua tahun.Tidak diduga lagi disangka kini, pekan koboi usang Pekan Nilai (Nilai lama) yang ketika itu bagaikan menanti 'saat kematian' kini pada hari ini bertukar wajah. Ketika itu harga rumah semi-D sekitar Rm40-50 ribu sahaja. Bayangkan sekarang, tanah hutan, tanah estet yang luas terbentang sekarang telah bertukar menjadi kawasan perumahan yang tumbuh melata, bandar-bandar baru seperti Putra Nilai (Bandar Baru Nilai), Taman Semarak, Dataran Nilai,Nilai Spring, USIM dan banyak lagi.Bahkan jarak perjalanan ke KLIA-LCCT sekitar 10 minit telah melonjakkan harga hartanah di situ yang kian berpotensi.

Takdirnya, setelah berhijrah, merantau, mengembara dan bertugas di kota dan di luar negara; tanpa diduga TB bermastautin dan bersemenda di Nilai pada tahun lalu.Begitulah kehendak Tuhan, manusia merancang, tetapi Allah jua yang Maha Mengetahui. Esok lusa, TB tidak pasti adakah TB akan berhijrah lagi di mayapada ini.

SMKADMS ketika TB bertugas 1987 mengandungi kelas-kelas dari tingkatan peralihan hingga ke
tingkatan enam. Peralihan, satu dan dua di sebelah sesi petang. Yang lain sesi pagi. Selain mengajar Tingkatan Enam, Lima dan Empat, TB adalah Ketua Panitia BM/KM yang mana seramai 27 guru di bawah tanggungjawab TB. Banyak cabaran,pengalaman dan coretan ragam yang TB perolehi ketika itu.Namun usia yang masih amat cergas tidak menghalang tanggungjawab itu.Alangkah beruntung dan bertuahnya guru zaman sekarang yang mengajar Tingkatan Enam telah dikategorikan sebagai kenaikan khas pangkat dan gred gaji.

TB masih ingat juga antara guru yang mengajar tiga kelas Tingkatan Enam (jika tidak silap) ialah TBselaku Ketua Panitia yang mengajar BM/KM, Cikgu Sallehuddin mengajar BM (pencen Pengarah IPGM Kota Bharu),Cikgu Anwar mengajar Geografi (pencen Pengetua di Nilai),Cikgu Mohd Yazid mengajar Kertas Am, Ekonomi (pencen GPK di Seremban),Cikgu Robiah mengajar BM/KM (pencen KJ di IPGM Seremban), Cikgu Kamaruzzaman mengajar B.I (AlFatihah,Allahyarham), Cikgu Aishah mengajar Geografi (tidak tahu di mana sekarang), Ustaz Razali mengajar Sejarah lslam (pencen Guru Pakar di Kajang) dan ada beberapa nama lagi.

Antara nama pelajar TB di Tingkatan Enam yang TB masih ingat ialah Hilmi Samad (dahulu pernah berkhidmat sebagai wartawan NST/BH) dan Siti Rohaidah  Ujang yang TB tidak tahu ke manalah gerangan.Begitu juga pelajar-pelajar lain.Banyak kenangan dan keletah mereka yang terpahat dalam memori.
TB juga dapat tahu Amelina (suatu waktu dikenali penyanyi ala dangdut Malaysia) ketika itu belajar menengah rendah sesi  petang .Susulan tahun berikutnya sesi 1988/89 TB telah berjaya diterima mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah peringkat sarjana (M.A)di Pusat Pengajian siswazah di bawah seliaan  Fakulti Kemanusiaan dan Kemasyarakatan UKM,Bangi, SDE.

TB berhijrah menetap di Selangor Darul Ehsan dan segalanya merubah dan mewarnai rona kehidupan. Ya, masa telah jauh meninggal pergi.,..namun penawar dan terapi yang sentiasa positif akan segar bagai ulam-ulam pagi yang nyaman buat digamit kenangan! (TB).


20 September 2012

PENGIRAN HAJI MUHAMMAD RUZAINI SAH MENANTU SULTAN BRUNEI




ALHAMDULILLAH  Istiadat Akad Nikah di antara Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pangiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dengan pasangannya Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub berjalan dengan lancar hari ini di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien di Bandar Seri Bagawan.  Dengan sekali lafaz sahaja Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pangiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah menjadi milik sepenuhnya dan bergelar Isteri kepada YM Pengiran Haji Muhammad Ruzaini.   Istiadat Akad Nikah dijalankan selepas solat Zohor sekitar jam 13:45hrs dan berakhir lebih kurang  jam 14:30hrs.  Selesai sahaja Istiadat Akad Nikah, kedengaran tembakan meriam sebanyak 21 das berkumandang di udara. 

 TB  ucapkan  tahniah kepada kedua Pengantin Diraja, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pangiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah dan pasangannya Yang Mulia Pengiran Haji Muhammad Ruzaini bin Pengiran Dr. Haji Mohd. Yakub  semoga dipanjangkan jodoh hingga akhir hayat serta dilindungi Allah jua. Amin.



Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, salam tahniah!


Selamat Diijabkabulkan Pada 20 September 2012


 PUTERI Sultan Brunei bakal melangsungkan perkahwinannya pada di sini pada hujung minggu ini dalam majlis yang akan diadakan dengan penuh gilang-gemilang.

Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, 32, dan pasangannya, Pengiran Haji Muhammad Ruzaini, 29, akan bernikah hari ini dan bersanding secara rasmi di istana diraja yang mempunyai 1,700 bilik pada Ahad depan.
Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak dijangka akan menghadiri majlis tersebut. (sumber: AFP, 20/9/12)

TB: Teringat TB ketika sering berjoging di pinggir Sungai Damuan yang bersebelahan lstana Darul lman,Negara Brunei Darussalam.Hmmmm...seringkali juga TB membayangkan kisah-kisah seperti cerita Jula Juli Bintang Tiga akan muncul dalam hidup TB.Apapun semua pertemuan dan jodoh adalah ketentuan Allah SWT juga. Kepada puteri-puteri baginda yang lain; termasuk juga gadis-gadis Brunei yang belum bertemu jodoh; bersabar dan berdoa agar hasrat mahu diijabkabulkan akan terlaksana.Amin.

IPGM OH IPGM


 SEORANG ketua jabatan institusi perguruan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada seorang kontraktor berjumlah RM37,069.40, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Azmi Hassan, 49, didakwa menerima sekeping cek Malayan Banking Bhd. (Maybank) bernombor 025330 daripada Sulaiman Adom, 42.

Lelaki tersebut mendapat kontrak untuk melakukan kerja naik taraf sistem kumbahan di flat pekerja bernilai RM198,927 dan kerja ubah suai flat pekerja kepada kediaman di kampus berkenaan yang bernilai RM198,999.

Azmi yang mempunyai lima anak, bertugas di Jabatan Sains, Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini ditangkap pada 7 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No. 02-04, Larkin Indah, di sini pada pukul 11 pagi, 24 Ogos 2009(sumber:UM20/9/12).

TB: Adalah amat dukacita pada ketika perjuangan menaikkan taraf maktab-maktab perguruan (kini IPGM) dan perjuangan orang yang terdahulu direalisasikan oleh TPM merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Mahyuddin Mohd Yassin dan gred kenaikkan pangkat dipermudahkan di kalangan para pensyarah; termasuk para guru dan pegawai pendidikan di KPM maka ada juga segelintir manusia yang tamak haloba

.Walhal ada para pejuang dalam KPM terpaksa menitiskan air mata dan berkorban tanpa kita sedari.lnilah gara-gara kuasa atau 'empowerment' diperturunkan ke peringkat bawahan oleh Ketua Jabatan tertinggi iaitu Pengarah IPG di sesebuah kampus itu kepada Ketua jabatan di peringkat dalaman IPG itu. Begitulah, sepandai-pandai tupai melompat.Perkara ini bukanlah baru. Tapi lantaran tamak dan 'makan kali pertama,kedua' terlepas maka mahu mencuba lagi.Penyalahgunaan kuasa dan rasuah wajib dibanteras. 

Namun dalam dunia serba canggih ini, hukuman dunia boleh juga terlepas dek kebijaksanaan peguambela.Walau bagaimanapun kuasa dan hikmah Allah, hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Justeru adalah amat wajar KPM khususnya Rektor IPGM memantau serius gejala ini; baik kuasa yang diberikan kepada pengarah, timbalan pengarah, pegawai esekutif kanan (PEK) dan ketua-ketua jabatan dalaman.Kita tidak mahu menaikkan taraf maktab-maktab perguruan ke IPG maka naiklah taraf projek-projek prasarana dan 'memasukkan wang rakyat' ke saku para pengkhianat negara,bangsa dan agama ini! (TB)

19 September 2012

USTAZ OH USTAZ


"BUDAYA  ‘tangkap muat’ dengan melabel seseorang sebagai ‘ustaz’ begitu mudah bukan hanya mencemar nama baik Islam, malah keseluruhan masyarakat yang mengamalkan agama suci ini,” kata penceramah bebas, Ahmad Dasuki Abd Rani.

Beliau berkata, tindakan mempercayai secara melulu sesiapa saja yang disangkakan alim tanpa mengetahui latar belakang pendidikan agama individu dengan gelaran berkenaan amat merugikan masyarakat kerana jika tersilap langkah boleh terpengaruh dengan ajaran yang salah.

“Sudah banyak kes membabitkan penipuan oleh individu digelar ‘ustaz’ oleh masyarakat kerana kesilapan masyarakat itu sendiri yang begitu mudah melabel gelaran berkenaan kepada sesiapa saja yang dianggap alim.
“Mentaliti masyarakat kita, asal saja individu berkenaan memakai jubah dan serban atau berjanggut mereka anggap dia alim, malah jika individu itu pandai baca al-Quran sikit, atau masuk program realiti agama pun kita sudah gelar mereka ‘ustaz’,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam mengenai seorang lelaki kononnya bergelar hafiz dan mempunyai pendapatan lebih RM100,000 sebulan membuatkan dia diberi kuasa dan dijulang dengan penuh hormat oleh kariah masjid dan surau. Menggelarkan dirinya ‘Sheikh’, lelaki yang mengaku berusia 31 tahun dari Terengganu itu dilantik menjadi pengerusi masjid dan surau, malah mengislamkan seorang lelaki dan wanita dengan disaksikan jawatankuasa surau yang terpedaya dengan temberang kehebatannya, malah diberi kepercayaan sebagai imam dan mengajar tadarus al-Quran.

