Salam Perjuangan

27 Disember 2010

FACEBOOK, PANTAULAH!!!!

Perbincangan masalah rumah tangga secara terbuka di laman sosial Facebook semakin menjadi trend di kalangan pasangan suami isteri yang berdepan konflik perkahwinan.

Trend itu bukan sahaja mengeruhkan keadaan malah diibaratkan seperti membuka pekung di dada. Sedangkan masalah tersebut seharusnya dibincangkan secara tertutup bersama pasangan masing-masing.

Buktinya, penyelidikan Utusan Malaysia mendapati, salah satu kumpulan dalam Facebook iaitu Kisah Rumah Tangga amat popular di kalangan pasangan suami isteri teraniaya.


Ia menjadi medan perbincangan dan luahan perasaan dalam mendapatkan khidmat nasihat berhubung konflik rumah tangga mereka. Amat mengejutkan, ruangan mengandungi hampir 200 kisah dan konflik rumah tangga itu turut mendapat ratusan maklum balas serta pandangan daripada ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada 65,945 orang. Antara topik yang hangat dibincangkan adalah:


·  Suami/isteri lebih gemar bermain permainan video Playstation 3 (PS3) dan menonton kartun Naruto daripada melayan isteri
·  Suami/isteri  curang dan ada akaun kedua Facebook
·  Suami kuat merokok dan mengabaikan nafkah keluarga(baca penuh UM 27/12/10)

TERIMALAH hakikat bahawa ranking masyarakat kita membuka akaun,melayani dan apa jua istilah laman sosial dalam alam maya seperti facebook,twitter,my space, finder dan sebagainya antara yang tertinggi di dunia. Seperti juga tv,video, telefon bimbit dan segala kemudahan ict yang pada mulanya untuk kemudahan meningkatkan ilmu dan kemudahan memperoleh ilmu atau maklumat.

Tetapi begitulah manusia yang fitrahnya bersifat ingin mencuba,meneroka dan inginkan yang menentang arus.Sepatutnya pada zaman ini yang serba penuh kemudahan masyarakat kita lebih berilmu dan bermaklumat.Maksudnya ilmu yang bermanfaat dan berguna ke jalan Allah SWT.Bayangkan dengan sekali klik melalui internet kita boleh memperoleh tajuk-tajuk tesis yang kita inginkan sama ada di peringkat ijazah pertama atau ijazah lanjutan.Tidak seperti zaman TB yang terpaksa berkurung dalam perpustakaan sehari suntuk bagi mencari maklumat mengenai tesis apa jua tahap termasuk Ph.D.

Tetapi apa yang terjadi sekarang? Bukalah laman web internet klik facebook nama si polan bin/binti si polan dengan mudah kita dapat membelek foto manis,foto tampan,foto samaran atau apa jua kemungkinan yang boleh dieksploitasikan untuk tatapan awam bagai papan tanda di Bursa Saham!Tidak kira isteri orang, jejaka perasan, don juan, kasanova, pemimpin politik yang berkarisma dan apa jua jenis manusia yang mana yang membezakanmereka hanyalah nawaitu masing-masing.

Justeru, natijahnya berlakulah seperti laporan  berlakunya pergolakan rumah tangga dek keberanian dan keberahian yang tidak dapat dikawal di sebalik tabir menerusi laman sosial seperti ini apabila hubungan dilayani kian bertambah intim.Si wanita meraih simpati, si lelaki pendengar/pelayan/pelayar yang empati maka hanya tembok malu sebagai benteng terakhir sama ada bertahan atau kecundang jua akhirnya.

Yang mendukacitakan lagi, jengok-jengok pejabat kerajaan kini baik di Putrajaya atau di mana jua dalam Malaysia tercinta ini, staf  yang senior mahupun yang junior khususnya anak-anak muda begitu tekun dan asyik menghadapi papan monitor; seolah-olah menumpukan tugasan kerja rasmi.Aduh-aduh,asyik tekungnya!


Ketua-ketua jabatan dari peringkat KSN,KSU,KP. TKSU,TKP dan seterusnya ke bawah akar umbi rajin-rajinlah cuba jengok.Jangan mentang-mentang anda generasi lama boleh dikelentong dengan silap mata ICT.Bukan mustahil asyik masyuk mereka melayani dan chatting  menyebabkan sepatutnya surat rasmi yang disiapkan dalam masa satu jam bertukar menjadi satu bulan.Bahkan ada yang ditunda tarikh ke belakang hampir sebulan.TB ada pengalaman dan bukti!!!!

Kepada mereka yang leka gila dengan pembaziran masa cuba hitung masa yang anda bazirkan dalam sehari seminggu atau sebulan semata-mata untuk bersembang-sembang kosong. Lihatlah mereka yang maju seperti anak-anak muda keturunan Cina mereka terus berniaga secara terus menghargai masa ketika lapang pada usia muda.

Tanyalah diri anda sendiri berapa buah bukukah  yang anda berjaya habis baca dalam minggu atau bulan ini? Sudahkah anda membelai suami/isteri/anak-anak anda dengan bisikan kata-kata romantis pada hari ini;pagi,petang atau malam ini?  Kunci ada di tangan anda maka andalah yang sendiri mahu membuka atau mengunci minda anda.Terserah.

UMNO : BERUBAHLAH UNTUK JANGKA HAYATMU


UMNO : BERUBAHLAH UNTUK JANGKA HAYATMU


Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Model Baru Politik (MBP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno baru-baru ini, tiba pada tepat pada masanya demi survival parti dan agenda perjuangannya. 

Umno, katanya, perlu berubah supaya lebih terbuka dan inklusif, dan model baru politik ini menjadi wadah bagi perubahan yang diperlukan serta diperincikan supaya dapat diamal oleh semua anggota parti. 

Model berkenaan yang membawa tema "Umno Dahulukan Rakyat" mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan Umno, sekali gus menolak 'lagu-lagu lama' seperti 'politik pembangunan' yang dilihat sudah kurang menarik kepada rakyat.(baca penuh, Bernama, 26/12/2010)




TB belajar sejarah,minat sejarah dan pernah menggondol pelajar terbaik sejarah sewaktu zaman persekolahan dahulu. Justeru sedikit sebanyak patriotisme dan nasionalisme sedia tertanam hasil daripada pembelajaran dan penghayatan mata pelajaran tersebut.Sehubungan itu detik-detik sebelum kelahiran PEKEMBAR (nama awal bagi UMNO) seperti kewujudan nama-nama seperti API (Angakatan
Pemuda lnsaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), KMM (Kesatuan Melayu Muda), lbrahim Yaacob, Shamsiah Fakeh, Aishah Ghani, Ahmad Boestamam,Abu Bakar Gunung Semanggol dan lain-lain lagi sentiasa meniti di bibir. Apa yang TB dapat rasai para pejuang terdahulu berjuang dengan penuh semangat cintakan tanah air, tanah nusa dan bangsa tanpa berbelah bahagi.Motto 'Hidup Melayu', 'Merdeka' sentiasa berkumandang dan menjadi nadi dan darah setiap perjuangan.