 Namun, tembelangnya pecah apabila seorang hafiz sebenar menjadi makmumnya ketika solat dan menyedari kesalahan ayat dibaca lelaki terbabit, lalu menegurnya. Ahmad Dasuki berkata, proses sebelum bergelar ustaz juga sama seperti bidang profesional lain iaitu kedua-duanya memerlukan pendidikan tertentu sebelum mendapat gelaran termasuk doktor dan profesor. “Sekarang ini, gelaran ustaz sewenang-wenangnya diberi kepada sesiapa saja walaupun dengan hanya pandai bercakap sikit hal agama. Sebenarnya keadaan ini begitu memalukan mereka yang selayaknya mendapat gelaran terbabit serta mencemar nama baik ustaz.

“Justeru, sudah tiba masanya masyarakat keluar dari kepompong berkenaan dan meletakkan nama ustaz selayak-layaknya,” katanya.(sumber : YUSLUZA YAKIMIR ABD TALIB, HM, 19/09/12)

TB: TB sudah menyentuh isu ini sejak lama dahulu. Ah, sekarang apa sudah jadi. Tukang jual ubat mengaku ustaz. Tukang urut mengaku ustaz. Penceramah motivasi mee segera mengaku ustaz.Tukang silat pun mengaku ustaz.Pencacai politik pun juga mengaku ustaz.Dan banyak lagi ustaz. 'Ustaz' mengikut KAMUS DEWAN, DBP mempunyai dua makna: l. Tuan (biasanya dalam bahasa Urdu di Pakistan gelaran 'ustaz' digunakan bagi kata panggilan hormat 'tuan' atau 'sheikh'. 2. Bermaksud guru yang mengajar agama lslam. Sehubungan ini, TB tekankan bahawa guru agama ini sudah tentulah yang bertauliah memperoleh pendidikan/pengetahuan pengajian lslam yang formal. Dari segi profesionalisme 'USTAZ atau USTAZAH ini yang mengajar di institusi pendidikan formal sudahlah tentu mempunyai tauliah kelayakan profesional keguruan sama ada Sijil Perguruan, Diploma Perguruan/Pendidikan atau ijazah pendidikan daripada IPTA profesional seperti IPGM Kampus Pendidikan lslam,Bangi (dahulu Maktab Perguruan lslam,Bangi,Malaysia, KUPU SB Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan,Negara Brunei Darussalam (dahulu Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan,Brunei) dan lain-lain lagi.

18 September 2012

MOHD NAJIB ABDUL HADI, UNIVERSITAS UDAYANA & BALI

BALI, pulau wisata terkenal di lndonesia mengingatkan TB kepada UNIVERSITAS UDAYANA yang terkenal di Bali. Universitas Udayana adalah salah sebuah universiti milik pemerintah yang kursus-kursusnya kebanyakan diiktiraf oleh JPA Malaysia.Bagi TB, universitas ini mengingatkan TB kepada teman baik TB Drs Mohamad Daud Mohamad pegawai kanan DBP, Kuala Lumpur yang satu-satunya graduan sulung universitas ini dari Malaysia pada awal 1980-an dahulu.

Suatu ketika dahulu apabila tamat STP/HSC 1970-an, dengan kelulusan minimum dan persaingan hanya dua buah universiti di Malaysia (UM dan UKM) agar sukar memohon masuk belajar; tidak seperti zaman sekarang yang lebih bersikap terbuka dan banyak ruang dan tempat. TB pun tanpa tunjuk ajar sesiapa 'suka-suka' memohon untuk belajar di Universitas Gajahmada,Jogyakarta dan University of London, UK.. TB tulis surat dan resume ringkas lalu poskan (tidak seperti sekarang banyak kemudahan lCT). 

Tanpa diduga, permohonan TB mendapat respons baik dan TB diterima dengan beberapa syarat, TB kena uruskan sendiri (tidak seperti sekarang banyak agensi atau kaunselor yang mengaturkannya). Kerana TB, anak yang tertua, tinggal jauh di pedalaman ketika itu, maka TB terpaksa 'kuburkan' impian itu lantaran pada masa yang sama TB menerima tawaran untuk mengikuti kursus asas perguruan di sebuah maktab perguruan yang ternama di Kuala Lumpur.Peristiwa kemudian dalam kehidupan, sejarah tetap menjadi sejarah.

Apabila adik kandung TB, Mohd.Najib ditawarkan ke Universitas Udayana,Bali pada penghujung 1980-an,  banyak tentangan secara senyap TB terima daripada keluarga.Apatah lagi lndonesia dan Bali agak begitu asing lagi bagi penuntut Malaysia. TB hanya merenung jauh demi pada masa hadapan Mohd.Najib. Bawa Mohd.Najib bertemu Mohd.Daud untuk mengetahui beberapa prosedur dan berbagai-bagai urusan di KPM. TB yakinkan Mohd.Najib dalam pelbagai aspek

. Dengan semangat,iltizam dan cita-cita murni Almarhum ayahanda (al-Fatifha)  maka lembu ternakan ayahanda pun dijual untuk menampung perbelanjaan awal Moh.Najib. Tentu Mohd.Najib telah menempuh suka duka,perit jerih di peringkat awal sebelum akhirnya TB berjaya mengusahakan tawaran biasiswa KPM pada zaman Tun Abdullah Badawi selaku Menteri Pelajaran ketika itu.