Oleh itu,TB bukanlah anti UMNO ,bukan terlalu menyayangi UMNO atau pro kepada parti-parti lain tetapi menyayangi agama,bangsa dan tanah air tercinta ini. Jika Melayu dan lslam sudah sinonim sudah sebati sejak dahulu dan selama-lamanya maka janganlah cuba dicair-cairkan. Melayu itu lslam, lslam itu Melayu tetap selama-lamanya wajib dipertahankan;selagi hayat dikandung badan.Apatah lagi itu sudah terkunci dalam Perlembagaan Malaysia.Begitu juga bahasa Melayu yang telah jelas peranan dan fungsinya dalam perlembagaan janganlah cuba ditawar-tawarkan.


Adat dan budaya Melayu yang menjadi asas dan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan dan lslam usahlah cuba disilapmatakan dengan kata kunci satu Malaysia.Wahai UMNO kembalilah kepada semangat PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu).Jika UMNO mahu mati maka caranya jadikanlah orang-orang Melayu ini tidak peka pada bahasanya, tidak endah pada agama lslam, memperlekehkan adat dan budaya warisan nenek moyangnya dan cairkan minda dan bekukan hati orang-orang Melayu sertakan lekakan generasi muda Melayu dengan hiburan dan seleberiti saban waktu.Jom heboh tamatlah riwayatmu wahai UMNO.

Kepada UMNO TB bertanya adakah projek,tender,gelaran dan agenda pembangunan hanya menjadi keutamaanmu tatkala ini? Apakah UMNO tidak menyedari menghakis dan terhakis semangat Melayu atas nama satu Malaysia atas nama pluralisme akan menghilangkan peta jati diri Melayu di bumi sendiri. Kita berbangga ada Little lndia, China Town di tanah air sendiri tetapi alangkah malangnya Jalan Melayu di Kuala Lumpur kian ramai yang tidak tahu di manakah letaknya!!!!






25 Disember 2010

AWAS NAJIB RAZAK !

Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merosot kepada 69 peratus - jatuh tiga mata berbanding dengan 72 peratus pada bulan Mei.

NONETempoh kajiselidik - 30 November hingga 11 Disember - juga termasuk waktu pengumuman pemotongan subsidi kerajaan untuk bahan bakar, gas masak dan gula.

Populariti Najib jatuh ke tahap yang sama yang dicatatkan oleh badan kajiselidik bebas, Merdeka Centre, pada bulan Mac tahun ini.

Dalam kajiselidik terbaru Merdeka Centre, rating tertinggi datangnya dari responden kaum India, sepertimana yang dicatatkan sepanjang tahun ini.

Ia meningkat daripada 80 peratus pada bulan Mei kepada 85 peratus pada Disember, tetapi sokongan kaum India kepada Najib bagaimanapun lebih rendah daripada rekod tertinggi 91 peratus yang dicatatkan pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, sokongan orang Melayu kepada Najib merosot (daripada 77 peratus kepada 74 peratus) serta kaum Cina (daripada 58 peratus kepada 54 peratus).

Kajiselidik Merdeka Centre itu membabitkan 1,005 pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak berusia 21 tahun ke atas.

Ia dijalankan melalui telefon antara 30 November hingga 11 Disember.(baca penuh Mkini,25/12/10)

TB pernah menyebut walaupun Negara Brunei Darussalam dikatakan sebuah negara kaya lantaran hasil minyak dan gas aslinya yang mana rakyatnya turut menikmati hasil yang melimpah-ruah kerana kerajaannya tidak mengenakan bebanan cukai bahkan banyak memberi isentif namun sebenarnya Malaysia adalah lebih kaya daripada negara tersebut.Bumi Malaysia yang subur dengan hasil hutan, tanah pertanian yang mana komoditi pertanian seperti kelapa sawit, getah dan padi memberi hasil lumayan kepada negara.


Selain itu Malaysia sebuah negara yang sedang meningkat dalam sektor perindustrian dan perdagangan; di samping mempunyai hasil petroleum dan gas asli yang kaya di Terengganu, Sarawak,Sabah dan Kelantan.Soalnya mengapakah hasil kekayaan negara tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia secara komprehensif?Ambil contoh mudah: Seorang penjawat awam di Brunei memperoleh gaji bulanan $BND2000/ tinggal di Brunei tetapi hanya membeli sebuah kereta jenama Saga 1.3 model terbaru buatan Malaysia cuma berharga $18,000/ di Brunei.




Tetapi seorang penjawat awam yang bergaji bulanan RM2,000/ di Malaysia terpaksa membeli kereta saga model yang sama dalam negaranya sendiri bahkan kereta buatan negaranya sendiri dengan harga antara RM39,000-41,000! Siapakah yang sebenarnya kaya,mampu dan berdaya saing dalam contoh kes begini? Tidak lain tidak bukan tentulah penjawat awam Malaysia.Namun sebenarnya penjawat awam di Malaysia itu terpaksa menaggung beban hutang berpanjangan; dengan seribu satu kenaikan barangan termasuk harga barangan keperluan harian, harga rumah yang melambung gila, beban cukai yang tinggi di samping sifat-sifat tamak,rakus,materialistik,haloba dan rasuah yang kian menular dalam masyarakat.Tekanan-tekanan hidup ini amat merbahaya bagi sebuah masyarakat majmuk.


Justeru,apalah ertinya sebuah pembangunan andainya masih ada rakyat (orang Melayu!)tinggal di bawah kolong,beratapkan langit berlantaikan bumi yang kais pagi makan pagi apabila malam kelaparan memanjang.Warga emas hidup terbiar, anak-anak remaja hanyut dek menjadi mangsa generasi yang mengejar kebendaan dan anak-anak kecil menjadi mangsa keganasan rumah tangga lantaran tekanan-tekanan kehidupan dan masalah psikologikal.