Justeru apabila TB akhirnya dengan izin Allah menjejaki bumi Bali dan kampus Universitas Udayana maka nostalgia pada masa lalu menguruskan kemasukan adinda Mohd Najib ke Universitas Udayana tetap menjadi ingatan dan kenangan. Apapun kejayaan yang telah dilimpahi Allah SWT kepada Mohd Najib, TB tidak lupa memanjat kesyukuran tidak terhingga kepada llahi. Amin.


Di Universitas Udayana,  Bali
Di Pantai Tanah Lot, Bali


Di Pantai Kuta, Bali

14 September 2012

KETUA JABATAN DIINGATKAN TIDAK ABAI KEBAJIKAN DAN KEPERLUAN ANGGOTA BAWAHAN

KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengingatkan semua ketua jabatan dan agensi kerajaan supaya sentiasa mengambil berat kebajikan serta kemudahan kerja penjawat awam di bawah jabatan masing-masing.

Beliau berkata, jangan hanya mengharapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkelas dunia kepada rakyat namun pada masa sama mereka bekerja dengan kemudahan dan suasana sebaliknya.
"Ketua jabatan jangan hanya melihat apa yang berlaku di hadapan kaunter perkhidmatan, lihat juga apa yang ada di belakang kaunter sama ada ia juga bertaraf dunia," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, selain itu beliau turut menggalakkan lebih ramai ketua jabatan dan agensi untuk turun padang melihat dengan lebih dekat pelaksanaan dasar kerajaan agar ia sampai kepada golongan sasar iaitu rakyat selain mencari penyelesaian segera kepada sebarang isu yang dibangkitkan. (sumber:BH, 13/9/12)

TB: Apa yang dikatakan Tuan KSN itu betul,tepat dan kena pada masanya. Bukanlah bermakna apabila umur persaraan dilanjutkan ke-60tahun ketua-ketua jabatan di peringkat kementerian (pusat),negeri dan daerah termasuk pengarah-pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, pengarah-pengarah bahagian, pengarah-pengarah IPGM dan Politeknik KPT asyik memikirkan RM, gred kenaikan pangkat daripada 54 ke Jusa C,B dan seterusnya A jika berpeluang lagi. Bukanlah golongan ini tidak tahu jawatan tertinggi adalah amanah dan tanggungjawab. namun masih ada KSU, Ketua-Ketua Pengarah bahkan Pengarah-pengarah diintip oleh SPRM.lni terbukti beberapa dakwaan pada masa lalu.Justeru berbanyak-banyaklah muhasabah. Turunlah ke gelanggang atau ke padang. lihatlah sendiri suasana antara jam 8-10 pagi di cafetaria-cafetaria di sekeliling atau kawasan-kawasan pusat membeli-belah berdekatan seperti di Alamanda. Ketua-ketua jabatan juga wajar prihatin keluhan,rayuan,dan aduan kakitangan bawahan termasuk urusan kenaikan pangkat, pertukaran dan kekurangan kelengkapan pejabat dan sebagainya. Misalnya nasib pensyarah-pensyarah (PPT) politeknik KPT kini lebih buruk dan bernasib malang dalam urusan kenaikan pangkat jika dibandingkan andainya mereka di bawah urus tadbir KPM seperti masa lalu.Mudah-mudahan ada ketua-ketua jabatan yang celik akal dan celik minda seperti yang disarankan oleh Tuan KSN itu. (TB)

11 September 2012

WARGA ASING KE MALAYSIA BANYAK BURUKNYA


Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.

Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.
Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.

Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.
Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara. (sumber: MUHAMMAD ZAHID MOHD. ZAIN, PASIR MAS, KELANTAN)

MAYBANK OH MAYBANK


SAYA (pengirim surat ini) tidak dapat membayar hutang kad kredit kerana masalah kewangan dan pihak bank telah membatalkan kad kredit tersebut. Masalah saya di sini, saya telah memohon untuk melanjutkan tempoh bayaran baki hutang sebanyak RM500 dan pihak bank telah menolak permohonan tersebut dan menuntut saya membayar sebelum atau pada 15/09/2012 (rujukan: CUL/OPS/OS/G04/G57/VC38006970) jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.

Pada 3 September 2012 saya mendapat panggilan dari wakil perundangan bank dan mendesak saya membayar jumlah itu jika tidak sapina akan dihantar kepada saya, kepada bahagian sumber manusia dan ketua jabatan saya sendiri, untuk membenarkan saya hadir ke mahkamah.

Panggilan juga dibuat ke bahagian sumber manusia. Cuba bayangkan betapa malunya saya dengan kakitangan bahagian sumber manusia dan ketua jabatan saya. Hanya kerana saya gagal membayar RM500 seluruh tempat saya bekerja tahu masalah kewangan yang saya hadapi. Pihak bank bukan cuba membantu malah telah menjatuhkan maruah saya sebagai insan.

Betapa miskinnya Maybank bukan sahaja miskin duit malah miskin ihsan sesama manusia. Segala mengenai Maybank adalah duit. Lewat bayar denda dikenakan akaun bank dibekukan, mengeluarkan simpanan ATM lebih empat kali 50 sen akan ditolak untuk pengeluaran seterusnya dan untuk mendapatkan cetakan penyata saya perlu membayar RM12 untuk tiga helai muka surat kertas A4.
Pada saya, Maybank tidak akan jatuh muflis jika tidak dapat menuntut RM500 daripada saya tetapi saya yang akan muflis kerana nama disenaraihitamkan oleh Bank Negara.