PRU ke-13 tidak lama lagi akan muncul. Soal kenaikan harga dan beban hidup menjadi fokus para pengundi.Rakyat tidak peduli parti mana,janji mana yang menawarkan perubahan dalam kehidupan. Rakyat kini melihatkan fakta dan realiti kehidupan di depan mata. Jika mereka beralih arah usah salahkan mereka. Dan ini bukan bermakna rakyat menyokong pembangkang tetapi rakyat mahu mengubah selera baru dan mahu benar-benar merasai hati gajah sama dilapah,hati kuman sama dicicah.Apa tidak pun apabila PR dapat menguasai negeri Selangor, nikmat setiap bulan RM11/ diskaun bantuan bil air daripada kerajaan negeri menjadi budi yang tetap akan dikenang! 




TB suka bertanya berapa banyak antara kita yang ingat dan memantau harga selepas pembentangan bajet 2011 di parlimen pada oktober lepas terutama potongan cukai ke atas telefon bimbit.Sudahkah harga telefon bimbit di pasaran diturunkan oleh para peniaga? Apakah penguat kuasa KHEP PDN memantau harga-harga yang telah ditunkan atau dikecualikan cukai termasuk barangan persolekan,aksesori dan sebagainya? Apakah masih ditakuk lagu PI MAI PI MAI TANG TU JUGA? Hubaya hubaya hubaya Najib...Sdr dalam bahaya..bahaya akan perubahan minda rakyat!

24 Disember 2010

REUNION SISWAZAH B.Ed. UPM 1983-86

TANPA TB duga pertemuan dengan teman-teman sekuliah graduan B.Ed.UPM 1983-86 dari kumpulan PBMP yang seramai 35 orang (jumlah keseluruhan jika tidak silap TB hampir 150 orang) telah berlangsung di sebuah restoran sate di Bangunan Dato Nazir di Bandar Kajang Selangor Darul Ehsan pada petang jam 4.00 petang 22 Disember 2010 lalu .Pertemuan jam 4.00ptg-7.00 petang yang julung-julung kali diadakan setelah 25 tahun berpisah merupakan detik-detik yang sukar digambarkan dengan kata-kata.Dengan dakapan ukhuwah mesra dan genggaman erat tangan, masing-masing membawa seribu macam cerita; bak seperti tajuk kolum TB setiap bulan dalam majalah Pendidik, ‘Seribu Warna, Seribu Makna’
Di Antara Teman-Teman Yang Hadir

TB yang ketika itu berada di Johor menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Haji Salihin berhubung pertemuan santai itu.Pada mulanya hati TB berbelah bahagi kerana TB yang ketika itu baru seminggu pulang dari Brunei kemudian  berkunjung ke Johor kerana menziarahi ibu TB yang TB kasihi,sayangi dan cintai.Pada petang itu TB dengan semangat berkobar-kobar bertolak dari Johor ke Kajang Selangor memandu kereta dalam cuaca tidak menentu; hujan lebat turun sepanjang perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan PLUS. TB sampai ke destinasi sekitar jam 6.50 petang.TB tergamam terharu dan terkedu melihatkan beberapa susuk tubuh rakan-rakan lama yang ada di antaranya sudah 25 tahun tidak ditemui. Bayangkan…rasa ingin melihat rupa bentuk raut wajah mereka.TB hanya dapat membayangkan wajah-wajah mereka 25 tahun yang lalu.
Kami saling berdakapan walau sebak yang terkawal namun riuh rendah suara banyak mengingatkan kami suara itu ketika pensyarah lewat(lambat) masuk ke bilik kuliah. Ah,nostalgik!

TB hampir tidak mengenali beberapa perubahan susuk tubuh dan wajah; antaranya Mustafa (suami kepada Hadebah), Rafaee, Ahmad Razali, Omar Kareem,Murad Zakaria dan Razak. Yang tetap steady ialah sahabat yang kami gelar Md.Nor Sportrim.Dengan kecil molek,kelincahan beliau masih seperti dahulu. TB difahamkan ada di antara teman-teman ini telah bersara antara 1-10 tahun bersara.Namun ada yang masih berkhidmat di sektor kerajaan sebagai Pengetua, Pegawai Kanan di Kementerian, Pensyarah dan sebagainya.Apa yang nyata ada di antara kami telah bergelar Haji, Dato’, Dr, Prof Madya bahkan mungkin juga Profesor dan Yang Berhormat (YB).

Kepada teman-teman TB yang dapat TB sebutkan pada petang itu antaranya (maaf jika tidak/terlupa disebut)Md Jani, Sulaiman, Mansor,lsa,llham, Salleh, Ahmad Razali, Hussin, Salihin, Kamaruzzaman, Kamal, Zabeha,  Mustaffa,Omar,Razak,Nazir,Ramali,Shahrom, Murad, Che Murad, Khalil, Md Nor, Tun Seri Lanang, Rahman Rashid, Md Arop,Rafaee dan lain-lain berharap agar pertemuan demi pertemuan dapat diusahakan bagi menjalinkan ikatan,memupuk dan berkongsi pengalaman dalam melayari bahtera kehidupan.Bahkan ada di antara kami sedang mengemudi usia emas iaitu sebuah kehidupan yang diperbaharui kembali agar iltizam dan perjuangan dapat diteruskan selangi hayat dikandung badan. Kepada yang telah kembali ke rahmatullah antaranya Mohd.Jannes, Saeri Basri, Nordin Yatim, Mustaffa (Bob), Mariam(Kak Yam), Siti Fatimah ; sama-sama kita sedekahkan al-fatiha kepada semua roh Allahyarham semoga dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan ahli-ahli syurga.TB yang dapat bersama sekitar 15 minit hanya mampu memberi ucapan bersama di akhir majlis dengan menitipkan sebuah pantun klasik:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi,
Jikalau ada umur yang panjang,
Tahun hadapan bertemu lagi.

23 Disember 2010

TERKENANG-KENANG (2)

SEMPENA hari ulang tahun kelahiran TB pada hari ini 23 Disember, TB mendedahkan sebuah kisah benar apa yang pernah berlaku dalam kehidupan TB masa lalu.Pendedahan ini kali pertama,selagi ada hayat dikandung badan. Justeru TB terkenang-kenang sebuah puisi karya TB yang memenangi tempat pertama (Hadiah Wang Tunai RM3000) pada tahun 1994 dalam Sayembara Puisi Bosnia anjuran Persatuan Penulis Nasional(PENA) dengan kerjasama Barisan Bertindak Bosnia (BBB).Yang lucu dan menjadi rahsia lebih 10 tahun berlalu ialah TB menggunakan nama samaran seorang wanita.Tujuan TB bagi menguji kekuatan puisi TB.Dalam erti kata lain bukan kerana nama atau kedudukan TB ketika itu. Hasilnya, puisi TB SIMFONI ANAK BOSNIA memenangi tempat pertama peringkat kebangsaan mengatasi carta pemuisi-pemuisi tersohor tanah air. Begitulah sebuah kehidupan yang tetap menjadi kenangan dan ada sebab musababnya. Berpaksikan sebuah perjuangan kasih sayang,sebuah hak dan kemanusiaan maka mengalirlah tinta pena puisi berikut:



SIMFONI ANAK BOSNIA

Masih  kusemat panggilan mesramu, ibu
Sambil mengatur huruf namaku Ismet Razanica
Aku berlari riang ke arahmu girang
Menggenggam kapur menghafal baris aksara
Di luar udara Goradze nyaman di timur Bosnia
Setenang sungai Drina di kejauhan Adriatika

Kini tiga minggu aku kehilanganmu, ibu
Tanah kelahiran indah bertukar wajah neraka
Di wad tiga aku terbaring hilang upaya
Putus kaki kiriku angkara periuk api Serbia
Aku kebingungan menyoal diri kerdil ini
Mengapa hospital ini juga bedilan mortar dihujani
Ahh, kemanusiaan dan kedamaian di manakah kini?

Malam yang kegelapan siang yang curang, ibu
Aku terus diburu mimipi-mimpi kekejaman
Kakakku Elmira Zlatic yang rupawan
Tidak kupandang lagi senyum lenggok menawan
Yang pernah mendodoiku menyanyikan lagu keamanan

Dalam usiaku lapan tahun ini, ibu
Aku hanya menanti kehadiran bulan dan mentari
Di sana sini gendang perang gila berkumandang
Merobek rakus menghiris kepedihan
Pada garis kenangan yang memisahkan
Dan aku di kamar ini berdiri merenung wawasan
Yang hanya menanti gelora ombak di hadapan !


Seri Kembangan,SDE 1994.

22 Disember 2010

Bekas TKP Imigresen dihukum penjara

 Bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Yusof Abu Bakar dihukum penjara enam tahun dan denda RM620,000 setelah didapati bersalah atas 14 pertuduhan menerima rasuah RM121,500 bagi meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China, dua tahun lalu.


Bangunan Pentadbiran Kerajaan Putrajaya
( Gambar Hiasan )

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Abu Bakar Katar yang memutuskan demikian hari ini, memerintahkan hukuman tersebut berkuat kuasa mulai 16 Disember lalu iaitu tarikh Yusof disabitkan dengan pertuduhan itu.
Hakim tersebut menjatuhkan hukuman penjara antara dua tahun dan enam tahun serta denda antara RM10,000 dan RM92,000 bagi setiap pertuduhan.
Hukuman bagi kesemua pertuduhan tersebut diperintahkan berjalan serentak. (Baca Penuh UM 21/12/2010)

Jabatan-jabatan di bawah KDN seperti PDRM, Jabatan lmigresen,JPN,Kastam dan lain-lain lagi amat penting bagi keselamatan negara.lntegriti dan amanah yang dipikul oleh setiap kakitangan bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh.Justeru amatlah mendukacitakan sekiranya mereka yang diberi amanah terutama para pegawai tertinggi gred jusa atau seumpamanya seperti Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah dan para timbalannya yang bertindak pengkhianat negara,bangsa dan agama, menikam dari belakang.

Mereka umpama musuh dalam selimut, api dalam sekam.Anehnya sebelum sampai ke jawatan tersebut merekalah yang dianugerahkan pegawai cemerlang, berprestasi tinggi, memperoleh 2 atau 3 kali kenaikan gaji melintang semasa zaman SSB,SSM; bahkan dianugerahi pula pingat-pingat kebesaran negara dan negeri dan bahkan bergelar Dato, Datuk Seri,Tan Sri dan sebagainya.Akibat ketamakan,kerakusan dan materialistik, mereka gelap mata mudah dibeli dengan wang ringgit.Yang terlepas, yang sedang dibicara, yang bebas kerana kelicikan peguam bela sekiranya anda tidak berakhlak maka anda tetap seorang yang tidak berakhlak.Kes TKP 1 Jabatan lmigresen yang dijatuhi hukuman kerana sabitan dengan kes rasuah sepatutnya menjadi renungan kita semua.

Pegawai ini bukan setakat hilang segala imbuhan dan ganjaran sebagai bakal pesara kerajaan kelak  tetapi maruah diri,agama,bangsa dan keluarga! Sekiranya diadili dengan hukum lslam, pengkhianat seperti ini sudah dijatuhi hukuman mati.Atau dalam bahasa yang lebih keras dan tegas: dipancung sampai mati! Sepatutnya penjawat inilah yang diharapkan mengawal pintu penting negara daripada segala ancaman musuh dan anasir negara.Amatlah malang tentera/perajurit/askar kita mengawal sempadan negara meninggalkan sanak saudara tetapi pegawai tertinggi imigresen seperti ini bersifat bacul dan penderhaka kepada tanah air!   

21 Disember 2010

PUISI DIAM

Berdiam diri
kadang-kadang lebih menguntungkan
kerana memberi peluang
orang lain melayani
gelora perasaan

Berdiam diri
kadang-kadang suatu kecelakaan
kerana orang lain menyangka
kita mudah tewas
sebelum ditikam

Diam-diam
kadang-kadang jadi pendendam
atau rindu terpendam dalam
keasingan menerajang radang
dan sang peribadi itupun bersemi
bagai cermin mengulum diri.
DR. RAJIEE HADI
Nilai, Negeri Sembilan
(Utusan Zaman, 16 November 1997)

14 Disember 2010

KAMPUNG AIR DAN SUNGAI DAMUAN BRUNEI

KAMPUNG Air di Bandar Seri Begawan NBD telah wujud ratus tahun yang silam.Kampung air ada cerita,kisah dan warisan yang tidak kunjung padam; antara tradisi,tragis, kasih sayang dan ikatan persaudaraan.Kampung air di Brunei kini telah menjadi warisan yang dipelihara dan dipulihara serta tersusunmenjadi aset tarikan pelancongan.walaupun pernah berlaku kebakaran, tetapi kini kampung air tidak dibenarkan dengan pembinaan baru.Bahkan kini yang sedia ada diperkemaskan termasuk kini telah ada balai polis, balai bomba, sekolah menengah,sekolah rendah dan masjid.