Bukannya saya tidak mahu membayar baki RM500 tersebut kerana sebagai orang Islam 'jiwa seseorang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya hinggalah dijelaskan' tetapi saya benar-benar tidak mampu untuk membayarnya sekarang.

Saya harap pihak Maybank usahlah ekstrem sangat menuntut hutang hingga menjejaskan maruah saya.
Menurut surat rujukan, saya masih ada masa untuk menyelesaikan lebihan hutang. Bukan sahaja memalukan tetapi emosi saya juga terganggu dengan panggilan tersebut.

Sila prihatin dengan masalah manusia seperti yang disarankan oleh kerajaan. Bantulah saya yang susah ini bukan menyusahkan lagi saya yang susah dengan membebankan saya dengan kes mahkamah.(sumber: AMAT MALU, NILAI, UM 11/9/12)

SAMBUTAN AIDILFITRI PERLU ANJAKAN PARADIGMA


RAKYAT Malaysia masih lagi dalam mood raya dengan pelbagai sambutan rumah terbuka di rumah dan organisasi masih rancak diraikan di sini sana.

Budaya kunjung mengunjung dan bermaaf-maafan masih lagi menjadi prinsip dan landasan masyarakat Malaysia dalam menyambut hari raya, tetapi kita perlu merenung kembali tradisi ini yang kian hari kian menipis di kalangan masyarakat khususnya golongan orang muda dan antaranya penyebabnya adalah sikap suka menonton TV, bermain dengan Gadget IT (Information Technology) dan menyendiri untuk relaks diri.

Dikatakan hari raya di era globalisasi ini tidak lagi semeriah pada tahun-tahun 60-an, 70-an atau 80-an yang rata-rata masyarakat kita masih bersederhana dalam urusan perayaan tetapi teguh dan kukuh dalam mengeratkan silaturahim melalui kunjung-mengunjung dan bermaaf-maaf antara tua muda, sanak-saudara, sahabat handai dan juga jiran tetangga.

Tetapi suasana hari raya kini semuanya hampir menjadi sepi dan kurang mesra di hati terutamanya dalam budaya kunjung-mengunjung antara rumah ke rumah kerana golongan muda kini lebih gemar beraya depan TV yang menyajikan cerita dari malam hingga ke pagi.
Malah ada remaja yang mengunci diri di bilik dan hanya membiarkan ibu bapa dan saudara-saudara tua sahaja yang melayan tetamu dan beramah-mesra dan apabila kita tanya "mana anak-anak bujang dan dara" maka dijawablah si ibu bapa anak mereka "ada kat atas atau kat bilik, tengok TV dan main komputer."

Berhari raya depan TV dan asyik bergayut dengan telefon bimbit dan komputer (Ipod, Ipad) ini telah menjadi perbualan masyarakat hari ini terutama golongan dewasa dan warga yang prihatin dengan perkembangan semasa ini.

Kita tidak menyalahkan rancangan raya di TV atau alat komputer terkini, tetapi sikap suka beraya depan TV ini perlu diberi perhatian oleh warga Malaysia yang pastinya terlibat dalam pelbagai perayaan untuk dibuat renungan dan penambahbaikan.

Didiklah anak-anak muda dengan adat budaya berhari raya dengan landasan etika yang mengikut kehendak dan keperluan yang bersesuaian agama dan bangsa di mana "Budaya disanjung, budi bahasa dijunjung".(sumber: DR. RUSINAH SIRON, KUALA LUMPUR)

BANK ZALIM SILA BOIKOT


WALAUPUN mulanya ingin berkongsi kisah isu perumahan mahal, saya terdetik merungkai cara perbankan yang diamalkan di negara ini.

Saya tertarik dengan penulis dalam ruangan Forum Utusan 6 September 2012 yang menyatakan dia dimalukan di tempat kerja oleh sebuah bank ternama semata-mata kerana lewat membayar hutang RM500.

Sungguhpun kini perbankan Islam semakin mendapat tempat dan menjadi pilihan rakyat, namun masih banyak amalan perbankan konvensional.

Saya mengakui bukan orang perbankan tetapi memahami sedikit sebanyak cara bank beroperasi mengaut keuntungan terutamanya melalui pemberian pinjaman dan juga pelaburan wang yang disimpan dalam akaun mereka.

Lihat sahaja keuntungan bank-bank yang tidak pernah merosot malahan semakin meningkat setiap tahun sehingga mencecah angka berbilion ringgit.

Malangnya, pengguna dan pelanggan yang menjadi sumber keuntungan dan modal pelaburan mereka masih diperah habis-habisan.

Daripada sudut pinjaman, mereka meraih untung besar dalam jangka panjang dan dilindungi insurans jika peminjam gagal membayar balik mahupun oleh mahkamah yang membolehkan harta atau cagaran peminjam disita, semuanya mengikut prosedur tertentu.