Penulis Bersama Pemandu Bot Awang Mohamad Sedang Menyelusuri Sungai Damuan

Dan antara kampung air yang terkenal ialah Kampung Burung Pingai, Kampung Sungai Kedayan, Kampung Pandai Besi dan Kampung Tamoi.Manakala masjid yang terkenal yang terletak di atas air ialah Masjid Pehin Dato'lmam Haji Mokhti dan ada beberapa masjid kecil yang lain.

Apabila penulis menyusuri Sungai Damuan yang kaya dengan udang,ketam dan berbagai-bagai jenis ikan air masin begitu mempesona.Alangkah bertuahnya jika sungai yang kaya dengan ikan,udang dan ketam ini dapat dikomersialkan oleh penduduk tempatan dengan lebih aktif.Sepanjang penulis bermudik arah ke hulu sungai ini ini tidak kedapatan pun sesiapa memancingl atau menjala.Tentang mengapa air sungai Damuan ini masin ada cerita legendanya.


Sungai Damuan Yang Kaya Dengan Khazanah Hutan Bakau
Apabila memudiki arah ke hulu sungai ini (penulis menaiki bot laju yang begitu selesa) kelihatan di tengah-tengah sungai yang lebar ini tersergam sebuah pulau kecil berbatu yang dikenali jong batu .Kononnya jong batu wujud akibat kapal Nakhoda Manis yang dimakan sumpah menjadi batu kerana menderhaka terhadap ibunya.Kisah ini seperti kisah si Tanggang di Malaysia dan Malim Kundang di lndonesia.Kapal Nakhoda Manis membawa sarat dengan garam.Dengan sebab sumpahan itu garam tumpah ke dalam sungai.Dan sungai Damuan menjadi masin hingga kini.lni adalah cerita rakyat.Benar atau tidak....wallahualam.

Penulis Berlatarbelakangkan Salah Sebuah Masjid Di Kampung Air
Di Hadapan Masjid  Sultan Omar Ali Saifuddin Bandar Seri Begawan 
Sepanjang  menyusuri  di hulunya penulis menemui Makam Diluba, Sultan Abdul Karim, salah seorang Sultan Brunei. Kita juga akan melewati lstana Nurul lman,istana bersemayam Sultan Hasanal Bolkiah yang memerintah N.Brunei sekarang. Yang menarik hutan bakau yang asli kelihatan monyet-monyet yang berbulu merah  yang mana hanya memakan buah-buah hutan sahaja.Terasa juga sungguh pesona melihatkan telatah sang monyet hingga kian jauh kian terserlah hutan-hutan bakau yang masih dibaluti keasliannya.

12 Disember 2010

PULAU PINANG KEMBALIKAN KEPADA KEDAH

PERSATUAN Sejarah Pulau Pinang (mungkin bersama-sama sokongan kuat Persatuan Sejarah Malaysia) menggesa agar Pulau Pinang dikembalikan kepada kedaulatan kerajaan Kedah.TB yakin segala dokumen dan segala bukti sokongan fakta sejarah serta dokongan positif pakar-pakar sejarah tanah air boleh merealisasikan gesaan itu. Sejarah tetap sejarah.Fakta tetap fakta. Justeru, dalam hal ini sokongan Majlis Raja-Raja dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) serta para cendekiawan amatlah dialu-alukan.Apa yang jelas, isu ini janganlah dipolitikkan.Apatah lagi kini Pulau pinang dan Kedah ditadbir oleh parti-parti bukan BN.

Istana Kampung Gelam, Singapura Hanya Tinggal Kenangan
 TB dan ramai pembaca telah sedia mengetahui semasa belajar Sejarah di bangku sekolah dahulu bagaimana tipu helah British dan Francis Light dahulu dan ancaman-ancaman Siam ke atas Kedah yang mana menyebabkan kerajaan Kedah ketika itu tersepit dengan perjanjian yang kita tidak ketahui sejauh mana kesahihannya.Apa yang kita tidak mahu cukuplah sejarah Temasik yang hilang di peta kesultanan Melayu dan kemudian sejarah Singapura yang telah dikoyak dan dirobek akibat kejahilan kita sendiri. Singapura yang di bawah jajahan  takluk Kerajaan Johor-Riau pada ketika itu telah ditipu diputarbelit lantaran kerana kerakusan kuasa dan harta yang menyebabkan keturunan Tengku Hussein dan kuasa telah hilang lenyap di bumi Melayu.Kerana kelicikan Stamford Raffles dan ketekunan orang-orang Cina yang mengaut kekayaan di bumi Singapura dan kerana kecekapan berpolitik Lee Kuan Yew dan PAP maka Tunku Abdul Rahman pasrah dan menyerahkan Singapura buat selama-lamanya pada tahun 1965. Apakah kita masih jahil lagi? Apakah kita masih lalai lagi? Apakah kita asyik bersyahdu?Ingat,sejarah boleh berulang bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan di mana-mana; termasuk di Sarawak dan di Sabah.Hubaya..hubaya..hubaya...bangkitlah duhai bangsaku atas nama keintelektualan dan keberanian!!!! Berani itu benar!

09 Disember 2010

MENGAPA ANDA BERENANG?

Kegiatan renang perlu digalakkan di kalangan murid-murid sekolah atau anak-anak kita bersandarkan dua sebab utama. Pertamanya , renang adalah sejenis aktiviti yang dapat memuaskan keiginan kanak-kanak menguasai kecekapan-kecekapan  dalam air. Kemahiran-kemahiran yang mereka perolehi itu akan memberi peluang kepada kanak-kanak menikmati keseronokan dan pengalaman dalam satu alam yang berlainan. Keduanya, geografi negara kita memperkuatkan lagi alasan mengapa renang perlu di perkenalkan kepada kanak-kanak sekolah.


Berenang Salah Satu Riadah
Mencerdaskan Minda
  
Malaysia dikelililingi air dan kita mempunyai pantai-pantai yang indah. Terdapat banyak sungai di seluruh negara kita, maka adalah perlu dan penting untuk melengkapkan  kanak-kanak dengan kemahiran-kemahiran yang membolehkan serta mendorongkan mereka menceburkan diri dalam aktiviti-aktiviti  yang bersesuaian dengan alam sekeliling negara kita.
Kemahiran-kemahiran itu akan berguna juga dalam masa-masa kecemasan  dan kemalangan yang sering berlaku dalam air.Di sekolah rendah, pengajaran renang haruslah memusatkan perhatiannya kepada pembinaan keyakinan diri kanak-kanak dalam air.
Pelajaran-pelajaran renang hendaklah bertujuan membantu  murid-murid itu menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam renang, mereka akan terdedah kepada teknik-teknik asas, pelbagai gaya berenag dan permainan-permainan air.

ANTARA JENAMA, KUALITI ATAU HARGA?

KITA disogokkan saban hari iklan di kaca TV tempatan tentang kempen membeli barangan buatan tempatan;maksudnya barangan buatan dalam negara sendiri bagi menunjukkan adanya elemen patriotisme dan nasionalisme dalam diri individu termasuk kita semua

Iklan yang menunjukkan seorang gadis ke pasar raya atau ke butik pakaian membelek-belek pakaian sedang memikirkan sesuatu.Tidak dipastikan sama ada gadis tersebut sedang memilih jenama pakaian yang diimport atau buatan tempatan,membelek-belek kualiti atau harga barangan dan lalu terkenangkan zaman remaja di sekolah yang telah dididik agar menghargai barangan buatan tempatan bagi menunjukkan kecintaan kepada Negara sendiri.

Dan lantas gadis itu memilih pakaian yang diminatinya (tanpa ditunjukkan jenama atau kualiti)tetapi sepasang baju yang diplihnya bertanda harga lebih daripada RM3xx.00 (ratusan RM).Soalnya apakah ini menunjukkan sifat dan sikap kepenggunaan/konsumerisme yang baik sebagai sebuah iklan visual yang berfungsi mendidik?Apakah ini  menunjukkan sikap tidak berhemah berbelanja?Apakah ini menunjukkan sikap lebih memandang dan mementing harga barangan daripada mutu sesuatu barangan?
Antara Jenama, Kualiti atau Harga ?
( Gambar Hiasan )

Dan persoalan terbaru apakah status barangan itu; sama ada barangan tempatan atau luar negara jika nama barangan tersebut berjenama sama atau berbau Paris, ltali, England, Jerman dan sebagainya tetapi dibuat di Seri Kembangan,Jinjang,Semenyih,Shah Alam dalam negeri Selangor atau di mana-mana Bandar dalam Malaysia? Begitu juga barangan yang dihasilkan di Malaysia atas dasar francais atau usaha sama?

Justeru,Kementerian Hal Ehwal Pengguna dan Perdagangan Dalam Negeri (KHEP&PDN) haruslah bijak dan cerdik berkempen dalam usaha menyedarkan orang ramai agar membeli barangan buatan tempatan.TB tidak mahu iklan yang mendungukan dan memperlekehkan minda orang ramai dan audien merasakan tertipu dan diperbodohkan!Apa yang diharapkan mestilah ada kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (KBKK).

08 Disember 2010

TERKENANG-KENANG.......

Datuk  Seri Najib Tun Razak
APAPUN Najib Razak boleh bercakap sebarang isu tentang sikap pembangkang semasa Konvensyen Barisan Nasional 2010 di Kuala Lumpur Ahad lalu.Dan apapun rakyat juga boleh menyuarakan isi hati dan protes kerana ketidakpuasan ke atas Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang dikatakan menaikkan 37% caj tarif air Selangor;sedangkan gaji CEO Syabas Tan Sri Rozali dilaporkan mencecah lebih RM200 ribuan sebulan!lnilah yang mendorong majoriti rakyat negeri Selangor turun di jalan raya Kuala Lumpur bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid lbrahim dan para peneraju Pakatan Rakyat  berdemontrasi Ahad lalu.
Elia Suhana
Dan dalam ribut-ribut Ahad lalu,dilaporkan juga Elia Suhana 31, kekal sebagai isteri kedua Sultan lsmail Petra,64 bekas Sultan Kelantan yang kononnya dikatakan telah dijatuhi talak tiga.lnilah apa yang dikatakan resam dunia! lngat, dunia ini hanya pinjaman.
Dato' Sri Anwar Ibrahim


Apapun juga ,bercerita pasal politik Malaysia yang mengandung pelbagai suhu darjah ini kita perlu ingat pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika UMNO, PAS,PKR dan parti-parti lain tidak dapat mengekalkan kekuatan.Bahkan yang lucu,aneh dan hairan bin ajaib termasuk auta bin temberang ialah penduduk Malaysia paling minoriti iaitu kaum lndia yang hanya sekitar 8% daripada jumlah penduduk Malaysia kini 26juta mempunyai parti dominan mereka iaitu MIC, PPP, GERAKAN,PKR, DAP, dan parti-parti serpihan lain seperti lPF (deh ,ada hidup lagikah?),Makkal Sakhti, MIUP, KIMMA yang masing-masing mendakwa ada yang punya keahlian 2juta, 1juta, 700 ribu,500ribu,200ribu dan macam-macam yang membuatkan ramai orang pening daa!He..he..he...cuba pembaca total sendiri jumlah penduduk lndia Malaysia (ingat yang ada l.C sahaja)dan jumlah keahlian penduduk lndia Malaysia dalam parti masing-masing....hahahaha..tentu ada tersenyum.Kerana apa?hahaha...paling tidak pun yang lucunya si bayi mereka juga sudah menjadi ahli parti! Lucukan...Begitulah resam dunia!

Apapun TB memetik tulisan Hassan Mohd Nor (UM,6Disember 2010) yang antara lain mengingatkan bahawa peristiwa 13 Mei 1969 adalah pengajaran yang paling berguna kepada orang Melayu dan bukan Melayu di Malaysia tentang betapa pentingnya konsep perkongsian kuasa melalui persepakatan BN. Sehubungan ini, TB sukalah menegaskan bahawa persepakatan tidak semestinya dalam BN sahaja bahkan boleh juga dalam gabungan lain asalkan matlamat utamanya adalah perjuangan ikhlas dan jujur semata-mata demi KEBAJIKAN RAKYAT.Apa guna ada persepakatan kuasa tetapi persepakatan ini digunakan oleh individu dan pihak yang rakus,tamak,jahat,antagonis untuk sama-sama berkenduri menikmati hutan balak,hasil mahsul  negara,projek dan tender yang bersembunyi atas nama pembangunan tetapi menindas kesejahteraan rakyat;tidak kira di desa atau kota, anak muda atau warga emas, si lslam atau bukan lslam dan si bumiputera atau bukan bumiputera. Jangan kata dulang paku serpih nanti kelak terpaksa menjilat ludah sendiri.lnilah resam dunia!
YM Raja Noor Jan 