Namun, itu tidak menghalang pihak bank bertindak alasamseng dalam menuntut hutangnya dan adakalanya secara terang-terangan menggaji samseng untuk mengetuk pintu rumah peminjam khususnya dalam kerja-kerja menarik kereta tertunggak bayaran.
Modal pelaburan daripada simpanan pelanggan pula, hanya sebahagian kecil untung pelaburan dipulangkan kepada pelanggan sementara selebihnya 'ditelan' bank.
Lebih malang lagi, pelanggan yang memberi modal itu pula dikenakan pelbagai caj termasuk caj mengeluarkan duit di ATM, caj pemindahan atas talian ke akaun sendiri di bank lain, dokumentasi dan sebagainya.
Tidakkah semua amalan tersebut nampak tidak masuk akal sedangkan bank di negara ini menikmati suasana perniagaan harmoni dan sentiasa untung?

Masih perlukan amalan alasamseng dalam menuntut hutang pelanggan khususnya yang jumlahnya kecil dan wajarkah kos pengurusan dikenakan ke atas pelanggan yang menyimpan dalam akaun bank tersebut?
Ini adalah cara perbankan yang zalim, tidak adil dan perlu dihentikan segera kerana dalam jangka panjang hanya akan memudaratkan bank itu sendiri.

Pertama sekali, nama bank akan tercemar sehinggakan ahli keluarga, saudara-mara mahupun rakan-rakan mangsa bank akan menolak berurusan dengan mereka.

Kos pengurusan bank juga tidak sepatutnya ditolak kepada pelanggan kerana jumlahnya kecil dan boleh diserap bank tanpa masalah, itupun jika tidak terlalu tamak untuk untung lebih besar setiap tahun.
Sudahlah untung pelaburan hanya diberi sekitar tiga peratus kepada pelanggan dengan bermacam syarat, mahu dicaj pula bermacam perkara jika mahu berurusan dengan mereka.

Mereka sanggup keluarkan berjuta ringgit untuk program tanggungjawab sosial korporat kerana ia boleh ditolak cukai tetapi kos pengurusan tetap dikenakan kerana tidak boleh ditolak cukai dan dapat menambah sedikit lagi kepada keuntungan tahunan.

Pelanggan faham bank berniaga tetapi bank juga perlu ingat permulaan mereka dahulu sebagai pemegang amanah simpanan pelanggan.

Walaupun kini pembiayaan pinjaman menjadi sumber pendapatan utama bank, janganlah melayan pelanggan tanpa belas ihsan mahupun dijadikan tempat menampung kos pengurusan.
Jika fikir bank akan sentiasa menjadi pilihan pelanggan, lihatlah bagaimana semakin ramai mengalihkan wang dan perniagaan kepada amanah saham serta pengurusan kewangan lain.(sumber:DUIT BAWAH BANTAL, KUALA NERANG KEDAH, UM, 07/09/12)

DATUK DR. HARON DIN DAN SURAT TERBUKA

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din tiba-tiba muncul dari ‘pertapaannya' baru-baru ini dan mengulas di sebuah akhbar dengan lantang akan kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai isu peribahasa Inggeris berbunyi "lebih baik memilih ‘syaitan' yang dikenali dari memilih ‘malaikat' yang tidak dikenali". 

Sekian lama kita mencari ke mana menghilangnya tokoh ulama PAS yang suatu ketika amat tersohor ini di kalangan umat Islam. Malah saya juga ketika itu sangat menghormati ketokohan ‘Tuan
Guru' ini. 

Datuk Dr Haron Din mengulas kenyataan itu dengan meminta Tun Mahathir ‘bertaubat' kerana dianggap menyeleweng dari akidah.

Beliau juga mengulas bahawa tiada ayat Al Quran yang ‘menyokong' kenyataan Tun Mahathir tanpa memahami atau bertanya sendiri dengan Tun Mahathir tentang ucapan tersebut.

Perkara ini juga turut pernah terjadi kepada YAB Perdana Menteri tidak beberapa lama dahulu apabila seorang mufti mengambil kesempatan ‘membelasah' Perdana Menteri melalui media kerana isu kehadiran beliau ke satu perayaan keagamaan kaum India. 

Perkara seperti ini seolah-olah dinanti-nanti oleh golongan ulama untuk mencari-cari salah umarak dan kelihatannya seperti mahu mempopularkan diri dan membetulkan keadaan secara terbuka. Justeru saya pun ingin bertanya bagi membetulkan pandangan Datuk Dr Haron Din secara terbuka.

Malah dalam isu kenyataan Tun Mahathir, ianya umpama ‘bola tanggung' yang dinanti-nanti oleh Datuk Haron Din untuk muncul dari ‘pertapaannya' selama ini. 

Amat menghairankan kerana Haron Din membisu apabila mursidul am PAS pada suatu ketika secara terang-terangan menyatakan sanggup bersahabat dengan ‘syaitan' asalkan ‘syaitan' sanggup membantu kemenangan PAS. 

Kenyataan Nik Aziz itu mungkin merujuk kepada DAP, tetapi Haron Din dan penganut PAS bijak
pula mentafsir kenyataan tersebut dalam konteks yang lebih terbuka.

Sedangkan jika beliau seorang ulama yang adil dan saksama, maka kenyataan Nik Aziz ini jauh lebih dahsyat kerana sanggup memilih ‘syaitan' sebagai sahabat dari memilih ‘manusia seagama' sebagai rakan politik dalam memerintah negara. 