 Kepada orang Melayu,ingatlah sejarah.Sejarah telah membukti yang benar bahawa orang Melayu tidak mendapat balik benda,kuasa,harta dan segala-galanya yang hilang atau terlepas daripada mereka.Melayu hilang Kesultanan Melaka dan hingga hari ini Melaka tidak mempunyai raja( nota: Raja Nor Jan yang mengaku waris sah Kesultanan Melaka dan mengaku ada bukti-bukti jika 'Tuanku' benar sila bawa kes ini ke mahkamah dengan segala dokumen dan peguam tersohor ataupun melalui badan politik.Kerana dalam lslam jika anda berhak, anda wajib menuntut hak anda.Apa kata anda ajukan melalui parti PAS?Masakan PAS tidak mahu membela atau memberi hak dari segi faraid kepada HAK SEORANG MUSLIM yang ada bukti dan terbukti jika ada bukti sahih? Silakan 'Tuanku'Raja Nor Jan...jangan mengadu kepada Ali Rustam!hahaha...TYTM Gabenor pula hendak disimpan di mana pula?).Begitulah resam dunia!
Dato Seri Abdul Hadi Awang

Melayu bukan sahaja hilang Kesultanan Melayu bahkan banyak yang telah hilang termasuk termasuk kehilangan wilayah Setol (kini disebut 'Satun') dan Patani di selatan Thailand serta Singapura 1965.Semua yang tahu dan cerdik sejarah akan terasa hati bagai disayat kerana segalanya mungkin tidak dapat diambil kembali. Mahu orang Melayu mengambil kembali hak mereka?Beranikah Najib,Anwar,Abdul Hadi,Karpal Singh,CSL dan sesiapa mengambil kembali?Walaupun itu semua cakap-cakap masa lalu,tidak salah kita saling ingat mengingati.Jangan asyik kita bercakaran tetapi yang rugi dan menongkat dagu melopong mulut aialah anak-anak cucu kita pada masa akan datang.Walaupun dunia ini hanya pinjaman,walaupun semuanya itu resam dunia tetapi ingatlah cakap siang pandang-pandang,cakap malam dengar-dengar, terlajak perahu boleh diundur,telajak kata buruk padahnya. Tahun Hijrah 1432,l Muharam yang baru kita di ambang pintu pertama ini,kita bina dan bangunkan suatu azam dan ikhtikad baru,salam Maal Hijrah!

07 Disember 2010

SELAMAT MALAM BANDUNG

Detak arus jentera Jalan Setia Budi
Ladeng-ladeng jerit malam silih menanti
Terminal kian menyepi hanya rintik gugur menyanyi
Kehidupan bagai ragam belantara pemburu
Serigala siap siaga pelanduk bermuram durja

Di pinggir kota bandung ini seakan
Memahami resah bengitku di pinggir sendu
tentang masa depan dan masa lampau menghilang
Mudik bingar di bilah hari silih berganti
Ada cetera waktu silam yang mahu kupuisikan

Universitas Pendidikan Indonesia, Bandung















Mahasiswa Universitas Pendidikan Nasional
Dengan misi dan visi merentang perdana
Menjana tekad kuliah globalisasi
Derap langkah abad dua puluh satu
Usah digundah sketsa malam tangkuban perahu

Ya, selamat malam kota Bandung
Panas enak ayam bakarmu di Cianjur
Dingin kembang kota di puncak berbunga
Ada air mata yang sekian lama terluka
Tetap kusebut sampai bila-bila! 

05 Disember 2010

DI BANDUNG, lNDONESIA

Penulis Berada di Jalan Cimpelas Kota Bandung ,lndonesia
BUAT beberapa hari TB terpaksalah makan makanan Sunda yang sederhana manis, masakan Jawa yang manis dan mesti kena juga masakan Padang yang pedas, yang baru rasanya menikmati juadah yang sebenar-benarnya.Orang Melayu jika makan tidak berkuah umpama ada rambut yang tidak bersikat.Ya, rasa ada sesuatu yang tidak kena,tidak selesa. Sebenarnya TB kini berada di Bandung sejak tanggal 3 Disember lalu kerana mengunjungi Universitas Pendidikan Nasional(dahulu dikenali IKIP,Bandung) di Jalan Dr Setia Budi di daerah Ledeng -Lembang. Walaupun TB berkesempatan berkunjung ke Bandung sejak tahun 2008 dan 2009 kerana tujuan ilmiah kota Bandung yang dikenali kota bermartabat bahkan dengan jolokan kota kembang lantaran hujan saban hari menyebabkan alam floranya yang menghijau..Walaupun pertama kali TB kunjungi Bandung ialah pada tahun 1979 yang lampau kerana menghadiri acara kesenian dan kesasteraan namun cuma ada mengalami satu dua penambahbaikan dan sedikit perubahan sahaja.Pokoknya tidak jauh berubah. Hujan setiap sore menyebabkan sistem jalan yang hinggar-binggar banyak kerosakan teruk terutama jalan menuju ke Cibaduyut, Sukajadi dan lain-lain lagi. Jalan Cempelas masih ditakut lama, dan para penghuni kotanya terus menerus dengan buruan hidup mengejar waktu ke waktu tanpa penghujung.Kehidupan terus datang dan pergi.

01 Disember 2010

BINGKISAN DARI BRUNEI

MENYELUSURI GEDUNG ILMU
(buat Dr Haji Abdullah Haji Awang Lampoh)  
                    
Denai ilmu di tanah Seri Begawan kususuri
Jendela menghijau  udara alam memagari
Mekar kelopak taman saujana lestari
Tersergam pesona dewan bagai sita dewi

Kampus kuliah pembangunan melakari
Siswa-siswi riang di kampus pagi
Ada gerak azam hasrat mendepani
Setiap warga citra potret santun peribadi
Brunei Darussalam UBD menara gading di jantung hati

Penulis Berada Di Pintu Masuk Universiti Islam Sultan Sharif Ali
Bandar Seri Begawan, NBD




















Dan musim kian mendatang
Universiti kolej perguruan ugama bertandang
Martabat dan harapan terus dijulang
Demi agama terbilang dan warisan gemilang
Bagai kampung air sejarah yang tidak menghilang

Gelojak waktu deras arus bergerak
Gedung ilmumu kian berentak pencak
Sultan Sharif Ali  universiti Islam persada puncak
Sarjana ulama semenda bicara daulah lslamiah
Daulat Tuanku Ke Bawah Menjunjung Duli
Menyelusuri gedung ilmu persis segar mentari!


Bandar Seri Begawan, Brunei,

CATATAN DI BRUNEI

DI PERHENTIAN INI
   
Di atas jambatan ini aku melihat anak-anak di tambatan
Di seberang sekolah terapung di sungai kedayan
Di kejauhan laut china selatan menggamit datang
Di pelabuhan silih berkunjung para pedagang
Di bumi mengalir melimpah ruah ke pelangi petang

Penulis Berada Di Pantai Jerudung, NBD














Di taman Sultan Omar Ali Saifuddin
Di dataran ini dikir selawat berkumandang
Di atas tanah ini kita bangunkan ukhuwah lslamiah
Di pundak bangsa berdaulat tamadun gemilang
Di mercu Ke Bawah Duli Tuanku mengemudi salam
Di pentas pagi kita bersama memuji Rasulullah  Junjungan  
  
Di Seri Begawan mentari pagi senyum girang
Di Kampung Air daratan silang budaya gemerlapan
Di sana sini santun bersamping ucap akrab kasih sayang
Di ufuk nurani tanah air Melayu lslam Beraja terbilang
Di sini benteng paksi ketuanan tradisi warisan
Di bahu bersama kita ingatkan generasi kemudian!


 Bandar Seri Begawan,NBD

30 November 2010

PEJUANG BAHASA

 Setelah sekian musim
Pak Za’ba mencanangkan suara
mengerdip kilauan pelita bahasa unggulnya
ilmu karang-mengarang mengukir kata-kata
ilmu nahu dan segala madah fatwa
di situ berputik benih –benih nasionalisme
akrab dan cinta pada bahasa ibunda
mencengkam akar budaya susila
bahasa Melayu takkan hilang di dunia

Datuk Dr Hassan Ahmad, SN Datuk A.Samad Said dan para pejuang bahasa
ketika demontrasi aman GMPpsmi di Kuala Lumpur
















dan pedoman Embong Yahya penyuluh aksara
mari belajar rumi dengan kaedah DBP-nya
Syed Nasir lantang gagah si panglima bahasa
keranda enam puluh tujuh berarak menjunjung akta
daulat mulia menegakkan panji bahasa merdeka

halangan ditangani tanah wira berjasa
bahasaku bahasamu megah semarak obor menyala
dan diwarisi di peta linguistik serentetan nama penyambung ulung lidah bicara

Prof. Madya Arbak Othman (tanpa bersongkok)
Seorang Sarjana Lingusitik Melayu

















terima kasih Seri Lanang dan Abdullah Munsyi
kalian yang kreatif dan konstruktif
telah upaya memungkinkan bahasa dan
bangsa ini tidak statik
menghadapi gelora tahun-tahun mendatang
setelah budimu bersemi di khazanah budaya
dan warisan padu berkemudi
bagai resmi padi

ah, para pejuang bahasa
nama kalian masih terpahat dan tercatat
dalam kantung buku sekolahku
di arkib memori perjalanan hidup ini
ketika baru belajar ABC
menyeru anak-anak mengeja
‘Bahasa Jiwa Bangsa’


DR. RAJIEE HADI
Seri Kembangan, Serdang,
(Antologi Puisi: Sumpah Setia Bahasa, Kuala Lumpur,
Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), 1999)

29 November 2010

CINTA ARAFAH: RAKAMAN SEBUAH PERJUANGAN

CINTA ARAFAH ( Penerbit Dwiwangsa Publications & Distributors, cetakan pertama2003, cetakan kedua 2010) sebuah kumpulan puisi pilihan penyair Rajiee Hadi yang mengandung 101 buah koleksi puisi sekitar 1980-2002 yang memanipulasi bait-bait kata yang puitis dan prosaik bagi melakarkan sebuah perjuangan  antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan manusia dengan Tuhan (al-Khaliq).Penyair merakamkan puisi-puisi yang dihasilkan dedikasi kepada para pejuang yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat khususnya takzim kasih buat insan tabah yang mengerti dan memahami hati dan jiwa penyair; baik dalam belai mahupun dalam badai.Rata-ratanya puisi yang termuat telah disiarkan dalam majalah-majalah dan akhbar-akhbar terkemuka tanah air seperti Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Al lslam, Mastika,Berita Minggu,Mingguan Malaysia dan lain-lain lagi termasuk Fikiran Rakyat (lndonesia) dan Nino Bagus (Bandung, lndonesia). Dengan tinta penyair mencipta idealismenya melalui karya-karyanya  dengan nawaitu kerana Rabbulamin, estetika seni dan perjuangan kemanusiaan sejagat diharapkan usaha ini memperoleh keberkatan dan nikmat Allah S.W.T jua.

28 November 2010

PATANI,THAILAND: KISAH SEBUAH PERJUANGAN.

GERILA OLEH LUKMAN ISKANDAR: SEBUAH NOVEL AKSI TEMPUR BERDASARKAN PENGALAMAN SEBENAR YANG DITULIS OLEH BEKAS GERILA DAN BEKAS TAHANAN I.S.A

Novel kontroversi ini karya Lukman Iskandar (Penerbit PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2009,588 hlm.)) Allahyarham Lukman(nama sebenar Naamandedin bin Daud,1949-2001,al-Fatihah) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1992 sehingga 1994.  Penulis ialah bekas Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani.

Walaupun fiksyen, novel ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis.  Ia berlatarbelakangkan konflik di Patani, sebuah negeri Melayu yang dijajah oleh Thailand sejak tahun 1785.

Kisah tentang Kapten Ruziman , seorang juruterbang jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang diselamatkan oleh anggota gerila pembebasan Patani ketika pesawatnya terhenpas di Selatan Thai.  Selepas diselamatkan, Kapten Ruziman menyertai perjuangan gerila.  Mereka berperang dengan tentera Thai, Polis dan PKM.Yang nyata, novel ini penuh dengan aksi tempur,taktik peperangan sebenar.konflik emosi dan konflik kuasa. Bagi umat Melayu/lslam serantau,membaca dan menghayati novel ini akan dapat memahami erti sebenar makna sebuah kemerdekaan, kuasa, kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sebuah kampung, negeri dan negara yang bernama MELAYU, lSLAM dan BERAJA.Anda dan generasi anda wajar membacanya!