Malah setakat ini belum ada ‘peribahasa Inggeris' yang saya jumpa berkaitan kenyataan Nik Aziz itu
untuk mempertahankan kenyataan tersebut.

Apakah dalam isu ini Datuk Haron Din tidak terjumpa begitu banyak firman Allah di dalam al-Quran yang melarang manusia memilih dan bersekutu dengan syaitan? Apakah ulama dan ahli PAS terlupa bahawa syaitan itu musuh kamu yang nyata? 

Apakah Haron Din atau ulama PAS mempunyai ‘kekebalan' dari hasutan syaitan sedangkan Nabi Adam AS pun mampu diperdaya oleh syaitan. Janganlah kita ujub dan takabur seolah-olah dengan ketinggian ilmu yang kita mililik maka kita beranggapan kita ‘berada di jalan yang lurus'. 

'Maksiat' perpecahan masyarakat
Bagi syaitan yang mempunyai pengalaman luas dan bekas ketua malaikat maka tentulah bukan
menjadi masalah untuk menyesatkan keturunan Adam AS termasuklah ulama-ulama atau tok guru apatah lagi manusia marhaen seperti saya.

Malah perkataan ‘maksiat' juga merujuk kepada ‘perpecahan dalam masyarakat' yang secara jelas dan terang telah dilakukan oleh PAS sejak 1951. Kesan ‘maksiat perpecahan' adalah jauh lebih besar kepada masyarakat dan ianya boleh kita lihat di kalangan umat Islam di negara ini.

Sewaktu menjadi penganut PAS suatu ketika dahulu, saya begitu marah apabila Tun Mahathir ‘menghina janggut Nabi SAW'. Hanya dari ‘rakaman suara' mesyuarat MKT Umno isu itu menjadi panas dan dijadikan alat untuk umat Islam membenci Tun Mahathir. 

Masa berlalu dan kini saya melihat penganut PAS masih menghukum Tun Mahathir dalam isu ‘janggut
nabi'. Secara realitinya Tun Mahathir mungkin naïf mengenai keadaan ketika zaman Rasullullah SAW tetapi menghukum beliau tanpa mengetahui niat ucapannya seolah-olah kita mendahului Yang Maha Esa. 

Malah sehingga ke hari ini hukuman sesat dan penghinaan telah pun dijatuhkan oleh pemimpin dan penganut PAS sedangkan ianya tidak melibatkan akidah dan kepercayaaan Tun Mahathir dalam soal darjat dan kenabian Baginda Nabi SAW.

Di mana keberanian ulama seperti Haron Din apabila timbul persoalan amat besar dalam kenyataan Nik Aziz mengenai isu sambutan maulud Nabi SAW? Rakaman dalam Youtube dan komen Nik Aziz mengenai Nabi SAW amatlah pelik tambahan diungkapkan oleh tok guru merangkap mursidul
am PAS. 

Malah yang paling dahsyat apabila beliau menafikan sirah Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diangkat sebagai Nabi. Kenapa Haron Din membisu dan penganut PAS mendiamkan diri dalam isu yang jauh lebih besar ini dan penghinaan yang sangat mengelirukan ini?

Dalam isu ‘Negara Islam' apakah Haron Din sudah terlupa ceramah beliau mengenai ‘Dokumen Negara Islam dan Hudud' yang menjadi agenda beliau atau PAS suatu ketika dahulu ? 

Di mana kelantangan Haron Din bila presiden PAS ketika menjadi menteri besar Terengganu dengan selamba mengatakan bahawa hudud hanya 1 peratus dari keseluruhan ajaran Islam? 

Apakah Haron Din tidak sempat langsung menonton dalam Youtube akan kenyataan Nizar
Jamaluddin di dalam DUN Perak yang ‘menafikan' bahawa PAS pernah mengeluarkan Dokumen Negara Islam dan mahu melaksana undang-undang hudud?

Paling menyedihkan, di mana Datuk Haron Din bila sahabat beliau YB Dato Dr Hassan Ali ketika menjadi mangsa pemecatan PAS semakin yang tidak demokratik. 

Di mana pembelaan Haron Din dan apakah kesalahan Hassan Ali hanya kerana mahu mempertahankan isu akidah umat Islam di negeri Selangor (tempat tinggal Haron Din sendiri)? 

Kecelaruan pluralisme
Tidakkah terbuka pintu hati beliau melihat isu besar dan kecelaruan fahaman pluralisme dan LGBT yang menghimpit negara dan menjadi agenda pihak tertentu?

Suatu ketika ulama yang mempertahankan pemerintah pernah dilabel sebagai ‘ulama bisu' oleh PAS, tetapi apa yang kini saya peribahasa ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri'. 

Beliau dan ulama PAS bukan sahaja tidak berani bersuara membetulkan partinya sendiri tetapi masih mencari-cari kesilapan Umno dan pemimpinnya. Semakin hari umat Islam membuka mata dan dapat menilai sejuh mana ketelusan dan kejujuran ulama PAS dalam membawa agenda perjuangan Islam.

Ulama PAS mungkin tidak terpandang Firman Allah yang menyuruhnya umatnya menyambung silatulrohim, bersangka baik, mentaati pemimpin, bersyukur, sabar dan banyak lagi perintah Allah SWT yang menuntut kita menterjemahkan sifat-sifat ‘mahmudah'. 

Apa yang dilihat, kebanyakkan sifat mazmumah sudah mula sebati dalam pemikiran dan tindak tanduk PAS.

Sebagai bekas penganut fahaman PAS saya terbaca hadis ini: 

Muaz ibni jabal berkata Rasulullah SAW sambil berjalan memegang tangannya: "Wahai Muaz! Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah dan bercakap benar iaitu menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan khianat dan mengasihani anak-anak yatim, memelihara jiran tetangga,
mengawal dan lembut percakapan, menyebarkan salam dan taat setia kepada pemimpin yang adil, berusaha memahami al-Quran, kasih akan akhirat, takut hari hisab, pendek angan-angan dan baik amalan. Aku larang kamu dari memaki hamun orang Islam atau mempercayai pembohongan atau mendustakan orang yang benar atau menderhakai pemerintah yang adil. (hadis riwayat Al Baihaqi).

PAS sudah jauh tersasar kerana menjadikan agama sebagai alat politik mereka tetapi langsung tidak mencerminkan akhlak dan keperibadian Islam yang syumul. PAS bukan tempat yang selamat untuk para ulama seperti Haron Din bersuara dengan jujur dan ikhlas.

Inilah hakikat yang Allah SWT sampaikan kepada Nabi SAW agar kita berhati-hati berhati-hati dengan ulama politik.

Sabda Nabi SAW: "Di akhir zaman nanti, menjelang kiamat, orang fakih (ulama) pada zaman itu akan menjadi sejahat-jahat manusia (gelagat serta pendapat dan fatwa mereka) yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat, tapi fitnah itu berbalik kepada mereka sendiri." (hadis riwayat Ibnu Umar & Imam Al Hakim dalam kitabTarikh Naisabur)

Saya masih mengharap dan berdoa agar pintu hati Datuk Dr Haron Din akan terbuka untuk membetulkan keadaan dari dalam PAS. Beliau mempunyai ‘aura besar' dan mampu menyatupadukan umat Islam di negara ini.

Berdosakah jika beliau membantu YB Nasharudin Mat Isa yang keseorangan untuk menyatupadukan Umno-PAS demi masa depan Islam dan bangsa Melayu.

Kesempatan emas ini harus di rebut oleh beliau bagi menyelamatkan Islam di negara ini. Semoga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah kepada beliau dalam usaha mencari kebenaran di dalam perjuangannya. 

Saya percaya jika pengaruh dan kewibawaan beliau digunakan sebagai ulama sebenar dan bersikap adil dan saksama, Islam akan menjadi agama yang dihormati. 

Insitusi ulama hanya boleh dipandang sebagai ‘perwaris Nabi' jika Datuk Dr Haron Din dan ulama tidak memihak dalam memberikan pandangan mereka. 

Yang benar katakan benar sama ada ia dilakukan Umno mahupun PAS. Namun jika ia salah, katakanlah‘salah' tanpa menyebelahi mana-mana parti supaya wibawa ulama kembali dihormati.(sumber : CR LUKMAN MOIDIN,MK,11/9/12)

10 September 2012

TIUB BOCOR PALSU WUJUD!

SUKACITANYA TB memaklumkan kepada para pembaca budiman blog TB yang telah TB bangunkan sejak pertengahan 2010. Terima kasih kepada para pengunjung yang mana blog TB telah melangkaui  lebih 30 ribu pelawat. ini dan isunya umum dan pelbagai  walaupun ada kritis tetapi tidak berpihak mana-mana parti politik. Pendirian tegas TB tetap non partisan setakat ini.

Namun dalam dunia ICT yang serba maju dan canggih ini, nama TIUB BOCOR juga baru-baru ini tanpa wajah dan latar diri dengan memuatkan tulisan-tulisan yang mengecam gila parti politik lain itu adalah blog TIUB BOCOR palsu!.Mujur TB dapat mengesani awal. Dan TB tidak teragak-agak akan membuat laporan rasmi kepada PDRM dan SKMM jika keadaan mengancam undang-undang negara. Kepada pihak berkenaan sila hentikan menyalahgunakan nama TIUB BOCOR . Harap maklum. - TB aka DRH.

RASIONALKAH SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DIKAJI SEMULA?

MELANGKAH era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global.

Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar.


Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan.

Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?


Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar.

Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh.

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas.

“Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab.

“Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” katanya.

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik.

“Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya.

Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan.

Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian.

Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam.

Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa.

Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global.

“Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,” katanya.(sumber  disesuaikan daripada HM, 10/09/12)

04 September 2012

Puisi: MERDEKA 55

Tahun merdeka perdu hari di sebuah daerah
di pinggiran Gunung Ledang bersejarah legenda
ada suara yang datang dari perdesaan
ada gema yang turun dari perladangan
ada pekikan yang tergiur dari perbukitan

Ada semangat yang datang dari satu rimba
satu kepedihan satu kedaifan satu sengsara
pagi ini hakikat tetap berteduh di wajah
ada ceria dan gembira satu derap perbarisan
satu kata satu hati perjuangan kedamaian

Kompang bertalu gong bertingkah
gempita berterbangan bersatu dalam hati
bersemangat harapan waja mendepani
ada warga emas segak berdiri di sisiku
berkekalan abadi menguntum nostalgia
mudah-mudahan Malaysiaku padu bersatu.

RAJIEE HADI,
Bandar Tangkak,
31 0gos 2012.